Dia bangkit dari jatuh. Tersadung dek malam yang semakin pekat gelapnya. Bulan kini seakan membiru dan segan untuk muncul, bersembunyi di sebalik imbangan awan yang turut menyarungi tujahan keris cahaya sekalian buruj. Cuma terdapat sedikit jalur cahaya yang bagaikan kesipuan menyinarinya dan tiang panji yang selalunya megah menaunginya. Barangkali itulah aram-temaram fajar sidik yang dinantikan semua.

Sesekali terdengar teriakan anjing-anjing yang hanya patuh pada arahan tuan-tuan mereka.

Daun telinga Rahman semakin aktif, cuba meneka lokasi makhluk-makhluk yang duduknya, berdirinya, lariannya dan gigitannya cuma jua demi mencapai nawaitu pembahagiaan insan-insan yang berkuasa.

Disapunya teliti kotoran, debu selut pembalut tangan. Aksi sama turut dilakukan pada sendi-sendi kakinya yang semakin letih. Sesekali dipicitnya sedikit. Meski urutannya tidak semesra dan semagis jari-jemari yang menghujungi tangan-tangan import, kelegaan tetap hadir. Setiap kejatuhan pasti ada sakitnya. Hanya sahaja iltizam dan usaha kebangkitan dari kejatuhan yang membezakan insan berjaya dengan si dungu. Perlahan tetapi pasti,seperti perjuangannya ini.

Titis air yang tidak ketahuan punca datangnya, entah dari tubuhnya sendiri, dari titis peluh,mahupun air mata, waima dari air yang ‘dicurahkan’ kepadanya, dalam perlahan menyerlahkan hujung jarinya yang gelap bertanda inai sebuah cinta. Entah bila ia akan hilang? Itu dia tidak pasti, tetapi dia yakin dengannya. Inai itu tanda sesuatu yang pasti, lebih baik dibina bersama. Rahman mengerling dan tersenyum sendiri. Langkah pertama sudah bermula.

Perlahan jemarinya digerakkan mengutip semula setiap kertas-kertas yang terjatuh dari petinya. Ah, setiap satunya penting. Mesti dikumpulkan. Dia enggan membenarkan rumah tua berusia hampir enam dekad itu kekal kotor. Dia sayangkan rumah ini. Dia mengimpikan sesuatu yang jauh lebih baik untuk anak cucunya. Ini tanahnya, tempat dia bermain, belajar, mencari kerja dan bercinta. Namun Rahman sedar, setiap harapan baharu itu pasti ada dugaan dan cabaran yang mengiringinya. Maklumlah, siapa yang sukakan kesulitan dan perubahan, walaupun ia adalah tiket prasyarat memasuki sebuah gerbang kegemilangan.

Matanya terus melilau, mencuri saki-baki sinar harapan yang ada di kegelapan malam.

Beberapa kali dikesatkan matanya. Ya, dia sudah biasa mengharungi asap pelbagai warna dan ada yang antaranya membuatkan dia batuk beberapa hari, tetapi cabaran kali ini berbeza. Usaha mesti diteruskan, pembersihan wajib dilakukan. Dan Rahman harus melakukannya sendiri..., sendirian dalam suasana sepi. Hanya sahaja dia harus waspada, bersiap siaga kebarangkalian kehadiran anjing-anjing yang mungkin melampaui batasan sempadan kuasa mereka dan mengutipnya. Dan jika itu berlaku, dia harus beralih ke lokasi lain. Andai tertangkap, mungkinkah ada insan-insan berilmu berhati mulia yang sudi membantu insan marhaen berbaju kuning ini? Rahman bukannya golongan ada-ada, jauh sekali berstatus ningrat. Tiada sesiapa yang pernah membukakan laluan untuknya, selain siang tadi. Rahman tersenyum, indah juga rupa-rupanya pengalaman lautan trafik dibelah untuk kita. Seakan ada Musa.

Tiba-tiba, bahunya terasa berat. Seakan ada yang singgah. Jantungnya seakan gugur.

