Panggilan awal pagi.  Jika tiada sesuatu, tiada panggilan waktu begini.  Biasanya, masing-masing sedang sibuk ke tampat kerja.  Masing-masing sibuk mahu memulakan kerja.  Safiah juga mungkin sedang menumpukan perhatian kepada pemanduan ke tempat kerja.  Dia meninggalkan rumah tergesa-gesa seolah-olah mahu mendahului waktu yang tidak pernah berhenti.  Apakah ini petanda melapetaka?  Pemikiran karut itu memomok mindanya.

Kamal menggambarkan sebuah kemalangan mencemaskan.  Panggilan pada awal pagi.  Kira-kira setengah jam selepas Safiah bertolak dari rumah.  Dia agak, tentu Safiah sudah hampir tiba ke pejabat.  Kamal membuat panggilan balik semula.  Masih tidak berjawab.

Kamal semakin tidak senang duduk.  Resah.  Dia berjalan ke kiri, ke kanan.  Mahu menghubungi siapa sekarang ini?  Itulah silapnya, dia tidak menyimpan nombor rakan sepejabat Safiah. 

“Safiah, kenapa tidak jawab panggilan!  Perlukah abang menyongsong ke sana?” getar suara hati Kamal.  Tetapi tempahan pelanggan perlu dilunaskan hari ini.  Dia tidak mahu menjejaskan kepercayaan pelanggan pada usaha yang baru bertatih.

Kamal risau akan Safiah.  Kamal baru kehilangan kerja tetap.  Untuk menjimatkan perbelanjaan pengurusan syarikat, dia diberhentikan kerja.  Kamal terpaksa menumpukan masa pada usaha sendiri sepenuhnya.  Andai berlaku apa-apa kepada Safiah, dia tidak tahu siapa lagi akan membantunya.  Safiah kini menjadi tulang belakang hidupnya.  Sementara usahanya belum mantap.  Safiah mengambil alih peranan Kamal sebagai penyumbang utama pendapatan keluarga. 

Safiah juga banyak membantunya mengambil tempahan pelanggan.  Dia memulakan pengenalan produknya melalui akaun whatsapp, facebook, istagram, youtube, dan twitter.  Kini sudah ada laman web.  Safiah ada peranan di situ.  Keyakinan Kamal semakin kukuh melalui peningkatan jumlah permintaan.  Tanpa Safiah, usahanya akan terbantut.  Tanpa Safiah, dia terpaksa mencari kerja di luar.  Usahanya menjadi sekadar usaha sambilan.  Usaha secara sambilan tidak menjanjikan kejayaan yang dirancang.  Kamal dipagut kebimbangan.

Kamal sedar, usahanya melalui ranjau lebih tajam jika permintaan yang ada tidak dapat dipenuhi.  Jika dia meninggalkan kerja di rumah hari ini, bermakna tempahan yang ada tidak dapat dipenuhi mengikut masa.  Pelanggan hilang keyakinan.

Kamal berasa lega sedikit apabila mendapat label halal pada keluarannya.  Enam bulan dia menunggu kelulusan.  Bukan sedikit modal dikeluarkan untuk mendapat sijil itu.  Modal itu belum memberi pulangan selagi dia belum mengusahakannya sepenuh masa.

Usahanya tidak habis di situ.  Kamal tertekan dalam usaha untuk memenuhi syarat KKM.  Dia telah memajukan permohonan.  Permohonan untuk mendapatkan status ubat ditolak.  Dia menghantar sampel lagi kepada KKM.  Kamal berusaha untuk memenuhi pelbagai syarat yang diperlukan.  Permohonannya untuk mendapat kelulusan kategori makanan tambahan, harap-harap diluluskan.   Kamal yakin buah keras yang diproses menjadi makanan tambahan itu selamat dimakan.  Mereka pun maklum, buah keras yang dicampurkan ke dalam gulai akan lebih enak.  Mereka patut faham, buah keras yang dicampur ramuan lain jika dimakan secara berterusan akan memberi kesan kesihatan kepada badan. 

Bayangan Safiah muncul lagi.  Pagi yang biasa sesak di jalan raya, kenderaan bertali arus, pantas bertunda-tunda.  Andai berlaku kemalangan, kenderaan tidak bergerak.  Safiah terjebak dalam jem kenderaan di jalan raya.  Safiah mendengus dan melihat jarum jam yang sentiasa berdetik.  Dia meninjau-ninjau ke hadapan; apa yang berlaku?  Perasaannya semakin meruap.  Dia tidak tahu, siapa yang patut  dipersalahkan jika berlaku gendala di tengah jalan?  Ya, begitu juga Kamal tidak putus-putus berdoa agar usahanya tiada gendala di tengah jalan.

