Namun tidak bermakna dalam tempoh aku menyepi itu menyebabkan idea kreatifku terus mandul. Tidak!

Sesungguhnya faktor keletihan minda dan seluruh fizikalku sepanjang 36 tahun bergelumang dalam kerjaya bidang kewartawanan akhbar itu ternyata membataskan waktuku untuk berkarya kreatif yang merupakan bidang asalku.

Tetapi pendekatan karya kreatifku menjurus kepada penulisan berfakta meskipun agak futuristik terhadap jangkaan apa yang berlaku 20 atau 50 tahun akan datang, kalau bukan 100 tahun akan datang?

Kerana mengambil pendekatan berkarya cara tersebut mengakibatkan sebuah manuskrip novel karyaku ditolak oleh beberapa penilai dan penerbit yang terdiri daripada sasterawan terkenal tanah air.

“Awak buat novelkah, atau buat laporan atau buku karangan? Tak nampak macam novel...,” kata seorang novelis popular ketika menyerahkan semula manuskrip novel futuristik itu yang kini semuanya sudah terjadi seperti yang aku garapkan. Ternyata manuskrip novel itu gagal diterbitkan hingga kini. Dan kalau diterbitkan pasti ada pengkritik yang tidak percaya insiden dalam novel tersebut telah digarap lebih 20 tahun sebelum setiap peristiwa menjadi kenyataan.

Aku sekadar berdiam diri ketika menerima semula pengembalian manuskrip novel itu, tetapi hatiku berbisik: “Nampak gayanya novelis popular itu tak berapa nak pandai untuk menyelami falsafah dan elemen futuristik dalam manuskrip novelku ini. Sengaja aku nak test IQ penilai novel itu.”

Sedangkan kaedah penghasilan karya kreatif yang aku perkenalkan itu sejak mutakhir ini menjadi trend dalam kalangan penulis fiksyen di negara Barat kerana mereka mementingkan fakta, bukan auta atau fantasi semata-mata.

Ketika aku pulang ke kampungku bercuti pada hujung minggu di hulu Pahang pula, aku bertemu dalam sebuah restoran dengan seorang pemberita sambilan yang banyak menghasilkan cerpen karyanya dan pernah disiarkan dalam akhbar jawi Utusan Zaman.

Kenalanku itu berwatak suka menghentam dan memperlekehkan orang lain sekali gus menyifatkan pendapatnya sahaja yang betul. Kepadanya aku ceritakan perihal nasib manuskrip novelku yang ditolak oleh penerbit dan novelis popular tersebut.

Justeru apa katanya? Apa yang dihentamnya?

“Hai... awak buat novel yang mendahului zaman, macam mana novelis popular itu nak faham, walaupun apa yang dikarang itu akan menjadi kenyataan.

“Pemikiran novelis popular itu tak kesampaian untuk menilai manuskrip novel awak dalam bentuk pendekatan baharu yang bukan manuskrip novel fantasi atau karut marut.

“Saya boleh faham dengan pendekatan baharu awak berkarya kerana awak suka bawa pembaharuan dalam bidang penulisan kreatif dan kewartawanan, tapi sayangnya awak terlalu laju 50 tahun ke hadapan, sedangkan orang lain masih terhegeh-hegeh nak berfikir bagi menyelesaikan masalah mudah seharian pun belum boleh diselesaikan.

“Itulah akibatnya apabila awak berkarya kreatif dengan pendekatan moden dan terlalu mendalam falsafahnya sehingga menyebabkan orang lain walaupun perasan cerdik, tapi tak terselam nun jauh dalam ke dasar lautan akan falsafah karya kreatif awak itu,” hentam kawanku lagi tanpa berselindung dan bercakap kuat dalam sebuah restoran supaya orang dari meja lain pasang telinga untuk mendengar ego kehebatan hujahnya.

Aku diam sahaja. Malas aku hendak membalas kata-katanya itu. Dikhuatiri nanti orang lain dalam restoran di bandar itu beranggapan aku pun sama 2X5 dengan rakanku.

