Mulianya dia bukan kerana nama

Mulianya dia bukan kerana kata

Tetapi mulianya dia kerana jiwa.

Kau mulia tetapi kau tidak berguna

Kau mulia tetapi kau berdusta

Kau mulia kerana kau menggunakan harta

Kelak muliamu akan hilang dimata dunia.

Kau punya wajah yang cantik

Kau punya harta yang banyak

Kau punya akal yang pintar

Tetapi jiwamu kecil malah 
hampir mati.

Tepukan yang sangat gemuruh bergema sebaik sahaja Farhan selesai mendeklamasikan sajak di atas pentas itu. Pentas yang membawa sejuta makna buat dirinya.

Pengumuman dibuat. Farhan menempa nama sebagai sang juara. Piala dijulang titisan mutiara diseka. Tidak mampu berpijak dibumi nyata tatkala ternampak kelibat yang dicintainya di belakang dewan. Insan yang sudah lama pergi dari dunia ini. Akibat hilang pedoman diri,musnahlah sebuah cinta yang hakiki.

“Bu,maafkan An bu. An minta maaf.” Gelodak jiwa ditahan. Rindu semakin membeban. Hati kuat mengatakan yang dibelakang itu hanyalah sebuah khayalan.

Langkah diatur menuju ke sebuah perkampungan. Perkampungan yang menjadi tempat bersemadinya insan yang sudah terpisah rohnya dari jasad. Batu tanda dibaca satu persatu. Nombor dibilang umpama angka giliran sesudah berakhirnya perjalanan.

Derapan kaki dipercepatkan. Jatuh melutut bila tiba di tempat yang dihajatkan.

“Bu. An dah menang. An dah berjaya. Tadi ibu ada datang tengok An ke? An bahagia. An berjaya. Terima kasih untuk semua doa ibu.”

“Kau buat apa kat sini? Tak payah nak menyemak kat sini. Kau punca mak kau mati. Kau berambus dari sini!” tanpa diduga, jasad ayahnya menghampiri sambil memaki. Kaki masih belum mahu berganjak.

“Kau berambus dari sini kalau tak nak aku bunuh kau dengan parang ni!” sebilah parang diacu. Kaki dengan berat melangkah menjauhi batu tanda tempat bersemadi insan kesayangannya.

Dari jauh ternampak kelibat dua orang abangnya yang sedang menghampiri. Airmata semakin deras mengalir. Dia sangat merindui mereka. Tanpa berlengah,kakinya terus melangkah menjauhi mereka sebaik matanya menangkap jelingan amarah dari ayahnya.

Akhirnya dia tiba di situ. Dari kecil dia sering ke situ. Bersama ibu dan ayah serta adik beradiknya. Betapa indahnya kenangan itu. Satu persatu kisah betapa bahagianya kisah hidupnya satu ketika dahulu terpapar di hadapannya. Ibu menyediakan makanan. Ayah memotong kayu. Dia dan abang-abangnya bergurau senda di beranda. Rumah lama mereka. Rumah yang mereka sekeluarga duduki sebelum peristiwa itu terjadi.

Minda semakin galak memutar cerita sedih. Fikiran menerawang jauh. Imbasan saat-saat kematian ibu semakin jelas di ruangan mata.

Petang itu,mereka tiga bersaudara sedang seronok bermain di halaman rumah sebelum seorang rakan karib abang, Abang Lan tiba.

“Faris, jom ikut aku pergi satu tempat ni. Seronok tau. Kau boleh jadi Superman!”

Abang mengikutnya. Membiarkan kami menyambung permainan yang terhenti. Gasing dilempar jauh lalu terkena kaki ayah. Kami berlari ketakutan sebaik sahaja ayah memalingkan mukanya kepada kami. Ayah tersenyum senang melihat keakraban dan keriangan kami.

Sebelum senja melabuhkan tirai,abang pulang. Perjalanannya terhuyung hayang.

“Kenapa dengan kau ni Faris? Kau sihat ke tak?” ayah bertanya. Riak kerisauan terpapar jelas pada raut wajahnya.

“Faris bahagia yah. Tadi Faris jumpa bidadari.”