Kamal terbayang paparan di telefon pintar, kemudian beralih ke muka komputer; hari ini ada lebih kurang lima puluh tempahan yang mesti dipek, bisik hatinya.  Hari ini, Kamal perlu memecah buah keras sendiri.  Kemudian, memanggang buah yang sudah tanggal tempurungnya.  Dia memastikan betul-betul masak.  Kalau separuh masak, lain pula jadinya nanti.  Buah itu akan dikisar hingga menjadi serbuk.  Kemudian, dia menggaulkannya dengan ramuan yang diwarisi daripada ibunya.  Kamal dengan cermat akan memasukkan serbuk campuran itu ke dalam kapsul lalu dipek dalam kotak. 

Kerja mudah itu Kamal dapat melakukannya sendiri.  Ini ramuan rahsia ibunya.  Kalau buah keras tidak dipecah mana mungkin dapat khasiatnya.  Kamal akan melekatkan label khasiat makan makanan tambahan tradisional buah keras warisan ibu itu di luar kotak.  Kerja itu akan siap lewat petang.  Kamal akan mengepos kepada pelanggan petang itu juga.  Kamal bimbang, andai kerja tergendala, bermakna pelanggan lewat terima.  Mereka pasti kecewa.  Kamal tidak mahu mengecewakan pelanggan. 

Kamal sedar itulah karenah pelanggan.  Biarpun dalam kertas label ditegaskan, amalkan makan makanan ini sebelum penyakit parah.  Makanan ini sebagai makanan tambahan untuk kesihatan.  Kalau sudah ada tanda-tanda penyakit, kena amalkan makan makanan ini sekurang-kurang selama sebulan.  Makan pada kadar sederhana.  Jangan berlebihan.  Baru dapat tanda-tanda penyembuhan.   Kalau tidak, mungkin tiada jodoh penyembuhan penyakitnya.   

Pelanggan mahu cepat selepas membuat tempahan.  Semakin lewat tempahan diterima, semakin lewat pesakit mahu memulakan pemakanan penyembuhan.  Kalau putus bekalan, boleh jadi akan memberi kesan rawatan yang lebih lama tempohnya.  Kamal sering menerima mesej; bila ubat akan dikirimkan.  Kamal sering menerima panggilan; belum menerima kiriman.  Kamal tidak mahu mengecewakan pelanggan.  Dia akan cepat-cepat mengirim tempahan.

Safiah muncul lagi dalam bayangan mata.  Apabila mendengar siren polis dan melihat ambulans pantas di lorong kecemasan, diikuti kenderaan jentara penyelamat, dan lori penunda, Kamal pasti Safiah akan memujuk hati sendiri.  Biar lambat, asal selamat.  Lambat sampai ke pejabat, asal tidak terjebak dengan kecelakaan.   Sabarlah hati, ketika terjebak dalam sesak kenderaan di jalan raya.  Bersabar menanti jalan terkuak membuka arus perlahan-lahan.  Begitu hakikat perjalanan hidup, fikir Kamal.  Kadang-kadang lancar.  Kadang-kadang tersenggut-senggut.  Kadang-kadang terhenti untuk menukar laluan.

Tetapi pelanggan selalunya tidak sabar kalau tempahan lewat diterima.  Mereka hilang keyakinan.  Mereka bimbang kena tipu.  Bukan sedikit urusan jual beli secara atas talian ini tidak jujur.  Kamal tidak akan sesekali menganiayai pelanggan.  Tanpa pelanggan, jualan tidak bererti lagi. 

Kamal terbayang wajah ibu.  Ibu mengalami sakit perut yang amat sangat.  Ibu berguling-guling di lantai sambil menekan perut.  Ibu makan ubat tahan sakit.  Reda sebentar.  Selepas beberapa jam sakit itu datang semula.  Berulang-ulang.  Ibu teringat, selepas bersalin dulu, dia makan buah keras yang dipanggang.  Lalu, ibu memungut buah keras di belakang rumah.  Ibu makan secubit sehari.  Setiap hari.  Selama satu bulan penyakit ibu telah pulih.  Dia tidak mengalami sakit perut lagi. 