Darah melorot turun ke kakinya, bersedia untuk gerakan seterusnya.

Ingin dia melangkah, namun bahunya laksana terpaku bertalikan sauh besi kersani terpaksi ke bumi.

Rahman berpaling.

Ada sosok-sosok tubuh menghampiri. Ada yang muncul bagai berlari menghampirinya.

Kegusaran mulai timbul, apakah dia akan dihambat lagi? Aduh. Meskipun dia sudah biasa dianjingkan (seperti mana dia juga biasa menganjingkan orang), dia tetap gugup.

“Eh, kenapa kamu bertindak begini?”, soal wajah yang kelihatan bengis.

Rahman kedu.

“Ini bukan budaya kita!”, tambah suara lain yang bunyinya lebih berumur.

Rahman masih diam. Fikirnya, budaya itu bukanlah sesuatu yang statik. Ya.., ianya mesti suatu perbuatan yang sudah menjadi kebiasaan, uruf atau resam masyarakat setempat. Tetapi, budaya itu ada sisi dinamikanya tersendiri. Ia hidup, berubah-ubah. Jikalau tidak, masakan timbul istilah ‘membudayakan’? Lagipun, para enthusias sejarah pasti setuju dengannya perihal berapa banyak budaya baharu diwujudkan, dan berapa banyak pula yang ditinggalkan. Contohnya, dari “Selamat Hari Puja Umur” bertukar menjadi “Happy Birthday”, sebelum bertukar wajah pula menjadi “Sanah helwah!”. Ah, Rahman menggeleng sendiri, monolog debat perihal sunnahkah ini, bidaahkah itu tidak akan pernah tamat. Cuma ada pasang surutnya, sama seperti perihal ucapan yang kononnya bersifat Islami, sedangkan bukan tarikh Hijri yang dirai, melainkan yang Masehi! Dan ini tidak membantunya barang sedikit pun.

Matanya bersilau. Limpahan cahaya mulai menyala dan gelap pun sirna. Semakin ramai yang hampir.

“Bang, esok kan masih ada?”.

Rahman terkasima. Ya, kelemahannya adalah wanita. Dan wanita yang menyoalnya itu istimewa, baharu sahaja dinikahinya siang tadi.

Rahman menoleh sekeliling. Kelihatan bayang beberapa wajah yang mengangguk setuju.

“Kan esok-esok nanti akan ada orang yang akan uruskan benda ini? Itukan tugas mereka?”.

Mendengarkan soalan terakhir, senyumannya menguntum.

“Alah, apa salahnya...”, dia memulai bicara.

Setiap yang hadir merenung wajahnya. Mereka seakan tidak memahami jiwa insan yang polos ini.

“Inikan rumah kita?.... Lagipun kalau kita tak jaga, tidak memulakannya, siapa pula yang akan menjaganya?”. Jiwanya kini berkobar seindah jalur panji gemilang yang seakan bangkit segar mengibar setelah menyucikan dirinya dengan air curahan rahmat penyuci noda dari langit. Entah mengapa, tidak semena-mena semangatnya muncul tiba.

Soalan-soalan balasnya mengundang senyuman.

Ada yang mengangguk. Tidak kurang juga ada yang tertawa kecil. Namun, Rahman mempersetankan segalanya. Dia pasti, sekurang-kurangnya kini ada sekelumit cita-cita yang sama mula membenih di kalbu insan-insan yang memahami motif tindakannya.

Siapa sangka, si pengantin berjersi bola mengutip sendiri sampah sisa majlis kendurinya! Ya, Abdul Rahman ‘Sehati Sejiwa’ Abdul Rahim tersengih sendiri sambil tangannya bangga menggenggam sisa-sisa dari majlis kenduri kahwinnya ke dalam peti lutsinar di sisi.

Sungguh, peti yang separa berisi itu menjadi saksi kegigihannya mengutip setiap puntung, tisu terguna, sarung bunga telur waima pembungkus gula-gula.