“Apeiron hanya satu Fik. Ia menjadi dasar kepada wujudnya kehidupan kita. Tidak ada satu pun yang sama dan boleh mengehad atau membatasinya. Kau faham tak?” Bersungguh-sungguh benar nampaknya Cindy mempengaruhi minda ini.

Anak panah tetikus aku larikan pada ‘audio code’. Internet dihidupkan.

“Boleh kau terangkan sedikit lagi Tiger?” Pintaku.

“Namaku Cindy!” Jeritnya setiap kali aku memanggilnya dengan nama raja di rimba itu.

“Okeylah okeylah, maaf ya Tiger, oops Cindy. Aku gurau aja!” kataku memujuk.

“Kita sambung balik. Maksud kau apa?”

“Seperti panas dan dingin…”

“Kenapa panas dan dingin?” Pintasku.

Selang seminit, teks balasan Cindy terpapar di depan skrin.

“Begini, yang panas akan dibataskan oleh yang dingin. Apabila bermula yang dingin maka berakhirlah yang panas, begitulah sebaliknya. Ringkasnya, semua kejadian di alam ini ada mulanya, hidup dan kemudian mati dan akhirnya lenyap.”

“Kesimpulan itu ada silapnya Tiger.”

Emoji wajah dengan kening berkerut muncul segera.

“Seperti Charles Darwin, Anaximander banyak menghuraikan teori tanpa fakta saintifik yang kukuh.” Balasku dengan nada yakin.

Cindy kemudiannya menghamburkan pelbagai hujah dan alasan yang dihantar secara berturut, menguatkan pegangan Darwinisme. Sesekali emoji bibir yang memuncung pula muncul, tanda protes.

Itulah Cindy. Memang sesuai bergelar Tiger. Tutur kata dan keletahnya selama mengenali hati budinya ada waktu mencapai tahap didih.

“Kau ajak aku mukadimah dengan tajuk ni untuk kenakan aku balik ya.” Cindy menduga.

“Tak percayakan aku? Tiger, kitakan dah kenal lama.”

Cindy melemparkan senyum tawar ke arahku.

“Hari ini aku mahukan pandangan ilmiah dan jujur daripada kau.”

“Tentang apa?”

“Persepsi sains dan teknologi serta kaitannya dengan kehidupan sejagat pasca evolusi. Kitakan baru saja bincangkan hal tersebut dalam simposium di KL tempoh hari. Tesis kau sendiri pun tentang itu kan?”

Cindy tidak memberi respons, barangkali memikirkan idea pertamanya, fikirku.

Begitulah Cindy. Aku sering tersepit dan dijepit resah apabila berbahas atas sesuatu topik lantaran dia lebih suka memaksa orang lain menerima idea dan hujahnya secara mendadak.

Sejak dua minggu lepas kami berbahas dan berhujah lagi. Topiknya berkaitan evolusi manusia. Dia begitu kuat berpegang pada teori Anaximander, filsuf yang mempelopori falsafah alam.

Bagi menenangkan dia, acapkali aku mengiyakannya. Biarpun pada masa yang sama aku tetap tegaskan bahawa apa yang dikatakan Cindy itu adalah Dia yang sebenarnya. Dia pemilik kuasa untuk segala-galanya.

Petang itu, di depan komputer dalam mod invisible, teks perbualan Tiger muncul kembali.

“Fik, aku selalu kutuk dan marah kau, tapi kau masih boleh senyum dengan aku…” Kata-kata Tiger membuatkan aku sedikit terharu. Aku sebenarnya tak pernah menyimpan rasa marah dan dendamku terhadapnya.

“Apa lagi yang boleh aku katakan. Semua orang tahukan, teknologi telah banyak membawa perubahan dalam hidup. Tak tahu pula aku kalau ada yang masih anggap sains moden adalah ancaman.”

Cindy mula berbicara sinis.

