Bayangkanlah, apabila aku teringat kembali mimpi yang dialami, bulu romaku menegak secara sendiri. Benar. Aku masih ingat lagi saat itu aku tertidur di atas padang pasir yang semerah bara dan panas, entah di mana rasanya. Namun aku sangat dahaga dan lapar hingga tidak mampu menggerakkan tubuhku sedikit pun. Tubuhku terlanjang terbaring di atas pasir yang panas.

Aku tidak mampu membuka mataku kerana silaunya matahari pada saat itu. Walaupun mataku terpejam, aku tetap dapat melihat bayangan bola merah bercahaya itu di sebalik kelopak mataku, mungkin teriknya matahari bersinar kala itu.

Dengan keadaan seperti itu, aku hanya pasrah. Mungkin inikah sakaratul mautku? Mungkinkah ini satu petanda buatku? Aku sendiri tidak pasti. Namun aku tidak pernah menceritakannya kepada sesiapa.

“Nanti berhentilah tu…,” fikirku untuk menyedapkan hati.

Tapi semalam mimpi itu datang lagi. Kali ini lebih menyesakkan dan terasa sunyi sepi. Aku teringat kembali bagaimana keadaan sekeliling yang gelap-gelita dan aku berjalan seorang diri tanpa hala destinasi. Sekonyong-konyong langit berpusar dan bergulung-gulung. Angin juga bertiup kencang dan menerbangkan benda-benda di sekelilingku. Seraya dengan itu, aku terdengar tangisan seorang bayi.

Apabila aku memandang ke belakang, aku dapat lihat seorang bayi yang badannya masih menyala dengan api keseluruhannya berguling ke arahku. Aku cuba menjauhkan diriku daripada bayi tersebut namun sambil menangis, bayi tersebut terus menggulingkan badannya untuk menghampiriku.

Sewaktu aku sedang berlari menjauhinya, aku terlihat sebuah kerusi lalu aku meloncat ke atasnya. Bayi tersebut terus berguling di kaki kerusi dan cuba untuk merangkak naik ke atas. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa takutnya aku ketika itu. Dan sewaktu aku sedang mencari akal untuk meloloskan diri, bayi tersebut bangun dan memegang kakiku dengan erat dan aku tersedar dari tidurku. Semua itulah yang aku alami hampir setiap malam menyebabkan aku benar-benar takut untuk melelapkan mata.

Mungkin kerana tidak tertahan dengan keadaan yang aku alami, aku mengambil keputusan untuk menceritakan mimpiku kepada Azroy, kawanku yang paling rapat.

“Eh, begitu menyeramkan mimpi kau Zack!” kata Azroy.

“Itulah yang aku runsingkan, Roy. Hampir setiap malam, mimpi itu menganggu aku.”

“Tapi apa maksudnya? Aku bukannya pandai bab tafsir-tafsir mimpi ni, tapi kalau setiap malam, mesti ada sebabnya,” kata Azroy.

“Entah-entah kau ada buat dosa tak?” tambah Azroy lagi.

Dosa? Sekali gus satu peristiwa berputar di kotak fikiranku. Kembali di ingatanku bagaimana aku boleh berkenalan dengannya.

“Pukul berapa sekarang?” tanya seorang gadis kepadaku.

“Hampir pukul tujuh.” jawabku.

“Aduh, tertinggal lagi!” katanya separuh menjerit.

“Tertinggal apa makcik?”

“Bas! Saya belum tua lagilah awak. Sampai hati awak panggil saya, makcik.” jawabnya.

“Janganlah marah, saya cuma bergurau. Jadi, bagaimana nak pulang?”

“Entahlah…”

“Apa kata kalau saya temankan awak pulang? Lagi pun bahaya anak dara berjalan berseorangan petang begini.” cadangku.

“Saya rasa kalau saya pulang dengan awak lagi banyak bahayanya…!”

“Baiklah, terpulang…” jawabku sambil menyorong basikalku untuk pulang. Namun belum tiga langkah aku menjauhinya, aku terdengar satu suara yang memanggilku dari belakang.

“Saudara! Tunggu, janganlah marah, saya pun bergurau!” jeritnya.

Sore itu aku menemaninya pulang sehingga ke rumah. Sejak hari itu hubungan aku dan Dayana semakin rapat. Secara kebetulan, aku dan Dayana berada dalam tingkatan yang sama. Oleh itu, kami sering menggunakan alasan mengulang kaji pelajaran untuk bertemu satu sama lain.

Ibu bapa Dayana pula tidak menghalang hubungan kami malah membenarkan aku bertandang ke rumah mereka untuk mengulang kaji pelajaran.

