Penulis kaligrafi Tamil, Veru Perumal berkata, selain itu, penguasaan dalam seni kaligrafi memberi kelebihan kepada masyarakat untuk memahami budaya yang ditinggalkan generasi terdahulu.

“Jika kita lihat, terdapat banyak manuskrip yang ditinggalkan dan ia merupakan salah satu jenis artifak. Artifak merupakan lambang kebudayaan, jadi, bila artifak ini hilang, maka budaya juga lama-kelamaan akan pupus.

“Maka, usaha penggunaan kaligrafi dalam pengeluaran setem ini merupakan satu inisiatif untuk mempertahankan budaya kita,” ujarnya pada sidang akhbar pengeluaran siri setem kaligrafi oleh Pos Malaysia Berhad di sini, hari ini.

Veru Perumal berkata, langkah menghasilkan setem kaligrafi boleh menjadi galakan untuk memperluaskan seni kaligrafi dalam bidang lain.

Sementara itu penulis kaligrafi Cina, Adam Ng berkata, mesej dalam tulisan kaligrafi di atas setem tersebut boleh bertindak sebagai galakan dan memberi maksud tersirat kepada orang ramai.

“Selain menyelitkan maksud tersirat, ia juga bertindak sebagai satu galakan dan motivasi kepada orang yang membaca. Maksud tersirat itu juga mampu memberikan aura positif kepada mereka yang memahaminya,” katanya yang merupakan ahli Persatuan Seni Tulis Malaysia.

Sementara itu, Pos Malaysia akan mengeluarkan siri setem kaligrafi bermula esok menampilkan tiga ucapan perayaan utama di Malaysia, dalam tiga coretan kaligrafi dan bahasa yang berbeza.

Menurut Ketua Unit Filateli dan Setem, Diyana Lean Abdullah berkata, pengeluaran siri setem kaligrafi sebahagian usaha Pos Malaysia dan penulis kaligrafi dalam memupuk toleransi dan keharmonian kaum.

Tambahnya, setem kaligrafi yang memaparkan tiga bentuk ucapan, Selamat Hari Raya, Gong He Xin Xi, dan Iniye Vaalthukal Deepavali merupakan keluaran keenam pada tahun ini dan dijual pada harga 80 sen sekeping.

Terdapat juga lembaran mini bakal dikeluarkan yang memaparkan gabungan tulisan kaligrafi Melayu, Cina dan India, dicetak atas kerajang Perak. - UTUSAN ONLINE