Serentak itu dia menekan brek dan kedengaran bunyi tayar berdecit kuat. Ayah yang duduk di kerusi depan, emak dan kakak di kerusi belakang, semuanya terkejut. Mereka yang tadi sedang lena tidur, terus terjaga.

“Apa pasal? Apa pasal?” ayah bertanya, sambil meraup muka dan memandang keliling. Sebenarnya ayah baru saja tidur selepas berbual panjang dengan pemandu teksi itu.

“Lu tengok sana… itu motosikal baru berlanggar dengan van!” kata pemandu teksi itu. “Saya ingat itu orang memang matilah…”

Lebih kurang 60 meter di hadapan kami, kelihatan sebuah motosikal terperosok di bawah van putih. Baru saja bertembung. Menurut pemandu teksi, van itu cuba memotong kereta di hadapannya tetapi terlajak masuk ke lorong kami dan melanggar motosikal tersebut. Mungkin kerana jalan itu beralun dan berselekoh.

Saya duduk di kerusi belakang, sebelah kiri sekali. Dari kerusi belakang itu saya lihat penunggang motosikal tersebut terbaring di atas jalan, tersepit pada motosikalnya.

Lelaki Cina itu memperlahankan teksinya dan kemudian berhenti tidak jauh dari tempat kemalangan. Dia dan ayah turun. “Semua tunggu sini, jangan keluar. Kami nak tengok sekejap,” kata ayah, lalu berjalan mengekori pemandu teksi.

Sewaktu mereka bergegas-gegas itu, saya lihat ada seorang lelaki kurus berbaju hitam sudah terlebih dahulu sampai. Dia berdiri tercegat di hadapan van, tunduk memandang penunggang motosikal yang terbaring di jalan. Entah bila dia sampai, saya tak perasan. Tahu-tahu dia sudah ada di situ.

Pemandu van putih dan kelindannya turun, kalut melihat apa yang berlaku. Mereka berdiri betul-betul di sebelah lelaki berbaju hitam tadi. Namun saya lihat lelaki kurus berbaju hitam itu tidak berganjak. Dia hanya berdiri, tunduk memandang penunggang motosikal. Ayah, pemandu teksi, pemandu van dan kelindannya langsung tidak menegur lelaki berkenaan, seolah-olah tidak melihatnya.

Mak dan kakak diam saja. Kenderaan semakin banyak, orang yang berkerumun semakin ramai. Sebentar kemudian ayah dan pemandu teksi datang semula.

“Budak Cina, umur dalam 30-an. Mati,” kata ayah, ringkas. “Orang dah ramai, kita balik sekarang, nanti lambat pulak,” sambung ayah, dan teksi pun mula bergerak.

Saya terus memerhati tempat kemalangan dan lelaki berbaju hitam yang sejak tadi berdiri di hadapan van putih sambil memerhatikan penunggang motosikal yang terkapar di atas jalan raya.

Ketika teksi semakin hampir, saya lihat darah begitu banyak melimpah di atas jalan. Mayat lelaki Cina penunggang motosikal itu terlentang, mukanya menghadap ke atas. Saya nampak mukanya dan seketika itu juga saya terkejut.

Wajahnya sama dengan lelaki berbaju hitam yang berdiri memandangnya. Ya, serupa! Kurus, bermisai tipis, mata sepet, rambut jarang, berbaju T hitam!

Ketika saya terpaku memerhati, tiba-tiba lelaki berbaju hitam itu mengangkat kepalanya dan menoleh ke arah saya. Dia seolah-olah tahu saya sedang memerhatikannya.

Pandangan kami bertembung. Saya tergamam, timbul rasa takut kalau-kalau lelaki itu marah saya memerhatikannya. Cepat-cepat saya alihkan pandangan, kemudian bertanya, “Ayah, kenapa lelaki baju hitam tu muka dia sama dengan orang yang mati tu?”

Ayah terperanjat. “Lelaki mana?”

“Tu, yang berdiri sebelah orang yang mati tu. Muka mereka sama, baju pun sama. Macam kembar.”

Ayah terdiam. “Mana ada orang yang adik cakap tu.”

Pemandu teksi, emak dan kakak juga kata perkara yang sama. Saya jadi hairan. Lantas saya tudingkan jari ke arah lelaki berkenaan yang masih terus memandang saya tanpa berkelip.

“Tak ada orang pakai baju hitam berdiri depan van tu,” tegas ayah berulang kali, sambil diiyakan oleh mak, kakak dan lelaki Cina pemandu teksi.