Bagiku, meskipun rakanku itu tidak bersekolah tinggi, tetapi dia seorang yang rajin membaca serta mengikuti banyak kursus keilmuan bagi membolehkannya menjadi lebih cerdik, berfikiran aras tinggi, kritikus dan mempunyai sensitiviti yang ampuh terhadap isu sejagat mengenai moral atau kemanusiaan.

Kini jauh di sudut hatiku sentiasa menghadiahkan al-Fatihah apabila teringatkan kepada rakanku itu yang sudah lama pergi ke alam barzakh.

Walaupun sewaktu hayatnya ramai orang benci kepada kawanku itu yang suka mengkritik dan bermulut laser, tetapi hasil pemberitaan kritik terhadap kemunduran pembangunan di daerah berkenaan telah banyak membawa perubahan. Tindakan itu akhirnya mendapat tindakan pihak berkuasa dan hasilnya dinikmati oleh generasi sekarang yang tidak tahu sejarah di belakang tabir memotivasikan pentadbir menerusi ketajaman mata pena penulis itu.

Seandainya rakanku itu masih hidup, pasti dunia penulisan tanah air menjadi lebih ‘panas’ dengan kritikannya, terutama menjurus kepada perkembangan politik tanah air yang semakin menggila.

Masih segar dalam ingatanku, arwah rakanku itu juga pernah berkata: “Karya kreatif awak ini kadang-kadang bagai menyuluh di siang hari.

“Saya fahamlah awak juga seorang wartawan akhbar yang berkarya kreatif masih terikut-ikut dengan gaya penulisan kewartawanan. Macam novel dan cerpen karya sasterawan merangkap wartawan A. Samad Ismail itu juga kalau awak baca terasa lancar macam laporan berita sebab acuannya ialah daripada buah tangan seorang wartawan.” katanya lagi.

Memoriku tiba-tiba menyerkup kepada seorang lagi kenalanku dalam sebuah dewan persuratan di bandar yang sama.

Dia memang seorang graduan. Tetapi cara pemikiran dan komunikasinya tidak ekonomik. Ibarat kata, kalau orang memandu kereta, kereta yang dipandu ikut jalan jauh berpusing-pusing hingga sepuluh jam, sedangkan ada jalan rentas yang hanya memakan masa sepuluh minit untuk sampai ke destinasinya.

Berbanding dengan kehendak era serba pantas ini memerlukan ungkapan bak kata bahasa Inggeris: “Straight to the point.” Kenapa perlu cakap berbelit-belit tidak terus kepada perkara sebenar? Pening kepala aku dibuatnya...

Suatu hari aku sengaja berikan sebuah manuskrip cerpen karyaku kepadanya untuk aku menilai tahap pemikirannya. Mampukah dia untuk menilai konsep pendekatan baharu karyaku itu, selain menyelami akan falsafahnya?

Apa ulasannya terhadap manuskrip cerpenku itu? Hah... aku sudah dapat menduga apa yang akan keluar daripada mulutnya?

“Awak ini buat cerpen bukan macam cerpen. Tak lebih daripada sebuah anekdot atau sinopsis sahaja. Penyampaiannya secara kronologi A-Z lurus macam galah. Mana tema, plot, mesej, teknik, gaya bahasa dan semua rukun bagi membina sesebuah cepen atau novel...?” Bebelnya lagi.

Justeru malas aku untuk berdebat dengannya kerana matlamat asalku adalah untuk menguju tahap pemikirannya dalam menilai sesebuah karya kreatif menerusi pendekatan baharu berkarya era globalisasi penuh kecanggihan teknologi. Lagipun penulisan kreatif bukan statik, sebaliknya individu pengkarya boleh mempelopori kaedah moden, malah sesebuah karya itu menjadi lebih bernilai apabila fakta yang dilontar akan menjadi bahan kajian dan mesejnya yang mengandungi idea bernas boleh dipraktik.

