Terlalu berbeza wataknya ketika bujang. Memakai celana dan busana yang sentiasa mengikut zaman. Tampil bergaya. Namanya sering menitip di bibir teruna.

Namun kini, semua ditelan masa. Mukanya kusam tanpa sebarang solekan, mengenakan tubuh dengan celana yang ditampal untuk menutup aurat daripada terdedah.

“Aku penat susah Tara!” Siti mengadu. Air mata berjurai. Terlalu lama dibendung. “Mak bapa aku usir kami anak-beranak!”. Menangis sambil menutup mukanya dengan lengan baju kurung yang lusuh.

Terlalu sedih mengenangkan sanak saudara yang dahulunya dia sentiasa tidak kekok dan lokek dengan memberi bermacam benda kepada mereka. Permainan selalu dibeli untuk anak buah yang hampir bilangannya 20 orang , daripada bayi sehinggalah umur dua puluhan. Beribu ringgit berhabis untuk baju dan kasut anak buah untuk mereka merasa unggul pada hari raya. Tidak pernah lagi mendengar rungutan dari mulut Siti.

Tapi, kini?

Aku terdiam. Tidak mampu untuk menyekat tangisan Siti.

Siti menyambung lagi.

“Kenapa mereka singkir aku, Tara?”

“Apa salah aku?”

“Selama ini adakah aku berbuat salah pada mereka?”

Siti menunggu jawapan daripada Tara.

“Salahkah aku terlalu baik?”

Tara tiada jawapan untuk kesemua persoalan Siti. Memang Siti seorang yang baik. Pemurah. Tetapi terlalu pemurah.

“Tidak mengapa Siti, makanlah,” sambil menghulur cucur udang yang agak garing sehingga nampak kehitaman di permukaannya. Siti dan anak-anak rakus mengambil sehingga tidak ada satu pun yang tertinggal. Tara tidak mahu membuat andaian. Baginya, dia baru sahaja melegakan perut empat beranak di depannya.

“Ini sahaja yang aku ada Siti.” Tidak mampu memberi lagi. Takut anak-anaknya bertanyakan cucur udang yang dibeli di gerai Makcik Leha.

“Bersabar Siti, Tuhan nak uji”

“Pokok yang besar dan berbuah lebat asalnya dari biji yang kecil yang telah dibuang setelah isinya dimakan,” Tara menyambung lagi.

“Tidak senang untuk menghadap angin yang tidak selalunya tenang. Tidak pula hujan yang selalu boleh diramal.”

“Aku tidak kuat Tara,” Siti mengeluh.

“Tuhan tahu engkau mampu hadap semua ini. Jangan memandang rendah pada diri.”

Siti diam. Pelbagai masalah di dalam minda. Untuk bekerja adalah sama sekali mustahil kerana untuk membayar pengasuh yang kos melebihi seribu ringgit untuk meletakkan ketiga-tiga anak yang masih menyusu dan agak nakal. Susu?. Siti semakin melayari lakaran minda. Bantuan sebanyak RM150 dari organisasi kebajikan digunakan tertib. Sedikit lega walaupun wang tersebut hanya sekadar cukup untuk beras dan dua belas tin ikan sardin saiz kecil untuk menampung selama 30 hari. Untuk menghantar Aiman ke tadika agak mustahil kerana wang sekadar makanan sahaja yang mampu.

“Macam mana anak-anakku?” Siti diam.

“Macam mana apa?”

“Apa nasib anak-anak aku akan datang , Tara?”

“Engkau perlu sentiasa berdoa dan banyak bersabar,” Tara ungkap.

Walaupun Tara beragama Hindu tetapi sentiasa mengingatkan Siti untuk mengadu pada Yang Esa.

Siti berlalu pergi selepas terasa agak lama berada di rumah Tara. Ya, rumah Tara agak selesa setelah sedekad sepeninggalan ibu dan bapa pergi dan mereka mewasiatkan rumah tersebut milik Tara.

Tanpa sedar, Siti sudah sampai ke rumahnya yang usang. Rumah banglo yang tidak berpenghuni sejak beberapa dekad merujuk pada dinding kehitaman dan dipenuhi semburan cat bertulis lucah. Siti tinggal di situ bersama anak-anak dalam keadaan terpaksa.

Orang kampung? Siti sudah merasa lali dengan hinaan ke atasnya. Dia tidak ambil pusing dengan kata-kata murah mereka yang hanya pandai menghina dan merendahkan orang untuk menghindar diri dari dipandang jelek pada mata umum. Siti berlatar belakangkan pendidikan yang mantap. Mendapat sijil dekan setiap semester dari matrikulasi sehingga ijazah dan kerana itu Siti tidak terasa beban untuk membayar hutang pelajaran kerana anugerah dekan itu sendiri yang membayarnya. Muncul senyuman di wajah kusamnya bila mengingatkan waktu-waktu kegemilangannya. Tetapi setelah berkahwin bersama Irfan , teruna yang menambat hatinya selama lima tahun, selama itu hatinya membiarkan niat untuk menyambung pelajaran di sulam dengan menjaga anak-anak dan suami.

Dijangka perkahwinan berkekalan dengan bersangka suami setia rupanya menyintai Ana, gadis sawah belasan umur dalam kampung yang sama mereka menetap. Genap setahun mereka berkahwin dan belum lagi memperoleh cahaya mata. Tetapi, Irfan sentiasa berlalu depan rumah Siti, membawa motor kepunyaan Siti bersiul-siul sambil Ana memeluk erat pinggang Irfan.

