Demikian, pukauan awal memasuki Dewan Utusan. Penuh sesak dengan lebih seribu jemputan meraikan 37 pemenang HSKU 2017. Sekali gus ikut menjulang dan memartabatkan sastera. Enam kategori hadiah dipertandingkan dalam HSKU. Menobatkan karya terbaik yang diterbitkan dalam media Kumpulan Utusan; Mingguan Malaysia, Utusan Online dan majalah Wanita. Dewan Utusan sekali lagi bergemuruh mengalu-alukan tetamu kehormat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson saat melangkah masuk selaku perasmi majlis. Yang Berhormat Datuk Seri seterusnya menyampaikan ucapan dan hadiah kepada para pemenang.

Panduan kedua-dua gambaran ini cukup untuk merasakan betapa bermaknanya majlis penyampaian hadiah HSKU kali ini. HSKU edisi ke-33 kembali tampak gah dan cukup mengujakan pemenang, penulis dan para undangan; Sasterawan Negara, pengarang tanah air, penggiat kesenian, pengarah, pelakon, penyanyi, pelukis dan tentunya pencinta kesusasteraan dari seluruh pelosok negara. Demikian, barisan Panel Hakim dan sebarisan panjang pemenang siap siaga menantikan detik-detik nama dipanggil ke pentas menerima hadiah setelah karya terpilih sebagai garapan terbaik sepanjang tahun penilaian.

HSKU bermula pada tahun 1986. Ia satu sejarah yang panjang. Kumpulan Utusan menjadi syarikat ulung menganjur dan memberikan hadiah tekal berterusan selama 33 tahun. Mempertaruhkan Kategori Cerpen dan Puisi kemudian berkembang dengan menambah Kategori Novel Remaja, Kajian dan Rencana Sastera. Hari ini ia cukup dewasa. HSKU hari ini kukuh dengan melengkapkan enam ketegori hadiah yang ditawarkan; Kategori Cerpen Umum, Cerpen Remaja, Cerpen Media Baharu, Puisi, Kajian dan Rencana dan Kategori Novel Remaja. Semua karya terdri daripada cerpen, puisi, kajian dan rencana merupakan karya yang telah sedia terbit atau tersiar dalam media terbitan Kumpulan Utusan. Kecuali, kategori Novel Remaja yang khusus menilai manuskrip yang diajukan ke sekretariat, di penghujung setiap tahun penilaian.

Manuskrip merupakan hasil karya yang belum pernah diterbitkan. Kategori Novel remaja terus hangat menjadi tarikan para penulis. Di HSKU ia menjadi antara kategori yang cukup dinamik apabila mendapat sambutan banyak pengarang berwibawa, sentiasa meningkat penyertaannya, dengan pengarang seakan berlumba-lumba untuk mengetengahkan idea atau subjek baharu dari setahun ke setahun dan mengaplikasikan teknik persembahan yang serba segar. Akhir-akhir ini cenderung pula memperlihatkan masukan atau muatan pelbagai ilmu baharu yang mengangkat teks.

Urusetia penyelenggara majlis Kumpulan Utusan bijak membangkitkan suasana atau mood tradisional yang mengasyikkan apabila menyediakan muzik gamelan dan caklempong, sesekali rancak sesekali mendayu, bersesuaian dekorasi serta hiasan. Peranan muzik penting; kesinambungan acara terasakan. Dibantu kepetahan dua pengendali; Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin dan seniman Sabri Yunus sekali gus membangkitkan aura dinamik. Kedua-duanya petah, maklumat untuk hadirin padat, tanpa leteran yang berlebihan, jenaka dan sekala-sekali menjolok tumpuan hadirin. Majlis tidak terasakan berlalu sekali pun telah mencecah lebih tiga jam.

Anwar jelas mencuri banyak tumpuan. Ucapannya yang ditunggu-tunggu mengajak pengarang mengangkat kesusasteraan bangsa kembali bertakhta. Sejarah persuratan bangsa besar, katanya. Kesusasteraan memainkan peranan penting dalam upaya melonjakkan nasionalisme dan dalam usaha menggerakkan kesejahteraan sosial. Beliau yang pernah merasmikan maj­lis dan menyampaikan hadiah serupa pada 1994 dahulu, memgulanginya dengan lontaran kata terpilih rapi terjaga, mengapungkan idealisme melihat bahasa Melayu kembali dijulang sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang tunggal. Tradisi persuratan menggunakan medium bahasa Melayu pernah hebat, dengan itu katanya dengan memartabatkan kembali bahasa Melayu sebagai bahasa utama akan mengembalikan era kegemilangan persuratan kita.

