Kesedihan kakak memuncak apabila ibu menyuruh kakak berhenti sekolah dan berkahwin dengan lelaki pilihan ibu. Kakak memujuk ibu agar jangan mengahwinkan dia. Kakak ingin menyambung pelajarannya. Ibu tetap juga berkeras. Siapa kakak untuk menolak pilihan keluarga terutama ibu yang mendesak kakak berkahwin dengan lelaki itu. Amira melihat tubuh kakak semakin hari semakin susut dek terlalu banyak berendam air mata. Tetapi siapa yang mahu memahami isi hatinya. Kemahuan kakak tiada siapa yang peduli sementelah arwah ayah telah meninggal dunia dua tahun yang lepas. Khabarnya lelaki yang bakal mengahwini kakak itu berharta, memiliki tanah dan ladang getah yang berekar-ekar luasnya. Mungkin orang kampung tidak hairan kakak akan berkahwin dengan lelaki kaya itu kerana rupa paras kakak yang cantik itu menjadi sebutan orang di kampung.

Semalam Pak Imam Seman dan Mak Cik Simah datang ke rumah. Ada hal yang penting dibincangkan bersama ibu tentang perkahwinan kakak. Pak Imam Seman kenal benar dengan bakal suami kakak. Pak Imam Seman menceritakan tentang latar belakang lelaki yang bakal mengahwini kakak itu. Lelaki itu seorang ahli perniagaan yang baharu sahaja kematian isteri beberapa tahun lalu. Punca kematian isterinya adalah disebabkan HIV. Ibu tidak mahu mempercayainya. Ibu menuduh Pak Imam Seman mereka-reka cerita dan dengki melihat anaknya bakal hidup senang lenang.

“Pak Imam, tidak usahlah cerita apa-apa kepada saya, saya tidak mahu dengar, saya tidak akan percaya dengan cerita karut Pak Imam itu. Pak Imam jagalah anak-anak dara Pak Imam, jangan jadi andartu pulak,” sindir ibu memerli Pak Imam Seman dan Mak Cik Simah yang datang memujuk ibu supaya tidak mengahwinkan kakak dengan lelaki itu. Pak Imam Seman menggeleng-gelengkan kepalanya melihat perangai ibu. Amira duduk di bangku menghala birai tingkap di dalam bilik mendengar percakapan ibu dengan Pak Imam Seman. Amira beristighfar di dalam hati. Terkilan Amira mendengar cara ibu bercakap dengan Pak Imam.

Usai berbual-bual dengan Pak Imam Seman tentang perkahwinan kakak, ibu pergi berjumpa mak cik Kiah yang bertanggungjawab memperkenalkan lelaki itu kepada ibu. “Mungkin panjang sembang ibu agaknya dengan mak cik Kiah. Entahlah apa yang dibualkan pun tidak pasti, jangan suruh aku berhenti belajar dah lah, aku tak nak kahwin awal-awal,” Amira mengomel sendirian.

Amira kasihan melihat kakak yang mengalami tekanan perasaan akibat daripada tindakan ibu. Ibu tidak pernah memahami perasaan mereka.

“Walaupun kakak sedih dengan tindakan ibu tetapi kakak reda dengan takdir hidup kakak. Kakak tidak akan membantah semua keputusan ibu. Bagi kakak, keputusan ibu adalah yang terbaik. Biarlah di mana penghujung hidup kakak, Allah sentiasa ada bersama kakak,” tutur kakak dengan nada yang tersekat-sekat kerana masih bersedih dengan tindakan ibu ingin mengahwinkannya dengan seorang lelaki yang tidak dikenali sepenuh hati budinya. Mulia sungguh hati kakak. Kakak anak yang baik dan taat kepada ibu.Kakak memikirkan tentang kehendak ibu bukan kehendak sendiri. Besar pengorbanan yang kakak lakukan demi memuaskan hati seorang ibu.

“Kakak, Amira akan menjaga ibu dengan baik. Amira janji tidak akan mensia-siakan pengorbanan kakak selama ini. Kakak buat semua ini pun untuk keluarga kita. Amira faham. Pasti ada hikmah di sebalik ujian yang Allah berikan ini,” Amira memujuk hati kakaknya supaya tidak mudah tertekan dengan apa yang berlaku dan memikirkan secara positif tentang untung nasib hidup mereka.

Amira berazam akan belajar bersungguh-sungguh agar kejayaan menjadi miliknya dalam peperiksaan SPM yang semakin hampir. Dia ingin mengubah nasib keluarganya dan tidak menjadikan alasan kemiskinan untuk pasrah dengan takdir. Bukan mudah untuk Amira sekeluarga keluar daripada belenggu kemiskinan yang mencengkam hidup mereka. Amira yakin Allah tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya. Dengan berkat kesabaran dan usaha yang tidak mengenal jemu, pasti hidup mereka akan menjadi lebih baik.

