Bagaimanapun perkembangan ini menjadi ‘diam’ dan seolah-olah sastera Malaysia seperti statik, sebenarnya diakibatkan oleh matinya dunia kritikan sastera di Malaysia dalam dua dekad yang sama. Pada hakikatnya perkembangan sastera Malaysia terutama di tangan penulis muda alaf baharu ini sangat pesat dan memberangsangkan.

‘Matinya’ dunia kritikan sastera di Malaysia membuatkan perkembangan sastera yang begitu penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu khususnya dan Malaysia amnya ketiadaan sorotan, dan tertinggal sepi selama dua dekad. Tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak, hal ini berlaku kerana pelbagai faktor tidak dapat dijawab secara objektif dan adil dalam konteks perkembangan semasa.

Sastera Malaysia dalam dua dekad mutakhir telah berkembang bukan sahaja dalam konteks gaya, bentuk serta pemikirannya tetapi juga dalam konteks medium bahasanya.

Tidak dapat tidak, sastera Malaysia ‘terpaksa’ menerima kehadiran medium bahasa di luar bahasa kebangsaan yakni bahasa Melayu, seperti sastera yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan bahasa vernakular seperti bahasa Mandarin dan Tamil.

Malah sastera yang turut ditulis dalam bahasa Iban dan Kadazan.

Berasaskan Perlembagaan, adalah ditegaskan bahawa hanya sastera yang ditulis dalam bahasa Melayu diterima sebagai sastera kebangsaan. Pembincangan ini dengan itu melihat perkembangan sastera yang ditulis dalam bahasa Melayu, dirujuk kepada sastera Malaysia.

Ia melihat perkembangan sastera yang menyeluruhi kehadiran penulis generasi alaf 21, aliran dan potensi yang melonjakkan sastera masa hadapan. Sastera era transisi dalam konteks perbincangan ini ditandai oleh kehadiran apa yang disebut sebagai Objektiviti Baharu (New Objectivity).

Hal ini disebut oleh Gustav Hartlaub yang menyorot perkembangan seni hampir seabad yang lampau, untuk melihat kehadiran wacana baharu. Hartlaub seorang pemikir seni Jerman menyebutnya Neue Sachlichkeit (New Objectivity atau Objektiviti Baharu).

Ia merujuk kepada seni dunia baharu yang memaparkan latar kota metropolis, kehidupan kota, lingkaran hidup yang tersepit dalam kemajuan material, dan imej-imej yang tercipta daripada simulasi imaginatif. Lebih jauh lagi ia bertolak keluar bukan sahaja daripada realiti ‘kasatmata’ tetapi juga daripada statisme intelektual (intellectual statism).

Objektiviti Baharu menemukan dunia baharu secara menyeluruh, melihat gambaran atau merujuk suasana yang dilihat pada hari ini dan semasa. Secara khusus melihat reaksi langsung atau tidak langsung terhadap kepesatan perbandaran dan materialisme yang dirujuk sebagai ‘pengalaman dan fikiran kota’ (urban) dan objek teknologi.

Ia melihat objek dan subjek daripada sudut pandangan berbeza, keluar dari sudut pandangan realisme dan konvensi, segala yang aneh disejajarkan menjadi sesuatu yang normal dan akhir sekali melihat objektivisme sebagai ciptaan jiwa yang ekpresif.

Pelopor

Seni atau sastera bukan sebagai keperluan budaya tetapi sebagai manifestasi kehidupan. Ia tidak mahu lagi mencipta hasil karya penuh seni tetapi membosankan sebaliknya mencipta ‘kesukaan’ untuk khalayak yang bosan.

Objektiviti baharu adalah seni atau sastera yang berada dalam waktunya yakni bergerak dalam masa terkini, menyorot hidup kota/urban, teknologi baru, jalan sesak, kota kalut, pekerja, mesin, kehidupan gelap dan jiwa yang terasing dalam kepesatan perbandaran – terlepas daripada kawalan ketat status quo norma, etika dan nilai. Ia menemukan apa yang disebut kebenaran yang aneh dan menakutkan (the unccany truth).

Sastera Malaysia era transisi menemukan Objektiviti Baharu ini dalam karya-karya yang menyaksikan kehadiran penulis generasi alaf baharu.

Sastera era transisi ini boleh dikatakan terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama dan fasa kedua. Fasa pertama melihat pendiri-pendiri terdiri daripada Saharil Hasrin Sanin, Roslan Jomel dan Muhammad Lutfi Ishak. Saharil muncul dengan karya yang mengeluarkan bentuknya daripada sastera per se melalui Kentang dan Dentang.

Sementara Roslan menggugah konvensi sastera dengan cerpen-cerpen yang melanggar sempadan realitinya termuat dalam buku Selamat Datang ke Malaywood dan Serangga Dalam Kepala. Akhir sekali Lutfi mengejutkan dunia puisi tanah air dengan Dondang Pembukaan yang memberikan pengucapan baharu dalam dunia puisi Malaysia.