Ayah malas mahu melayan abang. Malam itu, kami sekeluarga makan malam sambil berbual ceria. Kiranya, itulah kali terakhir mereka sekeluarga menyisip nikmat bahagianya berkeluarga.

Malam itu, sebelum kami bertiga melelapkan mata, abang sudah berpesan supaya kami berpura-pura tidur. Dia tidak membenarkan kami tidur awal kerana ada benda ajaib yang mahu ditunjukkannya kepada kami.

Sedang kami berpura-pura tidur, kedengaran bunyi ketukan pintu yang bertalu-talu. Seakan tidak mahu berhenti. Tidak lama kemudian ketukan berhenti lalu terdengar suara ayah yang memberitahu ibu dia akan pulang ke rumah secepat mungkin. Ayah sememangnya menjadi tumpuan penduduk kampung jika berlaku sesuatu musibah kerana dia adalah seorang ketua kampung.

“Dah korang bangun cepat. Kita buat sekarang.”

“Buat apa bang?” Farid bertanya.

“Nak jadi Superman tak? Kalau nak tolong ambil pisau di dapur.”

Farid dengan pantas pergi ke dapur.

Tidak lama kemudian, Farid tiba dengan sebilah pisau di tangan. Dia lalu menyerahkannya kepada Faris. Faris lalu mengeluarkan sebuah plastik yang terdapat serbuk putih di dalamnya. Faris lalu mengoyakkan plastik tersebut menggunakan pisau.

Aku berasa mengantuk menunggu Faris menyiapkan peralatannya untuk membenarkan kami berubah menjadi Superman. Akhirnya aku tertidur. Tidurku terganggu sebaik sahaja terdengar ibu menjerit memarahi Faris dan Farid.

Aku terkejut kerana sebaik sahaja aku membuka mata, terlihat ibu menggelupur kesakitan dengan sebilah pisau tertanam di perutnya. Faris dan Farid pula hanya terkaku di penjuru bilik. Aku segera berlari ke arah ibu lalu mencabut pisau itu dari perutnya.

Sebaik sahaja aku mencabut pisau tersebut, ayah membuka pintu bilik. Ayah terus mendapatkan ibu dan menolakku ke tepi. Dia menjerit sekuat hati. Airmata jantannya terus mengalir. Dipanggilnya Faris dan Farid dan memeluk mereka. Aku? Aku dihalaunya keluar dari rumah.

Sungguh ayah tidak adil kerana tidak menyiasat perkara tersebut. Dia telah menuduhku membunuh ibu. Aku juga sedar, Faris berkelakuan seperti petang itu. Berjalan terhuyung hayang. Aku tidak tahu apa yang berlaku.

Keesokan harinya, Mak Su membawaku pergi ke upacara pengebumian arwah ibu. Ayah menghalauku. Dia tidak ingin melihat wajahku. Dia telah menuduhku sebagai punca kematian ibu. Aku melihat Faris dan Farid dengan harapan mereka menghalang ayah dan menjelaskan apa yang berlaku semalam. Tetapi mereka cuma mampu melihatku dihalau oleh ayah dengan wajah yang simpati.

Kini,sudah genap tiga tahun pemergian ibu. Hari ini, tarikh ini. Tarikh ini menjadi saksi kematian ibu di tangan entah siapa. Farid atau Faris yang menjadi pembunuh ibu tidak ku hirau. Aku Cuma mahu bersama ibu. Aku merinduinya.

Aku mendeklamasikan sajak tadi khas untuk Faris dan Farid. Kerana mereka, aku dibuang keluarga. Kerana mereka, aku dihina. Mereka dianggap mulia. Apatah lagi apabila pihak polis menjumpai plastik berisi serbuk putih itu, mereka berdua menuduh ia kepunyaanku. Aku ditempeleng ayah. Aku ditendang ayah. Aku dianggap anak derhaka. Perit tiga tahun lalu masih terasa. Meskipun aku dijaga dengan kasih sayang oleh Mak Su, aku tetap rindukan kasih seorang ibu. Aku merindui indahnya belaian seorang ayah. Bahagianya bermain bersama abang-abangku.

Selamat tinggal dunia. Semoga kalian merinduiku. Semoga kita berjumpa di sana. Ibu, aku akan datang kepadamu.