Kami tidak pusing akan hal itu. Yang penting kami dapat balik kampung bertemu sanak-saudara, sahabat-handai dan kenalan. Tiba di rumah menjelang petang. Sejam dua lagi, azan akan berkumandang, tanda iftar buat hari terakhir tahun ini.

“Apa khabar, mak, ayah?” ayat lazim ketika kami bersalam dengan mereka. Sudah lebih enam tahun, kami balik seperti ini. Pernah sekali sahaja kami beraya sendiri di Petaling Jaya kerana isteri dalam pantang.

Kami berehat sambil berbual kosong menantikan waktu iftar. Rasa letih memandu membuatkan mataku agak mengantuk. Namun suasana menjelang raya yang lama tidak aku rasakan membuatkan aku lawan rasa kantuk itu.

“Assalamualaikum, mak hajjah.” Sebentar, bertalu-talu pula salam diutus. Jiran-jiran mula menyerang. Tak sempat nak salin bekas, datang lagi seorang dua tetamu. Aku dan isteriku cuma jadi tukang sambut, sementara emak dan adikku salin lauk dan isi dengan lauk kami pula.

Sehari sebelum hari raya, sudah penuh meja makan kami dengan lauk-pauk dan hidangan jiran tetangga. Adat ‘munjung’ yang telah sekian lama diamalkan tetap menjadi salah satu etos hari raya. Jiran-jiran mula menghantar hidangan ke rumah kami.

Variasi juadah daripada yang berat seperti ketupat, lemang, nasi himpit, lepat dan nasi beriani kepada aneka lauk dan kuih-muih. Mendahului senarai lauk sudah pasti masak lodeh, rendang, gulai, masak kicap, sambal goreng, serunding dan macam-macam lagi. Kuih tradisi pula seperti dodol, wajik, rengginang, tumpi serta kuih bangkit.

“Wah, banyak benar hidangan buka puasa kali ini, mak!” aku teruja. Suasana ini memang kami nanti-nantikan, biasa berbuka ala kadar saja. Iyalah juadah beli, banyak mana sangat. Cuma masalahnya, nak sental di mana. Perutku kecil sahaja. Ha... ha!

Selepas memimpin bacaan doa, aku menjamah apa yang aku idam-idamkan sejak tadi, lepat kacang. Puh! Macam lepaskan geram, dua batang aku habis makan dengan rendang dan serunding. Perutku yang runcing terasa sendat.

“Kiron, cuba rasa lodeh ni, Kak Yanur yang buat. Tak kan kau tak ingat,” ujar bapa. Tersentak aku dengar nama itu. Siapa tak tahu kalau dia yang buat lodeh, memang ummp! Segera pula aku capai bekas lodeh yang bapa unjuk. Kuah lodeh paling sedap digandingkan dengan nasi himpit atau ketupat.

“Hmm, memang kelaslah lodeh Kak Yanur!” komenku. Emak dan adikku unjuk pula nasi beriani dan rendang kambing. Wah..tak boleh tahan ni, hatiku menggerutu. Perutku semakin padat, hidangan masih banyak lagi yang belum aku jamah. Sudah beberapa kali aku sendawa.

Isteriku juga tak kalah hebatnya. Bukan sahaja makanan berat, malah kerepek, wajik dan dahlia sempat dicapainya. Dalam susah-susah menjaga Faris dan Danny, anak-anak kami, masih sempat juga semuanya masuk ke tembolok.

Lebih setengah jam juga kami di meja makan. Sudah tak daya nak isi perut lagi. Aku hirup pula air katira sebagai penutup. Ada lagi dua jenis air yang tidak sempat aku rasa. Kemudian, kami mula merangkak untuk menunaikan solat Maghrib dengan susah-payahnya.

Ini belum hari raya lagi. Biasanya, pagi esok lagi meriah acara ‘munjung’ masyarakat Jawa ini. Benar tebakkan aku. Seusai waktu subuh lagi, jiran-jiran bertali-arus menghantar juadah dan semakin sibuk pula tangan kami meladeninya. Rata-rata hampir sama pula menunya.

Aku dan Faris dah siap berbaju Melayu bersampin sedondon. Isteriku belum bersiaga lagi. Orang perempuan memang terpaksa lambat sikit, menyiapkan Danny lagi. Emak ajak kami makan dahulu, memang itu antara perkara sunat sebelum solat hari raya. Aku pegang perut. Kenyang semalam masih terasa lagi. Tapi terliur juga tenguk makanan yang berlambak di atas meja.

Pandangan aku tertumpu pada menu yang baharu aku jumpa, burasak. Wah, inilah yang aku tunggu-tunggu, semalam tak ada! Burasak, jarang aku jumpa. Orang Bugis sahaja yang mahir. Ini mesti daripada Kang Kasmuri, sebab dia sahaja satu-satunya keluarga Bugis di kampung kami. Terus aku jamah juadah itu.