Sebanyak 37 orang pengarang diraikan karya mereka dalam majlis kali ini. Kategori Cerpen Umum menyaksikan 10 cerpen disenarai pendekkan setelah 65 dibaca panel. Lapan daripadanya diangkat pemenang. Pemenang Hadiah Utama Kaki Hantu oleh Saza S, Pak Hussin, Bas Buruk, Calon YB dan Saya karya MK Riza dan Titis-titis Hujan di Rakhine tulisan Azman Ismail yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia. Sementara pemenang Hadiah Penghargaan, Memberikan Telinga (Saifullizan Yahya), Kuroshio (Hafizah Iszahanid), Hari yang Bergelar Kematian (Juri Durabi), Neraca Akal (Maznida Mahadi) dan Paduka Raja & Kota Yamani karya Zainal Rashid Ahmad. Rata-ratanya sebelum ini adalah pemenang HSKU melalui kategori sama.

Kategori Cerpen Remaja pula menyenarai pendekkan 16 cerpen untuk diteliti di saringan akhir. Daripada jumlah itu, lapan diberikan hadiah dengan Dongeng Tonggak Sembilan dan Cerita Februari (Husna Nazri), Rahmat Bahagia (Maskiah Masrom) dan Perginya yang Tercinta dan Indahnya Legenda (Zainal Rashid Ahmad) diberikan Hadiah Utama sementara Bujang Berani (Clayton Robert), Hikayat Pesan Ibu (Husna Nazri), Imam Air Mata (Ramli Abdul Halim), Rimba Nan Satu (Seroja Salim) dan Semarak Jiwa Wardah oleh Baktiar Omar diberikan Hadiah Penghargaan.

Kategori yang baru diperkenalkan, Kategori Cerpen Media Baharu, sejak 2015 menerusi karya yang tersiar di Utusan Online menghimpunkan sejumlah 39 buah karya. Jumlah ini meningkat mendadak daripada 19 pada tahun penilaian sebelumnya. Cerpen kategori ini mengkehendaki penulis menghasilkan naratif yang mengangkat medium baharu ini dengan penggunaan teknologi komunikasi mutakhir bagai belum dihayati secukupnya kalangan penulis. Karya kategori ini bermaksud memberi nilai tambah kepada kemajuan dalam kehidupan dan peradaban, penggunaan pelbagai kemudahan aplikasi media sosial dalam konteks pembinaan sahsiah diri, kerjaya dan dalam ranah keilmuan juga.

Karya yang sampai ke penelitian panel sedikit di bawah paras mengujakan. Sebahagian besar karya sekadar menamakan jenis-jenis aplikasi yang diguna tanpa menunjukkan bagaimana ia berfungsi meninggalkan impak dalam segenap ruang kehidupan- mengembangkan kerjaya, mengkualitikan ragam interaksi dan dalam urusan-urusan besar, seumpama dakwah. Sungguhpun demikian, sebanyak 12 karya disenarai pendekkan, panel menamakan karya Pondok Ayah oleh Shahkang, untuk diberikan Hadiah Utama. Manakala, Intan di Antara Kaca oleh Zalila Isa, Aki Popular oleh Nurimas SN, Cucu Tok Wan, oleh Alang Budiman, Rumahku di Desa Hati Abah oleh Wardah Puteh dan Kuih Peneram Pak Jais oleh Abdullah Hussaini Mohd Ghazali diberikan Hadiah Penghargaan.

Kategori Puisi sentiasalah popular dan ‘meriah’ saban tahun. Banyak karya disiarkan media Kumpulan Utusan. Panel membaca 286 karya kali ini. Daripadanya, 20 disenaraipendekkan. Sementara, lapan diangkat menjadi pemenang. Puisi pemenang kali ini, Lelaki yang Keciciran Lidah karya Zain Idris Al-Tobiari, Lelaki dan Pari-pari, karya S. M. Zakir dan Sejumlah Catatan Tentang Kesakitan karya Fahd Razy diberikan Hadiah Utama. Hadiah Penghargaan pula diberikan kepada Tali (Zalila Isa), Sakti Naskhah (Raihani Mohd. Said), Membuka Pintu Rumah Agam-Mu, (Ezani Haji Daud), Pemain Ular (M. Arif) dan Bagaimana untuk Ditangiskan (Siti Zaiton Ahmad).

