Selain bergiat dalam agama Buddha, permukiman selama enam bulan di Sumatera telah digunakan oleh Yi Jing untuk mencatat beberapa aspek tamadun Melayu, termasuk pemerintahan dan adat istiadat Melayu. Usaha itu, meskipun tampaknya kecil, telah memulakan tradisi pengajian Melayu oleh sarjana China kira-kira 15 abad silam. Secara lebih jelas, pengajian Melayu menanjak gemilang dalam Dinasti Ming, khususnya di bawah pemerintahan Maharaja Yong Le yang memberikan perhatian besar kepada hubungan antara China dengan alam Melayu.

Di istana China, ditubuhkan jabatan jurubahasa bahasa China dan bahasa-bahasa asing, termasuk bahasa Melayu. Jabatan itu diberi nama Da Tong Shi. Untuk bahasa Melayu, diperuntukkan dua orang jurubahasa, iaitu seorang untuk Melaka dan seorang untuk Sumatera. Selanjutnya ditubuhkan pula akademi bahasa asing yang dikenal sebagai Si Yi Guan untuk melatih jurubahasa.

Bahasa Melayu terletak dalam Jabatan Bahasa-bahasa Islam (Hui Hui Guan), sejajar dengan bahasa Arab dan bahasa Parsi. Fakta itu mengingatkan kita akan pengelasan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas bahawa bahasa Melayu ialah bahasa Islam. Akademi itu bertahan selama 400 tahun hingga zaman Dinasti Qing, iaitu pengganti Dinasti Ming.

Pengajian Melayu oleh sarjana China turut terserlah melalui penyusunan kamus pertama Melayu-China untuk kegunaan para pentadbir dan pedagang dalam interaksi di alam Melayu. Kamus itu disusun dalam abad ke-15 dalam bentuk daftar kata China-Melayu, sebagaimana yang pernah dikaji oleh sarjana Barat seperti E.D. Edwards dan C.O. Blagden pada tahun 1930-an. Judul kamus itu dalam bahasa Cina ialah Man La Jia Guo Yi Yu atau Senarai Perkataan Negeri Melaka. Kata-kata yang terhimpun di dalamnya dipercayai meliputi kosa kata dari zaman awal bermulanya hubungan Dinasti Ming dengan Kerajaan Melaka pada tahun 1403 hingga jatuhnya Melaka di tangan Portugis pada 1511.

Kamus itu terdiri daripada 482 patah perkataan China yang dianggap penting dan dikategorikan kepada 17 bidang, iaitu astronomi, geografi, musim dan masa, tumbuh-tumbuhan, unggas dan haiwan, rumah dan istana, peri kelakuan, tubuh badan, barang emas dan permata, kemasyarakatan dan sejarah, warna, hitungan, dan kata umum. Setiap entri diberi padanan bahasa Melayunya dengan tulisan Cina.

Dampak besar

Kamus itu disusun untuk keperluan Kerajaan Cina dalam Dinasti Ming dalam menjalin hubungan dengan Melaka dan hingga akhir abad ke-16 kamus itu masih menjadi rujukan, termasuk dalam penyusunan buku sejarah Cina. Demikianlah, erat dan akrabnya hubungan antara dua tamadun turut meninggalkan dampak yang besar dan penting kepada bahasa juga, sebagaimana yang terbukti dengan meluasnya peranan bahasa Melayu.

Sejumlah contoh kata yang membayangkan kandungan kamus tersebut termasuklah an la (Allah), ha li (hari), bu lan (bulan), anyin (angin),ya wan (awan), yu lu (guruh), wu zhan (hujan), an ben (embun), bin yin dang (bintang), ha sa (asap), bin dang du zhu (bintang tujuh), bang gu ning (mambang kuning), ma lao (kemarau), anyin bu sa (angin besar), anyin ge zhi (angin kecil), seju anyin (angin sejuk), anyin bulunti (angin berhenti), anyin bu yi (bunyi angin), wu zhan bu sa (hujan besar/lebat), wu zhan ge zhi (hujan kecil), wu zhan xin ni (hujan seni/renyai), wu zhan la ma (hujan lama), wu zhan du lun (hujan turun), bu lan ba lu nai (bulan baru naik), ma su bu lan (masuk bulan), deng jia bu lan (tengah bulan), ha li ge lu (matahari keluar), ha li ma su (matahari masuk), ha li xi yang (hari siang), ji lan (kilat).

Kegiatan yang berkaitan dengan pengajian Melayu terhenti apabila keadaan tidak stabil di negara China, khususnya apabila berlaku Perang Candu pada tahun 1840 dan kejatuhan Dinasti Qing, dinasti terakhir China pada tahun 1911. Sinar pengajian Melayu bermula dalam zaman moden apabila bahasa Melayu ragam Indonesia mula diajarkan di Institut Bahasa-bahasa Asing pada tahun 1949. Institut itu ditubuhkan pada tahun 1941 di Nanjing (kemudian dipindahkan ke Beijing pada tahun 1949, sejajar dengan pemindahan ibu negara ke Beijing apabila Republik Rakyat China tertubuh). Institut itu akhirnya menjadi Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) yang terkenal sebagai universiti utama pengembangan pengajian Melayu di China.

Tahun 1961 menandai permulaan gemilangnya pengajian Melayu di China apabila Universiti Pengajian Asing memulakan pengajaran bahasa Melayu ragam Persekutuan Tanah Melayu atas arahan Kementerian Luar China. Prof. Wu Zong Yu yang ketika itu baru tamat dari Jurusan Bahasa Indonesia Universiti Peking diberi tugas mengendalikannya.

Ketika itu tiada sama sekali sumber bercetak, apatah lagi bahan elektronik yang dapat diperoleh untuk menjadi rujukan bagi bahasa Melayu ragam Tanah Melayu. Prof. Wu Zong Yu sesekali dapat mendengar siaran radio berbahasa Melayu di Beijing dan meniru cara sebutan bahasa Melayu.