Pada waktu itu saya hanya anggap ia cerita picisan yang tidak selayaknya diangkat menjadi bahan berita, melainkan untuk memancing selera pembaca kolot di kampung. Harap saudara tidak tersinggung dengan kata-kata orang `radikal kiri dan `liberal totok’ seperti saya. Kawan-kawan kita kata, saya terlalu kerap turun ke Kuala Jerlus. Membuang masa berjalan dan minum bersama buruh-buruh India di dermaga. Mereka kata Profesor Roolvink berkawan dengan hantu. Bahawa saya simpan tengkorak Hayy bin Yaqzan di bawah bantal pada setiap malam. Nakal betul kawan-kawan kita ini. Tuhan menjadi saksi saya saudara, bahawa kekerapan saya menjelajah kota tua itu tidak lebih daripada obsesi seorang sejarawan terhadap bahan kajiannya.

Saya membaca catatan Ian Proudfoot, antara tahun 1885 dan 1920, naskhah Hikayat Nakhoda Ragam dicetak 14 kali di Singapura dan Kuala Jerlus. Sahabat baik kita, Profesor Pinto, berpendapat edisi keduanya dicetak dengan litografi oleh syarikat Mercantile Press di Pulau Pinang. Tetapi kita pun tahu, Mercantile Press Pulau Pinang hanya pejabat cawangan Mercantile Press Kuala Jerlus. Mana mungkin mereka akan mencetaknya serentak. Kebanyakan cetak ulangnya diterbitkan dalam huruf Jawi. Terdapat empat cetakan ulang dengan aksara rumi pada tahun 1905, 1908, 1916 dan 1918. Salah satu cetakan rumi ini rasanya yang kemudian digunakan oleh syarikat Sinaran Bros pada tahun 1960-an dengan suntingan oleh Encik Mansur Sanusi. Buku mereka juga akhirnya yang sampai ke tangan saya ketika saya sedang membuat penyelidikan di perpustakaan universiti. Saya mencari buku al-Attas, kalau tidak salah. Tetapi takdir sebaliknya menemukan saya dengan Hikayat Nahkoda Ragam. Maaf ya Prof. Sayid!

Edisi cetak 1885 ini saya sebut sebagai Edisi Hussein kerana dialah yang menyalin daripada manuskrip asal. Nama Hussein sudah tentu tidak asing buat saudara kerana dia juga orang sama yang menyalin Hikayat Abdullah untuk Alfred North. Saya dan Profesor Pinto sama-sama bersependapat bahawa manuskrip ini asalnya berada dalam simpanan skriptorium seorang hartawan keturunan Bugis bernama Hajah Fatimah di Kampung Glam, Singapura. Tidak mustahil wanita ini yang mengupah Hussein untuk menyalin. Jadi ke mana hilangnya manuskrip itu? Mungkin dijual, mungkin ada orang melarikannya ke Melaka sewaktu kampung itu terbakar. Api dipercayai bermula dari rumah Hussein, tempat di mana mayatnya kemudian ditemui.

Saudara yang memang terdidik dalam bidang filologi tentu sudah hilang sabar membaca huraian saya yang panjang ini. Bila waktunya hendak masuk ke dalam kandungan manuskrip asal? Moga saudara bertahan lebih lama dengan saya kerana realiti sebenar tidak semudah yang saudara fikirkan. Kalau mengikut edisi 1885, Nakhoda Ragam berasal dari Siak. Jurai keturunannya dikatakan berpangkal dari Gatotkaca, raja negeri atas awan bernama Hiranyapura. Edisi 1885 hanya membataskan pelayaran Nakhoda Ragam dari Kedah ke Lingga. Tetapi saudara akan ketahui sendiri nanti bagaimana versi-versi manuskrip ini, tidak dapat tidak mempunyai kesan-kesan yang ditinggalkan akibat tindakan melulu oleh para penyalin yang terlibat. Ada yang menambah, ada yang mengurangkan fakta. Ada yang memendek, ada yang memanjangkan cerita. Malah ada yang mengubah bahasanya supaya tunduk kepada agenda peribadi tukang penyalin. Sungguh berani dan jelik! Tetapi satu keunikan dalam salinan yang dibuat oleh Hussein ialah bahagian yang mana Nakhoda Ragam singgah ke Temong, Perak. Ketika di sana Nakhoda Ragam berkahwin dengan seorang puteri berdarah putih. (Mahsuri versi Perak?). Legenda ini disokong oleh R. O. Winstedt dalam buku A History of Perak.

