Nur Hidayah masih ingat peristiwa menjelang Aidilfitri tahun lalu. Emaknya dirawat di hospital kerana perlu menjalani pembedahan usus. Aidilfitri kali ini emaknya sihat dan Nur Hidayah sangat gembira dengan keadaan itu.

“Mak, sepertinya tahun ini tidak ada tetamu yang akan menginap di rumah kita, ya! Biasanya menjelang Aidilfitri, selalu ada pelanggan dari luar negeri yang menginap di sini untuk menikmati suasana hari raya dan kita sibuk sekali. Kali ini, kita tidak usah sibuk-sibuk memasak banyak, ya mak! Kan hanya kita berdua saja,” kata Nur Hidayah.

Rumah mereka memang selalu didatangi pelanggan dari jauh. Sejak ayah Nur Hidayah meninggal dunia, pekerjaan emaknya mengurus homestay itu menjadi lebih sibuk.

“Ya, itu cadangan yang bagus. Kita berehat sekali-sekala, ya! Malam Aidilfitri kita ke surau, siang hari kita berehat di rumah sambil layan tetamu yang datang berhari raya. Sekarang, ayuh kita beli makanan untuk makan malam,” kata Mak Saodah.

“Iya, bagus begitu, mak! Kita nak ke restoran mana, mak?” tanya Nur Hidayah penuh semangat.

“Terserah pada kamu. Sekarang, tolong hantar kuih baulu ini dulu,”

“Laa, biasanya kan emak berikan baulu sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Aidilfitri kan masih tiga hari lagi, mak!” Nur Hidayah mengingatkan.

Mak Saodah tertawa, “Emak fikir, bila kuih baulu ini sudah dihantar, kita boleh mulai berehat lebih cepat.”

Nur Hidayah memasukkan bungkusan-bungkusan baulu ke dalam sebuah beg plastik besar, kemudian melangkah ke rumah jiran-jiran dan kenalan. Tugas ini sungguh menyenangkan.

Jiran-jiran sekitar yang menerima baulu tersebut berasa amat gembira. Namun, Nur Hidayah tahu emaknya pasti lebih gembira. Emaknya selalu berkata: “Lebih berbahagia memberi daripada menerima!”

Ketika Nur Hidayah tiba di rumah, dilihatnya ada tetamu di rumahnya. Ada dua orang bapa, dua orang ibu dan lima orang anak. Mak Saodah segera memperkenalkan mereka kepada Nur Hidayah.

“Keluarga Pakcik Osman dan Pakcik Hassan ini baru saja tiba dari Naratiwat, Thailand. Mereka sedang mencari keluarga mereka di sini. Jadi, buat sementara, mereka akan menginap di sini. Esok mereka akan cuba mencari keluarga mereka. Selama belum berjumpa, kita akan bantu mereka,”

Alamak!!! Kegembiraan Nur Hidayah mendadak lenyap. “Terbantut sudah rancangan nak bersenang-lenang pada Hari Raya Aidilfitri. Tetamu-tetamu ini dalam kesusahan, bukan penyewa homestay yang menghasilkan wang. Ini benar-benar akan meletihkan,” desis hatinya.

Dengan segera Mak Saodah mulai sibuk di dapur, dibantu oleh dua ibu itu. Lima orang kanak-kanak berkulit agak gelap dan berambut keriting, bertubuh kurus, duduk diam di ruang tamu.

Mereka kelihatan letih. Dua perempuan dan tiga laki-laki. Yang dua orang hampir sebaya dengan Nur Hidayah. Pakcik Hassan sedang mandi dan Pakcik Osman pergi ke luar rumah.

Tidak lama kemudian Mak Saodah keluar dari dapur dan sibuk menelefon. Sejurus kemudian berkata kepada Nur Hidayah, “Hidayah, berikan beberapa helai pakaian kamu untuk Milah dan Aidah. Kemudian tolong pergi ke rumah Makcik Julia. Dia akan sediakan pakaian untuk tiga anak lelaki ini. Kasihan, mereka datang tanpa membawa pakaian sehelai pun.”

Nur Hidayah segera mengambil pakaiannya. Dia juga berasa kasihan pada mereka. Cuma, dia agak kesal kerana rancangan hendak bersenang-lenang telah gagal.