Pemenang Kategori Kajian dan Rencana cuma dua orang. Sejak beberapa tahun lepas, karya kajian tidak dinilai. Hanya rencana yang diteliti. Banyak hasil penulisan yang terbit di media Kumpulan Utusan, terutama Mingguan Malaysia. Namun, dalam penilaian panel lazimnya mengetepikan tulisan yang bersifat laporan peristiwa sastera, ulasan atau resensi buku, termasuk reaksi yang sangat tipis sorotannya untuk diambil ilmu dan kekuatan idea. Enam rencana dibawa ke penilaian akhir. Dua, masing-masing Penulis Terperangkap dalam Lif oleh Roslan Jomel, dan Karya Indie: Mencari Permata dan Kaca karya Ramlee Wahab diperakukan panel untuk diberikan hadiah. Ini berdasarkan adanya pandangan-pandangan baharu yang memberangsangkan, hasil penulisan santai yang memikat pembacaan serta adanya elemen pembangunan buah fikiran yang boleh dijana khalayak.

Kategori Novel Remaja antara pencapaian paling membanggakan pada pandangan barisan panel pada tahun penilaian kali ini. Daripada 13 manuskrip novel remaja yang diterima sekretariat, sebagaimana amalan sebelum ini juga setiap panel menelitinya secara halus menggunakan Kriteria Penilaian Umum dan Skop Penilaian Khusus yang disediakan. Lapan berjaya dalam perbincangan akhir. Enam daripadanya terpilih diberikan hadiah. Pemenang Hadiah Pertama, Selendang Merah Balukhali karya Sri Rahayu Mohd Yusop dilihat paling menonjol. Penulis yang sama memenangi hadiah serupa bermula tahun 2000 dengan manuskrip Bukan Legasi Lalang’ kemudian memenangi lagi kategori ini pada 2002, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010 dan 2011. Kecuali tahun 2002, setiapnya merupakan Pemenang Tempat Pertama.

Selendang Merah Balukhali mengangkat subjek keperitan hidup manusia di Kem Pelarian Balukhali Cox’s Bazar, Bangladesh, antara sebuah kem pelarian antarabangsa terbesar di dunia. Pemenang Kedua, Si Penenun Cinta karya Husna Nazri, mengangkat kesenian tenunan songket. Husna Nazri juga merupakan pemenang yang kerap memenangi HSKU. Karya-karya Husna seringkali mengujakan pembacaan. Pemenang Ketiga, Ayah oleh Dayang Ku Mastura Pengiran Ismail, pengarang terkenal dari Sabah, juga sebuah karya hebat yang mampu menginspirasikan keperibadian remaja unggul. Pemenang Penghargaan terdiri daripada Pekan Berembang (Salina Ibrahim), Antara Dua Titik (Abang Median Abang Said) dan Maka, Berbuatlah Emas (Norazida Ishak). Selain subjek yang sentiasa memukau panel, karya kali ini sebagaimana beberapa tahun belakangan memperlihatkan ketekunan penulis melakukan kajian atau penyelidikan tatkala menghasilkan karya. Ia tentunya sesuatu yang menakjubkan. Ada kecenderungan penulis mencuba pelbagai teknik persembahan gaya baharu yang memikat. Penggunaan bahasa yang tebal estetik membanggakan panel.

HSKU sesungguhnya terus memberi sumbangan besar dalam mendukung kemajuan dan perkembangan kesuasteraan kebangsaan. Bauran pemenang lama dan baharu, kerencaman pemikiran yang dibawa dan keindahan penukangan sastera yang terjaga, menjadi ramuan cantik karya pemenang HSKU 2017. Jika ditanya, apakah HSKU masih relevan, rata-rata pencinta menyetujui bahawa Kumpulan Utusan wajar meneruskannya, untuk jangka masa yang panjang lagi dalam upaya kita memartabatkan kesusasteraan. Dewan Utusan yang penuh sehingga ke penghujung acara, tertunggu-tunggu kemunculkan Haziq AF sebagai penyanyi undangan, diikuti Datuk Seri Siti Norhaliza di akhir majlis yang melengkapkannya dengan aluan gemersik Cindai dan Anta Permana.

Sekeretariat HSKU kali ini jelas cemerlang. Majlis yang hampir seluruhnya sempurna, santai dan berimpak. Tercapai hasrat tema dipilih, ‘Kesultanan Melayu’ yang seolah-olah menerawang ‘daulatnya’ memenuhi setiap ruang dewan, juga dalam seluruh acara yang berlangsung demi mengangkat kembali era kegemilangan persuratan Melayu. Tahniah Kumpulan Utusan atas segala usaha murni. Syabas Sekretariat yang gigih bertungkus lumus, mempersembahkan juga tujuh terbitan terbaru, di bawah kelolaan Tintarona Publications Sdn. Bhd, antologi karya eceran Kuroshio, dan enam novel pemenang, HSKU edisi ke-34 mudah-mudahan menyusul, dengan edisi yang ke-33 kekal menggamit kenangan.