Amalan makan buah keras itulah yang dicadangkan kepada Kamal.  Kamal mengadu selalu pening-pening.  Tekanan darah dan kandungan gula tinggi dalam darah.  Ibu menunjukkan petua menyediakan ramuan buah keras itu kepada Kamal.  Setelah mengamalkan sebulan, bacaan gula dalam darahnya 5.0.  Syukur, dia menemui ubatnya!  Dia menemui lorong masa depan berkongsi khasiat buah keras dengan pelanggan .

Kamal masih menunggu panggilan.  Telefon pintarnya dibawa ke mana-mana.  Dia menyemak senarai tempahan di monitor komputer yang menjadi gerbang pemasarannya.  Tetapi dia tidak dapat menumpukan perhatian.  Hatinya mengingatkan diri, jangan sampai terlambat angkat panggilan lagi.  Dia menunggu panggilan Safiah.  Panggilan daripada pelanggan, dia boleh memberi pelbagai alasan manis yang meyakinkan.  Andai, tiba-tiba berdering panggilan kecemasan…  Panggilan dari hospital?  Safiah!  Kaukah yang terlibat dalam kecelakaan? Denyut debar jantung Kamal bertambah kencang. 

Kamal mencapai kunci kereta di atas meja komputer.  Dia tergesa-gesa meninggalkan ruang kerjanya yang berhampiran dengan dapur.  Di dapur itu nanti, dia akan memanggang buah keras.  Tiba-tiba Kamal terkesima, lalu melepaskan kunci kereta, kemudian duduk di kerusi.  Dia terasa ada getar dan nada panggilan kecemasan.  Desakan semakin memberat untuk menyongsong Safiah.  Tetapi dia tidak pasti, sama ada ke tempat kerja atau ke hospital.  Dia menunggu panggilan kepastian daripada Safiah.  Atau, kalau tidak ada panggilan daripada sesiapa mengenai Safiah, dia akan terus ke tempat kerja Safiah.  Meski pun tindakan itu paling tidak digemari.  Tindakan itu menggambarkan sikap cemburu tidak bertempat daripada kalangan rakan sekerja Safiah.  Jika mengizinkan isteri bekerja di luar, buanglah cemburu melulu itu, kata hatinya.

Kamal sudah memegang pemecah buah keras, ibarat perahu sudah di air pendayung sudah di tangan.  Dia melakukan sendiri.  Kelmarin dulu, dia melakukan kerja itu selepas balik kerja. Dia menekuni kerja sampai lewat malam.  Sekarang, dia boleh melakukannya sepenuh masa. 

Kamal bercadang untuk menempah mesin khas, lengkap dengan pemanggang dan pengisar.  Peralatan itu akan diletakkan di bangunan yang dibina di belakang rumah.  Safiah bersetuju untuk berpindah ke rumah baru di luar bandar.  Di sana ada ruang untuk membina bangunan itu.  

Kamal sedar, hari ini pertama kali Safiah memandu sendiri ke pejabat.  Berat hati Kamal melepaskannya.  Kamal selalu bergurau, jangan pandu laju-laju nanti kena saman.  Safiah belum betul-betul cekap memandu kereta sendiri.  Tembok keraguan sukar dirobohkan.  Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.  Kalau tidak dipecahkan kerasnya buah, manakan dapat khasiatnya.  Inilah yang mencemaskan Kamal apabila mendapat panggilan tidak berjawab pada awal pagi.   Safiah membuat panggilan kecemasan.  Safiah kemalangan!  

Jalan raya sesak dan bertali arus ketika matahari mula menghangatkan bumi.  Ada peluang jalan lapang dan lurus, Kamal memecut melebihi had laju.  Kalau ada polis trafik bertugas pada masa itu, sudah tentu dia kena saman. 

Kamal mengeluh.  Pemandu secekap Kamal tidak dapat memotong kenderaan di jalan dua hala itu.  Malah terpaksa berhenti di lampu merah.  Terpaksa berhenti apabila kereta di hadapan berhenti di simpang jalan.  Terpaksa memperlahankan kereta apabila kereta di hadapan perlahan.  Halangan dalam perjalanan mencuri masa Kamal.  Hai, kenapalah perlahan sedang di hadapan jalan kosong!  Rungut Kamal.  Patutlah, pemandu sedang bertelefon! 

