Mustaffa Ahmad Hidzir antara generasi awal yang berkecimpung dalam dunia pembikinan kulit album dalam format piring hitam dan kaset sejak lebih tiga dekad yang lalu sehinggalah ke hari ini.

Karya-karya beliau yang ketika itu lebih kepada konsep ‘potong dan tampal’ tetap meninggalkan nostalgia dalam kalangan peminat dan kebanyakannya kini telahpun dikategorikan sebagai vintaj.

Ramai juga peminat yang tentunya mahu mengimbau kembali memori lama di sebalik ratusan karya yang pernah dihasilkan oleh pereka bentuk grafik berusia 62 tahun ini dalam satu pameran khas.

Justeru, bagi memenuhi permintaan itu, satu pameran bertajuk 12 X 12 Album Cover Design Exhibition By Tapa telah diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Mustaffa atau lebih dikenali Tapa Otai, dalam pameran itu para peminat dapat melihat hasil-hasil kerja beliau sambil membandingkannya dengan karya-karya pada era masakini.

“Memang beza 500 peratus antara kerja dulu dan sekarang. Kalau dulu sesebuah kulit album mengambil masa sehingga tiga minggu untuk disiapkan tetapi sekarang tiga jam pun boleh siap.

“Kalau dulu saya terpaksa guna kaedah cut and paste (potong dan tampal) kerana tiada teknologi canggih tetapi sekarang ada macam-macam kemundahan canggih untuk buat kerja ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Dalam pameran yang julung-julung kalinya diadakan di negara ini itu, sebanyak 50 kulit album terbaik daripada lebih 300 kulit album yang pernah beliau dihasilkan telah dipamerkan dalam pameran tersebut.

Banyak kulit album penyanyi popular tanah air yang pernah mendapat sentuhan Tapa seperti kumpulan Search, Lefthanded, Carefree, Ramli Sarip, Man Bai dan Ella dipamerkan di situ.

Namun, insan seni berasal dari Taiping, Perak ini sangat cerewet dalam berkarya demi menghasilkan karya-karya yang bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga dekat dengan jiwa dan kreativitinya.

“Sebelum mereka bentuk kulit album mana-mana penyanyi saya biasanya akan buat kajian terlebih dulu dan selepas itu barulah timbul idea supaya ia sesuai dengan konsep lagu-lagu nyanyian mereka.

“Saya pernah menolak mereka bentuk kulit album ketiga album penyanyi dangdut Amelina kerana ia tidak kena dengan jiwa saya,” ujarnya yang merupakan peminat tegar kumpulan Pink Floyd.

Dalam pameran yang diadakan secara percuma kepada orang ramai dan dirasmikan oleh pengarah filem U-Wei Saari itu beliau juga telah menjemput guru seninya, Razak Osman pada majlis itu.

Razak merupakan guru seni sewaktu Tapa belajar di Sekolah Menengah King Edward, Taiping yang telah banyak memberi galakan kepada beliau supaya menceburi bidang ini sejak dari dulu lagi.

Selain itu, beliau juga berharap agar ada pihak-pihak lain yang berminat untuk meneruskan pameran itu pada masa akan datang dan menjemputnya memberi ceramah dalam bidang tersebut.

“Saya harap pameran ini juga dapat diadakan di tempat-tempat lain terutama universiti atau kolej yang mempunyai kursus dalam bidang reka bentuk grafik untuk para pelajar mereka,” katanya.