Malam harinya ketika tetamu-tetamu sudah tidur, Nur Hidayah mendekati Mak Saodah.

“Mak, rancangan kita pada Hari Raya Aidilfitri ni gagallah nampaknya, ya!” kata Nur Hidayah lirih.

Mak Saodah tersenyum, “Biarlah, Allah tahu apa yang terbaik bagi kita. Kita harus bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menolong orang. Emak harap kamu tidak terlalu kecewa,”

Nur Hidayah mengangguk, walaupun rasanya berat benar. Esok harinya anak-anak tetamu itu mulai berani bermain. Mereka berlari-lari, bertengkar, bahkan ada yang mengambil beberapa hiasan di ruang tamu. Sebuah buku cerita Nur Hidayah terkoyak kerana direbutkan. Suasana rumah jadi bising.

“Mak, kalau mereka tinggal lama-lama di sini, Hidayah tak sanggup,” kata Nur Hidayah kepada emaknya malam itu.

Mak Saodah mengelus rambut Nur Hidayah. “Sabarlah, Allah akan menguatkan kita. Yakinlah, semuanya akan selesai dengan baik. Kita berdoa, ya!”

Kemudian Mak Saodah dan Nur Hidayah pun menadah doa.

Esok harinya keadaan masih sama. Nur Hidayah berusaha menahan sabar. Ingin rasanya mempercepatkan perjalanan waktu supaya dia dapat kembali ke sekolah. Malam esok adalah malam Hari Raya Aidilfitri. Tidak terbayangkan oleh Nur Hidayah, Aidilfitri dilalui bersama budak-budak nakal itu.

Sehari kemudian, seawal pagi di ruang tamu Pakcik Osman berkata, “Saya sangat berterima kasih kerana sudah dibantu selama tiga hari ini. Esok 
kami akan dijemput oleh keluarga kami. Kami sudah dihubungi keluarga kami di sini. Maaflah… maaf, kerana anak-anak kami sangat nakal dan menyusahkan,”

Oooh, betapa Nur Hidayah sangat lega. Akhirnya siang pun tiba. Suasana rumah jadi sepi kembali. Maghrib nanti dia boleh pergi bersama emak ke surau dan berehat seperti yang telah dirancangkan sebelum ini. Benar, kata emak, Allah tahu apa yang terbaik.

Sewaktu kedua-dua keluarga itu sudah pergi, Nur Hidayah membantu emaknya membersihkan bilik. Tiba-tiba terdengar deringan telefon.

“Jangan-jangan ada tetamu lagi,” fikir Nur Hidayah mulai resah.

“Nanti malam, baik! Terima kasih! Insya-Allah!” terdengar suara Mak Saodah.

Nur Hidayah terduduk di tepi tempat tidur. Sudah terbayang rancangan hendak bersenang-lenang akan gagal lagi. Mak Saodah mendekatinya.

“Hidayah, ada perubahan lagi. Kita tak dapat bersenang-lenang juga…”

Duk! Jantung Nur Hidayah seolah-olah berhenti.

“Kita telah diajak berhari raya di atas kapal persiaran di Pulau Langkawi. Semuanya akan dibiayai oleh saudara Pakcik Osman dan Pakcik Hassan. Mereka orang kaya. Ahli perniagaan di Langkawi. Mereka menjemput kita untuk bercuti dan berhari raya di sana. Esok kita diajak jalan-jalan di seluruh pulau, makan seafood 
di restoran. Kamu boleh bersenang-lenang di sana,” kata Mak Saodah dengan wajah yang gembira.

“Oooh, tak sangka sungguh! Syukur ya Allah!” ujar Nur Hidayah. “Hidayah sangka ada tetamu lagi yang akan menginap,”

Mak Saodah tersenyum.

“Benar, ya mak! Perancangan Allah lebih indah daripada perancangan kita. Aidilfitri kali ini tentu sungguh menyeronokkan!” kata Nur Hidayah.

“Ayuh, kita siapkan barang-barang yang akan kita bawa untuk ke Pulau Langkawi,” kata Mak Saodah.

Nur Hidayah memasang kaset Hari Raya Aidilfitri. Lagu nyanyian Ahmad Jais terdengar begitu merdu. Ada rasa damai dan sukacita di hatinya.