Ada kalanya aku bertindak berani ‘bersuara guru subjek Bahasa Melayu’ di sekolah menengahku mengenai ejaan dan tata bahasa yang betul kerana guru itu buka orang Melayu tulen dan ijazah yang diperolehnya bukan dalam jurusan pengajian Bahasa Melayu.

Guru itu marah dan bermasam muka denganku. Mungkin dalam fkirannya dunia sudah terbalik apabila pelajar pula yang kurang ajar yang mengajar gurunya?

Aku tidak peduli dan ketika itu aku membulatkan tekad untuk membuktikan bahawa aku berada di landasan yang betul sebagai pejuang bahasa Melayu sekali gus akan bekerja dengan organisasi penerbitan penulisan atau penerbitan yang berorientasikan bahasa tersebut.

Ternyata imaginasiku telah direalisasikan oleh Allah SWT. Syukur aku berjaya setelah menempuh jalan sukar meniti ranjau berduri sepanjang jalan sebelum berjaya sampai ke puncak cita-cita.

Aku terus menjejak memoriku. Masih segar dalam memoriku membayangkan semula detik awal aku menjejakkan kaki mula bertugas di syarikat akhbar harian ternama berbahasa Melayu itu.

Mungkin penampilanku macam budak kampung sahaja menerusi persepsi para pekerja lama, terutama di jabatan pengarang syarikat akhbar itu menyebabkan aku dipandang hina sekadar dengan sebelah mata.

Bukan sekadar itu, bermula daripada ketua pengarang sampailah kepada budak pejabat hingusan pun tergamak membuli dan menghinaku.

Ketua pengarang akhbar yang berwatak menggelabah itu asyik memprovokasiku dengan mendakwa aku tidak pandai dan dia juga sanggup mereka-reka cerita fitnah untuk membusukkan nama baikku.

Pernah suatu hari ketua pengarang itu dalam keadaan menggelabah berkata: “Apa pasal awak buat berita menggunakan perkataan terdapat sebuah rumah di atas flat?”

Masya-Allah, aku malas untuk menjawab soalan provokasi bodoh yang bermotif untuk memalukan aku di khalayak ramai jabatan pengarang akhbar itu. Kalau hendak bergurau sekalipun, agak-agaklah sikit... tapi aku tahu sejarahnya bahawa dia bukan seorang yang terpelajar dan tak pernah belajar di universiti.

Sedangkan hakikat sebenarnya, tidak pernah pun aku membuat berita dengan ayat sebodoh itu macam orang tidak sekolah tinggi, justeru yang dijadikan bahan provokasi mengada-ada oleh ketua pengarang itu.

Dalam pada itu seorang penulis hiburan gosip popular kaum Hawa di akhbar itu juga pernah melabelkan aku sebagai ‘budak bisu’ kerana dia mendapati aku tidak banyak bercakap mengumpat orang. Dia fikir aku serupa dengan perangainya yang suka mengumpat dan aku perhatikan penulisan gosip hiburannya juga telah banyak meruntuhkan kebahagiaan rumah tangga orang terutama dalam kalangan artis.

Provokasi oleh wartawan hiburan tersebut yang melabelkan aku ‘budak bisu’ itu juga aku tidak layan. Biarlah Allah SWT yang menjadi hakim sejati khususnya di padang mahsyar kelak, bisik hati kecilku yang agak tersinggung menahan kesedihan.

Aku tidak mahu membalas provokasi wartawan hiburan itu kerana mata hatiku nampak akan kejahilannya yang tidak memahami bahasa tubuh dan falsafah hidupku. Aku juga tahu latar belakang wartawan itu belajar pun tak sampai ke sekolah menengah. Dia bertindak lebih kepada mengikut hawa nafsu sesuai dengan tahap pendidikannya.

Bak kata pakar motivasi, jangan lawan orang yang jahil justeru ibarat ungkapan pujangga: “Jika kita yang waras bergaduh dengan orang gila, bermakna akan bertambah seorang lagi orang gila.”