“Puncanya pendukung sains dan teknologi sendiri. Kau tahu Tiger, sains dan metode saintifik sejak kewujudannya tak dapat lari daripada kelemahan, salah satunya gagal menyediakan jawapan kepada persoalan yang penghabisan,” balasku menongkah alir bicaranya.

“Fikri, tak ada sesuatu pun yang lengkap dan sempurna. Takkan itu pun dianggap ancaman?” Cindy menyerang bicaraku.

“Sains gagal mengutarakan rumusan tentang mengapa kita di sini, di mana landasan hidup hakiki dan apa makna kehidupan yang sebenar.” Aku harap kalimat-kalimat yang kutulis itu mencair dalam kelopak fikiran Cindy.

Pagi Khamis, aku mohon membuat panggilan video. Kami bersemuka. Cindy berswafoto dari arah tingkap kamarnya.

Jelas kedengaran dua dentingan yang bergema dari jam besar Tower Of London mengindahkan lagi kerancakan perbualan kami. Biarpun agak sayup bunyinya, namun dentingan jam yang hampir berusia 800 tahun itu tetap mampu menggugah hening pagi.

Cindy memulakan bicara pagi.

“Aku mengamatinya, ada manusia yang taasub Fik. Mereka lupa kemajuan teknologi telah banyak membawa keuntungan material kepada mereka sendiri.” Jelas Cindy. Kenyataan itu kuanggap sebagai wacana klise yang sudah acapkali diperkatakan.

“Tapi kaedah saintifik selalu mengalpakan nilai-nilai murni dan kepentingan berakhlak mulia.” Aku berharap Cindy boleh berfikir-fikir kembali untuk merubah pandangannya sebentar tadi.

Daripada skrin monitor, kamera Cindy memfokuskan ke sebelah kiri tingkap. Kelihatan ada gumpalan salji hinggap di bingkai jendela. Bertompok dan kemudiannya berderai di pinggir beranda dan lantai simen yang licin.

Kata Cindy, saat ini Sungai Thames yang menjadi kebanggaan penghuni kota London kini membeku ditimbusi salji. Dalam suhu 10 darjah Celsius ini katanya lebih baik memeluk erat batang tubuh sendiri, lebih enak kalau dibaluti selimut tebal.

Cindy mohon berundur seketika. Gadis kacukan Turki-Eropah ini melemparkan senyum hambar sebelum menamatkan sesi sidang video kali ini. Agakku, mesti dia akan lena panjang sebentar lagi.

Kami telah lama berkenalan, sejak aku bermukim di Kota London empat tahun yang lalu. Keluarganya telah aku anggap sebagai keluargaku sendiri. Seperti aku, Cindy sering terkejar ke sana-sini untuk menyiapkan tesis kami demi meraih segulung ijazah sarjana di Cardiff University.

Aku segera mencadangkan Malaysia sebagai salah satu daripada fokusnya, tatkala diskusi berkaitan tajuk evolusi manusia akan dibentangkan. Perbualan kami sebaik sahaja simposium berakhir, mencetuskan sedikit polemik hingga waktu ini.

“Barangkali kerana krisis ilmu itulah ekonomi Malaysia merudum mutakhir ini!” Nada sinis terpacul lagi daripada bibir Cindy, ekor matanya sesekali menjeling tajam ke arahku.

“Aku fikir bukan sebab itu. Agaknya keyakinan kami agak melulu dengan teori kekayaan material yang lahir daripada rasuah, kronisme, sombong, angkuh dan keruntuhan moral. Semuanya ada hubung kaitnya dengan ekonomi.” Aku mengutarakan hujah.

Alir bicaraku mula merentasi jumud perasaan, mencanai buntu persoalan yang dicipta. Moga-moga ia akan terus mengalir tenang dalam penelitian rasio Cindy, setenang aliran sungai Thames yang akan menyusur ke muara setiap kali musim panas tiba.

Asyik sekali melihat arusnya yang perlahan-lahan menyusur Oxford, Reading, Swindon dan Gloucester sebelum bebas di selat Bristol.

