Jalan raya ialah medium pergerakan setiap penyebar fitnah. Setiap bangunan yang didirikan tinggi-tinggi belaka. Jika langit itu ialah belon, pastinya ia akan pecah dicucuk puncak bangunan bak jarum runcing. Jarum-jarum berceracak itu fungsinya ialah memastikan setiap agenda pantas tersebar sebelum berjaya ditapis. Namun begitu, bagaimana mahu menapis kesemua fitnah yang melata? Mustahil. Sukar mahu mengelak diri daripada terdengar fitnah. 

Di sini, kita digalakkan untuk mendengar tetapi tidak menyakini apa-apa walau apa bunyi sekalipun. Kicau tidak bermakna ia datang daripada burung. Bunyi enjin kenderaan tidak bermakna ia datang daripada kendera. Memahami pembohongan harus diteliti persekitarannya. Ia sentiasa ada sebab. Kelalaian tidaklah membawa padah, tetapi saya yakin, kamu tidak mahu terperangkap dalam suatu siri pembohongan bukan?

 

Nah, saya tidak tahu apa matlamat kamu datang ke mari. Barangkali kamu tertipu dengan pakej pelancongan yang ditawarkan ejen-ejen kota ini di luar negara. Meniagakan fitnah dan mencipta empayar daripadanya merupakan perusahaan yang begitu menguntungkan. Adakah kamu membawa telefon bimbit? Pastikan ada bank kuasa supaya ia tidak terpadam. Kamu akan berada di dalam ketakutan jika tiada telefon bimbit di kota ini.

Saya tidak akan membawa kamu berjalan-jalan sekitar kota ini. Ia terlalu berisiko. Papan tandanya mengelirukan. Jalan rayanya dipenuhi pemandu biadab. Mercu tandanya sudah dirosakkan vandalisme. Kadar jenayahnya menakutkan. Saya tidak faham bagaimana kamu boleh tiba di hadapan kafe saya dalam keadaan selamat begitu. Saya berpendapat, kamu cuma bernasib baik.

Di kota ini, tiada larangan untuk berbuat baik, tetapi ia hanya mendorong orang lain untuk memangsakan kamu. Oleh yang demikian, saya ingin menegaskan di sini, saya juga bukan orang baik. Cuma sekadar memberi peringatan sebelum kejadian buruk menimpa kamu di kafe ini. Saya tidak peduli pun jika kamu ditimpa musibah di luar sana. Menjadi saksi kepada polis sewaktu penipuan bermaharajalela ini amat menakutkan. Saya tidak mahu dikenakan fi berkata benar mahupun fi masuk ke balai polis. Terlalu banyak fi pada waktu ini.

Sekarang ini, saya akan hidangkan minuman untuk kamu. Jika mahu makan, pilih sahaja daripada menu. Saya mahu kamu bercerita bagaimana kamu tiba di kota penuh penipuan ini.

2.

Kedatangan saya ke mari bukanlah melalui ejen pelancongan. Saya hanya mengikut ke mana kaki ini melangkah tanpa berfikir destinasinya. Saya tidak menaiki mana-mana kenderaan. Jika benar saya menaiki kenderaan sekalipun, ia atas ihsan pemandunya. Lihatlah rupa paras saya ini. Apalah beza saya dengan seorang pengemis?

Barangkali itu ialah jawapannya. Siapa mahu menipu pengemis? Untuk apa menyebarkan fitnah kepada pengemis? Kebanyakan waktunya saya tidak diendahkan sesiapa. Sengaja saya kenakan pakaian lusuh sepanjang ketibaan saya di kota ini.

Jelas, penipuan ialah lagu kota ini. Tidak perlu diceritakan lagi. Pemerasan berlaku di mana-mana. Saya melihat bagaimana mangsa kemalangan jalan raya yang tersepit dirompak barangannya ketika nyawanya sudah berada di hujung. Apa yang saya hairan ialah tiadanya kebaikan sama sekali di kota nomofobia ini. Papan tandanya celaru dan tidak relevan. Lampu isyaratnya berkelip-kelip tidak diselenggara. Hati saya dipagut rasa tidak senang ketika melalui cogan kata kota ini. “Tuhan Selamatkan Kota Ini.”

Perkataan ‘Tuhan’ telah malap diselubungi debu. Ia sudah terang lagi bersuluh. Kota ini seolah-olah hilang keberkatannya. Atas sebab itu, saya berwaspada dengan langkah saya. Saya juga yakin dengan menampakkan kedaifan itu sudah memadai untuk menghindarkan kejahatan. Saya singgah di masjid dan surau demi membersihkan diri sebelum bersolat. Mujurlah masjid dan suraunya masih terjaga rapi. Di kota yang penuh fitnah dan penipuan ini, masih ada manusia berhati mulia yang menjaga rumah ibadat tanpa mengenakan sebarang fi.

Saya membaca tanda demi tanda dan akhirnya tiba di kafe ini. Saya percaya pasti Tuhan telah memakbulkan doa saya dengan sedikit usaha yang saya tumpahkan demi tiba di suatu tempat yang bersih daripada penipuan.