Kemudian ketika berhadapan dengan budak pejabat atau disebut office boy di jabatan pengarang akhbar itu, beberapa orang daripada mereka gemar membuliku dengan cara menggertak, selain menjeling dengan ekor mata memandang hina dan lain-lain cara, termasuk menghentakkan kaki untuk menakut-nakutkanku.

Justeru nun jauh di sudut hatiku berasa amat tersinggung dan terpaksa menelan kesedihan saban hari. Namun syukur, aku ada Allah SWT sebagai tempat paling ampuh untuk memanjatkan doa dan mengadu akan segala kezaliman manusia lain terhadapku...! Lantaran itu juga aku berazam untuk memperkasakan semangat waja dan mengibaratkan segala provokasi gila yang dilakukan oleh manusia jahil itu adalah sekadar mimpi atau tidak pernah terjadi di alam nyata. Biarlah aku terus memujuk hatiku sendiri dalam perjuangan hidup di perantauan dunia ini.

Sesekali berbisik juga di dalam hatiku merumuskan akan sikap manusia jahil itu memang buta hati. Dan tindakan golongan itu boleh dibuat kesimpulan dalam bahasa Melayu bermaksud mereka menyerang kepada wrong person atau ‘salah orang’ ibarat perompak tersalah rompak rumah polis.

Agak lama aku menanggung derita dizalimi dan sepanjang penderitaan itu, aku terus mambaca ayat-ayat tertentu yang terdapat dalam al-Quran serta amalan zikrullah sebagai makanan rohani dan benteng mempertahankan diri daripada serangan jahat iblis laknatullah, termasuk syaitan yang bertopengkan manusia!

Aku juga sempat menjeling kepada ungkapan motivasi untuk menyedapkan hati yang disebarkan dalam grup WhatsApp alumni sekolahku berbunyi: “Allah akan sentiasa menguji kita dengan cabaran hidup kerana Allah tahu kita kuat dan berusaha sehingga berjaya mengatasi segala rintangan.”

Sesungguhnya memang benar bahawa Allah SWT itu ‘Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mendengar, Maha Adil, Maha Berkuasa’ dan segalanya ‘Maha Penguasa Sekalian Alam’ sekali gus insya-Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang teraniaya atau dizalimi manusia jahil.

Lantaran itu aku berasa sedih apabila ketua pengarang akhbar yang gemar membuli aku telah dibuang kerja oleh ketua kerajaan atas kesalahan membiarkan akhbar arus perdana jagaannya memperlekehkan pemimpin negara. Wartawan hiburan yang pernah melabelkan aku bisu dahulu, dua kali tenat menderita diserang penyakit kronik sehingga membawa maut. Sesungguhnya aku tiada sekelumit pun perasaan dendam kepadanya kerana aku tahu dia juga jahil, sebaliknya surah al-Fatihah kerap aku hadiahkan untuk kesejahteraan rohnya di alam barzakh.

Manakala salah seorang budak pejabat yang kerap menggertak dan membuliku dahulu pun aku amat bersimpati dengan status kehidupannya kini yang mengalami kecacatan kekal fizikal selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya motosikalnya menyondol lori di ibu negara.

Kini hanya beberapa bulan sahaja aku mahu bersara daripada kerjayaku di jabatan pengarang akhbar itu, tiba-tiba hidupku kembali tercabar dan teruju lagi. Kadang-kadang aku pelik bahawa masih ada spesies manusia sejabatan denganku menggunakan pendekatan old timer seperti pengarang akhbar selepas Perang Dunia Kedua di Singapura asyik meninggi suara ala samseng ketika memberikan arahan kerja yang sebenarnya simple sahaja.

“Apa pasal bos itu cakap terlalu kasar kepada you macam itu, tak tahu hormat langsung kepada orang yang lebih senior dan lebih lama bekerja menghidupkan akhbar di Kuala Lumpur tempat kita mencari rezeki ini,” kata seorang wartawan muda datang berjumpaku.

