Ada yang menggusarkan dan memalukan. Sejak Festival Teater Malaysia berwajah baharu pada 2002, menurut rumusan penjurian 2014, “Mutu persembahan masih tidak meningkat!”. Jauh merosot daripada tahun 2012, kata Rosnan Nordin.

Kenapa tidak meningkat? Menurut juri lagi, “Teater itu sebagai medium penyampai. Asas utama disampaikan ialah menerusi skrip dan arahan melalui lakonan.” Boleh difahami juga begini, buat apalah pikul teknikal yang kosnya berat dan mahal, sedangkan markah teknikal hanya ciput.

Sifar membawa naskhah Penggali Intan, karya Kirdjomulyo yang telah teruji di Jember, Indonesia. Tidaklah penat sangat Sifar mencanai naskhah ini. Semua sedia maklum, aktivis teater di Indonesia mencanai bersengoti naskhah sebelum dipanggungkan atau dibawa ke Jakarta. Kesungguhan menggali melalui latihan lakonan hingga ke panggung berjaya memantapkan naskhah. Kumpulan amatur di Indonesia lebih sengit daripada karyawan Eropah untuk memartabatkan naskhah mereka di khalayak.

Naskhah Vito Il Mafioso, adaptasi karya oleh Khairul Amin dan arahan Tasia Arlina Ismail, yang dibawa oleh Gruo Teater Lab mempunyai world view tersendiri. Naskhah ini melalui proses dekon sejak menyertai pertandingan anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (Makum) sebelum ini. Ia digilap di bawah payung Sekolah Pengajian Seni (SPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), di bawah nasihat Dr. Andika Aziz Hussin. Saya dapat rasa, Andika ingin ‘mengetalikan’ naskhah ini ke persada dunia.

Naskhah Iyakah Tok Janggut karya dan arahan Zack Zaideen yang dibawa oleh Kumpulan Anak Seni Pendidikan Kelantan (Aspek) meminjam daripada peristiwa sejarah. Keberanian ini terpuji demi memulih sejarah bangsa melalui pentas. Tetapi ini pentas. Menurut Rosnan Nordin, kelemahan paling ketara adalah gangguan narator dan watak sang pengarah yang tidak pandai bermain dalam lakonan. Sayang sungguh aspek lain telah ‘membunuh’ Tok Janggut.

Pujian harus diberi kepada Alahai Menantu karya Razali Taib dan arahan Nuex Rosli oleh Kelab Teater Rimba UKM, Selangor, Penjuru Empat Karma (arahan dan karya Mohd Firdaus Kamaruddin, Persatuan Penggerak Seni Budaya, Kuala Lumpur) dan Transit Warga Tanah (karya Abu Afif dan arahan Abu Hurairah Roslan, Kumpulan Teater Remaja Harapan, Kedah) kerana berusaha dengan naskhah sendiri. Buruk-buruk pun tetap air tangan sendiri.

Boleh dikatakan hampir tiada naskhah daripada penulis drama pentas tersohor Malaysia yang diangkat ke pentas melalui Manifestasi Teater Negeri hingga ke peringkat kebangsaan Festival Teater Malaysia kali ini. Sekiranya kita ketandusan naskhah bermutu, usah cepat bertanya dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Tanyalah diri sendiri adakah kita cukup mentelaah buku-buku drama pentas.

Sekiranya kita benar-benar ketandusan nashkah, adakah tiada usaha sendiri untuk menjadi penulis naskhah drama pentas? Adakah bengkel-bengkel yang berkaitan di bawah kelolaan DBP dan JKKN belum mencukupi?

Pada hemah saya, bengkel penulisan naskhah drama pentas wajar diteruskan secara bersiri. Diutamakan juga naskhah-naskhah keperluan Festival Teater Malaysia yang banyak mengehadkan jumlah penyertaan pelakon dan kos produksi. Kita kena terima hakikat, teater Malaysia memang miskin.

Sebelum kita bersetuju dengan cadangan juri supaya dihidupkan semula ‘kaedah mentor mente’ yang lebih menitikberatkan persembahan untuk pertandingan, eloklah terlebih dahulu wujudkan ‘kaedah mentor mente’ khas untuk naskhah sebelum ‘kaedah mentor mente’ untuk pengarahan, lakonan dan teknikal.

Ambillah iktibar, naskhah yang baik tetap baik sepanjang zaman apabila didokumentasikan. Contoh yang mudah, kita akan terus merujuk Si Bongkok Tanjung Puteri, Matinya Seorang Pahlawan dan Tok Perak sebagai karya drama pentas terbaik.

Kita tentunya akan bersetuju dengan pihak penganjur Festival Teater Malaysia supaya mewajibkan karya yang hendak memasuki pertandingan wajib melalui ‘kaedah mentor mente naskhah’. Hanya dikecualikan naskhah-naskhah yang sudah dibukukan. Bayangkan dalam tempuh lima tahun kita akan memiliki sejumlah besar naskhah drama pentas. Manalah tahu dalam banyak-banyak itu akan ada naskhah bertaraf negara. Semua tahu sudah lama naskhah drama pentas menjadi anak tiri Festival Teater Malaysia.

Persoalannya dalam hal Festival Teater Malaysia ini, adakah JKKN sendiri sedia berubah, membijaksanakan teater Malaysia dengan naskhah bermutu? Percayalah, selagi kita tidak memaruahkan naskhah selagi itulah teater kita kalah di serkup sendiri.