Pitt!  Pitt!  Kamal membunyikan hon.  Pemandu itu tidak mengendahkan hon Kamal.  Pitt!  Pitt!  Pemandu itu mengeluarkan tangan, menunjukkan penumbuk.  Hai, ada juga pemandu jenis ini!  Hatinya menggerutu melihat pemandu itu.  Kalaulah dia ada kuasa seperti penguat kuasa akta lalu-lintas, dia tidak akan berfikir panjang untuk mengeluarkan surat saman.  Biar pemandu itu tahu, betapa perbuatannya menganggu kenderaan lain.  Biar dia tahu, bertelefon semasa memandu menjadi punca kemalanngan.  Kamal geleng kepala.  Hai, nampaknya budaya tegur-menegur dengan membunyikan hon seperti tidak ada di jalan raya di sini.

Kamal terpaksa menelan perasaan geram.  Memang persaingan dalam perjalanan di jalan raya ini penuh dengan dendam dan geram.  Dendam dan geram apabila dipintas kereta lain.  Marah apabila dihalang untuk memintas kereta.  Perasaan marah itu membengkak apabila teringat Safiah yang masih belum menjawab panggilan telefon.  Kalau pemandu bertelefon itu berani memberhentikan kereta, mahu Kamal menjadi samseng jalan raya pagi ini.  Kemarahan itu dipendam dalam kolam kesabaran di hatinya.

 Kamal berjalan dengan langkah panjang masuk ke pejabat Safiah.  Kamal melihat perubahan wajah Safiah yang terkejut.  Safiah memandang tepat ke muka Kamal dengan mulut terbuka.  Tidak terkata.  Kamal jarang ke tempat kerjanya jika bukan kerana perkara penting. 

“Safiah selamat?”  Tegur Kamal sebaik sahaja berdiri di hadapan Safiah.  Hatinya lega melihat Safiah duduk terpaku di hadapannya.  Safiah masih tidak terkata.

“Kenapa tidak jawab panggilan?”  Safiah masih terkedu dan terpaku.  Kamal dapat membaca reaksi Safiah, ada sedikit murung pada wajah Safiah. 

Huh!  Kamal sedar, inilah akibat bersangka buruk.  Sangka buruk adalah ramalan yang tidak berasas.  Ramalan itu kadang-kadang macam sebuah doa.  Andai Kamal dapat bersabar menunggu Safiah sehingga balik kerja, tentu dia tidak mensia-siakan waktu hari ini.  Tapi rasa tanggungjawab dan kekhuatiran yang bertapak memaksa dia melayan sangka buruk itu.  Sangka buruk yang tidak memberi kesan positif dan tidak ada apa-apa faedah.  Sangka buruk gara-gara panggilan tidak berjawab.

“Benci!  Benci!”  Safiah separuh menjerit.  Muncung mulutnya.  Seperti ada sesuatu yang tidak memuaskan hatinya.

“Safiah campak telefon bawah tempat duduk.  Entah apa jadi …”  suaranya bernada jengkel. 

“Kenapa?” Kamal mengulangi pertanyaan ingin tahu. 

“Ketika memandu tadi.  Ada pelanggan kita telefon.  Katanya, dia hendak saman.  Dia sudah makan ubat yang dibeli, tetapi penyakitnya tidak sembuh,” terang Safiah bersuara kesal.

Giliran Kamal pula terkedu.  Dia memikirkan jawapan yang harus diberikan andai dia menerima telefon itu.  Memang ada pelanggan yang ditakdirkan begitu.  Sikit-sikit, saman.  Ada pula pelanggan lain yang memuji.  Ramai testimoni yang menjadi bukti.  Tidak sepatutnya Safiah marah sehingga mencampakkan telefon ke bawah tempat duduk.

“Bertenang, Safiah.  Kalau dia hendak saman, itu hak dia.  Kita percaya itu takdir.  Kalau Safiah berpegang kepada prinsip ini, kita akan berjaya,” Kamal memujuk.  “Ada hikmah, abang berjumpa Safiah, meninggalkan kerja di rumah,” tambah Kamal lagi.  Dalam hatinya, terselit rasa kecewa.  Kamal berpusing untuk meninggalkan Safiah.  Dia tidak dapat buat apa-apa.  Yang penting, dia sudah pasti, Safiah selamat. 

“Selepas menerima telefon pelanggan tadi, Safiah cuba telefon abang.  Tiba-tiba polis tahan.  Itu yang Safiah hempas telefon bawah tempat duduk,” suara Safiah bergetar.  Getaran suara Safiah memaksa Kamal mematikan langkah.  Kamal mengangguk lemah.  Dia sudah mendapat jawapan panggilan tidak berjawab.  Dia selalu bersangka buruk kepada orang lain, sedang kesalahan itu pada diri sendiri.