Kekeliruan saya bermula apabila saya menemui catatan mengenai Nakhoda Ragam dalam Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia terbitan tahun 1891. Saudara ingat James Low? Manusia buta perut yang melarikan manuskrip Hikayat Merong Mahawangsa milik Sultan Ahmad Tajuddin. Kita boleh abaikan cerita fantasinya diburu oleh orang-orang gabenor Ligor dan bagaimana dia mendapat naungan Puteri Lindungan Bulan di Pekan Lama. Perhatian kita harus tertumpu pada baris-baris yang mengatakan bahawa negeri Siam dibuka oleh Nakhoda Ragam bersama seorang putera raja Kedah dan bagaimana raja Siam sendiri adalah keturunan raja-raja Kedah. Saudara tidak akan menemui petikan ini dalam mana-mana versi lain. Sumber rujukan James Low ialah Hikayat Nakhoda Ragam yang, menurutnya, disalin oleh seorang saudagar keturunan Jawi Peranakan. Benar saudara, saya pun terfikir nama Mohamed Naina Marikan ketika membacanya. Mungkin kenalan atau saudara keturunan Marikan juga yang kemudian mewariskan salinan naskhah itu kepadanya. Tetapi nasib saya malang kerana James tidak menurunkan nama penyalin. Saya menyumpah berkali-kali.

Saya biarkan ia berlalu saudara. Saya meneruskan kerja seperti biasa di universiti. Kenapa saya patut pedulikan kisah pelayaran seorang nakhoda yang datang dari negeri antah berantah? Terlalu banyak unsur mitos dan tahayul untuk dipandang serius sebagai teks sejarah. Bulan demi bulan berlalu dan nama Nakhoda Ragam mula luntur daripada fikiran saya. Tetapi pada suatu malam namanya datang semula seperti mayat bangkit dari kubur. Saya baru selesai menghadiri kolokium mengenai jumpaan arkeologi manusia prasejarah di sekitar kawasan Seberang Perai. Dalam perjalanan pulang ke Tanjung, saya mendapat panggilan daripada Encik Dibab Salleh, pemilik syarikat percetakan United Press. Katanya buku Hikayat Kehidupan Percintaan yang saya pesan tempoh hari sudah siap dicetak semula. Maka, seperti seorang pemuda bakal mendapat hadiah daripada kekasihnya, saya pun memecut kereta ke Datuk Keramat Road. Malam itu hujan agak lebat. Saya nyaris terlanggar papan tanda yang saya sangka kelibat seorang pendekar Melayu. Bayangkanlah betapa berdebarnya saya hendak mendapat buku baharu! Encik Dibab menunggu saya di belakang gudang berkain pelikat dengan secangkir kopi dan rokok daun terjepit di tepi telinga. United Press sudah wujud semenjak tahun 1928 dan Encik Dibab pun menunjukkan kepada saya koleksi akhbar, majalah dan buku yang mereka pernah terbit. Tiba-tiba di celah timbunan buku lama itu saya ternampak nama Nakhoda Ragam berhuruf jawi. Saya tersandar terus ke dinding. Badan saya menggigil. Encik Dibab mesti ingat saya sudah gila agaknya. Selepas minum teh cenderawasih yang dibuat oleh Encik Dibab, baru hati saya kembali tenang.

Buku itu bertarikh 1880 dan ia disalin oleh Habib Marikan. Lima tahun lebih awal daripada Hikayat Nakhoda Ragam edisi 1885.

