“Lembu dogol jangan dibalun,” begitu jawapan Ustaz Ahmad apabila Ustazah Khadijah mengajaknya beristighfar. Ustaz Ahmad mengurut dada, dari berdiri dia duduk di atas tikar mengkuang di ruang tamu. Bimbang khuatir syaitan merasuk dirinya menjadi marah. Dalam perjalanan pulang daripada menjadi Imam solat Jumaat dia diperli-perli menunggang agama, menjual kepandaian ilmu Allah. Kata mereka ikhtiar pasangan ini wajarnya percuma, barulah ikhlas tidak minta dibalas. Tempayan emas yang dihadiahi Maharaja wajar disedekah sahaja. Begitulah kepandaian manusia sekeliling mengatur harta dan keberuntungan orang lain.

Lembu atau unta?

Perbincangan di masjid utama Taqwa berhubung binatang yang menjadi pilihan untuk pelaksanan ibadah korban menjadi hangat apabila sebahagian daripada ahli tertinggi Jemaah sudah tidak tetap pendirian ibarat berbalik-balik bagai kuda tercirit. Persetujuan asalnya, Ustaz Ahmad mengajukan saranan ibadah korban dengan menumbangkan unta. Kali pertama dilakukan di wilayah ini. Maka bertebaranlah fitnah kononnya Ustaz Ahmad hendak melawan Maharaja Jelira Wasatiah. Walhal dari awal lagi, Maharaja sememangnya berminat dengan cadangan bernas bijaksana daripada Ustaz Ahmad. Niat Maharaja jelas ingin menjamu mereka yang berhak dengan kelainan pada sambutan kali ini dan baginda juga teringin menjamah daging unta buat kali pertamanya.

“Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syi’ar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur,” begitulah, diperdengarkan Ustaz Ahmad tafsir dari surah al-Haj ayat 36.

“Kuda yang baik tak bercerai dari pelananya,” begitu Wak Tertua Abu Ali mengangguk-angguk memuji dan bersyukur hadirnya orang berilmu dan pintar seperti Ustaz Ahmad dan Ustazah Khadijah ke Wilayah ini. Namun cepat disambut suara dengki, “ Asyik-asyik dia, balik-balik cakap dia. Macam orang lain tak ada buah fikiran yang elok.”

“Hah, cadangan kamu apa? Maharaja selalu saja terbuka menerima saranan. Kamu inilah kaki joget, minum-minum air daun di pesta anjuran Orang-Orang Kaya Kecil besar bukan?” Sergah Wak Tertua Abu Ali. Terus berpapasan lari kuda pelejang bukit Orang-Orang Kaya dari Timuran. Wak Tertua Abu Ali tahu datangnya mereka sekadar hendak menjadi batu api tatkala Jemaah hendak mencapai kesepakatan melaksanakan suruhan agama.

“Alhamdulillah, sudah sebulat suara setujulah Kita. InsyaAllah kali pertama dalam wilayah nanti kita bawakan unta sebahtera untuk sembelihan bagi perayaan Aidil adha kali ini. Syukur segala puji bagi Allah atas kesepakatan ini. Sebarang makluman lanjut atau apa –apa berita Kita khabarkan kelak di mesyuarat bersama Jemaah Tertinggi Masjid, Jumaat depan,” begitu titah Maharaja Jelira Wasatiah kepada seluruh wilayah. Ramai yang sudah menelan air liur berkira-kira betapa enaknya daging unta. Belum pernah mereka merasa nikmatnya sembelihan itu, kerana yang pernah merasa hanyalah ahli Jemaah yang pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, dhuyufurrahman. Bilangannya sedikit sahaja tidak sampai 100 orang pun kerana setiap musim haji terhad bilangan yang dipilih oleh jawatankuasa untuk dibiayai Maharaja Jelira Wasatiah bagi mengerjakan haji. Malahan, Maharaja sendiri menunggu gilirannya kerana memberi peluang kepada rakyat jelata mengikut umur, tahun hadapan giliran Baginda dan keluarga menjadi tetamu Allah maka besarlah hati baginda unta didatangkan sebahtera untuk santapan rakyat jelata sebagai hantaran baginda kepada Pencipta.

Kuda belang atau zirafah

Orang-orang Kaya dari Bukit Timuran sedang berkira-kira hendak membawa binatang yang lebih gah dari unta. Sewaktu liburan ke negeri seberang dia pernah melihat zirafah dan kuda belang. Baginya itu lebih cantik dan menarik dari unta. “Kau pernah lihat Zirafah? Kuda belang?” tanyanya kepada orang suruhan bernama Jali. Jali menggeleng dan sengih menyeringai.