Sebelum saya meneruskan cerita saya, izinkan saya berehat sebentar. Saya berasa begitu letih setelah melalui kembara yang dikelilingi penjahat. Adakah terdapat mana-mana hotel yang boleh didiami sekitar ini dan harganya berpatutan?

Oh, terima kasih ya tuan kerana mengizinkan saya berehat di bilik solat kafe. Jasa tuan amat saya hargai.

3.

Kafe ini tidak lama hayatnya, wahai musafir. Kota nomofobia ini akan menyitanya. Membersihkan apa-apa yang molek. Bahkan masjid serta surau akan diratakan demi membina menara demi menara yang jelek. Selepas ini, barangkali engkau tidak akan menemui cogan kata yang terletak ‘Tuhan’ pada ayatnya.

Tidurlah dengan lena. Aku harus mengemas barang-barangku. Lagi dua hari, aku harus mengosongkan kafe ini dan memberi laluan kepada pemilik baharu yang sudi membayar sewa lebih mahal. Dengar ceritanya, premis ini akan dijadikan rumah pelacuran. Aku sungguh kesal mendengar desas-desus seumpama itu. Aku pada mulanya menerimanya selaku fitnah tetapi tanda-tanda yang mengelilingi berita itu jelas memaparkan realitinya.

Selama ini, aku buntu mengenai langkah-langkah mahu meninggalkan kota ini. Aku cuba melindungi kejujuranku dengan kedinginan layanan dan juga mengambil sikap berkecuali dalam apa-apa tragedi, tetapi engkau menunjukkan hal sebaliknya.

Aku merasakan diriku akan tenggelam ditelan tanah suatu hari nanti akibat berniaga di kota penuh dosa ini. Kehadiran engkau membuka mataku, bahawa aku juga boleh meninggalkan kota ini dan tidak perlu bertungkus lumus mengikut rentak pendosa yang melata di sekelilingku.

Kopi ini, agak pahit malam ini. Sengaja aku bubuh kuantiti serbuknya dua kali ganda supaya ia likat dan baunya kuat. Gula pula dibubuh sedikit. Kepahitan seumpama ini perlu bagiku supaya aku mengingati kafe ini kemudian hari dan tidak pernah menyesalinya.

Azan subuh akan berkumandang tidak lama lagi. Bangunlah, kita bersolat di surau berhampiran. Sebelum ia jadi kenangan yang tidak mampu ulang di masa akan datang.

4.

Fi mengosongkan kedai, sepuluh ribu ringgit. Fi kemasukan pekedai baharu juga sepuluh ribu ringgit. Atas sebab inilah, pihak majlis kota nomofobia gemar mengambil tindakan drastik. Sentiasa ada fi-fi tersembunyi dan denda-denda yang tidak masuk akal. Selaku warga kota nomofobia, saya sudah bersedia melaluinya.

Simpanan amat penting. Ia juga harus dipelbagaikan lokasi dan sumbernya. Kita tidak tahu bilakah kita akan ditimpa musibah sehingga fi dan denda yang dikenakan itu tidak tertanggung. Berapa ramai yang disumbat ke dalam penjara kerana gagal membayar fi. Nasib mereka di dalam penjara pula tidak diketahui. Namun, apa yang jelas, tiada siapa pernah dibebaskan daripada penjara tersebut. Tiada berita mengenai banduannya. Anggap sahaja mereka yang disumbat ke dalam penjara itu telah mati.

Saya mengesyaki penjara itu menjual banduannya kepada industri-industri luar sana yang melaksanakan perhambaan secara berleluasa. Benar, mereka sudah menghapuskan perkataan ‘perhambaan’ itu dengan memberi gaji kepada ‘pekerja-pekerja’ tetapi ia tidak dapat menghilangkan esensi perhambaan itu tadi.

Keadaan hidup mereka begitu teruk. Dinafikan untuk bercuti. Bayarannya pula begitu kecil hingga sekadar memadai untuk mengelakkan diri daripada kebuluran. Atas faktor pekerjaan yang tidak fleksibel jadual waktu kerjanya, mereka jarang dapat lari daripada majikan. Mereka tidak diberi peluang untuk memikirkannya. Bahkan pemilik-pemilik industri telah menanamkan imej di mana setiap pekerjaan di dunia ini memang begitulah sifatnya. Perhambaan demi perhambaan.

Saya tidak tahu bagaimana kita mahu mengelakkan diri daripada perhambaan sebegini nanti. Kota nomofobia ini juga begitu, memberikan harapan demi harapan agar perhambaan sebegitu berjaya dijauhi. Hakikatnya, ia hanya pembohongan demi pembohongan yang berlapis-lapis.

Sudahkah kamu menghabiskan sarapanmu? Kita harus bertolak sebelum pukul 10 pagi. Di persimpangan terakhir di hujung jalan ini terdapat sebuah stesen kereta api yang menukar harga tiketnya mengikut perubahan harga barang api dan keuntungan barang kargo yang diraih. Berdoalah supaya harganya agak masuk akal kali ini.

