Inah yang rajin mengemas bilik itu. Alasannya bosan dengan kedudukan yang sama. Hairan juga katil dan almari yang berat mampu dialih banyak kali. Jika dikira purata sekali seminggu berubah hiasan kamar itu.

Tuan Haji Said membuka jendela. Dari balkoni itu jelas pemandangan gunung Kinabalu. Kabus pagi keputihan menutup puncak gunung. Udara sejuk menerobos masuk ke kamar.

Sejak dahulu, gunung itu selalu menjadi saksi antara dia dan Inah. Cinta dia dan Inah seagungnya Gunung Kinabalu. Cita-cita mereka pun setinggi Kinabalu. Perlahan-lahan semua itu menjadi kabur dek masa. Angan indah mereka turut tidak kelihatan dek masa yang berlalu.

Bunyi dentingan jam antik mengisi ruang sepi rumah dua tingkat itu. Kakinya mula melangkah menuruni anak tangga. Terbayang suatu ketika dahulu, ruang tamunya bersepah. Sofa dan kusyen berterabur.

“Ayah, Ani buat rumah, marilah masuk ke dalam rumah Ani,” ajak anak perempuannya sambil menarik tangannya.

Said melayan Ani. Turut terbongkok-bongkok cuba untuk masuk ke dalam ruang kusyen. Inah mencuri pandang dari celah pintu dapur. Gelagat dua beranak yang selalu membuat rumah itu riuh.

Tiba di tingkat bawah, Tuan Haji Said ke dapur. Suis pemanas air dihidupkan. Kopi Pak Belalang paling mudah disediakan. Roti disapu jem strawberi. Perlahan-lahan menikmati minum pagi.

“Tak nak jem, Akil mahu roti saja.”

Inah tersenyum mendengar permintaan Akil.

Akif pendiam. Jarang sekali berbicara. Hingga sukar untuk meneka apa yang dimahunya.

Kenangan bersama anak-anaknya sering melewati pandang matanya. Setiap sudut rumah itu menitipkan memori terindah buat dirinya.

“Tuan, panggilan telefon daripada Ani,” kata Pak Jamil.

Tuan Haji Said tahu, pasti Ani bertanyakan tentang kesihatannya. Ani umpama pengawal peribadi. Kadang berubah menjadi jururawat buat ayahnya.

Corong telefon riuh dengan suara Ani. Lagaknya bercakap menyebabkan ayahnya hanya mampu mengiakan. Selesai perbualan itu, hatinya terdetik, apakah yang akan berlaku jika panggilan itu tidak dijawab?

“Apakah reaksi anak-anaknya?”

Setahun selama tiga ratus enam puluh hari sangat lama. Seminggu menunggu kepulangan anak-anak pun umpama berbulan-bulan. Hatinya kosong, sepi tanpa Inah dan anak-anak.

Seminggu mengikuti usrah di surau, Tuan Haji Said rasa tenang. Dirinya tidak lagi kesunyian. Rakan-rakan saling berkongsi ilmu agama. Ustaz Rafizi yang aktif di surau telah membuka kumpulan usrah. Ahli-ahli saling berkongsi pendapat. Tuan Haji Said turut serta. Cuma rasa janggal apabila anak-anak muda berkomunikasi menggunakan telefon bimbit.

Perlahan-lahan Tuan Haji Said merisik kelebihan telefon bimbit. Semakin hari dia semakin tertarik. Pelbagai aplikasi yang ditunjukkan oleh Ustaz Rafizi.

“Ustaz Rafizi, tolong belikan saya telefon bimbit. Bawalah duit ini ke pekan Ranau. Pilihlah yang sesuai untuk saya.”

Seminggu kemudian, Tuan Haji Said semakin mahir menggunakan telefon bimbit. Aplikasi “WhatsApp” telah merancakkan lagi perkongsian usrah. Melalui telefon bimbit juga, Tuan Haji Said mudah membaca al-Quran.

Sehinggalah suatu hari, hatinya terdetik untuk mengajak anak-anaknya mendekati agama. Betapa rugi dirinya kerana alpa dalam mendidik anak-anaknya. Senarai nombor telefon anak-anaknya dicatat. Ustaz Rafizi telah membantunya membuka kumpulan “WhatsApp” khas untuk anak-anak Tuan Haji Said.

Mulanya, Tuan Haji Said ragu-ragu. “Bagaimanakah penerimaan anak-anaknya nanti?”

Lalu dia menyamar menjadi orang lain. Anak-anaknya telah menjadi ahli usrah yang dibimbing oleh dirinya.