Petang Sabtu. Cindy mengirimkan rakaman video saat dia membeli-belah di kota London sebagai persiapan menyambut malam Halloween.

Masih aku ingat, selama menyambung belajar di sana, dapat diperhatikan sifat pemurah Cindy dan keluarganya. Setiap kali menjelang malam Halloween, berduyun-duyun kanak-kanak akan datang sambil menantikan pemberian coklat di depan pintu rumahnya. Selagi daun pintu belum dibuka, selagi itulah mereka akan mengetuknya bertalu-talu.

Cindy pernah juga membawaku ke pasar Soho dengan menaiki tube. Perjalanan mengambil masa hampir setengah jam. Pengalaman kali pertama menaiki tube tidak pernah padam dalam ingatanku. Tube meluncur begitu laju selaju tren ETS dan MRT di kota raya saat ini.

Kami berlegar di pasar soho hampir dua jam. Harga barangan di sini lebih murah jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain di London. Pun begitu, demi berjimat cermat, aku memilih untuk tidak membazir. Apatah lagi perbelanjaan pengajian yang agak tinggi di sana.

“Kau masih bertegas nampaknya.” Pintas Cindy. Bahawa menyumbang kepada pertembungan fahaman dari Barat ke Timur?”

“Kebanyakan fahaman kapitalisme, sosialisme, facisme dan nasionalisme hanya berteraskan materialisme. Mengatasi kemiskinan dengan cara itu bukan tak penting, tetapi kepentingan peribadi mesti dipisahkan. Kebencian dan iri hati hanya akan mencabar kualiti manusia secara keseluruhannya,” balasku.

Aku cukup yakin, selama ini pun penentangan umat timur terhadap sekularisme tidak bermakna permusuhan terhadap barat. Tetapi, bermaksud melindungi mereka daripada penyangkalan dan penggredan kepada hanya hal-hal yang bersifat ritual dan peribadi sahaja.

“Kami tiada masalah dengan barat dan boleh duduk bersama. Cuma masing-masing sukar menzahirkan keikhlasan.”

“Maksudnya?” tukas Cindy.

“Barat masih menganggap kami semua adalah ancaman, bukan kerana kepentingan demi keamanan sejagat.”

Aku pasti seluruh kota London akan mengalami ribut salji dalam sedikit waktu lagi. Cuaca dingin di sana memang menyebabkan badan begitu cepat merasa keletihan.

Ketika di sana dahulu, dalam cuaca sejuk sebegitu, apa lagi yang paling seronok selain merapatkan kedua mata, menarik selimut dan dibuai mimpi indah...

Lampu pada aplikasi Skype berkelip. Kami akan bersama dalam panggilan video lagi.

“Aku harap tidak mengganggu situasimu Fik.” Ujar Cindy sebaik muncul pada skrin, tersengih. Dia membetulkan helaian halus rambutnya yang berterbangan ke kiri dan ke kanan. Dia merenungku dari kejauhan, seolah-olah aku sedang menghadap wajahnya secara realiti.

“Macam nilah Fik, dalam perenggan akhir tesis, aku simpulkan bahawa kemunduran masyarakat di sebelah timur termasuk bangsamu disebabkan dua faktor.

Aku terlongo menanti solusi Cindy.

“Pertama, orang-orang di sebelah timur termasuk orang Islam. Ramai yang tidak endahkan ilmu dan tidak arif tentang kepentingannya...”

Benak fikiranku sedikit terhenyak.

“Keduanya, tentunya daripada musuh Islam sendiri. Kau setuju?”

“Hmm... ada benarnya. Tapi kau jangan lupa catatkan pesan aku, bahawa pada saat-saat akhir ini umat Islam di seluruh Asia Timur dan Tenggara sedang mempersiapkan diri untuk merangkul jagat!”

“Wah!.” Aku lihat kedua bibir Cindy terlopong.

