Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Melestari kritikan dan kritikawan

TEORI dan pendekatan kritikan dari Barat dianggap rosak dan menyesatkan? Akibatnya dunia kritikan sastera tempatan dianggap demikian rancu dan rencam sifatnya, namun benarkah begitu?

Sebelum itu, perlu difahami dengan jelas pengertian tiga istilah terpenting yang saling berkait rapat. Pertama, teori kesusasteraan adalah pengkajian tentang prinsip-prinsip kesusasteraan, kategori-kategori, kriteria dan sebagainya.

Kedua, kritikan kesusasteraan pula lebih merupakan pengkajian terhadap karya-karya yang konkrit secara persendirian. Dan ketiga, sejarah kesusasteraan ialah pengkajian karya-karya yang konkrit dalam satu urutan masa.

Sementara itu pengertian kritikan kesusasteraan itu luas mencakupi dunia kesusasteraan sejagat Timur dan Barat. Dunia kritikan turut lahir sebagai jangkasuhu mutu sesebuah karya dan juga menjadi tolok perbandingan pemikiran penulis merentas sempadan bangsa, budaya dan kepercayaan beragama.

Menurut Webster : ‘Generally speaking, we can say that literary criticism involves the reading, interpretation of and commentary on a specific text or texts which have been designated as literature. This tends to be the predominant activity associated with literaty study: it is practiced by the professional critics and circulated in published form in books and journals,…(Webster,6).

Manakala tokoh peneliti sastera Barat, Matthew Arnold di dalam tulisannya berjudul The Function of Criticism at the Present Time, beliau menjelaskan bahawa ‘kritikan kesusasteraan ialah satu usaha yang bukan hendak mencari untung tetapi mempelajari dan menyuburkan sesuatu fikiran dan sesuatu yang telah diketahui sebagai yang terbaik dalam dunia’.

Dengan itu, dapatlah diberikan kesimpulan bahawa, ‘kritikan kesusasteraan merupakan suatu usaha untuk menilai hasil-hasil ciptaan seseorang sasterawan dengan cara yang beralasan serta bersistem dan bertujuan untuk mengembangkan sesuatu yang difikirkan baik lagi indah,’ menurut pengkritik sastera tersohor Hashim Awang.

Secara umumnya, teori karya sastera terbahagi kepada empat genre; sajak, cerpen, novel dan drama yang bersifat kreatif dan imaginatif. Teori sastera itu merupakan seberkas epistemologi yang berhubung dengan ilmu pengetahuan tentang sastera, definisi, konsep, prinsip dan sifat-sifat nilai dan normatif.

Pada dasarnya, kritikan sastera adalah usaha menilai hasil ciptaan seseorang pengarang dengan menggunakan kaedah saintifik disebabkan penulisannya telah menggunakan pendekatan, teori atau metodologi tatkala melakukan kritikan. Sementara itu, H.M. Abrams menjelaskan, jenis-jenis kritikan sastera boleh dikelompokkan kepada empat koordinat iaitu mimetic atau peniruan, pragmatik, kritikan ekspresif dan kritikan objektif.

Fungsi kritikan secara ringkasnya merangkumi kerja kritik sastera iaitu pertama memisahkan karya yang bermutu daripada yang tidak bermutu. Kedua, peranan kritikan dari sudut teori dan praktis.

Ketiga, memberikan bimbingan kepada pengarang untuk memperbaiki karya mereka atau mengajar para penulis (E.D.Hirsch, 1976) dan wujudnya istilah kritikan legislative.

Keempat, terakhir ialah berlakunya fungsi kritik atas kritik di mana kerja-kerja kritikan awal dapat diperbaiki pula kemudiannya oleh kritikawan lain yang lebih berpengalaman. ‘Dengan itu, sesiapa sahaja boleh melakukan kritikan setelah membaca sesebuah karya sastera, asalkan menggunakan mana-mana teori, pendekatan, kaedah dan metodologi kritik sastera’ menurut sarjana sastera dan penulis buku-buku sastera prolifik Mana Sikana.

Jelas kini, tidak timbul kekeliruan atau kerancuan seandainya kita sebagai para sarjana yang bersikap profesional dan mensejagatkan wibawa kita.

Keseimbangan

Kita tidak menolak kebenaran dan kebagusan teori-teori tempatan yang dihasilkan oleh para sarjana dan intelektual sastera tanah air. Tetapi, dalam waktu yang sama kita juga memerlukan kepelbagaian aliran dan pendekatan dari Barat yang mampu memberikan warna-warni keseimbangan dalam kerja kritikan.

Misalnya, pengkritik berusaha gigih menghayati dan memahami teks merupakan proses apresiasi secara rinci, pengamatan secara mendalam, pemahaman secara terbuka dan tanggapan secara meluas serta langkah-langkah utopsi seterusnya yang lebih kompleks.

Sejarah bidang kritikan tanah air ditandai oleh beberapa nama-nama besar seawal tahun 1950-an seperti Asraf, Yahaya Ismail, Kassim Ahmad, Hashim Awang, Baharuddin Zainal, Shahnon Ahmad, Ramli Isin, Alias Murni, Mohd. Affandi Hassan dan Awang Sariyan. Asraf cenderung kepada aliran transformasi generatif iaiatu beliau berusaha memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Kassim Ahmad pula menjadi penganut realisme sosialis totok apabila mengkritik novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad. Yahaya Ismail sering membicarakan sastera menggunakan pendekatan formalistik dan menulis secara rinci berkaitan Kesusasteraan Melayu Moden dalam Esei dan Kritik I & II (1967).

