Saod bagaikan mengadu kepada dingin pagi sebelum fajar sidik. Mujurlah lampu tiang di tepi jalan menyebarkan cahaya kuning kemerahan menerangi dataran pekan, jalan-jalan bitumen dan tebing-tebing berumput di hadapannya.

Cahaya itu memudahkan dia bekerja. Mengutip kekotoran yang bertaburan. Sebaran cahaya dari pelbagai arah itu membentuk bayang-bayang kurus yang bercabang-cabang seperti pecahan bintang. Bayang-bayang itu bergerak mengikut lenggok tubuh Saod yang tekun mengumpul dan mengutip daun-daun, ranting-ranting, botol plastik, kertas, kotak dan polisterin bekas makanan.

Bayang-bayang itu seperti hujah pemikirannya. Masih samar-samar dan bercabang-cabang. Mustahil dalam kekotoran tiada kebersihan. Kekotoran perlu dibuang. Walaupun kekotoran ada manfaat kepada kehidupan lain. Di sini, kekotoran itu mencemar. Di tempat lain kotoran itu ada manfaat.

Saod membina hujah-hujah tanpa rujukan mana-mana buku. Tanpa merujuk tokoh terdahulu. Hujah yang tidak menentu itu tumbuh untuk persiapan berhelah dengan Tuan Maon. Kata orang, berhujah untuk memberi alasan itu adalah untuk menutup kelemahan diri. Tanda hati diselaputi kekotoran. Saod menelan pahit andaian itu.

Dia masih belum pasti tujuan Tuan Maon mahu berjumpanya. Mengikut pengalamannya, rakan-rakan terdahulu, apabila dipanggil mengahadap Tuan Maon di pejabat, mereka tidak datang lagi bertugas. Mereka kena buang kerja. Saod tidak pernah mengambil tahu sebab mereka diberhentikan kerja.

“Mengapa Tuan Maon nak jumpa saya?”. Soalan itu diajukan kepada penyelianya yang membawa arahan itu. Tuan Penyelia hanya mengatakan tidak tahu. Dia hanya geleng. Seperti ada rahsia yang hendak disembunyikan. Mustahil Tuan Penyelia tidak tahu. Semua maklumat dirinya diketahui oleh Tuan Maon melalui Tuan Penyelia. Tidak mungkin Tuan Maon ada masa turun ke bawah melihat dia bekerja. Tuan Maon tidak tahu apa-apa andai Tuan Penyelia tidak melaporkan sesuatu hal itu kepadanya. Tapi segala-galanya berkemungkinan.

Sekarang ini kata orang, zaman maklumat di hujung jari. Entah-entah Tuan Penyelia benar-benar tidak tahu. Entah-entah orang awam menghantar aduan, lengkap dengan gambar kepada Tuan Maon. Entah-entah Tuan Maon membaca tular. Ada tular yang kotor. Ada tular yang bersih. Minda Saod semakin ligat membuat andaian. Melayan gerak hati. Dengan gerak hati itu, helah bercambah untuk beralasan.

“Tawaran naik pangkat agaknya,” Tuan Penyelia senyum mengusik. Saod tidak mengendahkan usikan Tuan Penyelia. Dia sekadar senyum tawar. Tidak mimpi langsung dia akan naik pangkat. Apakah pangkat tukang pembersihan? Hatinya menyoal. Soalan itu larut dalam gelap pagi menjelang subuh.

Sekeliling masih sunyi. Otaknya tidak sunyi. Kegusaran menggaru-garu fikirannya. Sesekali memecah sunyi, kenderaan memecut di jalan raya yang lapang. Penghuni pekan agaknya masih nyenyak dibuai mimpi. Mungkin hingga lewat malam tadi mereka melepak di dataran pekan, sambil sembang-sembang dan makan-makan lalu meninggalkan kertas bungkusan kotor merata-rata. Di pangkal Subuh tentu mereka sedang menikmati rehat di tempat tidur.

Sedangkan Saod sudah bermandi peluh mengumpul dan mengutip kotoran buangan. Kembara imaginasi Saod semakin melebar bagai samar-samar bayangnya yang semakin menjauhi lampu tiang di dataran pekan itu.

