Luka Nering setebal 389 halaman ini dimulai dengan prolog dan diakhiri dengan epilog. Dalam prolog, Malim Ghozali telah membuka kunci terhadap persoalan yang harus dihadapi oleh pembaca — menyediakan pelbagai tapak tentang sikap dan perjuangan Tengku Cik yang dianggap wira yang agak rebellius terhadap Inggeris dan berdendam terhadap Perjanjian Pangkor (1874). Tengku Chik dilihat tidak mungkin akur terhadap kebejatan dan kelicikan Inggeris. Dia sayangkan bangsa dan negaranya. Meskipun diasuh di istana, dia lebih berjiwa rakyat. Lebih dekat kepada golongan marhaen ataupun rakyat biasa.

Membaca Luka Nering secara menyeluruh, dapat dilihat ia adalah sebuah novel yang merujuk, berpaksi dan berasaskan sejarah. Malim Ghozali PK dilihat memberikan penekanan yang dominan tentang persejarahan baru — sejarah tanah air ini perlu ditulis oleh sejarawan Melayu. Dengan itu barulah nada atau roh sejarah itu tidak berat sebelah atau dengan halus dapat dimanipulasi oleh sejarawan Inggeris. Dengan itu barulah dapat diangkat kebenaran tentang perkara yang telah berlaku. Kita tidak seharusnya terus-menerus menelan saja yang ditulis oleh sejarawan Inggeris. Dengan kata lain sejarah tanah air ini harus ditulis oleh sejarawan Melayu daripada kaca mata dan nurani tempatan.

Luka Nering ialah sebuah teks yang kuat dan mampu menggugah daya fikir serta emosi. Kita menjadi amat kesal tentang sesuatu yang berlaku selama ini, khususnya pada konteks persejarahannya. Kita menjadi amat terkilan tentang yang berlaku terhadap bangsa dan tanah air oleh keserakahan dan kelicikan penjajah, terutamanya Inggeris. Kita merasa cukup terluka apabila institusi raja yang menjadi lambang kedaulatan Melayu, agama dan jati diri diperkotak-katik oleh Inggeris dan sekali gus membenam maruah bangsa kita ke lumpur kedaifan.

Dalam pada itu, kita tentu tertanya-tanya mengapa Malim Ghozali memberikan tajuk novelnya ini Luka Nering. Sedikit sebanyak ini tentu akan mengajak atau memancing kita untuk mengenal tanda dan lambang sebagai latar belakang falsafah atau premis falsafah yang tersirat. Nering ialah sebatang pohon yang biasanya besar dan agam, mampu melawan ribut. Jika ditiup angin yang sedikit kencang ia akan melahirkan melodi yang pasrah alam dengan segala macam keharmoniannya. Ia gagah dan rimbun, tempat berteduh daripada hujan dan panas — “Kalau hujan, kita berteduh di bawahnya, kita tak basah.” Begitu kata Haji Pohon Nering, seorang pelaku yang agak penting dalam novel ini.

Pokok nering itu sebenarnya ialah lambang, kalau tidak pun ikon kepada Melayu dan institusi raja. Jadi jika pohon nering itu luka bererti orang Melayu yang luka. Institusi raja yang menjadi lambang kedaulatan bangsa, agama, maruah dan jati diri itulah yang luka. Memang kedaulatan Melayu dan institusi raja telah terluka berulang kali sepanjang sejarah dan tamadunnya.

Novel ini adalah sebuah manifestasi perjuangan dan persejarahan baharu yang diadun dengan cukup berseni dan segar oleh pengarangnya. Ia adalah satu bentuk manifestasi perjuangan mempertahankan hak, kedaulatan dan kebenaran yang telah diwarisi sejak dulu. Ini mungkin sekadar satu titik paling minimum dalam kerangka perjuangan pejuang sepanjang sejarah perjuangan umat manusia. Tetapi ia masih tetap satu manifestasi yang tergolong dalam kategori itu. Biasanya golongan ini, tokoh yang jujur, ikhlas dan benar selalunya kalah dan dikucilkan.

Sebagai manifestasi perjuangan dan persejarahan baharu, Malim Ghozali membina pengkisahan karyanya di sekitar watak lingkaran Tengku Chik. Dalamnya berbaur kisah-kisah yang menyangkut soal konflik antara kebejatan dan kekuasaan Inggeris dan pengaruhnya- diwakili (Osborne) dengan kedaulatan bangsa dan tanah air, khususnya orang Melayu diwakili oleh Tengku Cik. Terdapat juga soal percintaan yang menempuh dugaan dan cabaran, soal pengkhianatan serta konspirasi dalam perebutan jalur takhta di istana.

Sebagai sebuah karya moden, urutan struktur naratif novel ini tidak dibina mengikut kronologi, malah imbas kembali tidak menentu dan timbal balik sehingga kelihatan agak segmental atau episod yang terkerat-kerat. Tetapi ini bukanlah kelemahan malah kekuatannya, sesuai dengan alir fikiran watak sentralnya Tengku Chik. Malim Ghozali dilihat memilih cara itu bukan sahaja untuk memberikan kepadatan tentang idea dan mesejnya, tapi turut disesuaikan dengan gerak fikir dan arus kesedaran Tengku Chik.

Terdapat beberapa elemen sastera yang cukup menarik yang perlu juga disentuh sebagai ciri istimewa yang turut memantapkan novel ini. Malim Ghozali dalam beberapa hal dilihat cuba mewujudkan elemen foreshadowing yang berfungsi kuat dan menarik. Sebagai contoh, tentang kematian Haji Pohon Nering kerana diserang Naning. Malim Ghozali telah menyentuhnya atau memberikan bayangannya yang agak banyak.

Satu hal lagi yang dilihat sangat menarik ialah timbulnya kemungkinan lain yang bergerak pada arus bawah sedar. Terasa Malim Ghozali begitu mahir dan cuba menggabungkan alam bawah sedar dan realiti tanpa sempadan.

Kemudian pada penghujung bab ke 21 sebelum epilog, kita dikejutkan oleh kedatangan seorang lelaki Cina bernama Ah Siong, iaitu anak kepada Ah Kiong yang pernah dicederakan oleh Tengku Chik di rumah rehat pada hari DO Osborne terbunuh. Lelaki Cina itu menembak Tengku Chik dengan cuma menggunakan jarinya sama seperti permainan tembak-tembak oleh kanak-kanak. Apakah mungkin sebenarnya Tengku Chik telah hanyut oleh tekanan dan pil-pil yang diambilnya selama bertahun-tahun itu yang telah mula menunjukkan kesannya. Apakah mungkin (dengan segala klu) yang disisipkan Malim, sebenarnya Tengku Chik pada bab 21 itu telah terbenam dalam dunia bawah sedarnya? Dia sesungguhnya tidak ke mana-mana, ada di dalam wadnya. Dan jika ini benar, bererti epilog dan harapan yang membuai pada epilog itu juga sebagai kemungkinan ilusinya juga, kerana dengan pil-pil yang ditelannya selama bertahun-tahun telah menjadikan dia seorang ilusionis yang parah.

Sebagai kesimpulannya, Luka Nering adalah sebuah karya yang kuat. Gaya naratif Malim Ghozali PK sangat memukau dan mempesonakan. Elemen-elemen atau ciri-ciri sasteranya menarik dan meyakinkan. Jika kemungkinan-kemungkinan pada bab-bab penghujung novel ini diambil kira, Malim Ghozali telah mula menuju ke arah gaya penulisan pascamoden yang lebih mencabar.