Turut hadir dalam fasa pertama ini ialah nama-nama seperti Rebecca Ilham, Nasriah Salam, Nimoiz TY, Shahkang, Hafiz Latif, Sayidah Mu’izzah, Sayahidatul Munirah, Farahana Huseein dan beberapa nama lagi. Tidak ketinggalan penulis dari utara Sarawak iaitu Abang Median, Frankie Latit, dan Zakry Zakaria yang telah meletakkan nama sebaris dalam sastera era transisi.

Sastera era transisi fasa kedua meletakkan Objektiviti Baharu dalam bentuk yang lebih drastik. Wan Nor Azriq melalui novel-novelnya D.U.B.L.I.N, Boneka Guido dan Soneta Roda Basikal sangat memperlihatkan kehadiran Objektiviti Baharu yang meletakkannya sebagai pelopor penting sastera era transisi untuk fasa kedua ini.

Seangkatan dari segi karya dengan Azriq, ialah Ruhaini Matdarin yang muncul dengan cerpen dan novel yang menyanggah konvensi yang melangkau masuk ke dalam dunia Objektiviti Baharu dengan kebenaran yang aneh.

Antara karya Ruhaini yang meletakkannya dalam sastera era transisi ini ialah Misi Penyepit Kain, Melawan yang Mustahil, Anatomi Rupert dan Trivia.

Seorang lagi penulis yang men­jadi nama penting dan berdiri sebagai pelopor sastera era transisi ini ialah Fahd Razy yang memperlihatkan kehadirannya yang penting dengan kumpulan cerpen Pascasejarah. Bersama Fahd Razy, ada tiga nama lagi ialah Tuah Saujana, Shafiq Azli dan Ahmad Muziru Idham.

Namun hanya Ahmad Muziru yang terus aktif dan menonjol. Mengikuti tiga nama penting ini ialah Ainul Muaiyanah Sulaiman dan Hani Salwah Yaakub, masing-masing dengan kumpulan puisi Perempuan Bulan Perempuan Hujan dan Tentang Pertanyaan.

Perkembangan pesat sastera era transisi ini melebarkan diri melalui pelbagai penerbitan yang bukan sahaja berpusat kepada penerbitan buku sastera melalui Dewan Bahasa dan Pustaka dan ITBM tetapi rumah-rumah penerbitan yang gencar menerbitkan buku-buku untuk pasaran anak muda. Johan Radzi menghadirkan cerpen-cerpen yang menuliskan dunia kota dalam bentuk dan gayanya sendiri melalui buku Tinju & Peluru.

Begitu juga dengan Syafiq Ghazali yang ‘membuka’ realiti gelap dalam kumpulan cerpen Debu Bidadari. Lokman Hakim, adalah nama yang tidak boleh dikesampingkan di sini yang bermula dengan fiksyen sains dan kini menerjah ke dunia penulisan sastera dengan karya yang mengujakan. Satu lagi nama yang sedang melonjak naik ialah Khairil Idham Ismail yang turut menggulati penulisan esei.

Ramai lagi nama baru yang sedang memanjat masuk ke dalam sastera era transisi ini termasuk peserta-peserta Minggu Penulis Remaja seperti Azrin Fawzi, Izz Baedillah, Fadzli, AK Kelana, Akiff Jebat, Syaheera, Haniff Nasir, dan Iman Danial.

Dalam pada itu kehadiran penulis-penulis muda yang masa kini menambahkan kerancakan sastera era transisi dengan nama-nama seperti Faizal Mat Zawi, Syafiq Said, Karl Agan, Adinata Gus, Saat Omar, Nur Adilla, Mohd Anas, Iwan Reaz dan ramai lagi.

Perkembangan ini ternyata memperlihatkan dengan jelas kehadiran sastera era transisi yang meriah dengan karya-karya baharu. Karya-karya memperlihatkan kecenderungan Objektiviti Baharu yang menemukan aliran urban dalam sastera, dan cuba mengeluarkan diri daripada statisme intelektual yang terkurung dalam orde lama ilmu bantu yang banyak ‘menyalin’ fakta.

Sastera era transisi meluahkan realiti semasa dengan sisi telanjangnya, dan pada masa yang sama bergerak melanggar sempadan realiti itu sendiri.

Ia menemukan kebenaran yang aneh dan menakutkan (the unccany truth) untuk menghidupkan dirinya dalam masyarakat yang bosan berfikir, dengan meluahkan reaksi sinis, naif malah paradoks dalam masa yang sama.

Sastera era transisi ternyata telah memberikan perkembangan baharu yang pesat kepada sastera hari ini dalam meletakkan landasan yang baik untuk masa hadapan. Tidak mustahil ia berupaya untuk melonjakkan sastera Malaysia sebagai gelombang baharu sastera di Asia Tenggara pada masa hadapan.