Hashim Awang amat dikenali dengan kebolehan beliau mengkritik menggunakan pendekatan psikoanalisis yang seawalnya dimulakan oleh Baharuddin Zainal melalui sajak Padamu Jua karya Amir Hamzah.

Beliau juga cenderung menggunakan pendekatan formalistik iaitu terhadap novel Keluarga Gerilya. Manakala kritikan beliau berkaitan pendekatan psikoanalisis ialah penduaan dalam saga, melihat Juara sebagai karya penuh keinginan dan kajian beliau pula melalui tinjauan umum unsur-unsur freudian dalam kesusasteraan Melayu.

Baharuddin Zainal pula dianggap pengkritik yang mempelopori bidang kritikan psikologi dan dianggap mempunyai gaya kritikan yang menarik dengan menggunakan pendekatan multi dimensional. Bagaimanapun, setelah beliau menulis kata pengantar untuk buku Kembara Malam karya A. Latiff Mohidin, tulisan beliau ini telah menimbulkan kontroversi apabila dikiritk oleh Mohd. Affandi Hassan.

Manakala Awang Sariyan muncul iaitu seawal tahun 1980-an sebagai pengkritik yang mengkhusus pada aspek tatabahasa iaitu kecenderungannya terhadap kritikan linguistik.

Seterusnya, beberapa pengkritik prolifik tanah air yang dianggap berjaya mengaplikasikan teori dan pendekatan dari Barat terhadap karya-karya penulis tempatan, sekaligus membuka minda para pembaca dan peminat kesusasteraan tanah air.

Bermula dengan Baharudin Zainal yang mempelopori kritikan psikologi yang bersifat ilmiah melalui ulasannya terhadap sajak Padamu Jua karya Amir Hamzah. Menurut beliau, ‘persoalan seks, cinta dan kemahuan bukanlah persoalan yang mudah diselesaikan dan dilupakan begitu saja tanpa memberi bekas dan akibat pada batin. Ia biasa lenyap dari kesedaran tetapi ia tak akan meninggalkan fikiran tanpa sedar, the unconscious.

Apa yang menarik perhatian ialah pembongkaran Hashim Awang berkaitan aspek penduaan sewaktu menganalisis novel Saga. Peri pentingnya pendekatan psikologi ialah keupayaannya memperlihatkan aspek-aspek kejiwaan watak-wataknya, dan seterusnya dapat dihubung-kaitkan juga dengan gagasan pemikiran dan keperibadian penulis.

Sehubungan itu, Mohd. Affandi Hassan ada membuat teguran mengenai sikap penulis-penulis yang sambil lewa meghasilkan karya, iaitu ‘penulis yang jahil dalam bahasa sendiri akan menjadi perosak bahasa yang paling tidak bertanggungjawab’.

Tambahnya, ‘bahasa yang kacau dan tidak mengikut aturan nahu tidak akan dapat melahirkan fikiran yang jelas dan tegas’. Tetapi, beliau tidak pernah menulis kritikan linguistik secara formal.

Bagaimanapun, kehadiran Awang Sariyan sebagai seorang sarjana bahasa, telah memperlihatkan bidang kritikan linguistik diperhalusi dan diperkemas. Beliau membicarakan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur karya Keris Mas dengan menyentuh aspek kata dan aspek sintaksis. Di samping itu, beliau juga memberikan perhatian pada aspek keindahan bahasa seperti penggunaan metafora, personafikasi dan seumpamanya.

Reaksi daripada beberapa orang penulis menunjukkan bahawa Mohd. Affandi Hassan kerap tidak disenangi. Tulisan-tulisan beliau dianggap bersifat sensasi dan penolakan secara menyeluruh. Akibatnya, Mohd. Affandi Hassan banyak bermusuhan dengan penulis-penulis kreatif.

Sasterawan ASAS 50, Usman Awang dan penulis tahun 60-an S. Othman Kelantan, A. Latiff Mohidin, Shahnon Ahmad dan A. Samad Said telah menjadi mangsa ketajaman pena kritis beliau.

Terkini, Mohd.Affandi Hassan masih dan terus aktif memperjuangkan persuratan secara ilmiah yang dapat difahami dalam epistemologi Islam sebagai suatu ketibaan makna dalam diri dan ketibaan diri atas makna yang dikenali sebagai Gagasan Persuratan Baru (GPB: Satu Pengenalan-Bangi, ATMA 2008).

Tulisan ini tidak menyediakan semua jawapan kepada persoalan-persoalan yang ditimbulkan. Tetapi mengajak para penulis, pembaca, peminat dan aktivis sastera menyorot kembali zaman-zaman kegemilangan lampau yang dilalui bersama oleh para sasterawan dan kritikawan yang saling berganding tangan memajukan bidang kesusasteraan tanah air.

Sejarah bidang kritikan tanah air yang penuh asam-garam cabaran dan pahit-maung dugaan mereka hadapi dan tangani bersama. Tetapi malangnya, pelita bidang kritikan yang dianggap penting buat menerangi karya-karya sastera zaman dahulu, kini cahayanya semakin malap atau mungkin sudah lenyap. Keterlibatan kritikawan tidak lagi menonjol dan bidang kritikan semakin mandul. Mengapa dan di manakah silapnya?

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain