Suasana di persekitaran itu sunyi beberapa ketika. Masing-masing bungkam. Sejurus kemudian angin dari sebelah utara mengelus sehinggakan beberapa helai rambut pada pangkal tengkuk lelaki itu bergerak-gerak kecil. Lelaki yang sedikit kurus itu berdehem beberapa kali, kemudian berludah dengan keras ke sisi kanannya. Sang Bayang membiarkan ludahan Sang Lelaki yang hampir-hampir singgah di mukanya. Bau kohong meruap-ruap ke rongga hidung.

“Aku tahu semua itu. Bukankah kau sebahagian daripada kehidupanku?”. Dua potong ayat meluncur berturut-turut dari celah dua ulas bibir lelaki berkenaan bersama-sama sisa wap nikotin daripada sebatang bahan komoditi ciptaan negara atas angin yang selesai dihabisinya kira-kira lima minit sebelum Sang Bayang memulakan diskusi berat antara mereka.

“Oh, saudara sedar akan hal itu, rupa-rupanya. Bagus! Itu sangat bagus, tetapi adakah saudara juga sedar bahawa terbentuk banyak sisi ketidakadilan dalam salasilah dan pertalian hubungan antara kita?” kata Sang Bayang kembali. Sambil pertanyaan itu dilontarkan, Sang Bayang cuba mengelakkan dirinya daripada bilah-bilah cahaya matahari yang condong dari ufuk timur yang ghairah memanah tubuh mereka tanpa sedikit belas kasihan pun. Di hatinya terlintas niat untuk bergerak ke tempat yang teduh kira-kira 30 meter dari situ. Dia percaya, biarpun sukar, dia berhasil juga melaksanakan impian yang dipendamkannya selama ini.

“Itu suatu takdir. Tidak syak lagi – takdir! Apabila dikatakan sebagai takdir, maka kau tidak boleh lagi berkata apa-apa tentang perkara itu, apatah lagi memprotesnya. Oleh sebab itu, kau harus menanggungnya biarpun berat. Kau perlu menelan takdir itu biarpun pahit. Kau wajib menerimanya biarpun sukar,” balas Sang Lelaki lalu menyapu mukanya yang sedikit berpeluh. Dia memandang bayang dirinya dengan penuh takjub tetapi ketakjuban itu disembunyikannya dengan cepat. Dia tidak mahu perasaan luar biasanya itu disedari Sang Bayang.

Di tengah-tengah padang stadium bola sepak yang gah dengan nostalgia perisytiharan detik kemerdekaan negara oleh seorang pemimpin Melayu berwibawa berdarah bangsawan, Sang Lelaki itu mula berasa terancam. Dengan pantas Sang Lelaki menangkap bahu kiri Sang Bayang yang telah pun sederap bergerak dari situ ke garis tepi padang. Lelaki itu dan sejalur bayangnya yang panjang bergelut beberapa detik sebelum berhenti kerana kelelahan. Sejarah tercipta antara lelaki dan sejalur bayang – mereka bergomol sedemikian buat pertama kalinya.

Beberapa titik air dari kalenjar tubuh keluar membasahi pinggir kiri mulut Sang Lelaki. Daripada lelehan tersebut tersebar aroma hanyir dan meloyakan. Ternyata aroma yang kurang menyenangkan itu akhirnya menarik kunjungan beberapa ekor lalat berjalur hitam putih dan sejumlah langau hijau yang montel sebesar ulas-ulas jagung madu.

Cepat-cepat Sang Lelaki itu mengeluarkan sehelai sapu tangan kusam dari saku kanan lancingan panjangnya. Dengan sapu tangan itu Sang Lelaki terus sahaja mengelap cecair yang mula mengalir ke hujung dagunya. Dia tidak mempedulikan Sang Bayang kerana dia tahu bahawa jalur bayangnya itu tidak mudah diserang sifat letih yang keterlaluan.

