Seorang lelaki duduk di tandu belakang unta yang tinggi agam; di belakang tandu terikat sekaki payung berwarna kuning dengan renda bersulam benang emas di kelilingnya. Tandu laksana singgahsana itu dibalut saduran perak; mengilau-ngilau disimbah cahaya. Jubah lelaki itu putih bersih, dengan tailasan petak halus merah dan putih menutupi kepala, serta capal kulit yang terjuntai pada hujung kaki. Keletihan serta cuaca panas membuatkan lelaki itu menjulurkan kakinya ke depan; melintang di atas pundak leher unta.

“Paduka Raja,” sembah Panglima: “Kita sudah sampai di Kota Tenggara.”

Lelaki yang sedang menjulurkan kakinya itu tidak memandang ke arah Panglima, sebaliknya hanya memandang lurus ke depan melihat simpang jalan yang dipenuhi kereta. Di sisi mall yang luas lamannya itu, gerombolan berhenti.Puluhan tentera yang berpakaian seragam celoreng dan bersenjata lengkap tegak berdiri. Sebahagian di depan unta, sebahagianlagi berdiri tegak di barisan belakang.

“Aku ingin bertemu pemimpin kota ini,” kata lelaki itu.

Panglima segera menganggukkan kepala: “Baiklah… kita akan berangkat ke sana.”

2

“AKU datang bawa perkhabaran,” kata Paduka Raja: “Bahawa kami ini, sedang berperang!”

Langit petang sedikit meredup; di laman banglo Empunya Kota – Paduka Raja duduk di kerusi taman; bertutup payung lebar berwarna pelangi. Laman rumput yang lapang di balik tembok batu yang tinggi – memisahkan kediaman mewah itu dengan jalanan kota yang sibuk dan bingit. Ketika kedua-dua bangsawan itu berbual; pasukan pengiring duduk di kejauhan; berehat di gazebo lapang yang diperbuat daripada susunan kayu-kayu jati dan cengal.

Gazebo berbentuk kotak; bumbungnya jaluran alang kayu, manakala lantainya pula susunan papan tebal belahan balak berkualiti tinggi. Panglima berdiri tidak jauh dari unta, yang ditambat di sisi taman– berdekatan dengan meja bual Paduka Raja dan Empunya Kota.

“Aku bencikan jiranku,” kata Paduka Raja: “Maka aku isytiharkan perang. Kami mengebom kotanya setiap hari.”

Segera Empunya Kota menjawab: “Aku berasa sangat simpati, kerana yang dibom itu kota orang yang miskin. Puluhan ribu maut sejak perang bermula.”

“Mereka perlu diberikan pengajaran,” kata Paduka Raja: “Mereka menentang kami… tiada jalan lain, kecuali perang!”

Empunya kota terdiam. Dia teringat akan pertemuan dengan Malim Yamani. Serta segala laporan media yang menyiarkan wajah-wajah ketakutan penduduk yang menderita akibat serangan bom yang berpanjangan serta wabak kolera.Malah, dia takkan lupa pada wajahkanak-kanak yang kebuluran, serta ribuan mangsa perang yang cedera dan terperangkap tanpa sebarang bantuan.

“Aku mohon…,” kata Empunya Kota: “Dapatkan engkau memikirkan semula. Tetanggamu itu juga saudara kita. Pembunuhan ini tidak akan berkesudahan. Banyak nyawa akan terus mati hanya kerana kemarahan yang tidak bertepi.”

Paduka Raja mengangkat muka; matanya merenung tepat ke wajah Empunya Kota: “Aku ingin mengingatkan mereka. Bahawa, menentangku bererti mencari maut!”

3

EMPUNYA Kota duduk bersendirian di ruang tamu; televisyen terpasang – namun tenung matanya melurus ke arah glob di atas meja. Segera dia nampak akan kota kecil di pinggir laut – serta negara Paduka Raja dengan sempadan melintang di antara dua gurun itu. Dia tahu akan betapa kayanya bumi Paduka Raja. Selain minyak yang melimpah ruah – Paduka Raja adalah Penjaga Dua Kota Utama.

“Kami dibom selama bulan-bulan tanpa henti,” adu Malim Yamani: “Kami mengaku berlainan Mazhab, tetapi bukankah kami juga Islam?”

“Aku bersimpati,” kata Empunya Kota: “Cuma tanganku terikat. Menyokong kamu akan membuatkan kami dipinggir. Malah, dilarang berziarah ke Dua Kota Utama.”

Malim Yamani terdiam.Matanya bundar dan redup sekali.Segera dia bersandar pada kerusi. Tubuhnya jangkung – jambangnya merembang di kedua-dua belah pipi; pada kakinya nampak pautan debu – tanda dirinya itu berkembara meredah segala macam derita perang dari kota yang kini sudah musnah dihempas ledakan bom.