Sumber rezeki

Saod mengutip bekas-bekas makanan dan minuman, kertas dan plastik ke dalam karung guni baja. Pesta apakah malam tadi? Begitu banyak sampah bertaburan. Saod tidak ambil endah asal usul sampah kekotoran itu datang. Menebak keburukan orang boleh memadam keikhlasan diri bekerja, begitu bisik hatinya. Tugas Saod mengutip dan mengumpul sampah-sampah. Bagi Saod, sampah itu sumber rezeki.

Semakin banyak lagi baik. Mana-mana yang boleh digunakan lagi akan diasingkan. Dia akan angkut dengan motosikal roda tiga ke pusat pengumpulan barang-barang lusuh. Mana-mana yang tidak boleh digunakan lagi akan dimasukkan ke tong sampah. Sampah dalam tong memudahkan rakan pekerja lain dengan lori pengangkut sampah mengutipnya.

Sampah-sampah itu dibawa ke pusat pelupusan. Yang penting, tugas Saod memastikan kawasan itu tiada sampah-sarap. Tiada kekotoran menjelang pagi. Saod tidak mahu, apabila penghuni pekan memulakan kehidupan harian, dan melewati kawasan dataran itu penuh dengan sampah kekotoran bertaburan. Mereka akan memberi komen. Mereka akan mengadu kepada Tuan Maon. Mereka akan tuduh Saod tidak buat kerja.

Tugas Saod untuk memudahkan orang lain. Insya-Allah dengan niat itu akan dipermudah kerjanya. Kerja untuk kemaslahatan orang ramai. Niat beribadah dengan dibayar upah. Kata ustaz di masjid malam kelmarin, ibadah itu melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Perlakuan ibadah diberi ganjaran. Ganjaran boleh dinampak dan tidak boleh dinampak. Yang ditangguhkan nampak di hari kemudian. Kalau pengunjung dataran pekan terbuka hati, tentu mereka tidak membuang sampah bersepah-sepah. Menjaga kebersihan itu suruhan Tuhan.

Kerja Saod ada gaji. Gaji itu untuk menyara diri dan keluarganya. Dia akan pastikan gaji yang dibawa pulang itu benar-benar bersih. Bersih daripada subahat. Biarpun hasil mengutip kekotoran, pulangannya bersih. Saod semakin tunak melayan fikirannya.

Saod sedar, tugasnya adalah untuk memudahkan majikan. Majikan diberi tanggungjawab menjaga kebajikan dan kebersihan persekitaran. Majikan menggaji Saod memastikan persekitaran bersih. Majikan juga ada kuasa mendenda kepada mereka yang tidak mengamalkan kebersihan. Majikan juga boleh mengambil tindakan disiplin terhadap Saod jika kawasan tidak bersih. Saod menginsafi tugas majikan yang diamanahkan kepadanya.

Majikan tidak jemu memberi peringatan pendidikan melalui papan iklan ‘Jagalah Kebersihan’ di tempat-tempat awam. Saod nampak papan iklan itu di sudut tepi dataran pekan. Malangnya, tidak semua pengunjung mematuhi arahan itu. Saodlah yang bertanggungjawab membersihkan kekotoran itu.

Saod selalu bermuhasabah diri. Mengikhlaskan diri membersihkan sampah yang mengganggu ketenteraman. Dia tidak ambil peduli kalau orang awam membuang sampah bersepah-sepah. Atau enggan membuangnya ke dalam tong sampah. Saod tidak ambil peduli. Saod tidak ada kuasa untuk menasihat atau mendenda mereka. Dia hanya menjaga tong sampah.

Tong sampah itu memudahkan Saod dan rakan-rakan bekerja memungut kekotoran. Sampah itu kekotoran yang tidak diperlukan. Jika dibiarkan, akan menganggu keselesaan mereka. Sampah kekotoran perlu ada petugas yang membersihkannya. Perlu! Dia pernah sembang dengan Tuan Penyelia. Dia mengemukakan gagasan mindanya kepada Tuan Penyelia. Tuan Penyelia terbahak-bahak. Gagasan sampah, kata Tuan Penyelia.

Saod hanya menjalankan tugas membuangkan sampah kekotoran. Ada disiplin tugas yang perlu dipatuhi. Tepat, ikhlas, dan patuhi masa. Itulah yang menggusarkan Saod untuk bertemu Tuan Maon di pejabat nanti. Saod sedar, memang ada masanya dia tidak mematuhi disiplin itu. Dalam dirinya masih ada sifat kekotoran. Sifat yang perlu dibuang. Dia bukan pekerja yang betul-betul baik.