Namun hubungan kami akhirnya mengundang padah. Peristiwa itu berlaku sewaktu ibu bapa Dayana tiada di rumah. Aku akui sememangnya apabila dua orang anak Adam dan Hawa, pihak ketiga pastinya ijajil. Dan akibatnya, kami terlanjur. Dayana menangis selepas itu. Aku turut menyesal kerana terlalu menurut hawa nafsu dan mengabaikan akal.

Aku dan Dayana berikrar untuk menyorokkan perbuatan kami dari pengetahuan ibu bapa kami namun apabila Dayana mula muntah-muntah, aku mula kaget. Aku benar-benar khuatir jika Dayana mengandung. Dalam pada itu, ibunya juga mula menaruh syak. Akhirnya rahsia kami terbongkar juga apabila Dayana dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

Pada lailat bersejarah itu, entah berapa kali aku ditampar oleh ayahku, aku juga tidak pasti. Ibu Dayana pula yang selama ini tidak pernah meninggikan suaranya terhadapku juga memaki hamun aku pada lailat itu. Ayah Dayana hanya diam membisu dan ibunya mengalirkan air mata untuk menzahirkan kekecewaannya terhadap aku.

“Puan Hasniyah, saya berjanji anak saya akan bertanggungjawab di atas perbuatannya,” kata ayahku.

“Bertanggungjawab? Bekerja pun belum, ada hati nak bertanggungjawab konon! Saya tak mahu anak saya makan pasir!” balas ibu Dayana.

“Baiklah, saya akan memberhentikan persekolahannya dan menyuruhnya bekerja!” cadang ayahku.

“Berapa sangat gajinya nanti? Kerja sekarang nakkan ijazah, apatah lagi dengan SPM pun tak ada, entah ada entah tak orang yang mahu mengambilnya bekerja!” kata ibu Dayana.

“Kalau begitu, Puan Hasniyah cuba katakan pada saya apa yang harus kami lakukan.”

“Beginilah, Encik Iskandar. Saya mahu anak awak pergi dari sini dan saya tak mahu dia berjumpa atau menelefon Dayana lagi. Saya juga mahu hal ini dirahsiakan dari pengetahuan semua orang. Jika hal ini terdedah, saya akan pastikan keluarga awak menerima padahnya.” kata ayah Dayana yang sejak tadi mendiamkan diri lantas melangkah keluar, diikuti ibu Dayana sembari menarik tangan Dayana.

Tidak dapat aku bayangkan betapa malunya keluarga dihina sebegitu sekali namun aku tidak berdaya melakukan apa-apa. Menyesal kemudiannya tidak membawa sebarang erti lagi. Segala tindak-tandukku tika hanyut berasmara terlayar di depan mataku. Betapa bejatnya kelakuanku tika itu.

Sejak itu keluargaku berpindah ke tempat yang lebih jauh, jauh dari Dayana dan keluarganya. Pada masa itu, aku benar-benar terasa lemah dan putus asa untuk hidup. Dunia yang luas ini seolah-olah menjadi sangat sempit bagiku hingga sukar untukku bernafas. Ternyata aku terasa ingin lari dari segalanya.

Akibatnya aku mengambil keputusan untuk membunuh diri. Namun atas kehendak Allah aku terselamat tetapi akibat hentakan kuat di bahagian kepala, aku kehilangan sebahagian besar daripada ingatanku.

Kini, segala-galanya telah terungkai dan bercantum satu demi satu. Malahan sedikit demi sedikit aku mula memahami maksud mimpiku. Tentang tidur di atas padang pasir yang semerah bara, bayi yang berapi badannya, tentang langit yang berpusar dan bergulung-gulung, tentang keadaan yang gelap-gelita dan segala-galanya.

“Hey, Zack. Lama kau mengelamun!” tegur Azroy menghentikan lamunanku.

“Maaf.”

“Aku tak dapat fikirlah maksud mimpi kau tu. Pening kepala aku dibuatnya.”

“Tak perlu, Roy. Aku dah tahu maksudnya!” kataku sembari bingkas lalu berjalan meninggalkan Azroy yang terpinga-pinga.

Mungkin Allah telah mengurniakan aku kehidupan baru kerana mengambil ingatanku namun Dia tidak mahu aku alpa dan melupakan dosa yang pernah aku lakukan. Kini aku benar-benar bersyukur dengan kehidupanku sekarang dan aku berharap Allah mengampuni dosaku. Aku yakin Allah sentiasa ada bersamaku selagi niatku untuk berubah adalah ikhlas kerana Allah. Aamiin.

GLOSARI

Sore - petang

Lailat - malam

Kaget - terkejut