Benar, mereka sama usia. Mereka dilahirkan oleh individu yang memiliki bayang yang sama; pada tempat yang sama; pada detik yang sama lebih 60 tahun yang silam. Benar, telah ditakdirkan bahawa Sang Lelaki itu lahir dengan sejalur bayangnya! Biarpun begitu, mereka ada beberapa kelainan. Apakah kelainan itu? Yang paling jelas, Sang lelaki dapat dikesan oleh semua deria termasuklah deria sentuh tetapi hal yang sedemikian itu tidak sesekali berlaku ke atas si kembarnya. Sang Bayang yang sejalur itu cuma dapat dikesan melalui deria lihat. Ya, hanya dengan mekanisma dan deria itu sahaja Sang Bayang dapat dikesan kewujudannya!

Semenjak itu Sang Lelaki sentiasa menjadi tuan kepada sejalur bayangnya. Semenjak itu juga mereka selalu berkomunikasi, namun komunikasi itu hanya bersifat sehala. Selaku makhluk yang berada pada posisi tuan, Sang Lelaki berperanan sebagai pemberi perintah manakala Sang Bayang cuma memikul aksi yang telah diskripkan kepadanya tanpa perlukan banyak soal. Biarpun begitu, ada beberapa keistimewaan pada Sang Bayang. Kembar tidak seiras kepada Sang Lelaki itu, antaranya boleh dikesan dalam suasana gelap termasuklah pada waktu malam buta pun. Kegelapan fizikal Sang Bayang yang sejalur itu melebihi kegelapan sebarang suasana. Kegelapan Sang Bayang sangat unggul dan bersifat sangat luar biasa!

“Kalau saudara mahu tahu, sebenarnya saya sudah terlalu letih berkeadaan begini. Saya penat. Saya tidak betah lagi diam – mengeyakan kosa kata yang saudara tabur melalui pelbagai cara. Juga, saya tidak mampu lagi bergerak bersama-sama saudara tanpa bantahan. Saya rimas, malahan saya fikir sangat elok kalau saya diberi kebenaran meninggalkan saudara. Terus-terang saya katakan kepada saudara bahawa saya tidak ada apa-apa kemampuan lagi untuk meneruskan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi ini. Fahamkah saudara akan hakikat ini? Alangkah baiknya jika saudara memahami perkara ini, bukan? Kalau itu boleh difahami, setujukan saudara membebaskan saya dalam tempoh yang terdekat? Saya sangat memerlukan kebebasan itu kini. Ya, saya mahu bebas. Saya mahu merdeka!” kata sejalur bayang itu lagi. Kali ini suaranya terlantun dengan lebih lantang.

“Kau tidak boleh bebas. Kau tidak boleh merdeka. Baik kau lupakan sahaja kemahuan itu,” balas Sang lelaki dengan suara yang tegas dan pandangan yang tajam.

“Tak boleh? Kenapa? Apa masalahnya saudara?” ujar Sang Bayang dengan nada tidak puas hati yang membuak-buak. Perasaan memberontak tumbuh subur dan membesar dengan pantas di tengah batas jiwa yang selama ini tidak pernah disuluh oleh sesiapa pun.

“Kau tidak perlu tahu sebabnya, malahan tiada sebarang keperluan untuk aku memberi penjelasan kepadamu tentang perkara ini,” kata Sang Lelaki.

“Barangkali saudara takut menghadapi realiti. Begitu bukan? kata Sang Bayang lagi; memancing amarah lelaki yang pernah dianggap sebagai tuan dalam suatu tempoh melebihi enam dekad dengan sebaris umpan kata yang berbalut emosi.

“Takut?” Sang Lelaki ketawa sejenak. Dia ketawa namun dalam derai tawanya terselit secebis perakuan bahawa sememangnya dia dikunjungi sejuzuk perasaan gentar yang besar.

“Kalau saudara berani, saudara jawab,” balas Sang Bayang dengan sepotong ayat yang masih memberi keutamaan kepada kata-kata yang sopan. Dia masih cenderung menggunakan kata panggilan yang bersusila biarpun berada pada peringkat diskusi yang meruncing; biarpun Sang Lelaki itu menggunakan kata panggilan yang keras ke atas dirinya sejak tadi.