Semua bayangan sebu itu kini mengejar ingatan Empunya Kota.Suara televisyen bergema dengan bunyi dentuman bom; maka segera dia tahu – Kota Yamani diserang lagi.Dirinya terkedu memikirkan angka korban sudah melangkau sepuluh ribu nyawa. Setengah juta yang lain pula sedang kebuluran, atau diambang maut. Manakala, setengah juga lagi menderita wabak kolera kerana bekalan air yang tercemar serta bekalan perubatan yang disekat.

Saat itu juga, Empunya Kota teringat akan jawapan angkuh Paduka Raja saat melawatnya dulu: “Aku menghantar isyarat maut – agar mereka tahu, harga yang perlu dibayar kalau memusuhiku.”

“Tuan,” kata Empunya Kota: “Agak janggal jadinya. Kita membunuh tetangga Islam dengan bom yang dikirim dari orang kafir. Tidakkah ini satu yang menakutkan?”

Empunya Kota teringat akan wajah tanpa rasa Paduka Raja saat menjawab soalan itu: “Aku tidak peduli, kerana Kota Yamani… musuh yang lebih berbahaya dari orang kafir!”

Saat itu – Empunya Kota hanya mampu berisytifar.

4

TUAN Teram datang dengan mengenakan sut serba hitam dan bertali leher merah.Dari kejauhan nampak langkahnya yang bergegas tetapi sasa; menuruni kenderaan Hummel warna kelabu, dengan latar gurun yang dibauri debu pasir yang mengapung tinggi. Tuan Teram berjalan pantas ke arah pintu khemah. Sekelip mata – seperti helang melayang di atas angin – lelaki kulit putih itu, muncul lalu memasuki khemah.

“Maaf…,” kata Tuan Teram sambil tersenyum: “Aku terlewat kerana jadual keselamatan. Tidak mudah untuk menyusup masuk ke gurun ini. Musuhku di mana-mana.”

Paduka Raja tersenyum; terus melangkah dan mendakap erat lelaki kulit putih berambut kuning emas itu. Hempapan erat dakapannya jelas terdengar – dan Empunya Kota menyedari; betapa akrabnya kedua-dua lelaki itu. Ketika Tuan Teram menghampirinya; segera dijabat tangan lelaki itu. Walaupun Tuan Teram cuba melayahkan badan seakan-akan mengharapkan dakapan, Empunya Kota berpaling dan hanya menghulurkan tangan meminta lelaki itu duduk di tengah sofa. Paduka Raja di kanan, dan dirinya memilih untuk duduk di kiri.

“Kita terus sahaja ke isunya ya,” kata Tuan Teram: “Aku akan membekalkan 200 peluru berpandu baru. Dilancarkan terus dari darat. Operasi ini hanya memerlukan waktu 48 jam untuk memusnahkan terus Kota Yamani.”

Wajah Paduka Raja menyala ceria: “200 peluru berpandu? Untuk sekali serangan? Dan semuanya selesai dalam dua hari saja?”

“Ya…,” jawab Tuan Teram bangga: “Ini senjata terbaik dilancarkan dari darat ke darat. Ketepatan 99.9 peratus dan radiusnya kemusnahan sekitar 75 kilometer. Keupayaan senjata ini akan menyebabkan seluruh Kota Yamani musnah total!”

“Ya Allah…,” detik suara hati Empunya Kota.

Haba padang pasir terasa membakar jantung. Dia tidak menyangka, betapa dirinya – yang datang sejauh itu ke tanah Paduka Raja, serta bertemu pula secara tiga penjuru dengan Tuan Teram – hanya untuk mendengar kenyataan menakutkan itu.

“Bukankah…?” Tanya Empunya Kota: “Kita sepatutnya berbincang dahulu?”

Mendengarkan nada suara yang penuh rasa terkejut itu – Tuan Teram memandang pada Paduka Raja dengan tunak mata membuntang bulat.

Melihatkan rakan orang putihnya itu agak terpinga-pinga – Paduka Raja terus memandang pada Empunya Kota dan berkata: “Aku fikir, kenyataan Tuan Teram adalah adil. Kita tidak boleh membiarkan perang ini berterusan tanpa hujung.”

Kali ini Empunya Kota memintas: “Kita bercakap mengenai serangan yang akan membunuh sejuta nyawa. Serangan ini berskala besar. Korban akan menyeret kanak-kanak, wanita dan penduduk awam yang terkepung!”

“Aku maklumkan pada kamu…,” kata Paduka Raja: “Ini soal sempadan negaraku. Aku tidak memerlukan nasihatmu. Cuma aku maklumkan saja, supaya kau tahu pendirianku.”

Empunya Kota terdiam. Segera dia terfikir: “Bahawa menentang semua itu akan membuatkan penduduk di kotanya akan dilarang masuk ke Dua Kota Utama. Sebarang penentangan akan ditafsirkan Paduka Raja sebagai permusuhan. Tanpa keizinan menziarahi Dua Kota Utama – penghuni kota akan kehilangan peluang melawat Kota Suci.”