MANUSIA PUTIH

Selepas isyak kami sampai rumah, di Chaah. Malam itu saya tidak dapat tidur. Setiap kali terlelap, wajah lelaki berbaju hitam muncul dalam mimpi. Siapa dia? Kenapa wajahnya sama dengan lelaki yang mati? Kenapa dia memandang saya? Kenapa orang lain tidak nampak?

Beberapa bulan kemudian, sekali lagi saya melihat kemalangan. Kali ini di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Gemas, Negeri Sembilan. Kalau kejadian pertama tadi berlaku di jalan lama Yong Peng–Ayer Hitam, ketika kami dalam perjalanan pulang daripada melawat bapa saudara di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, kali kedua ini berlaku semasa pulang ke kampung di Gemencheh.

Kali ini saya nampak ada beberapa orang berpakaian putih berdiri di samping orang ramai yang sedang melihat kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan lori sawit serta motosikal. Saya tidak pasti sama ada wajah lelaki-lelaki berpakaian putih itu sama dengan orang yang mati, sebab yang terbaring di atas jalan raya sudah ditutup dengan surat khabar manakala mayat di dalam kereta kepalanya tertangkup di dashboard. Manakala yang di kerusi penumpang sedang cuba dibantu keluar.

“Siapa orang yang ramai-ramai pakai baju putih labuh tu, ayah? Muka pun semua nak sama aje,” saya bertanya kepada ayah. Waktu itu saya masih tidak tahu tentang jubah.

Muka mereka tidak berapa jelas kerana dilindungi kain yang menutupi kepala. Berjanggut dan bermisai tipis dan seolah-olah terpancar cahaya daripada muka mereka. Bersih dan berseri.

“Mana ada orang pakai baju putih labuh?” jawab ayah.

Walaupun berulang kali saya jelaskan tentang lelaki-lelaki berpakaian putih itu, ayah, emak dan kakak saya tetap kata tidak ada. Sejurus melepasi kawasan kemalangan, saya berpaling ke belakang. Semua lelaki itu sudah lenyap!

MIMPI

Selepas itu saya sering melihat manusia-manusia aneh ini di tempat kemalangan. Pernah saya lihat yang tubuhnya berdarah, ada juga yang separuh buruk separuh elok, selain makhluk hitam seperti bayang-bayang.

Bezanya, jika makhluk itu menyerupai manusia, ia kelihatan tenang. Namun jika makhluk itu hitam dan hodoh, ia kelihatan gelisah, ketakutan atau sedih. Sebahagiannya tahu saya sedang memerhatikan mereka, sebahagian lagi tidak.

Mengapa ini terjadi? Saya tidak tahu. Yang saya sedar, ia berlaku semasa saya berusia lapan tahun, selepas mengalami demam panas yang panjang. Kata emak, saya beberapa kali sawan. Sampai satu peringkat, degupan jantung saya terhenti seketika, namun sempat diselamatkan oleh doktor.

Demam panas ini berlaku seminggu selepas datuk saya meninggal dunia. Datuk saya ini bukan bomoh atau pawang, tapi dianugerahkan dengan kebolehan melihat alam yang satu lagi. Datuk tidak pedulikan makhluk-makhuk yang dilihatnya, selagi ia tidak mengganggu kami.

Tapi kalau datuk lihat makhluk itu berkeliaran di dalam rumah, anak cucunya menangis, sawan dan meracau akibat diganggu, dia takkan berdiam diri. Datuk akan bercakap dengan makhluk itu dan bacakan ayat-ayat suci al-Quran untuk menghalaunya.

Ayah dan ibu bimbang melihat apa yang berlaku. Saya juga begitu. Saya selalu jatuh sakit, marah, sedih dan murung selepas melihat makhluk-makhluk tersebut. Ada waktunya saya demam dan sawan.

Akhirnya, selepas empat tahun, suatu malam saya bermimpi didatangi arwah datuk. Dia tidak bercakap apa, hanya tersenyum dan meraup muka saya sebanyak tiga kali. Tapak tangannya sejuk dan berbau harum. Saya terus terjaga kerana terasa muka saya diraup tangan seseorang. Sebaik sahaja membuka mata, saya lihat ada bayangan putih di hadapan saya, tipis bagaikan kabus, kemudian perlahan-lahan menipis dan terus ghaib.

Sejak itu saya tidak lagi melihat manusia atau makhluk aneh di tempat kemalangan maut. (Masyhoor M, Kuala Lumpur. Kejadian ini berlaku pada tahun 1980-an.)