Setahu aku wartawan tersebut sebelum ini tidak pernah mempedulikan aku. Tetapi mungkin setiap hari kerja dia nampak dan dengar percakapan bos unit di jabatan pengarang akhbar berkenaan asyik meninggi suara kepadaku menggunakan pembesar suara, menyebabkan anak muda yang lebih berperikemanusiaan itu tampil menyuarakan simpati yang terbuku di hati sucinya.

“Terima kasih atas perhatian saudara. Nampaknya saudara lebih rasional. Sebenarnya saya sendiri tidak perasan ada bos meninggi suara ketika memberi arahan kerja kepada saya dan menganggap saya tak pandai membuat kerja. Saya tak perasan pun ada orang memperlekehkan saya kerana saya betul-betul beri tumpuan kepada kerja. Saya beri tumpuan kepada kerja menyiapkan muka surat akhbar menggunakan komputer atau semakan di kertas cetakan sehingga siap,” huraiku kepada wartawan muda itu. Dia kelihatan terpegun.

Aku menambah lagi. “Sebenarnya selain bercita-cita menjadi wartawan akhbar, satu lagi kerjaya idaman saya ialah mahu menjadi askar komando. You tahulah macam mana ganas dan lasaknya komando? Jadi saya menghayati ketahanan fizikal dan mental seperti komando terutama apabila berhadapan dengan situasi gila dan kritikal!

“Sepanjang lebih 36 tahun saya menjadi wartawan, termasuk penyunting berita, banyak tugas kritikal berjaya saya laksanakan dan saya percaya ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana wartawan lain di dunia ini. Tak perlulah saya ceritakan satu persatu, nanti tujuh hari tujuh malam pun tak akan habis kisahnya hingga boleh dijadikan novel bersiri pula.

“Umpamanya ketika saya bertugas di Sabah, saya telah berjaya memujuk seorang bapa anggota komando yang anaknya itu melakukan rompakan bersenjata api ke atas sebuah bank di Selangor. Kemudian komando itu pulang ke kampungnya di Sabah.

Saya memujuk bapa komando itu supaya dia juga memujuk anaknya menyerah diri kepada kem tentera atau balai polis berdekatan. Akhirnya komando itu memang menyerah diri kepada kem tentera berdekatan, lalu diekstradisi pulang ke tanah Semenanjung Malaysia.

“Ketika saya ke rumah keluarga komando itu, saya percaya anggota beruniform itu ada di dalam bilik rumah berdinding papan serta mendengar perbualan saya dengan bapanya. Saya dengar bunyi pergerakan orang dalam keadaan gelisah dalam bilik itu. Bayangkan kalau komando itu bertindak ganas menyerang saya, mungkin kita sudah tidak dapat berjumpa lagi pada hari ini...? Saya bersyukur kepada Allah SWT yang memberi perlindungan-Nya kepada saya.

“Berikutan penyiaran berita dalam akhbar mengenai pertemuan saya dengan bapa komando itu, terutama berhubung dengan kejujurannya sanggup menyerahkan anaknya yang menjadi perompak kepada pihak berkuasa, maka Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekitar awal tahun 2000 itu telah merakamkan ucapan terima kasih kepada tindakan mulia bapa tersebut.

“Namun hingga kini mungkin Dr. Mahathir masih tidak tahu siapa sebenarnya di belakang tabir yang membantu merintis jalan sehingga komando perompak itu tanpa melawan menyerah diri kepada pihak berkuasa, seterusnya di ekstradisi dengan penerbangan ke Kuala Lumpur dari Sabah,” aku menutup perbualan kerana mahu mengemaskan barang-barang yang terkumpul dalam laci meja pejabatku sebelum pejabat akhbar itu aku tinggalkan buat selama-lamanya. Wartawan muda yang masih tercegat di hadapanku itu persis kebingungan.

Nota: Cerpen itu rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan mereka yang masih hidup atau mati.