“Assalamualaikum, boleh saya tumpang tanya?”

Aku terkejut lalu menoleh pantas ke arah suara tersebut.

“Waalaikumsalam!” jawabku sambil memandang tajam ke arah seorang jejaka tampan di hadapanku.

“Maaf ye, encik nak tanya apa?”

“Sebenarnya saya ingatkan saudari ni kawan saya. Itu sebabnya saya panggil tadi. Tak sangka pula saya salah orang” kata pemuda tampan itu sambil tersenyum.

“Tapi tak apalah. Mungkin kita boleh berkenalan. Saya Faizal”

Aku berasa serba-salah. Namun salam perkenalan tersebut ku sambut juga.

“Saya Mawar.”

Aku tidak menyangka pertemuan itu akan memberi kesan yang begitu mendalam kepadaku. Selama beberapa hari aku masih teringatkan pemuda bernama Faizal. Seakan-akan ada sesuatu yang membuatkan aku tertarik kepadanya.

“Ahh…………buat apalah nak fikirkan orang yang kita tak kenal asal-usulnya. Buang masa aje!” bisik hatiku sambil menyelak buku latihan sekolah.

“Lebih baik aku beri tumpuan pada pelajaran. Aku ingin mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM tahun ini” Begitu kuat azamku untuk berjaya dengan cemerlang.

Hari-hari seterusnya aku lalui seperti biasa sehingga akhirnya aku lupa pernah mengenali pemuda bernama Faizal. Peperiksaan STPM aku hadapi dengan tenang dan penuh keyakinan.

Tiga bulan kemudian aku mendapat keputusan dan ternyata usahaku selama ini tidak sia-sia.

Suatu hari, aku menerima surat tawaran ke Universiti Malaya. Aku menjerit kegembiraan kerana cita-citaku untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang akhirnya tercapai.

Hari pertama aku berada di Universiti Malaya membuatkan aku seperti berada di suatu tempat yang asing. Maklumlah ini adalah kali pertama aku berpisah dengan keluargaku di kampung.

“Assalamualaikum, masih ingat saya?.

Tiba-tiba satu suara menegurku. Aku merenung wajah tersebut dengan perasaan terkejut.

“Faizal!”bisik hatiku. Tak sangka aku akan bertemu dengannya di kampus ini.

“Ohh……ya…….” Tergagap-gagap aku menjawab. Maklumlah dia berada di dalam kumpulan senior. Aku yakin dia antara senior yang akan menguruskan pelajar baru termasuk aku.

“Tak apalah. Mungkin awak tak ingat lagi. Nanti lama-lama awak pasti tak boleh lupakan saya”sambungnya lagi sambil diperhatikan beberapa rakan senior.

Aku berasa seperti dipersendakan. Tapi aku bersabar saja kerana maklum ini mungkin satu daripada cara senior melayan pelajar baru. Aku mengabaikan saja apa yang dikatakannya.

Dua minggu yang penuh siksaan akhirnya berlalu. Aku dan pelajar-pelajar baru yang lain bebas daripada cengkaman senior dan memulakan kehidupan baru dengan gembira.

“Hai, boleh saya duduk di sini?”

Aku yang sedang asyik makan bersendirian terkejut apabila melihat Faizal berada di depanku.

“Kalau tak ada tempat lain, duduklah. Inikan bebas untuk sesiapa pun,”kataku bersahaja.

“Wah, nampaknya dah sombong cik adik ni!. gurau Faizal sambil tersenyum.

Sebaik terpandang senyuman Faizal, hatiku menjadi cair.

Ternyata peristiwa itu membawa satu perubahan besar dalam hidupku. Aku telah jatuh cinta!

Aku hanyut dengan perasaan cintaku yang terlalu mendalam. Sangkaku cinta Faizal mampu membawaku menggapai bintang, namun itu hanyalah angan-angan yang tidak kesampaian.

Cinta menyebabkan aku lupakan segala-galanya. Keluarga, teman-teman dan pelajaran. Aku sanggup menyerahkan segala-galanya kepada Faizal untuk membuktikan kuatnya cintaku terhadapnya. Nasihat teman-teman tidak ku peduli sehinggalah aku akhirnya disahkan mengandung.

“Faizal, macam mana ni!. Saya nak awak bertang­gung­jawab!”kataku sambil menangis.

“Hei, perempuan murahan! Kau ingat aku ni bodoh ke?!. Entah lelaki mana yang buat kau macam ni, tiba-tiba kau nak suruh aku bertang­gungjawab!” Faizal memandang aku dengan wajah menyinga.

Aku tidak menyangka Faizal akan memperlakukan aku seperti itu. Pemuda yang bersifat penyayang dan penuh perhatian kini menjadi seseorang yang tidak ku kenali lagi.

Itulah hari terakhir aku berjumpa Faizal. Sejak itu, aku ditinggalkan keseorangan. Faizal terus menghilangkan diri dan aku pula dikeluarkan dari pengajian kerana sering tidak hadir kelas dan gagal dalam peperiksaan. Kawan-kawan yang selama ini sentiasa ketawa bersamaku, semuanya melarikan diri. Aku dianggap seperti pembawa virus yang ditakuti.

