Pidato tentang kebebasan bersuara oleh seorang remaja yang mungkin berumur 20-an. Ghairah mukanya bila berkata-kata. Mulutnya tidak berhenti bercakap hampir 20 minit. Aku syak dia telan pil kuda sebelum berpidato. Topik pada hari ini, aku sedikit bosan kerana topik ini sahaja dah berpuluh kali aku dengar. Semalam topik agak lain sedikit. ‘Seks Dalam Politik’.

Bila punggung aku sudah berasa kebas, aku bingkas bangun dan berlalu pergi. Bukannya sebab aku bosan tetapi aku..., entahlah. Mungkin betul aku bosan. Aku berjalan melintas jalan yang sesak disebabkan pidato itu. Penuh warna merah serta biru di situ.

Beginilah suasana di tempatku. Setelah beberapa tahun pemerintahan bertukar, keadaan mula kacau bilau. Langsung tidak aman seperti dahulu. Aku tidak tahu mana silapnya. Salah pemimpin atau salah rakyat yang langsung tidak memberi peluang atau tidak mahu perubahan yang drastik. Macam-macam alasan tetapi mulut sibuk sembang inginkan perubahan.

Kesan kepada keegoan warga-warga ini, anak-anak muda yang kena tanggung. Termasuklah aku. Walaupun jelas semasa mengundi beberapa tahun lepas, aku masih belum layak mengundi. Entah apa salah aku pun tidak tahu sampai kena tanggung kesannya. Ramai anak muda seperti aku terpaksa duduk di ‘lorong’.

Ya. Di ‘lorong’. Bukannya lorong yang dipenuhi pelacur itu. Bukannya lorong, orang lelaki selalu pergi apabila memerlukan belaian. Tetapi ‘lorong’ yang dipenuhi dengan manusia yang mempunyai pemikiran yang bercanggah dengan pemikiran pemerintah sekarang. Semua pemidato yang membebel di kaki lima tadi, merupakan penghuni tegar ‘lorong’ ini. Siang malam...., pagi petang..., sibuk mencari kesalahan pemerintah. Sampai aku sendiri terpengaruh.

Kenapa aku boleh sampai di ‘lorong’ ini? Ni..aku nak cerita.

Kisah bermula setelah pilihan raya selesai dijalankan. Di mana, oposisi mula menjadi kerajaan.

Semua gembira termasuk aku. Aku ketika itu masih seorang pelajar. Aku rasa gembira kerana khabarnya pelajar sudah boleh bersuara. Kotak suara sudah dikembalikan, katanya.

Pelbagai persidangan aku telah pergi. Semua bebas kritik kerajaan dulu. Beri cadangan kepada kerajaan yang baru dengan bebas. Sama seperti media yang dulunya di dalam sangkar, kini bebas terbang. Satu perubahan yang bagus, bisik hatiku.

Sampailah satu ketika, di mana setelah tiga bulan memegang tampuk pemerintahan, suasana mula kacau bilau. Semuanya kerana pihak oposisi yang masih asyik mengkritik. Teruk kritikannya. Sampai tercetusnya satu perang antarabangsa.

Hutang negara semakin meningkat. Kerajaan mula memecat satu persatu penjawat awam dengan alasan untuk mengurangkan kos. Ramai mula menganggur termasuklah keluargaku. Aku naik berang. Darah mudaku tidak tenang.

Sedang kerajaan sibuk membuat sidang media di televisyen, aku dengan bodohnya telah ikut serta di dalam satu kumpulan untuk hadir dan menghentam dengan pelbagai soalan pedas. Percaturanku jelas menunjukkan aku kurang cerdik apabila aku mula menuntut kerajaan mengembalikan hak penjawat awam. Kerana aku tahu, pemecatan mereka langsung tidak rasional. Langsung tidak mengikut ‘natural justice’. Dan aku yakin, Perkara 5 Perlembagaan sendiri memberi hak untuk seseorang supaya tidak dibuang kerja.

Mungkin kelantanganku tidak begitu tepat pada masanya kerana semua ahli kumpulan mula bersorak. Sidang media yang berlangsung di Bukit Bintang itu telah bertukar kepada satu demonstrasi. Sehinggakan, pihak polis terpaksa masuk campur dan gas pemedih mata dicampakkan bagi meredakan keadaan

Seingat aku, aku cuba melarikan diri tetapi aku gagal. Polis sempat menahan aku. Kalaulah aku mampu lukiskan kembali suasana pada ketika itu, potret tersebut tidak langsung akan menampakkan batang tubuh seorang manusia kerana terlampau banyak pergerakan, asap, baling barang dan sebagainya. Bunyi kereta dan jeritan membingitkan telinga. Akhirnya, aku diletakkan di belakang jeriji besi selama dua tahun

Dua tahun aku merempat. Aku tahu penahanan aku salah. Aku langsung tidak diberitahu sebab mengapa aku ditahan dengan seberapa segera. Aku langsung tidak boleh diwakili peguam dan aku langsung tidak dihadap ke Majistret dalam 24 jam.

Tetapi semua itu sia-sia untuk aku ketengahkan. Habis lebam satu badan aku dipukul. Sibuk menegakkan hak kononnya tetapi habis lunyai aku dikerjakan.

Apabila waktu telah tiba, aku dicampak di ‘lorong’ ini. Jauh daripada keluarga aku. Entah mereka hidup ataupun tidak pun, aku tidak tahu. Kesemua penghuni ‘lorong’ yang berada di sini, kebanyakkannya ada dalam demonstrasi itu kecuali yang mempunyai ‘kabel’ besar.

Apa boleh buat, nasi sudah jadi bubur. Menyesal saja aku cuba menegakkan keadilan. Kalaulah aku tahu tak semua teori boleh diterimapakai, baik aku lupakan sahaja darah panas aku ini. Entah-entah aku sekarang tengah bekerja di mana-mana syarikat terkemuka.

Dulu, aku lupa bahawa aku sekarang menjejakkan kaki dalam dunia realiti. Sebuah dunia yang tidak menjanjikan kemanisan dalam kehidupan.