Lauk ikang aye dok pung ikang selayang,

Tumbuk sambal belacang makang dengang ulan raja,

Ngetak bibir bibir kalu budu ade.”

BAGI yang pernah menonton rancangan travelog, Mat Dan Kaki Jalan di siaran Astro Prima, pastinya lagu loghat Terengganu itu tidak asing.

Mengisahkan kerinduan anak perantau terhadap hidangan tradisi ikan singgang, penceritaan dalam melodi santai alunan muzik ukulele dan bait-bait lirik yang mencengkam jiwa itu ternyata memberi kekuatan kepada lagu Nasik Ngan Kuah Singgang karya Mohd. Naquib Mohammad, 29.

Mula dikenali selepas video nyanyiannya sambil bermain ukulele menjadi tular di laman sosial kira-kira tiga tahun lalu, sehingga kini anak kelahiran Kampung Teluk Pasu, Kuala Nerus, Terengganu ini sudah menghasilkan kira-kira 10 buah lagu antaranya Mak, Kuih, Bola, Tanoh Kita, Dendang Mak Ayah, Pasar Manir dan Dendang Malam Sang Anak.

Mempertaruhkan nuansa muzik berbeza yang sarat dengan nilai-nilai kekeluargaan serta mengimbau nostalgia di kampung halaman, tidak keterlaluan dikatakan sentuhan lagu rakyat Mohd. Naquib cukup akrab dengan khalayak, sekali gus membolehkan nukilannya diterima semua lapisan masyarakat.

Tidak menganggap itu sebagai suatu kelebihan, baginya apa yang lebih penting adalah pendengar dapat memahami dan menghadam setiap penceritaan serta pesanan yang ingin disampaikan, bukan sekadar hiburan semata-mata.

“Bermain muzik dan menyanyi ini sudah lama sejak di sekolah lagi, dan seperti remaja lain, saya boleh layan apa jua genre tanpa mengira lagu lama atau baharu.

“Semuanya bermula dengan video lagu Kuih yang dimuat naik di YouTube pada 2014. Itu kali pertama saya nyanyikan lagu yang ditulis sendiri, asalnya sekadar suka-suka tetapi tidak sangka mendapat maklum balas positif.

“Tetapi menulis lagu bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika membabitkan lagu rakyat yang amat mementingkan kejujuran. Kebanyakan idea datang secara spontan melalui pergaulan, pemerhatian persekitaran dan pengalaman kawan-kawan. Tanpa disedari kesemua faktor itu membantu membentuk identiti muzik yang saya bawakan ini,” katanya.

Mohd. Naquib memberitahu, dalam masa terdekat ini, satu buah tangan baharu bertemakan hutan rimba akan dihadiahkan kepada pendengar. Katanya, ketika ini hanya menunggu masa sesuai untuk proses merakam video sebagaimana yang menjadi amalannya.

Selain itu, katanya, antara lagu lain yang dirancang untuk disiapkan tahun ini adalah berkisar mengenai hubungan adik-beradik dan permainan kampung.

Selesa bergerak sendiri dan hanya dikenali di media sosial berbanding industri muzik arus perdana, katanya, sebagai penggiat seni pastinya menjadi impian untuk melihat hasil karyanya dihimpunkan menjadi sebuah album.

Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dahulunya merupakan bekas jurutera di sektor minyak dan gas di ibu kota ini tidak mahu terlalu mengejar cita-cita itu, sebaliknya menyerahkan soal berkenaan kepada rezeki.

“Peluang yang diberikan apabila beberapa lagu saya dijadikan lagu tema dan muzik latar untuk program Mat Dan Kaki Jalan sudah cukup bermakna kerana secara tidak langsung, muzik itu boleh didengari lebih ramai pendengar, bukan hanya penduduk Terengganu,” katanya yang turut bersahabat dengan Mat Dan, seorang mat saleh berjiwa Melayu.