Impian si isteri melihat karya-karya tulisan tangannya diterbitkan seakan-akan terobek.

Penghujung filem, ketika duduk merenung air terjun bak rambut wanita yang berkemilauan itu, Paterson dihampiri pelancong Jepun dan dihadiahkan buku nota kosong kepadanya.

Adakah Paterson menulis sajak-sajak semula? Moral cerita; pekerjaan menulis sentiasa memiliki kurungan-kurungan emosi tertentu.

Saya ingin mengungkit beberapa persoalan yang kurang menyenangkan. Apakah berlaku transformasi pada sastera di Sarawak selepas Awangku Merali Mohamed mengunci kerja kreatifnya ke dalam laci?

Adakah para penulis masih menumpu konflik tradisi, adat dan etnik dengan pembalak dan melawan penceroboh kawasan mereka dengan sumpit beracun?

Awangku Merali Pangeran Mohamed telah menyempurnakan kemelut peribumi dalam buku Cerita dari Sebuah Taman. Adakah kisah magis buaya Bujang Senang masih relevan?

Suatu ketika dahulu tema-tema domestik itu bagaikan identiti wajib penulis Sarawak.

Siapakah penyajak dalam kalangan generasi baharu mengubah gaya pengucapan lebih akrab kepada anak muda seiring dengan aliran urbanisasi di Sarawak?

Suara dan keberanian mereka perlu didengar untuk menggantikan naratif dan diksi penulis-penulis sedia ada.

Sastera Sarawak akan kekal stereotaip untuk seratus tahun lagi andai tiada penulis mematah tema tipikal itu.

Jika ada sebahagian penulis menyimpang teknik penulisan daripada konvensional, sedalam mana mereka faham dengan jelas untuk apa melakukan eksperimental?

Franz Kafka menulis fiksyen yang menyelongkar krisis psikologi kerana masalah-masalah dalamannya.

Begitu juga sudah tentu ada kebencian politik mendorong Gabriel Garcia Marquez menempelak komuniti penjajah di bumi Amerika Selatan.

Aspek itu perlu disedari kerana ia berkaitan dengan keperibadian seseorang penulis.

Menyedihkan naratif sebegitu dilakukan kerana menyalin aliran penulisan semasa (epigoni) atau bertujuan segera popular dan memancing ganjaran sastera.

Negeri Sarawak sememangnya eksotik dan misteri sekali gus. Para penulisnya bukan sekadar terpisah secara geografi dengan tanah Semenanjung tetapi paling membimbangkan andai menutupkan diri dengan gelombang sastera kontemporari dunia.

Mengapa misalnya ada permintaan untuk diberikan kuota khas kepada penulis bukan Melayu dalam urusan penyiaran karya? Slot khas sedemikian membingungkan saya. Perlukah mereka dilayan istimewa disebabkan berbeza bangsa dan apakah kesannya kepada perkembangan sastera di Malaysia?

Apakah ini adil kepada penulis-penulis lain yang menghasilkan karya lebih berkualiti tetapi tidak disiarkan?

Keutamaan

Sastera Malaysia tidak berkembang jika tunduk kepada hal-hal sekecil itu. Tambahan pula bukan kisah dari negeri tertentu sahaja menarik dan perlu diberi keutamaan.

Dalam The Argentine Writer and Tradition, Jorge Luis Borges mengingatkan, “what is our Argentine tradition? Our traditon is all of western culture. Our patrimony is the universe.”

Penulis di Sarawak bertuah kerana ketekalan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak melangsungkan kerja mengiktiraf karyawan setiap tahun.

Bahkan beberapa penulis Sarawak, Muhammad Rakawi Yusuf, Muhammad Bujang, Adi Badiozaman Tuah dan Jong Chian Lai dipilih sebagai penerima gelaran Sasterawan Negeri Sarawak.

Suatu pengiktirafan tertinggi peringkat negeri kepada para penulis yang berkarya dalam bahasa Melayu.

Kerja menilai sumbangan golongan penulis Sarawak masih dilakukan dan biarlah tokoh dijulang untuk gelaran berprestij itu disoroti berdasarkan kualiti karya dan relevan dengan fenomena sastera mutakhir.

Kredibiliti penulis dicalonkan sebagai penerima anugerah sastera tertinggi itu harus setaraf dengan testimonial pencapaian kerja seni penerima Sastera Negara.

Hal ini kerana jika ingin mengukur kehebatan seseorang penulis peringkat negeri maka standard yang diletakkan oleh juri anugerah sastera harus semakin tinggi.

Saya paling curiga dengan hadiah, anugerah dan gelaran yang dikalungkan kepada seseorang penulis ketika ini.

Saya berharap segala pengiktirafan itu menganjakkan cakerawala pemikiran penulis buat disumbangkan kepada masyarakat.

Istilah seni untuk masyarakat bukan slogan tetapi lebih kepada tanggungjawab penulis itu sendiri. Para pemerhati sastera nasional menunggu apakah karya terbaharu bakal mengejutkan audien.

Sungguh dikesalkan setelah seseorang penulis meledak dengan karya hebat ketika mencapai kematangan malangnya bakat dan kecanggihan teknik mula berkarat kerana berasa sudah memijak puncak piramid.

Andai segala populariti diterima meletakkan ke dalam lif tersangkut, maka selamanya penulis itu menjadi dinosaur dalam komuniti sastera.

Nama dan karyanya sering disebut-sebut sewaktu pembentangan kertas kerja yang dihadiri penulis-penulis seangkatan berkemeja batik.

Apa yang saya maksudkan dengan lif tersangkut ialah berkaitan dengan hala tuju pemikiran seseorang penulis.

Dalam buku Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi, Dr. Azhar Ibrahim telah menyinggung peranan intelektual penulis kepada masyarakat. Bunyinya sungguh klasik dan berat.

Dalam majalah seumpama Dewan Sastera, kita boleh mengikuti lontaran idea daripada beberapa orang Sasterawan Negara dengan idea untuk membangunkan sastera dan meluaskan skop penulisan.

Hal sedemikianlah dituntut daripada tokoh-tokoh penerima gelaran Sasterawan Negeri Sarawak sebagai sumbangan akal mencerdaskan apresiasi sastera dan isu-isu serius yang kompleks namun diabaikan pemerintah.

Tidak dinafikan sesetengah pengarang mengejar material daripada kerja kreatif dan kadang-kadang terjerlus oleh sasaran duniawi. Sastera bagaikan meja kaunter menunaikan cek.

Di situlah para penulis terperangkap dalam lif yang sebentar terbuka dan tertutup mengangkut perubahan-perubahan dunia.

Sedangkan mereka ‘mabuk’ dilambung kemegahan silam dengan barisan pengkritik yang tidak pun berperanan dengan jujur dan neutral.

Sebaliknya turut memendamkan perkembangan sastera dengan hujan puji-pujian slapstik dan tidak merangsang budaya ilmu yang sewajarnya.

Sehingga bila ritual merepek itu dilanjutkan?