“Bolehkah kita menyembelih binatang seperti itu untuk korban, kanda?” tanya Isteri Orang Kaya dari Bukit Timuran

“Suci, kau perempuan. Fikirkan saja soal berbedak, beroles bibir. Tak usah kau fikir soal-soal sembelihan,” sergah Orang Kaya dari Bukit Timuran. Isteri Orang Kaya dari Bukit Timuran tidak berani lagi menambah bicara walaupun dia sentiasa menambah ilmu agama malah mungkin lebih dari suaminya kerana rajin berguru dengan Ustazah Khadijah.

Lembu diberi pelana, kuda diberi pasangan, Isteri Orang Kaya dari Bukit Timuran mendiamkan diri bimbang dicaci maki suaminya yang bercakap dalam kawalan air ketum. Dia mendengar arahan suaminya agar Jali menguruskan tempahan satu bahtera Kuda Belang dan Zirafah bagi persediaan hari raya haji kelak. Orang Kaya dari Bukit Timuran ingin memberi kejutan kepada Baginda Maharaja tentu sahaja dapat mengalahkan cadangan biasa-biasa dari Ustaz Ahmad. Benarlah unta melawan kuda belang dan zirafah. Dari segi warna sahaja tentu kuda belang lebih menarik malah dari segi ketinggian Zirafah lebih tinggi daripada unta. Orang Kaya dari Bukit Timuran tersenyum lebar. Malahan dia berhasrat mengagalkan penghantaran unta dari negara Arab yang diuruskan Ustaz Ahmad dengan menyogok orang di Pelabuhan kelak. Biar satu wilayah terkebil –kebil menanti unta yang tidak kesampaian begitu rancangannya bersama Jali

Bahtera

“Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan “satu umat” (walaupun Ia seorang diri); ia taat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik. Ia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah; Allah telah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus,” begitu lafaz Ustaz Ahmad memetik tafsir Al-Quran sambil bertahmid menunggu ketibaan bahtera unta di pelabuhan. Maharaja Jelira Wasatiah juga sudah tidak sabar mahu mempersiapkan binatang sembelihan untuk hari raya korban kali ini. Kandang dan tempat istirehat unta telah disiapkan. Ketika dua bahtera menghampiri pelabuhan, ramai orang terkebil-kebil melihat kelibat kudang belang dan zirafah yang sudah tentunya dari kejauhan sudah menarik perhatian.

“Tempahan siapa itu?” tanya Baginda Maharaja. Muka baginda berkerut-kerut. Bahtera kedua yang tiba dipenuhi dengan unta. Namun kehadiran bahtera berisi kuda belang dan zirafah membuatkan sekalian hadirin terlongo. Hanya Jali dan Orang Kaya dari Bukit Timuran yang tersenyum bangga. Usaha menghalang kesemua tempahan Ustaz Ahmad gagal, namun tentu sahaja perbandingan bahtera mereka kini menjadi tumpuan. Tentu sahaja Maharaja Jelira Wasatiah akan memuji atau lebih baik menghadiahi Orang Kaya dari Bukit Timuran dengan setempayan emas kerana buah fikiran yang luar biasa ini. Maka mengadaplah Orang Kaya dari Bukit Timuran dengan persembahan sembelihan yang lebih gah dari cadangan Ustaz Ahmad. Dipersembahkan kepada Baginda Maharaja Jelira Wasatiah hampir pengsan dan rebah. Orang Kaya dari Bukit Timuran tahu tentu sahaja reaksi itu kerana terlalu terharu. Senyum Orang Kaya dari Bukit Timuran melebar, Ustaz Ahmad beristighfar dan cuba mententeramkan Baginda Maharaja.

“Apa sahaja lagi kekecohan yang ingin kamu timbulkan, Orang Kaya?” Baginda Maharaja menggeleng dan bertitah murka. Wajah Orang Kaya dari Bukit Timuran berubah pucat lesi. Isterinya, Suci menyembah menghadap Baginda Maharaja memohon ampun keterlanjuran suaminya, “Ampunkan, suami kita Tuanku. Suami kita terlebih minum air daun ubat sudah beberapa hari. Ampunkan suami kita," Suci menangis mengongoi meminta ihsan.

“InsyaAllah, Tuanku. Lembu dari wilayah kita cukup menggantikan sebahtera unta yang tidak sampai itu,” Ketua Pengawal Kesejahteraan dan Hasil Bumi memberi saranan sambil dipersetujui Ustaz Ahmad.