Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) antara institusi yang menawarkan pelbagai jenis bidang pengajian termasuk penulisan, teater, muzik dan juga yang berkaitan dengan seni-seni budaya tradisional yang perlu terus dipelihara.

Kesemua bidang itu juga mampu menjana pelbagai peluang ekonomi selain pemuliharaan warisan seni-seni budaya dan ia selari dengan aspirasi kerajaan dalam menjayakan misi Transformasi Nasional menjelang tahun 2050 (TN50).

Justeru, menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan agar para pelajar dalam bidang ini juga akan mendapat manfaat daripada transformasi tersebut.

“Dalam bidang seni bina dan ukiran misalnya, saya amat menggalakkan mana-mana hotel atau resort supaya membina binaan yang ada unsur-unsur tradisional. Kerajaan contohnya, ada menyediakan dana bagi memelihara rumah-rumah tradisional di seluruh negara.

“Pembangunan pesat yang sedang berlaku sekarang ini lama kelamaan akan menghapuskan warisan dan seni budaya kita. Sebab itu, perlu ada pengajian-pengajian seperti ini dan juga para tenaga kerja bagi menangani kerjaya itu kelak,” katanya.

Beliau menyatakan pandangannya itu dalam Forum TN50 Bersama Para Pelajar Bidang Seni dan Budaya di Aswara, Kuala Lumpur, baru-baru ini yang dihadiri 300 hadirin termasuk pelajar, pensyarah dan penggiat seni budaya tempatan.

Saranan itu antara lain kerap disuarakan oleh para pelajar seni bina yang melahirkan rasa bimbang mereka akan terhakisnya semakin banyak seni tradisional Melayu pada seni ukiran termasuklah dalam rumah-rumah orang Melayu pada hari ini.

Malah, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim sebelum itu pernah mencadangkan Kementerian Kerja Raya agar corak-corak senibina tradisional masyarakat Melayu diwujudkan di semua bangunan kerajaan di seluruh negara.

Beliau menyatakan cadangan itu pada Kem Penghayatan Seni Bina Tradisional 2017 (KAST) 2017 di Negeri Sembilan baru-baru ini, yang sekali gus boleh membuka ruang dan peluang kepada lebih ramai graduan dalam bidang ini mengaplikasikan ilmu mereka.

Dalam forum selama hampir dua jam yang dipengerusikan oleh pelakon Sabri Yunus itu, banyak idea yang dilontarkan oleh para hadirin bukan sahaja daripada para pelajar Aswara tetapi juga mahasiswa dari institusi-institusi pengajian awam dan swasta yang lain.

Antaranya isu peluang pekerjaan dalam seni dan budaya yang perlu diperluaskan di seluruh negara agar graduan dan penggiat dalam bidang ini juga dapat merasai kemakmuran yang dinikmati dalam sektor ekonomi lain menjelang TN50 kelak.

Sehubungan itu, Mohamed Nazri menjelaskan, pihak kerajaan akan sentiasa berusaha menggalakkan serta membantu para penggiat dalam bidang seni supaya mereka juga dapat berdaya saing sama seperti dalam bidang-bidang kerjaya lain.

“Bidang seni juga adalah suatu kerjaya. Apatah lagi, semua yang terbabit dalam bidang seni juga boleh dianggap sebagai seniman. Jadi, perlu ada kerjaya untuk mereka dan jadikan bidang-bidang seni seperti teater misalnya satu industri,” ujarnya.

Selain isu penubuhan Universiti P. Ramlee bagi menggantikan Aswara yang tertangguh kerana sebab-sebab tertentu, ada juga dalam kalangan hadirin pada forum itu yang menyuarakan pendapat supaya kementerian lebih proaktif dalam bidang ini.

Contohnya, isu penubuhan Muzium Kesenian Tradisional yang menempatkan pelbagai warisan seni seperti muzik, teater, seni bina, lukisan, ukiran, tarian, penulisan dan bahasa yang boleh dijadikan rujukan serta galakan kepada para penggiatnya.

Ini kerana, setakat ini banyak bahan yang berkaitan bidang seni belum didokumentasikan untuk tujuan arkib mahupun dipamerkan kepada umum agar ia tidak hilang atau lenyap ditelan oleh arus pembangunan dan perubahan zaman.

“Kita akui banyak daripada bahan yang belum didokumentasikan dan ia memerlukan bajet yang agak besar juga. Saya bagi pihak kerajaan akan mengambil perhatian isu itu kerana ini juga ada kaitannya dengan masa depan generasi akan datang.

“Bidang seni antara bidang yang akan diperkukuhkan. Kalau boleh kita mahu buang persepsi orang seni yang sebelum ini dilihat seperti alien atau makhluk asing. Ia juga bukan kerjaya kelas kedua seperti yang diceritakan dalam filem Ibu Mertuaku,” katanya.

Sebenarnya terlalu banyak isu yang belum diketengah oleh para pelajar dalam bidang seni dan budaya pada hari ini yang menjadi penggerak dalam menjayakan TN50. Justeru, Mohammed Nazri meminta agar lebih banyak forum seumpama itu diadakan selepas ini.