Kalau saudara berpeluang meneliti Edisi Habib, saudara akan mendapati bukunya jauh lebih nipis, sekitar 84 halaman sahaja berbanding 150 halaman dalam Edisi Hussein. Dicetak ulang oleh United Press pada 1930 berdasarkan sebuah naskhah dari Semarang. Terdapat banyak kesalahan ejaan, terutama sekali nama tempat, seolah-olah penyalin terburu-buru membuat kerja. Dalam edisi ini Nakhoda Ragam dikatakan anak kepada Sultan Suleiman dari Brunei. Dia telah belayar sehingga ke pantai barat India dan di situ Nakhoda Ragam dan Hang Tuah sama-sama merompak kapal perang milik Portugis. Hang Tuah bekerjasama dengan Nakhoda Ragam? Saya ketawa juga membacanya. Apatah lagi apabila digambarkan Nahkoda Ragam menyelamatkan Hang Tuah yang dikepung oleh sepuluh orang soldadu Portugis. Mulut Hang Tuah terlopong sambil tangan menahan luka peluru di perut. Kasihannya Hang Tuah!

Esoknya saya menghubungi universiti untuk menangguhkan kuliah dan langsung memandu kereta ke Alor Setar. Saya ingin menemui Pinto yang mungkin boleh membantu saya mencari naskhah asal Edisi Habib. Dia lebih kerap melakukan penyelidikan di Indonesia berbanding saya. Sepanjang perjalanan saya menelefon Pinto, tetapi tidak ada suara yang menjawab. Dia baru sahaja pindah ke rumah lama mendiang isterinya di Lorong Tunku Muhammad. Sebulan sebelum itu, sahabat baik kita ini ada menghubungi saya ketika saya sedang menyediakan kertas kerja seminar Hikayat Perintah Negeri Benggala. Saya sangka dia ingin ajak berbincang kerana Pinto memang jenis tidak boleh tidur malam sebelum apa-apa seminar. Lagipun seminar ini penting buat Pinto kerana dia boleh membahaskan sumbangan Ahmad Rijaluddin sambil memijak pendirian saya tentang Abdullah Munsyi. Ish, ish, jahatnya.

“Kamu percaya ada dunia di atas dunia ini?”

Saya tidak tipu saudara, memang itu benda pertama Pinto tanya sebaik sahaja saya menjawab telefon. Suaranya juga bergaung seolah dia sedang bercakap dari sebuah tempat yang gelap dan kosong. Saya tidak ingat apa saya kata, mungkin saya diam kerana terlalu takut diajukan tiba-tiba soalan yang begitu serius.

“Kamu mencari sesuatu daripada dunia yang tidak boleh dimengertikan. Kamu hanya bayang-bayang di antara bayang-bayang dan bayang-bayang di antara bayang-bayang lain.”

Sekali lagi suaranya tidak jelas. Saya berlari-lari keluar rumah mencari isyarat. Saya semakin takut membayangkan keselamatan Pinto. Tetapi kemudian talian putus. Esoknya dalam dewan seminar, Pinto membentangkan kertas kerja seperti biasa dan kami tidak bercakap tentang apa yang telah berlaku.

Ketika saya sampai ke Lorong Tunku Muhammad, bomba sedang memadamkan api kebakaran di rumah Pinto. Jiran tetangga kata mereka dikejutkan oleh lolongan yang kedengaran seperti seekor binatang buas. Dan seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui kawasan itu sempat melihat tubuh terbakar Pinto melompat keluar dari tingkap atas sebelum dia merangkak-rangkak ke arah selokan. Tidak ada sebarang sisa tulang ditemui pada mayat rentungnya. Saya menjelaskan kepada polis mengenai hubungan saya dengan Profesor Pinto dan mereka pun membawa saya masuk ke kamarnya untuk membantu penyiasatan. Betapa ajaibnya saudara, buku, kertas dan manuskrip milik Pinto terselamat daripada kebakaran. Padahal katil, almari dan dinding semuanya hangus. Di atas meja tulisnya juga terletak naskhah-naskhah salinan Hikayat Nakhoda Ragam.

