Itulah menu istimewaku
Terutama pada cuti hujung minggu
Setelah hari-hari menjamah roti sebuku
Dan segelas air susu

Nasi goreng itu pembuka selera
Resipi ibu untuk keluarga
Sedap rasa tidak terkata
Walaupun campuran nasi dingin semalam dibazir tiada
Cili kering dan ikan lolong rebus mata terbuka
Namun tetap memikat selera
Menu kampung paling istimewa
Jadi santapan seisi keluarga
Pinggan licin kenyang tak terkata

Ku rindukan nasi goreng itu
Walau kini membuatnya aku jua tahu 
Tapi lebih istimewa air tangan ibu 
Lengkap rasa sempurna menu
Manis masin pedas berkumpul di situ
Cukup menyantun seleraku

Ku berdoa
Moga ibu sembuh segera
Dapat kembali ke dapur semula
Nasi goreng juadah disedia 
Pasti aroma memikat sesiapa
Menu istimewa diingat selamanya

Nasi gorengnya biasa-biasa
Ikan rebus pelengkap cita rasa
Rempah ratus campak sahaja
Tiada mewah tiada mahalnya
Namun menggoda rasa memikat selera
Menikam sukma

AZLAN AHMAD
Bangi, Selangor