Ketika itu wajah ibu, ayah dan adik-adik yang menunggu kepulanganku di kampung tergambar di fikiran.

“Ayah, ibu……maafkan aku!” tanpa ku sedari air mataku tumpah lagi.

Aku terus menyusuri kota tanpa arah tujuan. Hujan dan panas ku tempuhi tanpa perasaan takut. Bagiku, hidup ini tidak bermakna lagi. Kadang-kadang aku terfikir untuk menamatkan riwayatku agar semua yang ku tanggung hilang selama-lamanya. Aku tak mungkin pulang semula ke kampung dengan keadaan perutku yang semakin kelihatan. Tidak terlintas di hatiku untuk menambahkan lagi penderitaan keluargaku yang kini sedang menangisi kehilanganku.

“Biarlah aku tanggung semua ini sendirian.” bisik hatiku penuh sayu.

Namun, tiada siapa yang mampu merubah sesuatu yang telah ditentukan Ilahi. Dunia yang kurasakan kejam, masih ada ruang untuk orang sepertiku.

“Assalamualaikum!” tiba-tiba satu suara lembut menegurku yang asyik memikirkan nasib malangku.

“Waalaikumsalam” aku jawab salam tersebut sambil menoleh ke arah suara lembut tersebut.

“ Maaflah dik, kakak nak tanya sikit. Kenapa dari tadi kakak lihat adik seperti ada satu masalah yang sedang difikirkan?” Pertanyaan kakak tersebut membuatkan aku terkejut dan tidak menyangka diriku menjadi perhatiannya sejak tadi.

Belum sempat aku menjawab soalan tersebut tanpa ku sedari airmataku menitis sehingga aku teresak-esak di hadapan kakak tersebut.

Hari itu, pertama kali aku merasakan harapanku kembali berbunga. Kakak yang kupanggil Kak Nani rupa-rupanya seorang ustazah yang mengendalikan pusat perlindungan wanita. Ternyata perkenalan itu telah merubah hidupku selama-lamanya.

Kak Nani telah membimbing dan menjaga aku dengan penuh kesabaran. Aku tinggal bersama kak Nani di pusat tersebut. Aku mendapat kekuatan untuk kembali meneruskan pelajaranku. Aku juga telah berterus-terang kepada keluargaku di kampung tentang keadaanku yang sebenarnya. Ternyata kasih sayang keluarga tidak dapat ditukar ganti. Aku terharu kerana keluarga menerimaku seadanya.

Setelah aku melahirkan seorang bayi perempuan yang comel, keluargaku bersetuju untuk menjaganya agar aku dapat meneruskan pengajian di universiti. Aku bersyukur kerana walaupun terlewat tetapi pihak universiti mahu menerimaku semula. Ini semua atas usaha kak Nani yang benar-benar ingin melihat aku berjaya mencapai cita-citaku.

Kini, dua puluh lima tahun telah berlalu.

Aku duduk merenung jauh ke arah sebuah rumah usang yang pernah memberi pelbagai kenangan kepadaku. Rumah perlindungan yang selama ini banyak membantu wanita sepertiku. Aku mempelajari banyak perkara yang selama ini tidak pernah ku pelajari di sekolah mahupun universiti. Pelajaran paling berharga yang hanya boleh diperolehi daripada pengalaman.

“Datin, kita perlu berangkat sekarang. Datuk dah lama tunggu tu!” Satu suara menegur aku yang sedang asyik melamun jauh.

Aku terkejut dan segera teringat yang aku akan berangkat ke Jordan dan selepas itu ke Australia untuk menghadiri konvokesyen anakku di sana.Aku memandang ke arah setiausahaku, Husna yang setia menantiku.

Setelah dua puluh lima tahun berlalu, aku kini bukan lagi Mawar yang lemah tetapi aku adalah antara peguam wanita yang berjaya mencipta nama dalam dunia perundangan negara. Aku berjaya membuka firma guamanku sendiri yang khusus untuk membantu wanita-wanita teraniaya dan senasib denganku.

Sesungguhnya setiap yang berlaku pasti mempunyai hikmat yang tersembunyi di sebaliknya. Walaupun satu masa dahulu aku pernah jatuh tersungkur, namun kekuatan yang diberikan oleh Kak Nani dan keluargaku ternyata membuka mata dan mindaku.

Aku juga bersyukur kerana ditemukan dengan seorang suami yang tidak pernah mengambil kira kisah hidupku dahulu. Suamiku adalah insan yang banyak membantu kejayaanku selama ini. Sesungguhnya masih ada lagi lelaki yang bersikap luhur dan berhati mulia.

Sebelum aku melangkah ke pintu kereta yang telah sedia terbuka, aku menarik nafas lega dan bersyukur kepada tuhan kerana akhirnya aku berjaya menggapai bintang.