Jujur saudara, saya sangat terkilan dengan apa saya temui. Selama ini Pinto menyembunyikan edisi-edisi berbeza hikayat tersebut untuk kepentingan dirinya. Adakah dia fikir saya tidak cukup layak atau sungguh-sungguh membuat kajian? Patutlah dia meninggalkan Pulau Pinang. Dia tidak mahu saya mengetahui rahsia berharganya. Saya kemudian menyewa bilik di Hotel Samila. Saya berulang-alik ke balai polis untuk meneliti setiap satu edisi salinan. Pertama, terdapat edisi terjemahan bahasa Perancis oleh Edouard Dulaurier yang dicetak ulang pada 1943 (saya harap suatu hari nanti saudara dapat memindahkan teks ini kembali ke bahasa asal). Pada bahagian belakang buku disertakan beberapa keping foto naskhah salinan asal dalam tulisan Jawi. Ditulis pada setiap foto nama Lebai Mamat, barangkali penyalin dan pengarangnya. Berdasarkan nota kaki yang dibuat oleh Pinto, naskhah Lebai Mamat kini berada di Universiti Leiden dalam koleksi H. C. Klinkert (Kl. 59). Manuskrip itu berukuran 22 sm x 17 sm dengan dakwat berwarna hitam. Pengarang turut melukis bingkai berkerawang bunga warna-warni pada setiap halaman. Pinto berpendapat salinan ini dibuat lebih kurang pada waktu sama dengan Edisi Hussein, malah mungkin dari sumber yang sama kerana hanya ada sedikit perbezaan mengenai tempat-tempat yang Nakhoda Ragam singgah dalam pelayarannya. Kemudian terdapat edisi Raja Ali Haji yang berpendapat Nakhoda Ragam berasal daripada keturunan Bugis. Sayang sekali naskhah ini sudah kuning dan berlubang-lubang kertasnya sehingga mustahil untuk dibaca.

Sebenarnya naskhah yang paling dipuji oleh Pinto ialah edisi terjemahan Inggeris yang dibuat oleh Jonas Daniel Vaughan berjudul The Legend of Nakhoda Ragam. Diterbitkan secara terhad dengan sampul kulit keras berwarna hijau oleh Royal Printing Work, Kuala Jerlus, pada 1857. Vaughan menggunakan naskhah yang dikarang oleh seorang penduduk asal Pulau Pinang bernama Haji Mohamed Salleh. Pinto percaya ini ialah manuskrip Hikayat Nakhoda Ragam yang paling tua. Barangkali dikumpul daripada sumber lisan oleh pengarangnya. Pinto sendiri telah meneliti manuskrip tersebut dan dia menyenaraikan lebih daripada 45 pengaruh bahasa asing di dalamnya. Pinto menerima manuskrip itu sebagai `amanah’ daripada seorang lelaki budiman di Kuala Jerlus bernama Salgari. Edisi Vaughan meriwayatkan kisah Nakhoda Ragam dari zaman kegemilangan praja Langka, praja Uttaku, praja Sardath sehingga kepada perkahwinan Nakhoda Ragam dengan Puteri Gunung Ledang. Beliau akhirnya meninggal dunia akibat tercucuk jarum yang digunakan oleh Puteri Gunung Ledang untuk menjahit baju.

Di tahun-tahun kemudian saya melihat dengan cemburu kajian yang dibuat mengenai Hikayat Nakhoda Ragam, mengetahui bahawa manuskrip asalnya ada di tangan seseorang. Sehingga pada suatu hari Tuhan mengabulkan doa saya dan saya menemuinya dalam bungkusan pos di atas meja pejabat. Agak lama saya berdiri memegang kitab agung itu yang terasa seperti baru turun dari petala langit ketujuh! Selama setahun saya mengurungkan diri membuat salinan demi salinan. Itu sahaja kebenaran yang saya tahu. Itu sahaja kebenaran hidup yang saya inginkan.

Tugas saya sudah selesai saudara. Tetapi kisah pelayaran Nakhoda Ragam harus diteruskan. Ini adalah amanah dan tanggungjawab besar dalam sejarah tamadun manusia. Maka dengan ini saya mengucapkan selamat tinggal. Saya menyerahkan manuskrip Hikayat Nakhoda Ragam kepada sahabat dan pembaca saya yang paling setia. Amin.