Setiap hari, Tuan Haji Said menghantar pesanan ringkas. Namun tidak mendapat tindak balas. Rasa kecewa dalam dirinya. Anak-anaknya tidak berminat ilmu agama. Rasa rindu pada anaknya kian terasa.

Tuan Haji Said nekad menghantar pesanan kepada anak-anaknya memaklumkan tentang kematian dirinya. Dia menutup semua jendela di rumahnya. Pintu utama turut ditutupnya. Beberapa jam kemudian barulah anak-anaknya datang. Ani datang dengan tangisan. Akil datang dengan mata yang sembab. Akif datang dengan membawa surah Yassin. Haji Said duduk menunggu di bilik bacaan. Dibiarkan anaknya menangis mencari dirinya.

Sehinggalah dia mendengar alunan bacaan surah Yassin. Perlahan-lahan pintu bilik dikuak. Akif duduk menghadap kiblat. Bacaannya merdu mengamit jiwa Tuan Haji Said. Amani dan Akil terpandang ayah terus melulu lalu memeluk erat. Akif masih meneruskan pembacaannya sehingga habis.

“Maafkan kami ayah,” ujar Ani dan Akil.

Akif merenung kedua-dua adiknya. Akif masih berdiam diri. Dia menunggu ayahnya berbicara.

“Maafkan ayah, ayah terlalu rindukan kamu.

“Akif, siapakah yang mengajar kamu mengaji?” soalnya apabila melihat Akif berdiam diri.

“Sebenarnya, Akif mengikut segala pesanan di dalam kumpulan usrah. Kumpulan itu telah menghantar pesanan setiap waktu.”

Tuan Haji Said menangis lalu memeluk Akif. Sangkanya Akif menjauhkan diri, rupanya salah. Selama ini, Akif telah mengikut pesanan yang dihantarnya.

“Ani pun ada kumpulan usrah ayah. Tapi Ani jarang membaca kerana sibuk.”

Akil pula menggaru-garu kepalanya.

“Akil pun ada ayah. Cuma Akil tidak buka pesanan yang masuk. Lagipun pesanan itu selalu menganggu masa tidur Akil.”

Tuan Haji Said duduk dengan tenang di sofanya. Dia memerhatikan anak-anaknya. Perubahan ketara pada Akif. Akil dan Amani masih seperti dulu. Mungkin Akif semakin matang. Wajahnya nampak seperti lelaki dewasa. Layak benar jika mendirikan rumah tangga.

Tiba-tiba telefon bimbit Tuan Haji Said berdering. Panggilan itu dijawabnya dengan tenang. Serentak itu juga, riak wajah Ani, Akil dan Akif berubah.

“Ayah ada telefon bimbit?” soal mereka bertiga serentak.

Tuan Haji Said sekadar senyum mengiayakan soalan yang diajukan oleh anaknya. Ya...,sejak talian telefon di rumah bermasalah, ayah beli telefon bimbit. Mudah dibawa.

Pak Jamil pula datang terus menyerahkan buku catatan kepada Tuan Haji Said.

“Tuan Haji, Ustaz Rafizi minta Tuan Haji menyampaikan usrah malam ini, beliau tidak dapat hadir kerana terpaksa pulang melawat ibunya.”

“Baiklah Pak Jamil. Bersiaplah kita bersama-sama ke surau.”

Sekali lagi anak-anak Tuan Haji Said terkejut. Tuan Haji Said ke bilik. Anak-anaknya masih di ruang tamu.

“Abang…apa kita perlu buat?’ soal Ani.

“Tunggu apa lagi… bersiaplah ikut ayah ke surau,” jawab Akif.

“Tapi Ani…” “dah jangan nak bagi alasan,” tingkah Akil.

Ani merungut dan terus berlalu ke biliknya. Dia membersihkan badan. Almari merah muda dibukanya. Matanya melilau mencari baju yang sesuai. Semuanya baju kasual.

Lantas Ani mengetuk pintu bilik ayahnya.

“Ayah, pinjam baju mak. Baju Ani banyak di rumah sewa.”

“Ambillah baju mak. Ayah tak kisah. Ani saja anak perempuan ayah.”

Ani dan Tuan Haji Said beriringan turun dari tangga. Kelihatan Akil dan Akif sudah menunggu di ruang tamu, lengkap dengan baju Melayu.

“Mari kita ke surau,” ajak Tuan Haji Said.

Wajahnya ceria. Hatinya berasa tenang melihat anak-anaknya mengikut ke surau. Tambah rasa rindu pada Inah. Inah, anak-anak kita sudah dewasa. Ani semakin cantik. Akil semakin bijak. Akif semakin matang. Inah pasti bangga dengan anak-anak. Mereka semuanya anak yang baik.