Tibalah hari perkahwinan kakak. Ibu orang yang paling sibuk menguruskan perkahwinan kakak. Ibu nampak gembira apabila jiran-jiran bertanyakan wang hantaran yang sebelah pihak lelaki berikan kepada kakak. Belanja perkahwinan kakak ini semua ditanggung sepenuhnya oleh pihak lelaki. Amira melihat kakak begitu cantik sekali bersanding di atas pelamin. Kakak memakai sepersalinan songket berwarna jingga dan bertudung litup warna putih dililit dengan kain net dan chrome di atas kepalanya. Terserlah kecantikan wajah kakak disolek dan ditata hias oleh Mak Andam. Puas Mak Andam menyuruh kakak tersenyum untuk membangkitkan seri pengantin tetapi wajah kakak tetap muram. Kelihatan air mata kakak berjuraian saat dinikahkan. Kakak yang menjadi teman rapatnya kini sudah bergelar isteri orang.

****

Empat tahun berlalu.....

Hari terakhir Amira berada di kampus UIA. Setelah habis menjawab soalan peperiksaan yang terakhir. “ Fuh..rasa lega hati aku,” Amira tersenyum keriangan. Betapa seksanya menanti semester akhir berakhir. Semua kertas peperiksaan akhir sangat sukar dijawab tetapi syukurlah Amira sudah membuat persiapan awal mengulang kaji pelajaran. Tiada masalah untuknya menjawab soalan-soalan tersebut.

Usai peperiksaan tamat, Amira pulang ke asrama. Buku-buku sepanjang pengajian telah siap dimasukkan ke dalam sebuah beg galas untuk dibawa balik ke kampung dan selebihnya Amira berikan kepada adik-adik yang baru memulakan pengajian mereka dalam semester pertama di UIA.

Ketika Amira sedang sibuk mengemas buku-bukunya, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Jantung Amira berdegup kencang. Hatinya menjadi tidak keruan seperti ada yang tidak kena. Di hujung talian. “Assalamualaikum, Amira. Ini ibu, kamu sihat tak?,” tanya ibu bertalu-talu. Kedengaran suara ibu sedikit resah. Amira menjawab salam ibunya. “Waalaikumussalam, alhamdulillah sihat. Macam biasa. Kenapa ibu? Suara ibu lain macam je, ibu tidak sihat ke?. Kedengaran lemah nada suara ibu di hujung talian. Amira mulai gusar. “ Ya Allah, Engkau selamatkanlah ibuku”, hati Amira mula resah tidak menentu dengan panggilan telefon ibunya. Ibunya mula bersuara dengan nada tersekat-sekat.

“Sebenarnya kakak kamu telah disahkan oleh doktor menghidap penyakit HIV. Dia mendapat jangkitan penyakit HIV itu daripada abang ipar kamu. Abang ipar kamu sedang nazak sekarang. Kakak kamu juga sedang berada di wad ICU di hospital. Maafkan ibu tidak memaklumkan lebih awal tentang hal ini. Ibu tidak mahu mengganggu musim peperiksaan kamu. Balik cepat ya nak,” suara ibu tersekat-sekat menahan kesedihan.

Air mata Amira jatuh bercucuran mengenangkan nasib kakaknya. Kakaknya terpaksa berhadapan dengan penyakit yang bakal meragut nyawanya. Amira tidak dapat menahan kesedihan. Terasa berat dadanya dan kepalanya berpinar-pinar. Amira terus pengsan dan tidak sedarkan diri.

Setelah Amira sedar daripada pengsan, Amira melihat Aqilah berada di sisinya. Amira membuka mulut menceritakan segala apa yang terjadi. “Aqilah, aku tidak tahu macam mana rasanya suatu hari nanti aku akan kehilangan kakak yang amat aku sayangi,” luah Amira dalam keadaan sebak dan memeluk erat tubuh Aqilah bagi menahan kesedihannya. “Sabarlah Amira, ada hikmah di sebalik apa yang menimpa kakakmu itu. Bawalah bertenang dan kita sama-sama berdoa semoga kakakmu tabah menghadapi dugaan ini,” Aqilah cuba memujuk sahabat baiknya itu.

Amira bergegas balik ke kampung halaman. Dia sangat rindu kepada kakaknya. Sudah setahun mereka tidak bersua muka. Apabila Amira sampai di wad ICU itu, dia tidak dibenarkan masuk oleh jururawat yang bertugas. Amira hanya mampu melihat di sebalik dinding kaca yang mengurung kakak yang sedang koma menanti saat-saat kematiannya. Amira sebak melihat kakaknya.

“Subhannallah.... Ya Allah, kuatkanlah hati kakak untuk menerima takdir-Mu ini.” Tak sanggup Amira melihat keadaan kakak seperti itu. Lantas dia pergi ke surau hospital menyerahkan dirinya kepada Yang Maha Esa. Dia merintih pilu dan jiwanya kian pedih menahan sebak di dada. Dia berdoa semoga Allah SWT mengampunkan dosa kakak, memudahkannya menemui ajal dengan tenang dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Takdir sudah tertulis kakak akan pergi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya. Amira telah kehilangan seorang kakak untuk bermanja, berbual, berceloteh dan ketawa bersama. Hanya kenangan yang tinggal menjadi memori buat peneman diri Amira meneruskan kehidupannya tanpa insan yang tersayang.