Ada masanya dia melakukan kerja yang tidak ada dalam perintah. Tidak mematuhi arahan kerja. Tapi dia berazam untuk jadi baik. Hari ini lebih baik daripada semalam.

Dalam kekotoran dirinya itu tak akan tidak ada kebersihan? Saod mengumpul-ngumpul kekotoran sampah. Saod mengais-ngais mencari kebersihan. Tangannya kukuh menggeggam mengayuh batang penyapu. Mengumpul sampah bersepah. Otaknya ligat mencari jawapan yang akan dibawa menghadap Tuan Maon nanti.

Saod mendapat gaji bulanan untuk melancarkan kerja pembersihan. Gaji tetap bulanan lebih melegakan Saod. Berbanding dengan ada kerja ada upah. Seperti kerja tambahan yang dibuat sekarang. Kadang-kadang kurang, kadang-kadang lebih.

Pendapatan tambahan itu bolehlah untuk mengisi tangki minyak motosikal. Salahkah dia membuat kerja tambahan? Hatinya dipagut gusar. Dia memungut botol plastik, kertas, kotak, tin minuman yang dibuang orang. Dia kumpul dan asingkan dalam bekas karung baja. Dia tidak buang ke tong sampah. Tuan Penyelia kata, bahan buangan yang menjadi kekotoran itu menjadi milik majikan.

Jika diambil tanpa kebenaran, apa lagi dilakukan waktu bekerja, itu satu pengkhianatan. Duk! Jantungnya bagai dihempap batu. Saod tidak pernah berfikir sedalam itu. Dia yang hanya tamat sekolah menengah tidak terfikir sejauh itu. Dia hanya mengambil bahan terbuang. Kalaulah kerana itu dia dipanggil bertemu Tuan Maon, apakah hujah alasan yang akan diberikan?

Arahan

Saod tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dulu, Saod bekerja mengambil upah di kedai runcit. Mengangkat dan menyusun barang-barang di kedai. Melayan pelanggan yang datang. Mengambil dan memulangkan bayaran daripada pelanggan tatkala tauke sibuk. Tauke memuji kerajinan Saod. Sering dibayar upah lebih kalau bekerja lebih masa. Saod beri layanan baik kepada pengunjung. Jualan tauke bertambah hari demi hari. Saod mengetahui hal itu apabila tauke banyak senyum. Tauke akan bayar lebih kepada Saod.

“Tauke pun jual ini?” suatu hari Saod agak terkejut. Saod melihat botol-botol hijau di dalam kotak plastik yang kukuh. Saod enggan mengangkat kotak itu ke kereta pelanggan.

"Ada dalam stor. Keluar kalau ada tempahan,” jelas tauke. “Kamu tolong angkat masuk kereta. Dalam kotak, tak kena tangan,” tambah tauke memberi arahan seperti tahu benda itu tidak disenangi Saod.

Saod tidak menghiraukan arahan tauke. Dia mengangkat bungkusan lain untuk pelanggan. Saod menjauhi tempat itu dengan harapan tauke akan suruh orang lain.

“Saod, tolong angkat!” suara tauke semakin keras. Semua pelanggan di kedai memandang ke arah Saod. Saod seperti tertampal najis ke muka.

Saod menanggalkan kopiah. Memasukkannya ke dalam poket seluar. Dia mengangkat kotak berisi botol hijau itu ke kereta pelanggan. Selesai melakukan tugas itu, Saod menghampiri tauke.

“Saya mahu berhenti. Bukan marah, kerana kena marah. Tapi kerana di sini ada menjual kekotoran. Benda tidak halal itu najis dan kotor untuk saya,” Saod pergi dan tidak menoleh lagi. Dia pergi dengan harapan mencari tempat kerja yang lebih baik.

Allahuakhbar ! Allahuakhbar! Gema azan dari masjid jamek memecah keheningan pagi. Saod terhenti menguis sampah kekotoran. Dia mengemaskan letak penyapu dan sampah yang terkumpul. Dia berniat menangguhkan kerja. Tuan Penyelia pernah menegurnya ponteng meninggalkan kerja. Saod meminta izin untuk menangguhkan kerja. Ada kewajipan yang lebih wajib, kata Saod. Saod gusar kalau penangguhan kerja itu dilaporkan kepada Tuan Maon.