Siti tidak merasa sakit hati. Hanya memandang Irfan dengan pandangan kosong. Baginya, jodoh dia bersama Irfan sudah tertulis tidak lama. Motor?. Siti reda.

“Mak, Aiman lapar,” ucap Aiman yang dari tadi tidak mampu melelapkan mata akibat keroncong perut.

“Aiman tidurlah, ya?” Siti memujuk. Barang-barang dapur sudah habis dan tinggal dua hari untuk menunggu wang bantuan yang disalur ke akaun banknya.

“Mak, Makcik Sarah masak ayam.” Memejam mata sambil menghidu bau yang datang dari rumah kurang dua meter dari rumah yang mereka tinggal.

“Ya, Aiman. Nanti dapat wang kita beli ayam, ya?” Siti cuba memujuk anak sulungnya walaupun untuk membeli paha ayam agak mustahil.

Aiman senyum sambil memandang Siti dan kembali beradu. Dia tahu maknya hanya menyedapkan hati kanak-kanaknya, tetapi tetap yakin untuk membeli bila sahaja dia mengumpul botol-botol kosong dan besi-besi buruk dan menjual di kedai Ah Cheng dengan menaiki bas percuma semasa ibunya tidur akibat keletihan bekerja mencuci baju di rumah Mak Mah yang hanya diberi upah sebanyak RM20 pada esok hari.

Aiman tidak pernah meminta ibunya walaupun sebatang pensil. Dia tahu ibunya akan berkira-kira untuk kos membeli barang-barang dapur. Dia tahu esok hari kanak-kanak seusia dia akan bermain dan akan mentertawakan dia menarik guni yang penuh dengan botol-botol kosong. Sering terlihat bapanya membonceng isteri baru ketika melintasi dia yang berpeluh-peluh mendukung guni setelah lenguh menarik beban yang dua kali lebih berat dari berat badan kecilnya. Tetapi, dia memaafkan bapa. Dia tidak pernah membenci insan yang menyara selama enam tahun sebelum ini. Aiman tahu bapanya sudah patah hati untuk menyara ibu dan adik beradik yang lain.

Pada keesokan harinya, Aiman keluar lebih awal dari biasa. Berkobar-kobar menanam impian untuk membelikan seketul paha ayam goreng untuk dinikmati setelah menjual semua besi-besi buruk. Terlalu kasihan pada ibu yang selalu menahan lapar apabila mereka adik-beradik makan. Berjalan meredah semak samun yang tidak ditebas untuk mengutip tin-tin kosong. Ada juga kanak-kanak yang nakal membaling batu ke arahnya. Aiman hanya mengelak. Baginya, tidak perlu membuang masa untuk melayan generasi yang tidak pernah merasa susah.

Biarkan mereka. Ayam goreng perlu dibeli.

Lara dan Farid lapar menunggu dia. Mereka akan hampa!

Setibanya Aiman di kedai Ah Cheng. Ah Cheng, lingkungan umur lima puluhan mengambil guni yang dipikul di belakang Aiman. Dituang semua isi guni atas timbang sebesar satu meter di hadapan Aiman. Ah Cheng mencatat berat dan masuk ke kamar sambil berdiri menekan kalkulator. Ah Cheng menghulur wang sebanyak RM3.60.

Aiman tersenyum. Seketul ayam goreng dibayangkan makan bersama Lara dan Farid, juga Ibu!.

Sebaik tiba di rumah,terlihat ibu sedang membasuh baju di tali air di luar rumah. Aiman terus mengangkat kuali untuk mengoreng paha ayam dan menanak nasi di dapur sebelah. Aiman senyum. Terdetik perasaan bangga pada diri kerana mampu memberi makan daging ayam walaupun beramai-ramai berkongsi hanya satu bahagian. Tetapi perasaan sedih timbul sejenak bila mengingati di kedai runcit semasa ingin membeli paha ayam. Aiman terkilan memandang ibu bapa membelikan pelbagai permainan pada kelima-lima anak-anak. Aiman tidak mahu menyalahkan ibunya kerana tidak mampu membelikan barang-barang permainan untuk dia. Dia tahu ibu tidak mampu.

“Sedap ke ayam itu?” Siti menyapa Aiman makan. Naluri ibunya tahu Aiman sedang memikirkan sesuatu.

Aiman senyum.

Aiman tahu, sekiranya dia beritahu apa yang terlintas pada fikirannya, nescaya ibu pasti sedih.

“Mak tahu Aiman sedih dengan keadaan kita,” Siti duduk bersila bersebelahan Aiman, manakala Lara dan Farid menjamah makanan dengan lahap. Siti melihat wajah kecil memandangnya dengan penuh sayu. Juga merasa sedih kerana tidak mampu memberi keselesaan kepada anak-anaknya dan berasa dia berlaku tidak adil kerana ibu bapa Siti yang sentiasa memanjakan Siti dengan membeli barang permainan sehingga penuh kamar tidurnya.

Siti sayu.

“Mak, janganlah mak bersedih. Selagi ada tuhan, kita pasti akan senang, cuma kita yang perlu berubah,” Aiman menyedapkan hati Siti.

Lara sengaja membaling bola ke arah Aiman, dan Aiman mengejar Lara ke laman dan Siti mengemas pinggan-mangkuk setelah semua makanan habis dimakan anak-beranak.

Siti lega. Rupanya tuhan sudah memberi dia harta yang berharga. Aiman yang matang.