Telur itu tenggelam, namun tidaklah sampai ke dasar balang yang berisi air garam. Nanti, apabila cukup 10 biji, dia akan menutup bekas tersebut dengan ketat. Begitulah selalu yang dibuatnya. Setelah seminggu, barulah boleh direbus untuk dimakan.

“Habis tu, awak pulun buat telur masin untuk siapa?” Adi terus mengelap meja.

Dilah tidak bersuara. Riak muka melukiskan rasa yang sukar ditafsirkan. Bukan dia benci. Tetapi, entahlah!

Kediaman yang dihias seperti istana itu tersusun kemas perabotnya. Langsir bercorak bunga vantage itu terbuai-buai disapa angin lalu. Pelbagai pasu bunga tinggi diletakkan di setiap sudut ruang.

“Balik tau. Jangan lambat sangat.” Mariam bercakap di telefon. Beberapa saat selepas memberi salam, talian ditamatkan.

“Amboi, mak! Semua mak telefon suruh balik. Kenapa mak tak telefon Abang Long sekali?” Syakirah sempat menempelak.

“Eh..., Abang Long kau tu, kalau tak telefon pun, tercangak je muka dia anak beranak kat rumah ni.” Mariam menjawab megah. Ada dengusan di hujung kata-katanya.

“Abang Long tak balik ke mak?” Syakirah menyoal di penghujung Ramadan.

“Kalau dia ada pun, bukannya dia yang bagi duit untuk jamuan kat rumah kita ni.” Wanita bersanggul tinggi itu merungut.

“Itulah, kahwin pun dengan orang susah.” Mariam menambah lagi.

“Mak..., bukan Kak Long yang kena sara kita!” Syakirah mengingatkan Mariam.

Wanita itu terus menjuih apabila ditegur begitu.

Dilah mula memanaskan minyak. Baru hari ini, dia sempat menyediakan bawang goreng. Sesekali, dia menjeling Adi yang leka memotong cili.

“Siap,” ujar Adi. Dia bangun membasuh tangan.

Dilah mengangguk. Begitulah setiap tahun. Cili itu nanti akan direbus, dikisar lalu ditumis untuk dijadikan bahan perasa yang dimakan bersama bihun sup.

“Awak, kalau ada apa-apa nak cakap, cakap je lah.”

“Eh, awak tahu? “Dilah buat-buat tanya. Tersengih-sengih dia di hadapan Adi.

“Saya ni suami awaklah!” Sempat Adi mengenyitkan mata kepada Dilah.

“Saya malas nak balik rumah mak.” Terluah jua apa yang lama membenam dalam jiwa.

Adi termenung sebentar.

“Kalau awak dah nekad, terpulanglah. Saya tak paksa.” Seulas senyuman dihadiahkan kepada Adi.

“Betul?”

“Tak jatuh pun maruah saya, kalau sesekali tunaikan kehendak isteri kan?”

Saat itu, mata Dilah digenangi air mata bahagia. Terasa berbalas semua pengorbanannya dalam rumah tangga yang dibina bersama lelaki itu.

Jam di dinding menunjukkan angka 7.15 minit. Mariam merenung ke luar. Kejap-kejap kepalanya beralih kalau ada bunyi enjin kereta yang melintas.

Mariam menuju ke meja makan. Dia labuhkan duduk. Nasinya disenduk sendiri. Air oren juga dituang sendiri ke dalam gelas. Berbeza. Sangat berbeza. Itu yang dirasakan saat ini.

“Ish.., apalah daging ni keras. Ayam pulak masin.” Syakirah merungut. Diletakkannya daging masak hitam itu di tepi pinggan.

“Beli aja.” Raisya, menantu keduanya menjawab. Mujur dia tidak terasa kerana dialah yang membelinya tadi.

“Kenapalah tak masak jer?” Mariam pula mencelah. Dijegilnya Syakirah, anak daranya yang seorang itu.

“Kami mana reti masak? Kalau Kak Long ada, lainlah. Dia yang pakar masakan.” Syakirah pantas menjawab dan dia faham benar maksud jelingan Mariam.

Mariam mendengus. Ngilu terasa di tangkai hati apabila nama itu disebut-sebut.

“Telor masin? Eh..., nak bagi aku darah tinggi ke?”

Terkelip-kelip mata Dilah mendengar kata-kata ibu mertuanya yang setajam pisau itu. Biarpun tidak suka, janganlah sampai dia dihina. Namun, saat panahan mata Adi yang redup memandangnya, Dilah kembali tenang.

Dia tidak berkutik. Seketika, dia menyimpulkan senyum.

“Kalau mak tak makan, boleh bagi kat Mak Ngah. Sedap ni, kalau makan dengan sayur lemak.”

Mariam mencebik.

“Kau bawa balik sajalah. “

“Eh..., janganlah. Orang nak makan,” Syakirah terus menyampuk. Jelingan Mariam, langsung tidak dipedulikan.

“Termenung apa tu?” Adi menyapa.

Habis terbang melayang lamunan Dilah. Dia mengurut dada.

Adi mengambil tempat di sebelah Dilah. Sama-sama duduk di kerusi plastik yang sengaja diletakkan di luar rumah.

“Awak tak perlulah beli baju raya budak-budak tu tahun ni.” Dilah membawa tangannya menggenggam tangan Adi.

