Karya-karya yang dipilih memenangi HSKU pada masa sama turut dipilih memenangi anugerah lain yang secara tidak langsung membuktikan kualiti penjurian HSKU sebelum ini.

Lebih membanggakan, karya-karya yang memenangi HSKU juga menjadi pilihan Kementerian Pendidikan untuk dijadikan teks wajib dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dalam Komponen Sastera (Komsas) di sekolah-sekolah.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) adalah satu-satunya hadiah paling berprestij dalam kesusasteraan tempatan dan dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hadiah tahunan ini menjadi satu tanda aras bagi golongan penulis dan sasterawan walaupun beberapa tahun lalu penganjurannya “tenggelam timbul” dan tidak konsisten.

Bagaimanapun selepas bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan HSPM diadakan setiap tahun, hadiah itu kini berjalan lancar mengikut jadual. Dalam HSPM kali ke -23 yang diadakan Rabu lalu, enam dari sepuluh pemenang kategori cerpen dimenangi oleh pemenang HSKU 2014 yang berlangsung Oktober lalu. Semua cerpen itu telah disiarkan dalam Mingguan Malaysia.

Cerpen-cerpen itu ialah Hingyaku karya Ratna Laila Shahidin, Bara Sang Suri (Zaniffa Azzura Abdullah), Selimut (Maskiah Haji Masrom), Delusisma 2.0 Denggi (Fahd Razi), Psiko (Fudzail) dan Pesanku Pada Hujan (Malim Ghozali PK).

Sementara itu tiga dari lapan pemenang kategori puisi juga dimenangi oleh pemenang HSKU iaitu puisi Di Padang Sarjana (Tuah Saujana), Dari Mimbar Shinjiku -Dedikasi Buat Anakanda (Syafiq Zulakifli) dan Kalaulah Papa Memukulmu , Adib (Rahimidin Zahari).

Secara tidak langsung ini membuktikan pemilihan karya untuk disiarkan dalam Mingguan Malaysia bukan sahaja ketat malah menjangkau tahap penilaian HSPM. Dalam konteks yang luas, ini bukan sahaja memperlihatkan sumbangan Mingguan Malaysia malah pelbagai pihak wajar menyediakan wadah untuk meluaskan ruang berkarya kepada penulis tempatan.

Ketua Pengarah DBP yang juga Pengerusi Panel Juri, Datuk Dr. Haji Awang Sariyan berkata, keputusan yang diumumkan ini merupakan hasil penilaian muktamad terhadap karya sastera yang diterbitkan pada tahun 2014. Semua karya ini dikumpulkan oleh pihak DBP disamping pencalonan daripada penerbit dan penulis.

Menurutnya, secara keseluruhan jumlah pencalonan pada tahun ini meningkat berbanding tahun lalu. Bagaimanapun pencalonan kategori novel, kumpulan esei dan kritikan sastera, buku kajian sastera, biografi serta kumpulan cerpen kanak-kanak masih kurang.

“HSPM merupakan bukti usaha berterusan DBP untuk memastikan kesusasteraan Melayu sentiasa berkembang maju dan relevan dalam pembangunan negara.

Hadiah ini mempunyai peranannya yang tersendiri bagi memakmurkan industri, memartabatkan karya bermutu, menggilap bakat karyawan dan mengiktiraf karyawan yang menjadi nadi penggerak industri buku negara,” jelasnya Dr. Awang.

Dalam pada itu, HSPM yang diperkenalkan pada 1971 ini dulunya dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera, kini sudah menjangkau empat dekad. Pada HSPM kali ini sebanyak 1,374 puisi, 294 cerpen, tujuh buah novel dan empat manuskrip drama telah dinilai. Karya-karya yang dipilih dan dinilai memiliki ciri-ciri global dan bertunjangkan nilai masyarakat Malaysia.

Sesuai dengan kematangan dan perkembangan sastera negara, nama HSPM mula diperkenalkan pada 1996. HSPM diwujudkan untuk memberikan pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada para penulis yang menghasilkan karya bermutu dalam bahasa Melayu dan menggalakkan penerbit untuk menerbitkan karya-karya sastera.

Aspek yang dipertimbangkan ialah kekuatan dan keaslian persoalan, keseimbangan estetika bahasa, keindahan moral dan nilai kreativiti. Penilaian untuk hadiah ini bukanlah kepada individu tetapi berdasarkan karya. Karya yang dipilih sebagai pemenang mempunyai kekuatan dari segi persoalan dan keasliannya ditampilkan secara matang, pengungkapan estetika bahasa yang seimbang dengan kesan pemikiran, bermoral dan memancarkan inovasi dalam kreativiti.

HSPM juga dilihat sebagai pemangkin menyuntikkan rangsangan kepada perkembangan kesusasteraan Melayu tanah air. Kelahiran penulis dan karya dalam pelbagai genre memperlihatkan peningkatan kuantiti serta kualiti karya kreatif dan bukan kreatif sekali gus menyemarakkan lagi perkembangan dunia sastera di negara ini.