Pagi semalam Fulanah tidak berkesempatan. Mesej maya diterima selepas suaminya telah pergi. “Fulanah, tengah malam tadi abang sakit perut yang amat. Sudah diberi ubat masih tidak tertahan. Tabib membawaku ke Mustashfaa Zahir menaiki ambulans”.

Mesej itu Fulanah baca selepas terbit mentari. Fulanah kira teknologi yang dibawa bersamanya ketika itu sudah cacat kefungsian. Mereka terputus hubungan satelit sama sekali. “Apakah hikmahnya dari kembara ini?”, bisik Fulanah.

Malam itu, sekembalinya Ihsan dari Masjidilharam, dia berinisiatif, “Aku sudah minta nombor pegawai urusan haji dan pegawai perubatan di funduk kita untuk menghantar perkembangan suamimu”.

“Fulanah, usah bimbang, maklumkan sahaja apa kehendakmu yang boleh kami penuhi”, ujar Ilham. “Kau kelihatan tenang sahaja”, sambung Ikhwanah. “Usah risau pegawai perubatan kita bagus-bagus semua. Semasa aku dimasukkan ke Mustashfaa Aziziyah, mereka sangat mengambil berat”, cerita Iman.

“Kak Fulanah, esok biar kami suami isteri menemanimu ke Mustashfaa Zahir”, Ikram berjanji. “Andai kak Fulanah mahu ke masjid, kami sudi menemanimu”, Islah pula menebak jiwa Fulanah yang bergelora dengan tawaran yang boleh dipertimbangkan. Semangat persaudaraan yang semakin menebal. Fulanah yakin ujian ini mengurniakan silaturahim jitu jemaah sebilik atas dasar taqwa.

Fikiran Fulanah kosong. Terbuai kenangan yang sentiasa segar, indah dan membahagiakan. Tiga minggu yang lepas, Fulanah datang ke tanah suci itu berdua. Bersyukur yang tidak terhingga menjadi dhuyufurrahman pilihan Maha Pemberi Rezeki.

Dari pandangan jauh ruang angkasa beribu batu, kini Fulanah dan suami hanya zarah yang maha kecil dalam jutaan manusia yang berkumpul di situ.

Hari ketiga – Lokasi : Hospital King Abdul Aziz, Makkah.

Selepas Asar. Seorang Pegawai Ibadah Haji Tanah Suci, Ikram dan suaminya mengiringi Fulanah ke Mustashfaa Zahir. Sunyi. Berbeza sekali dengan mustashfaa di bumi sendiri. “Laluan di lobi tidak sehuru hara mustashfaa di tanah air”. Fulanah melangkah ke suatu bilik dua pesakit. Tidak lama kemudian, dia memandang wajah lelaki yang berakad dengan Allah menerimanya sebagai suri sedekad lebih yang dahulu. Masih lemah. Fulan menghulurkan tangannya. Fulanah berdoa agar Tuhan mengganjari kesembuhan segera dan ditingkatkan darjat bagi suaminya atas kesakitan yang dialami. Torehan di bahagian bawah perut kanannya akibat pembedahan apendiks akan menjadi ‘tanda lahir’ yang baharu. Maghrib tiba. Setiap katil di Mustashfaa Zahir itu dibekalkan kotak khas. Fulan meminta Fulanah kotak itu. Fulan menepuk-nepuk debu tayammum. Fulan mulai takbiratulihram hingga salamnya di perbaringan. Fulanah berharap mustashfaa di negara sendiri pun akan begini nantinya. Tuntutan wajib yang tidak dipandang ringan pesakit di mustashfaa. Masa terasa mencemburui. Fulanah harus pulang. Esok Fulanah akan datang lagi dengan izin Tuhan.

Hari keempat – Lokasi : Al Madinah Al Munawwarah Road, Makkah.

Selepas menziarahi Fulan kali pertama semalam, seusai subuh hari ini, bagai ada suatu kekuatan yang mendorong Fulanah untuk ke Mustashfaa Zahir. Tawakal. Fulanah berhenti singgah di sebuah kedai runcit. Itu alasan terbaik untuk berada di kaunter pembayaran. “Mustashfaa.. Mustashfaa..?”, Fulanah bertanya. Sedikit ilmu berkomunikasi bahasa Arab membantunya. Juruwang itu bertanya, “Mustashfaa Zahir?”. “Na’am”, Fulanah mengangguk kepala. Juruwang itu memberitahu arah ke mustashfaa. “Syukran..syukran”, Fulanah membalas.

Fulanah melangkah laju. Teringat pesan muallim, penyampaiannya mudah dan bersahaja, namun membekas di jiwa.

