Jangka waktu itu bukan sebentar. Edisi pemberian hadiah tertua serta paling konsistan ini masih mampu bertahan, dan terus kukuh mempertahankan pemberian hadiah kepada pengkarya tanah air.

Kekonsistansiannya setahun ke setahun merupakan kejayaan membanggakan, dengan setiap tahun puluhan karya dinobatkan pemenang.

HSKU terus gah dan kental melaksanakan amanah dengan sentiasa mencari karya, tidak terkecuali memacu pertumbuhan kesusasteraan negara.

Selama ini telah banyak karya pemenang yang mungkin berjumlah ribuan dinobat dan diberikan pengiktirafan.

Dengan itu, tidak syak lagi HSKU sinar kepada sebilangan besar pengarang atau penulis kreatif di Malaysia. Puluhan antologi dan novel terbitan dari HSKU edisi ke edisi menjadi penyumbang penting kemajuan kesusasteraan negara.

HSKU pada tahun ini terus menyinar dengan dukungan beberapa penaja. Ada anjakan edisi kali ini apabila penaja mencadangkan menambah kategori penulisan agar sejajar dengan kemajuan zaman, iaitu Kategori Cerpen Media Baharu.

Ia bermula 2016 yang lalu. Kategori ini segera mendapat sambutan, dan dijangka penyertaan 2017 ini lebih besar.

Pemilihan karya pemenang dilaksanakan berakhir Ogos. Berita terkini yang sempat dihidu, penerbitan karya pemenang sedang giat dijalankan.

Jika tiada aral melintang, insya-Allah, Oktober hadapan majlis penyampaian hadiahnya akan disempurnakan.Bilangan pemenang edisi ke-32 juga khabarnya lebih banyak. Selain bertambahnya satu kategori baharu, bilangan pemenang kali ini ditingkatkan setelah diputuskan penganjur dan penaja.

Ini sudah tentu menjadi khabar gembira yang amat dinanti-nantikan para penulis jikalah benar ia dilaksanakan pada edisi kali ini.

HSKU sebagaimana lazimnya mencari karya yang segar. Sungguhpun lebih tiga dekad mengharungi segala pancaroba dalam penyelenggaraan, usaha memburu karya yang relatif baharu, sama ada dari pengarang yang dikatakan sudah mapan ataupun mereka yang baru berjinak-jinak dengan alam penulisan kreatif, sama-sama berpeluang untuk meraih hadiah. HSKU belumlah lemau sebagaimana andaian.

Dalam kategori novel remaja misalnya, adalah tidak mudah untuk memperoleh hasil-hasil penulisan yang sempurna mememuhi kehendak kriteria HSKU.

Akan tetapi, syukurlah melalui penerbitan demi penerbitan para penulis dapat menghayati kehendak hadiah ini yang berbeza, sentiasa maju berkembang dan menuntut penerokaan subjek yang membanggakan.

Novel remaja kali ini terus menawarkan subjek yang baharu. Ia kadang-kadang sangat relevan dengan keadaan semasa pula. Pengarang dijangka telah melakukan banyak kajian atau penyelidikan.

Dengan itu tidaklah menghairankan jika penulis mampu menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan pembaca, akan tetapi menjadi rakaman sejarah sosial bangsa yang amat berharga.

Demikian, karya-karya yang lain. Cerpen terutamanya, di tangan para pengarang kita ia tidak sama sekali mengecewakan. Akan ada sahaja idea-idea menarik yang dilakarkan.

Subjek pula sentiasa beranjak; kuat menunjangi karya, dan mendorong taakulan yang besar pula. Karya sastera yang memenangi hadaih HSKU selalunya menawarkan pengalaman estetik yang berbeza.

Puisi juga tidak terkecuali. Pengucapan penulis generasi baharu khususnya, kelihatannya rencam. Subjeknya luas; membicarakan isu-isu setempat dan di luar lingkungan sempadan negara, menjanjikan kesegaran cakupan nilai kemanusiaan dan kongnitif.

Karya yang dipilih umumnya menampilkan susunan idea yang berhasil membentuk kesatuan fikiran yang utuh, menimbulkan kesan visual yang imaginatif dan ekspresif, mengemukakan nilai motivasi yang menginspirasikan kebenaran, mempunyai kekuatan bahasa dan memberi kesan meseimbangan dari sudut perasaan dan pemikiran.

Penulis baharu mendominasi senarai nama pemenang kali ini. Persaingan pemenang kategori rencana menarik kali ini. Banyak rencana yang dihasilkan. Banyak idea baharu yang menjadi fokus pengisian.

Pemilihan dilakukan dengan melihat kesignifikanan ilmu atau pengetahuan kepada perkembangan kesusasteraan, terutamanya dalam menjana gaya berfikir cara baharu.

Jika ini dapat dicetuskan, karya mempunyai peluang untuk dilonjakkan sebagai pemenang. Namun, HSKU dalam penilaian umumnya mengetepikan hasil tulisan yang bersifat sorotan buku atau ulasan majlis-majlis sastera yang tertentu. Kategori Rencana dalam HSKU menuntut sesuatu yang lebih daripada itu, sementelah hadiahnya pun kali ini ditingkatkan.

Untuk edisi kali ini juga, dijangkakan dua antologi diterbitkan; satu himpunan karya berupa cerpen (umum), puisi dan rencana pemenang tahun 2015 dan 2016, antologi cerpen (remaja) tahun 2015 dan 2016, dan cerpen media baharu tahun 2016.

Selain itu, sebanyak 6 pemenang novel dijangka diterbitkan. Jika waktu mengizinkan, difahamkan ada pula karya peserta yang tidak berpeluang memenangi hadiah, diterbitkan.

HSKU sebenarnya terus kukuh sebagai wadah penting sebagai ukurtara karya berkualiti ranah kesusasteraan kebangsaan. HSKU telah berperanan memperkukuh, membawa kesegaran atau sesekali menyedarkan bahawa kesusasteraan kita belum lumpuh.

HSKU telah banyak menabur baktinya, selain KU dilihat terus komited memperjuangkan maruah kesusasteraan, dukungan penaja serta penulis Malaysia amnya dilihat sangat bermakna demi mengangkat tinggi kedudukan kesusasteraan kebangsaan kita.