Aku dan Faris menikmati burasak dengan penuh selera. Apa lagi digandingkan dengan rendang ayam, kuah kacang dan kerutup daging. Penuh semula perutku. Mujur isteriku mengingatkan waktu yang kian meninggi. Jam 8.30 pagi, sudah mula solat sunat Aidilfitri, sempat lagi.

Siap solat, aku terus balik ke rumah. Aku tidak turut serta ‘barakan’ orang kampung, iaitu kumpulan marhaban dari rumah ke rumah. Dulu, masa zaman sekolah, aku suka juga ikut kerana dapat duit raya yang agak lumayan.

Sampai di rumah, isteri dan anak kecilku sudah sedia dengan gayanya. Kami ambil beberapa pos istimewa di beberapa ruang rumah pusaka embah itu. Sebelum kumpulan marhaban tiba, sempat kami bermaaf-maafan sesama keluarga. Dalam bahasa kami disebut ‘bathanan’.

Adat orang Jawa ketika bermaaf-maafan ini masih kekal unik. Kami akan duduk bersimpuh, salam dan luahkan satu persatu. Ketika inilah, jika ada kesilapan peribadi akan dilafazkan dengan ikhlas. Mohon halalkan makan minum dan luputkan segala kesalahan. Ada ketikanya hampir setengah jam adegan itu berlaku.

Air mata akan mengalir secara spontan dan suasana hening seketika. Isteriku walaupun orang utara, akhirnya akur dengan cara kami. Malah dia lah yang lebih menangis daripada kami. Entah-entah banyak kot dosanya kepadaku, hati nakalku mengusik.

Sempurna ‘slot’ bermaaf-maafan, emak ajak aku jenguk ke dapur lagi, ‘mentong’ katanya. Tadi..., aku dan Faris dah makan kali pertama, bila kali kedua ni disebut ‘mentong’. Aku pandang isteriku. Dia mengisyaratkan dengan anak mata kerana dia memang belum makan lagi.

Aku terkejut kerana lauk-pauk semakin bertambah, berkat orang ‘munjung’. Mak ai, siapa yang nak makan sebanyak ni? Mulanya aku rakus juga memilih juadah yang belum aku jamah lagi.

Aku rasai ketupat daun palas pemberian Mek Wan, jiran baru keluarga aku, orang Kelantan. Aku cicah dengan serunding ikan, cuba mengimbangi nutrisi yang aku rasa sudah tidak seimbang.

Tiba-tiba aku rasa perutku meragam lagi. Sebenarnya masuk kali ini, sudah tiga kali aku melepas. Tentu salah makan atau memang kandungannya lebih muatan. Keluar dari bilik air, aku lihat longgokan makanan yang tidak habis semalam emak buang ke dalam besen di tepi dapur. Masya-Allah! Banyaknya makanan! Mataku buntang.

Teringat aku akan kanak-kanak gelandangan yang aku temui berkeliaran di PJ. Kadang-kadang mereka meminta-minta dariku untuk sesuap nasi. Ada ketikanya, aku lihat mereka menyelongkar tong sampah dan makan sisa-sisa buangan. Hatiku merudum hiba. Mereka kelaparan dan kekurangan makanan, sedangkan kami buang sahaja makanan yang masih elok.

Berdetik juga di hatiku, analisis berita yang menyatakan saban hari, puluhan tan makanan di buang di negara tercinta ini. Ah, aku lihat pula longgokan makanan di atas meja rumah emak yang masih belum disentuh itu. Kebanyakannya tidak tahan lama dan akan basi jika tidak dimakan.

Apa akan jadi dengan makanan itu?. Aku yang gelojoh ini pun tak mampu nak makan dua tiga kali. Apakah ia akan menerima nasib yang serupa dengan lauk-lauk kelmarin? Aku jadi takut pula untuk mendekati meja itu.

Sebentar kemudian, rombongan ‘barakan’ kampung sampai ke rumah kami. Aku bisik kepada emak agar jamu mereka dengan juadah yang bertimbun di atas meja itu. Emak dan ayah angguk, tanda setuju.

Biasanya mereka tidak makan banyak kerana telah melewati rumah-rumah lain di kampung itu. Setiap kali singgah..., tak banyak makan, seteguk air pun masuk juga. Tapi apabila melihat juadah aneka jenis yang enak di rumah kami, lain pula selera mereka.

Petang ini, aku tidak lihat lagi longgokan makanan elok dibuang ke dalam tong sampah di belakang dapur. Malam nanti, giliran kumpulan lain pula akan ‘barakan’ dari rumah ke rumah orang kampung. Aku senyum ke arah isteri dan anak-anak kecilku.