“Bersihkan jiwamu dengan sifat mahmudah. Kita boleh ke mustashfaa jika alami kesakitan fizikal, tetapi sakit rohani, ubatnya pulanglah kepada Ilahi. Semoga kedatanganmu ke sini beroleh pahala dan peningkatan iman. Begitu juga hikmah dari berziarah ke tempat-tempat bersejarah”. “Kebaikan mesti dipaksa diamalkan sepertimana kejahatan mesti dipaksa ditinggalkan. Sedarilah kehidupan akhirat itu kekal dan dunia ini sementara”.

Fulanah sudah berpeluh. Fulanah sudah jauh berjalan. Otaknya berputar-putar. Melalui rumah-rumah dan kedai-kedai.

Dia berhenti di tepi jalan menahan dua orang wanita berjilbab. “Mustashfaa Zahir?”, Fulanah bertanya sambil memerhatikan wajah di sebalik sifon nipis hitam wanita itu. Cantik. MasyaAllah. Persis bidadari. Pesan ustazah, “Penjagaan aurat jangan diambil mudah. Peliharalah maruahmu. Memakai jilbab itu tujuannya untuk kemuliaan dan kehormatanmu wahai wanita”. Fulanah sudah terlupa, di tanah Arab ini wanita dilarang berjalan keseorangan tanpa mahram.

Dia terasa semakin menghampiri bangunan yang dicarinya. Tiba-tiba hadir suatu perasaan yang Fulanah tidak dapat huraikan. Fulanah menghela nafas dalam-dalam sambil mengingatiNya, “Tiada daya dan kekuatan melainkan dariMu yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia”. Tanpa disedari, Fulanah tunduk, berpaling dan meninggalkan Mustashfaa Zahir. Ya, begitu sahaja. Dia kembali ke funduk melalui semula jalan yang sama dia lalui ketika mahu ke situ. Dia tidak pun pergi menemui suaminya di Mustashfaa Zahir. Cukup di hadapan gerbangnya sahaja. Syukur untuk hari ini dan hari-hari yang akan datang.

Hari ketujuh – Lokasi : Hospital Aziziyah, Makkah.

Suami Fulanah dipindahkan ke Mustashfaa Aziziyah milik negara. Suaminya semakin pulih. “Akhirnya Allah memakbulkan doamu untuk menaiki kenderaan itu datang ke sini”, suami Fulanah mengusiknya dalam pertemuan itu. Fulanah menyebut sesuatu tatkala memandang notis di papan tanda di aras bawah berdekatan lif Funduk Rehab Al-Janadriyyah. “Saja-saja, boleh juga berziarah pesakit di sana”, berniat mulia. Terkenangkan jawapan itu, Fulanah terasa kerdil di sisi Tuhannya. Allah itu Maha Mendengar dan Maha Adil. Akhirnya, Fulanah dapat juga menaiki van coaster dan pergi ke Mustashfaa Aziziyah kerana suaminya dimasukkan ke wad di sana.

Hari akhir – Lokasi : Bilik 418, Hotel Rehab Al-Janadriyyah, Makkah.

Suami Fulanah sudah kembali ke funduk selepas berada di Mustashfaa Aziziyah selama tiga hari. Fulanah melabuhkan badan di birai katil, menghidupkan telefon bimbit berjenama ‘ketinggalan zaman’ dan mula menekan aksara. “Semasa abang dimasukkan ke mustashfaa dan tiada khabar berita, tiga perkara yang Fulanah sedar. Pertama, tentang pesanan agar jangan hilang punca sekiranya terjadi apa-apa ke atas dirimu. Kedua, bahawa Allah sentiasa ada bersama kita dan ketiga, ayat terakhir dalam surah al-Baqarah : …sesungguhnya Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang termampu olehnya”. Ia tidak lagi dikategorikan sebagai mesej pesanan ringkas tetapi karangan panjang. Tidak lama kemudian, Fulan membalas, “Insya-Allah. Syukur Alhamdulillah. Rehatlah. Esok kita bertemu”.

Tidak lama lagi, Fulanah dan Fulan serta semua jemaah lain akan bergerak ke kota Nabi kemudian kembali ke negara Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghaffur. Bermuhasabah membawa perasaan dan nikmat yang tidak tergambar mahupun tidak terucap dengan kata-kata. “Kembara rohani ini telah memberi hikmah agung kepadaku tentang tabah, sabar dan reda”, Fulanah tenggelam dalam kerinduan maha hebat bakal menjelma meskipun kaki belum lagi meninggalkan tanah suci ini.