“Tuliskan juga bahawa semua pendukung fahaman Barat masih setia mengagungkan fahaman materialisme dan hedonis-opportunisme.”

“Maksud kau?”

“Mana-mana negara dan bangsa yang tidak berusaha membina tamadun baharu bangsa sendiri pasti akan terus dibangsatkan oleh bangsa lain.” Tuntasku.

Cindy bagaikan akur tanpa anggukan. Dalam diam, barangkali dia sedang membenarkan kata-kataku tadi. Sesungguhnya kemajuan yang dibina atas landasan yang betul sahaja yang mampu menjana penyuburan ilmu serta pemupukan nilai-nilai keperibadian bangsa.

“Kau lihat keruntuhan sistem komunisme di Soviet dan negara-negara sekutunya, tidak memberikan apa-apa yang baik. Mereka memperkukuhkan demokrasi kapitalisme yang banyak menuntut kebebasan pasaran ekonomi, tetapi masih menolak sistem kesamarataan untuk menikmatinya. Begitu juga dengan hak asasi manusia, semuanya tenggelam dalam lampias nafsu!”

“Kau pernah dengar tak pepatah Melayu popular yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris?”

“Apa tu...”

“Berani kerana benar. Buat apa kita mendabik dada dengan jiwa kosong. Bumi ini harus dibangunkan dengan aman, kita harus tentang segala usaha untuk memusnah dan menghancurkannya.”

“Kau seperti mengancam?”

“Sekadar mengingatkan. Segala perencanaan tidak lebih sekadar penyamaran yang berselindung di sebalik metode pragmatisme dan modernisme yang kononnya progresif.”

“Buktinya?” Tukas Cindy bersungguh-sungguh.

“Bangkitnya kesedaran dan semangat juang yang tinggi di kalangan rakyat Syria dan Palestin serta seluruh umat Islam Asia yang mula insaf dengan lampias nafsu Barat. Takkan sebegitu mudah mengajak dunia tunduk dengan keinginan sendiri. Aku fikir ia suatu permulaan yang baik!”

Sebelum ini telah kutekuni pernyataan Al-Qardawi yang menyatakan bahawa sifat khusus tamadun Barat ialah sebuah tamadun yang berdiri di atas pertentangan. Darah dagingnya ialah konflik yang menolak kedamaian dan keharmonian. Konflik yang lahir, bukan sahaja antara manusia dengan dirinya, bahkan dengan alam sekitar, antara sesama manusia dan yang lebih parah adalah dengan pencipta alam ini.

“Aku akan pertimbangkan....” Tidak kupasti, sama ada Cindy kurang yakin atau sengaja berbuat demikian untuk tidak membiarkan aku berkecil hati dengan kuasa pertimbangannya itu.

Sewaktu kami ingin berpisah daripada pertemuan di alam maya, dapat kulihat sebalik latar kamar tidur Cindy. Objek putih memenuhi ruang sisi vermin. Salji di luar sedang berguguran.

Sewaktu mata ingin kukatup, ada nada deringan WhatsApp pada telefon. Aku meneliti catatan pada skrin. Aku senyum tawar.

Fikri, maaf ye. Sedikit rumusan kajianmu yang terperinci itu akan aku ambil untuk aku jadikan ilmu bantu dalam tesisku. Jangan khuatir, aku akan pulangkan ke dalam minda kau semula nanti ya. Hahaha. – Cindy, bukan Tiger.

Aku mengetap bibir. Geram.

Tiger, jaga kau!

PEMBACA dipelawa menghantar cerpen dan puisi untuk disiarkan pada setiap Sabtu. Tema adalah bebas selagi tidak melanggar tata susila dan undang-undang negara. Panjang cerpen adalah maksimum 1,800 patah perkataan. Setiap cerpen dan puisi yang disiarkan layak dicalonkan untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU). E-melkan cerpen dan puisi beserta biodata dan gambar penulis ke [email protected] – PENGARANG