Namun, pada hari ini semua orang juga boleh menulis buku serta digalakkan pula terbabit dalam bidang penulisan jika mereka mempunyai cerita-cerita yang menarik serta bermanfaat kepada para pembaca masing-masing.

Soal kreativiti boleh dipupuk dari semasa ke semasa terutama oleh pihak penerbit asalkan cerita-cerita yang mahu ditampilkan oleh penulis itu unik selain mempunyai mesej-mesej yang mendalam.

Hal itu telah mencetuskan banyak sumber inspirasi kepada Zaini Sharudin, sekali gus menarik beliau menceburi dunia penulisan buku sejak tahun 2011 dalam genre bukan fiksyen sehingga ke hari ini.

Menurut penulis buku berusia 37 tahun itu, beliau mahu membuktikan bahawa terdapat banyak lagi idea, cerita dan mesej yang belum diketengahkan oleh para penulis baharu kerana kurangnya peluang.

“Sebelum memberanikan diri terlibat dalam bidang ini, saya dapati trend orang di Malaysia hanya membeli buku-buku yang ditulis oleh penulis-penulis terkenal semata-mata.

“Mereka juga melihat nama syarikat penerbitan yang menerbitkan buku itu dan akhir sekali di kedai buku yang terkemuka manakah ia dijual? Bagi saya, persepsi itu seharusnya diubah pada era hari ini.

“Ini kerana, kita perlukan lebih banyak cerita dan bahan bacaan daripada segenap lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada satu-satu pihak sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Zaini bukan setakat menulis, malah beliau juga telah menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri iaitu Studio Anai-Anai sejak enam tahun lalu yang menerbitkan buku-buku hasil tulisannya.

Selain itu, pada masa sama beliau juga membuka ruang serta peluang itu kepada ramai rakan-rakannya yang minat menulis buku dan diterbitkan menerusi syarikat penerbitan tersebut.

Melalui cara itu katanya, lebih banyak cetusan idea, inspirasi dan produk boleh dihasilkan dalam bidang penulisan yang secara tidak langsung mampu merancakkan lagi dunia buku tanah air.

“Saya juga menerbitkan buku penulis luar seperti Hanisah Mat Husin yang amat berbakat dan mempunyai banyak cerita unik tetapi jarang berpeluang diketengahkan kerana dia tidak popular.

“Tetapi saya dapati buku beliau yang bertajuk 31 Day berkisar tentang pengalaman seorang guru wanita yang bertugas di sebuah perkampungan Orang Asli amat unik jalan ceritanya.

“Melalui cerita-cerita seperti itulah yang mampu menarik perhatian para pembaca kerana apabila semakin ramai penulis baharu muncul, maka semakin banyak juga cerita baharu yang boleh dibaca,” ujarnya.

Inisiatif Zaini itu boleh mencetuskan inspirasi kepada lebih ramai penulis baharu supaya berani menyerlahkan diri mengasah bakat dan seterusnya berkongsi idea dengan para pembaca.

Anekdot

Atas keyakinan itu, dalam masa hanya enam tahun Studio Anai-Anai telah menerbitkan lebih 10 buah buku yang berkonsepkan cerita-cerita anekdot yang sarat dengan pelbagai cerita dunia hari ini.

Beliau yang antaranya menulis buku bertajuk Rok and Roll Lu Memang Brader berasa semakin yakin dengan bakat serta perniagaan yang dijalankan itu berdasarkan sambutan hangat pembaca.

“Sebagai pemilik syarikat kecil, saya telah menetapkan strategi tertentu agar lebih berdaya saing seperti hanya mencetak 1,000 naskhah sahaja bagi setiap judul buku agar tidak berdepan risiko kerugian.

“Selepas itu, judul-judul lain pula akan diterbitkan yang mana ia akan membuka peluang kepada saya dan juga para penulis lain menerbitkan lebih banyak karya mereka selain memberi pilihan kepada pembaca masing-masing.

“Dalam setahun saya menyasarkan untuk menerbitkan 12 judul buku yang kesemuanya adalah berdasarkan kisah-kisah benar yang berlaku ke atas saya dan juga para penulis yang lain,” katanya.

Idea, bakat dan komitmen sahaja belum memadai, sebaliknya bagi memastikan Studio Anai-Anai berdaya maju, Zaini telah mengatur pelbagai strategi agar produk-produknya diterima oleh para pembaca.

Beliau antaranya sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan kelompok pembaca terutamanya dalam acara seperti pesta-pesta buku yang banyak diadakan di seluruh negara sejak akhir-akhir ini.

Melalui pendekatan itu, beliau bukan sahaja dapat menyelami kehendak dan citarasa para pembacanya, malah pada masa sama juga mampu mendekati golongan yang menjadi sasarannya.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini, ramai orang yang begitu ‘berkira’ untuk mengeluarkan duit. Tetapi kalau kita tahu siapa sasaran pembeli kita ia akan jadi lebih mudah.

“Pada masa sama, saya juga menggunakan apa juga saluran percuma yang ada seperti di Facebook dan media-media sosial bagi mempromosikan serta memasarkan setiap judul buku yang saya tulis dan terbitkan sejak dulu hingga kini.

“Saya juga menjual buku-buku saya dalam talian atau online. Malah, kawan-kawan kami dari syarikat seperti Dubook Press juga ada membantu menjual buku-buku saya di kedai mereka,” jelasnya.

Dalam hal ini, sebenarnya bukan Zaini seorang sahaja yang terbabit dalam bidang penulisan dan penerbitan buku, tetapi ramai lagi yang mempunyai hala tuju serta kepercayaan yang sama seperti beliau dalam bidang tersebut.

Justeru, meskipun baru setahun jagung dalam bidang yang memerlukan banyak idea, modal dan kreativiti itu, tetapi komitmen yang telah ditunjukkan oleh beliau mampu mencetuskan inspirasi kepada para penulis lain.