Bimbang penangguhan itu menjadi kesalahan. Kesalahan yang memungkinkan dia dibuang kerja. Meninggalkan kerja memang ponteng. Menangguhkan kerja adalah wajar. Manusia perlu rehat. Manusia bukan seperti robot. Boleh kerja tanpa henti. Menangguh kerja bukan tidak buat kerja. Dia reda kalau kerana itulah dibuang kerja. Cuma Saod bimbang. Saod gusar sekarang ini. Amat sukar untuk mencari kerja. Pekerja asing menjadi pilihan kontraktor. Mereka sanggup menerima bayaran murah. Saod digoncang kegusaran. Hati dan perasaannya tidak tenteram.

Ayuh solat! Ayuh menuju kejayaan! Di sana ada ketenteraman. Bisikan itu melebat membasahi hati yang gusar. Saod teringat maksud hadis, orang yang solat bagaikan mandi di sungai. Sehari lima kali. Apakah masih ada kekotoran di badannya? Tentu tidak, bisik hati Saod.

Di ruang tempat mengambil wuduk, Saod menoleh ke kiri. Menoleh ke kanan. Tidak ada Tuan Penyelia. Tidak ada Tuan Maon melihat. Dia yakin Allah Maha Melihat. Walau kita tidak melihat-Nya. Saod selalu mengingati pesanan ustaz. Pesanan itu daripada ayat al-Quran. Pesanan ayat itu cukup untuk membersih kekotoran hati. Cukup untuk membersih kekotoran tingkah laku.

Cukup untuk membersihkan kata-kata. Allah Maha Melihat. Maha Mendengar. Jauhi aku dari melakukan kekotoran, dan jauhi aku dari punca melakukan kekotoran. Doa Saod dalam hati.

Saod membasahkan muka. Dingin segar meresap ke seluruh tubuh. Dia berniat mengangkat hadas kecil. Mengangkat kekotoran dosa mata. Kekotoran dosa telinga. Kekotoran dosa anggota tangan. Anggota kaki. Dosa seluruh tubuh. Dosa-dosa hati. Dosa batin. Wuduk membersihkan tubuhnya untuk menghadap Tuhan.

Saod mengangkat kaki, melihat kaki seluar. Sedikit kekotoran pasir bercampur tanah di kaki seluar, Saod kibas-kibas lerai ke tanah. Dia yakin tiada kekotoran mughallazah. Tiada kekotoran mutawassitah. Tiada kekotoran mukhaffafah. Tiada kekotoran sebarang ain, warna, bau, dan rasa najis. Dia melangkah penuh yakin tiada kekotoran melekat di pakaiannya. Di tubuhnya. Kekotoran di hati, sesungguhnya itu yang sukar dicuci.

Menapak ke tempat kerja, kegusaran itu tumbuh semula. Melihat cebisan sampah yang berbagai-bagai. Dia kumpul. Dia kaut. Dia kutip. Dia asing. Dia masukkannya ke dalam karung berasingan. Dulu, daun-daun kering, ranting dan cebisan kertas, dia boleh bakar di penjuru kawasan. Sekarang tidak boleh.

Menyalahi peraturan. Definisi sampah sudah berubah. Ada sampah yang dilupuskan. Ada yang diguna semula. Ada yang dikitar semula. Ada sampah berbahaya. Ada sampah yang berharga. Ancaman Tuan Penyelia menggetar semula. Menjadi kesalahan mengambil sampah berharga pada waktu kerja. Apakah jawapannya kepada Tuan Maon nanti?

Saod bertekad, inilah kerjanya yang terakhir. Dengan motosikal roda tiga, pada waktu kerja, dia menghantar karung baja padat berisi sampah plastik ke kedai barangan lusuh. Botol minuman, botol minyak, botol sabun, bungkusan plastik, dilambakkan ke bekas penimbang. Dia menerima imbuhan dua keping wang kertas biru. Wang itu akan diserahkan kepada Tuan Maon. Wang itu menjadi bukti dalam kekotoran masih ada kebersihan.