“Baik, biar aku jelaskannya sekarang. Aku tidak akan sekali-kali memberi keizinan kerana telah ditentukan bahawa sejalur bayang tetap selama-lamanya milik sebatang tubuh seperti aku. Bayang itu hamba. Tubuh itu raja; tuan kepada sejalur bayang. Maka itu, apabila telah ditakdirkan bahawa kau hanyalah sejalur bayang, kau tiada apa-apa hak untuk menuntut kebebasan. Tidak ada apa-apa jus kebebasan untuk kau hirup. Tiada apa-apa erti kemerdekaan pun untuk kau nikmati. Ingat baik-baik. Kau tidak ada apa-apa hak pun untuk membuat pilihan. Pilihan kau, aku yang tentukan. Maka, kau selama-lamanya perlu akur akan pilihanku. Dengar sini, satu-satunya pilihan kau ada hanyalah mentaati keputusanku. Hanya itu pilihan yang kau ada. Kau faham hakikat itu?” jawab Sang Bayang; bersuara kuat dengan suatu pertanyaan.

“Tidak, saya mahu bebas. Saya tetap mahukan kebebasan itu. Berada di bawah aturan hidup saudara, saya tidak dapat membentuk persekitaran tersendiri,” ujar Sang Bayang tegas. Dia masih lagi berdiri dengan kukuh dan tidak terjejas oleh pergomolan mereka sebentar tadi. Nafasnya masih teratur, tenaganya tidak luntur, malahan semangatnya kian membara.

Suasana sekali lagi disapa kesunyian. Kalaupun ada sedikit bunyi, unsur alam itu cuma datang daripada deru enjin kenderaan dari luar stadium yang pernah menjadi wadah beberapa bintang seperti Ghani Minhat, Supermokh, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Shukor Salleh, R. Arumugam, Bakri Ibni, Syed Ahmad, James Wong, dan Hassan Sani melakar nama pada sayembara Pestabola Merdeka selain dua kali skuad negara layak ke pusingan akhir Sukan Olimpik – sekali di Munich pada 1972 dan sekali lagi di Moscow pada 1980 setelah berjaya mengetepikan beberapa pasukan pilihan dari benua Asia termasuklah Korea Selatan. Selain bunyi berkenaan, stadium keramat tersebut seolah-olah diserang kevakuman. Pada masa yang sama, putaran dan denyut nadi bumi seakan-akan terhenti beberapa ketika.

Mereka diam tanpa kata. Sang Bayang berasa sedikit puas kerana dapat melontarkan sebahagian isi hati yang selama ini terpendam. Masih banyak perkara mahu dikemukakannya namun dia tahu bahawa setakat ini dia sudah mencapai kemajuan yang baik. Maka, dia tidak boleh gopoh. Yang pasti, lontaran kata seterusnya akan dilakukan dengan lebih tersusun.

Sang Lelaki pula termangu-mangu, bukan setakat kerana kehilangan kredibiliti serta mengalami kemerosotan tenaga pada kadar yang maksimum, malahan dia kehilangan buah fikiran yang bernas. Fikirannya yang rasional terjejas. Memang sangat jelas bahawa dia teruk diasak oleh bayangnya sendiri. Dia benar-benar terhimpit oleh desakan sejalur bayangnya itu. Semua persoalan tersebut berkumpul dan memberat; menjadikan dirinya terkedu sejurus.

“Aku mahu kau terus kekal dengan sifatmu yang sedia ada. Tidak usahlah kau buat keputusan yang bukan-bukan. Jangan memberontak kerana tindakan itu merugikanmu. Tidak bagus kau pilih risiko seperti yang cuba kau ambil tadi. Kemusnahannya nanti sangat banyak. Sekali kau melangkah ke arah persimpangan itu, aku yakin kau tidak akan menemukan jalan kembali. Fikirkan masa depanmu baik-baik,” ujar Sang Lelaki bernada memujuk.

“Saya atau saudara yang terjejas masa depannya jika saya bertegas dengan hasrat saya itu tadi? Lagi satu, kerana memikirkan masa depan sayalah maka saya terdorong mengambil jalan ini. Setelah lebih setengah kurun menjadi bayang kepada saudara, eloklah saya biarkan saudara keseorangan menentukan hala tuju kehidupan saudara tanpa membabitkan saya; tanpa perlu saya memikul risikonya,” kata Sang Bayang dengan serius, tegas, dan lebih berjati diri.