5

“AKU datang tanpa banyak pilihan,” kata Empunya Kota, sebaik saja berjaya menyusup masuk ke Kota Yamani. Setelah semalaman bermalam di luar kota kerana mengelak serangan bom yang bertalu-talu – selepas Solat Subuh – dia terus mengendera kuda dengan bertemankan Panglima dan seorang penunjuk jalan. Mereka berjaya melepasi sempadan, lalu dibawa terus ke kem Malim Yamani di pinggir bukit. Kemah di lembah gunung yang sangat terpencil dari pusat kota yang kini kelihatan seperti gumuk – yang sarat dengan timbunan bangunan-bangunan runtuh.

“Apa maksudmu?” Tanya Malim Yamani.

“Begini,” kata Empunya Kota: “Paduka Raja mahu kamu semua menyerah. Kuasa Kota Yamani mesti diserahkan semula kepada wizurai yang dipilih Paduka Raja.”

Wajah Malim Yamani terus merah padam: “Ini negeri merdeka. Bukan jajahan Paduka Raja. Kami berhak memilih ketua melalui cara kami!”

Empunya Kota mendegus panjang; desah nafasnya jadi berat – tanda sarat berisi beban.Malah, sejak mendengar kemahuan Paduka Raja dan Tuan Teram pada pertemuan terdahulu – dia sudah tahu. Misi ini sesuatu yang sangat mustahil.

“Aku datang sebagai saudara,” kata Empunya Kota: “Sekiranya tiada penyelesaian, perang besar akan terjadi. Paduka Raja akan menyerang habis-habisan.”

Malim Yami mengangkat muka lalu memandang tepat ke mata Empunya Kota: “Selama dua tahun ini, apakah yang terjadi ini, bukan satu serangan besar-besaran?”

Empunya Kota cuba menukas – tetapi Malim Yamani meneruskan hujahnya: “Hidup sekali. Selebihnya mati. Kami Islam walau berbeza mazhab. Bunuhlah kami kalau terus curiga. Tetapi Ingat! Kamu semua masih boleh duduk berbincang dengan kaum kafir. Malah, sanggup membeli senjata berbilion dollar, semata-mata mahu membunuh kami!”

Empunya Kota terdiam. Di depannya seorang Syiah Houti.Dirinya seorang Sunni. Paduka Raja seorang Wahabi. Kata-kata Malim Yamani seperti mata pisau yang menikam-nikam dada; hingga tembus ke jantung dan paru-parunya.

6

MALAM itu – selepas dua belas jam gencatan senjata – Empunya Kota memilih untuk tidak meninggalkan Kota Yamani. Satu jenis bahaya yang sudah disedarinya. Cuma, selepas berbulan-bulan – dirinya sekadar mendengar kisah kemusnahan Kota Yamani akibat serangan bertalu-talu Paduka Raja, dia memilih untuk tidak segera pulang. Hanya mengarahkan utusan pengiringnya pulang dan menyampaikan pesan.

“Kamu pulang dahulu,” katanya pada Panglima: “Mohon Paduka Raja untuk tidak menyerang dalam tempoh 24 jam lagi. Aku mahu meneruskan rundingan.”

Panglima menganggukkan kepala; kemudian melenyap pergi.

Sebaik sahaja panglima itu melenyap dan lesap menghilang dicelah-celah cahaya pagi – Empunya Kota naik ke tebing gunung lalu menatap Kota Yamani yang baru saja disuluh cahaya matahari. Seluas mata memandang – semuanya hanya gumuk timbunan batu-batu di atas luasnya tanah gurun. Tidak ada sebutir bangunan pun terlihat, sekalipun yang separuh berdiri sekadar sisa dan saksi – bahawa, kehidupan pernah aman sebelum datangnya perang.

Semua yang wujud di depan matanya kini hanya sisa timbunan batu-bata; gambaran betapa hidup di Kota Yamani kini sudah pun melerai - menjadi debu-debu.

“Kita tak boleh membiarkan isu mazhab ini memusnahkan semua,” kata hati Empunya Kota.

Di atas puncak gunung – dalam redup matahari Dhuha – segera dia teringat akan jawapan Paduka Raja: “Mereka musuh kita bersama. Darah dan nyawa mereka halal buat kita.”

“Bukankah, kota ini tanah yang digambarkan Rasulullah, sebagai bumi yang indah tanpa perang,” katanya – cuba menyakinkan semula Paduka Raja.

“Selagi musuh kita Syiah di sana,” jawab Paduka Raja: “Perang ini halal untuk kita semua!”

Pada hari itu – saat berdiri di tebing cenuram gurun dan melihat Kota Yamani yang bersejarah itu kini umpama gurun dilanda garuda – hatinya membekam. Empunya Kota – yang negara asalnya nun jauh di balik benua sana – kini semakin keliru. Ia sudah melihat kemusnahan tanpa penghujung. Mayat kanak-kanak dan tubuh wanita separuh mereput, kini berselerak di jalanan; atau sebahagiannya dipusarakan di bawah timbunan batu-batu. Hatinya menyebak – antara rasa mual dan simpati.

“Kita membunuh hanya kerana permusuhan yang diciptakan akibat perselisihan pandangan,” bisik hatinya: “Permusuhan mazhab ini hanya membunuh seluruh persaudaraan Islam!”