Dia mengerti benar keadaan Adi. Pekerjaan sebagai penghantar surat, mana mampu bermewah-mewah. Dia tidak betah menyusahkan suaminya lagi.

Lelaki itu berkerut kening. Matanya yang sebentar tadi melekat pada wajah Dilah, dibawanya ke hadapan. Merenung, menembusi laman kecil rumah mereka.

“Mana boleh. Nanti apa perasaan budak-budak tu. Kawan-kawan yang lain pakai baju baru.” Dada Adi ditumbuk rasa terkilan. Bukan sahaja baju raya anak-anaknya, malahan Dilah belum pernah merasa baju baru sejak berkahwin dengannya. Dia meraup muka dengan sesalan.

“Tahulah saya pujuk nanti. Asalkan zakat fitrah kita, awak jangan lupa bayar.” Dilah menghadiahkan senyuman manis seperti selalu. Sebab itu, Adi andaikan itu senyuman bidadari syurga, kerana melihatnya, rasa hilang semua beban di benaknya.

“Tak merasalah tahun ni, ketupat Kak Long.” Syakirah menjeling Mariam.

Wanita berumur lima puluhan itu berhenti mengunyah. Kuih kerbau guling yang ditelannya terasa berduri. Rasa lapar yang kembali terasa setelah penat bertarawih tadi, mula menghilang apabila nama itu melintas di pendengarannya.

“Eh..., mak pun boleh buatlah. Macamlah sedap sangat ketupat dia tu.” Bibirnya mencebik.

“Mak! Kenapa mak benci sangat dengan Kak Long?”

“Sebab dia miskin. Tak boleh bantu abang kau.”

“Habis tu, nanti Syakirah kena bela suami ker? Kak Long tu, orang yang sangat baik pernah Syakirah jumpa. Pernah ke dia bantah bila mak buat dia macam hamba? Memang dia tak pernah hulur duit. Tapi, dia selalu bawa macam-macam untuk mak. Ketupat tu, tiap-tiap tahun dia buat. Tak pernah dia minta duit. Cili, bawang goreng, semua dia siapkan. Semua tu tak pakai duit?” Syakirah menahan dengusan nafas. Dia bingkas bangun meninggalkan Mariam yang masih terpinga-pinga di situ. Dia puas meluahkan semuanya yang terbuku di dalam hati.

“Allah!”

Jeritan nyaring kedengaran. Syakirah terjaga dari lenanya. Dengan mata terpisat-pisat, dia bingkas bangun. Telinganya menangkap bunyi riuh rendah di dapur.

“Kenapa ni?” Dengan keadaan rambut berserabai, Syakirah terus menerpa ke arah Mariam yang sudah terduduk di atas lantai.

“Kaki mak ni, melecur. Pulut panas tu terjatuh kena kaki mak,” ujar Raisya. Mulutnya muncung mengarah ke arah tumpahan beras pulut yang telah ditanak.

“Mak nak buat ketupat.” Mariam bersuara perlahan. Air mata mula terbit. Sakit menahan kesakitan, dan juga sakit ditimpa egonya sendiri.

Pagi raya yang sepatutnya meriah, disambut dengan sendu. Mariam melihat kakinya yang kemerah-merahan. Kulit yang dulunya bersih, mula melepuh. Tahun ini, sangat berbeza. Dia tidak dapat ke masjid seperti tahun sebelumnya. Hanya duduk bersandar di sofa. Apa pun siaran di televisyen sudah tidak dapat mengusir kesedihannya.

Satu lagi, tiada seseorang yang selalu melayan kerenahnya. Tubir mata mula terbayang susuk lincah yang sibuk menghidangkan juadah raya. Bicaranya yang ramah melayan tetamu, seperti terngiang-ngiang di telinga. Senyumannya yang tak pernah hilang di bibir, walaupun disindir, disergah, disuruh itu dan ini.

“Allah.” Mariam meraup wajah. Titis-titis jernih mula menyentuh pipinya yang tidak lagi semulus dulu.

“Assalamualaikum mak.” Satu suara menyapa. Seraya itu, terasa satu sentuhan di bahunya.

Mariam mendongak. Dengan pandangan berbalam, dia melihat Dilah, Adi dan dua cucunya. Masing-masing sedang tersenyum kepadanya.

Dia bangun perlahan-lahan, terus mendakap erat Dilah. Air matanya tumpah lebih banyak.

Dilah yang terkejut, mencari jawapan daripada Adi. Lelaki itu sekadar menjungkit bahu.

“Dilah, mak mintak maaf. Selama ni, mak layan kau teruk sangat.”

“Eh..., tak ada apa lah mak. Dah-dah, ni Dilah bawa ketupat.” Pelukan tersebut dileraikan. Ketupat di dalam bungkusan plastik, kelihatan berminyak.

Dilah seperti biasa, terus mematikan drama yang sudah dia tahu pengakhirannya. Laju dia melangkah ke dapur bersama ketupat yang dibawanya. Sampai di dapur, dia mengesat air mata yang sejak tadi bertakung. Dalam hati, dia bersyukur, setelah diuji bertahun-tahun, akhirnya buah sabar itu muncul jua.

Dilah sedar, tiada yang sempurna. Dia bukan menantu bidadari, dan mentua bukan malaikat.