Persekitaran dalam stadium yang diletakkan batu asas pembinaannya pada 15 Februari 1957, berkapasiti mutakhir melebihi 45,000 orang penonton, serta memiliki 14 buah terowong keluar masuk itu kini sekali lagi senyap sunyi. Dalam fikiran Sang Lelaki dan Sang Bayang tercerna persoalan yang sama tetapi terlukis kemahuan yang berbeza. Sang Lelaki berkeras dan sedaya upaya memastikan Sang Bayang kekal berkhidmat kepadanya sebagai pengikut setia. Sang Bayang pula meluaskan wilayah kemahuannya untuk menjadi suatu entiti yang ada hak kebebasan dan sangat mengingini nikmat meneguk madu kemerdekaan.

“Yang terjejas bukan aku tetapi kau. Yang perlu memikirkan masa depan juga kau, bukannya aku,” kata Sang Lelaki tiba-tiba. Dia masih mempertahankan keegoannya. Sisa-sisa keyakinan dalam dirinya cuba dipertahankan dan dipulihkan di hadapan sejalur bayangnya.

“Kalau saudara mahu tahu, sikap saudara yang itulah satu daripada sebab saya mahu membebaskan diri daripada saudara. Sejak sekian lama, saudara terlalu mementingkan status quo, sehingga kadangkala fikiran saudara terjerat; saudara hilang sikap rasional. Saudara, saya fikir saudara perlu sedar bahawa untuk menjadi bangsa yang besar jiwa, saudara perlu buang perasaan itu jauh-jauh dengan secepat-cepatnya,” kata Sang Bayang dengan lebih berani.

“Ohhh!” Sang Lelaki terperanjat besar.

“Ya, saudara perlu memahami perkara ini. Jangan ambil mudah,” desak Sang Bayang.

“Kau semakin yakin dengan kata-katamu,” balas Sang Lelaki dengan terdesak.

“Saya perlu berbuat begini demi kebaikan kita,” ujar Sang Bayang.

“Kebaikan kita?” kata Sang Lelaki dengan nada yang keliru.

“Kebaikan saya – seluruh bangsa bayang serta kebaikan saudara dan bangsa saudara.”

“Jangan mengelirukan saya. Jangan!” pekik Sang Lelaki.

“Saya tidak mahu mengelirukan saudara. Saya hanya mahu memberi kesedaran kepada saudara. Ya, hanya itu!” balas Sang Bayang dengan nada yang lebih tenang dan bersimpati.

“Kesedaran yang bagaimana?” usul Sang Lelaki dengan kekeliruan yang masih belum berkurangan. Dahinya berkerut seribu. Wajahnya retak berkaca dan kusam sepenuhnya.

“Saudara yang baik, biar saya berterus-terang dan bersikap lebih jujur. Ya, sebenarnya semua manusia termasuklah yang berada di luar stadium ini sedang menghadapi kemungkinan kehilangan bayang masing-masing. Dalam suatu deklarasi sulit di sebuah pulau jauh di Lautan Hindi tidak lama dahulu, ketika manusia tidur, kami bangsa bayang telah keluar berdiskusi. Telah kami capai kata sepakat bahawa kami akan mendesak semua manusia membebaskan kami,” jelas Sang Bayang bersungguh-sungguh tanpa mahu berselindung lagi.

“Kenapa? Kamu semua telah melanggar fitrah kejadian makhluk. Baik kamu semua batalkan niat yang songsang itu,” bantah Sang Lelaki.

Sang Bayang ketawa kecil, kemudiannya berkata: “Puncanya, kami malu untuk terus berkhidmat kepada manusia, terutamanya lelaki yang tenggelam dalam arus kepentingan diri. Tolong sampaikan mesej ini kepada manusia wanita juga, ya, saudara. Jadilah makhluk yang akur kepada Pencipta sebelum saudara semua mahu kami terus akur kepada kalian.”

Selepas berkata-kata, Sang Bayang dengan pantas melompat ke tepi padang. Serentak dengan itu kedengaran teriakan jutaan kaum bayang yang menunggu di luar stadium. Merdeka!