Bagus. Bersiap-siaplah sekarang. Saya sudah memeriksa kereta sesudah subuh tadi. Semuanya dijangka baik-baik sahaja. Rancangannya ialah kita pergi ke stesen itu dahulu dan periksa tiketnya. Jika tidak molek harganya, kita akan bergerak keluar dari kota ini dengan menggunakan kereta.

Sebelum itu, boleh cadangkan destinasi yang lebih bagus dari kota nomofobia ini? Pastinya kamu pernah melintasi tempat yang begitu indah dan murni tingkah laku warganya. Barangkali kita boleh memulakan sesuatu di tempat sebegitu.

5.

Aku tahu, pilihan yang ada hanyalah dengan melalui tiga pondok kawalan imigresen di sempadan kota. Bayarannya setahuku memang mahal tetapi sekurang-kurangnya, ia tidaklah berubah-ubah. Aku sudah menyediakan peruntukan memadai untuk tujuan itu.

Namun, jelas, kami tidak dibenarkan untuk melepasi sempadan pada waktu ini. Lebih-lebih lagi, mereka kurang menyenangi penumpangku itu. Fi telah dijelaskan, tetapi mereka masih belum berniat untuk melepaskan kami.

Pasport kami masih berada dalam simpanan. Mereka sedang berbincang dan kerap kali mengerling ke arah kami. Aku tidak tahu bagaimana harus aku katakan pada penumpangku itu, betapa situasi kami pada waktu ini kurang memberangsangkan. Biarpun begitu, dia jelas dengan situasi itu. Genggamnya pada gagang di tempat duduk pemandu begitu kuat.

Dia juga gelisah. Bila-bila masa pihak imigresen akan menahan kami. Membayangkan kami dihantar ke penjara cukup menakutkan. Aku mahukan kebebasan.

“Boleh saya tanya sesuatu?”

“Tanyalah.”

“Kenapa nama kota ini nomofobia?”

“Ah, itu ya? Terima kasih sebab bertanya. Pegang gagang elok-elok. Kita akan rempuh palang. Kita akan ditembak bertalu-talu. Selepas semua itu berlaku, aku akan terangkan semuanya.”

Bagaimana aku boleh terlupa? Aku hidupkan enjin. Tindakan itu jelas meresahkan pegawai-pegawai imigresen. Pantas mereka meluru ke arah keretaku lalu mengarahkan aku mematikan enjin kereta.

Tanpa berfikir panjang lagi, aku menekan pedal minyak semahu hatiku. Kereta pantas meluru ke hadapan. Ia merempuh palang dengan mudah. Palang itu melibas beberapa orang pegawai bersenjata. Aku tiada peluang mahu mengetahui nasib mereka, tetapi apa-apa sahajalah. Ia bukan lagi urusanku.

Tembakan bertali-arus, memecahkan cermin, menembusi tembak duduk dan kesakitan mula menjentik otot lalu merebak. Namun, begitu sahajalah sifatnya. Kesakitan itu ada tetapi ia tidak mencederakan kami sama sekali. Aku tersenyum. Telahanku tepat sekali.

“Cuba toleh. Tengok apa yang pecah dan rosak,” saranku.

Dia menoleh dan mendapati tiada sebarang kerosakan dikesan. Aku tertawa melihat riak wajahnya yang terkejut itu. Dia turut memeriksa kecederaannya tetapi tiada juga. Jelas ketakjuban terpahat pada raut wajahnya yang kusam itu.

“Kenapa jadi begini?”

Aku keluarkan telefon bimbitku lalu meletaknya di atas papan pemuka kereta. Aku hidupkan lalu mematikan program kota distopia yang kami tempuhi selama ini. Perlahan-lahan landskap sekitar bertukar gelap. Aku berpaling kepadanya lalu menghela nafas lega.

“Masalah kita sekarang ialah, kita mudah dipengaruhi dengan alam maya sehingga tidak sedar bahawa kita terperangkap di dalamnya. Dengan mematikan perisian itu, kita bebas.”

Dia turut menghela nafas, seolah-olah kehidupan kami selama ini terletak pada skrin kecil yang ditatal tanpa henti. Dia menyandar lalu memejamkan mata.

“Kota nomofobia, kota penuh penipuan dan kehidupan ini juga... satu penipuan besar. Dan penipuan itu tersebar melalui gajet kecil ini... sukar dipercayai.”

“Tapi itulah hakikatnya. Sudahlah. Rehatlah dulu. Kita sekarang berada dalam realiti, jadi kenalah berpijak di dunia nyata, bukan?”

Dia berpaling ke arahku, terkebil-kebil matanya.

“Ada beza ke?”

Di hadapan kami, plaza tol mula kelihatan. Sekurang-kurangnya, bayarannya masih masuk akal dan tiada sesiapapun akan menghalang kami kali ini dengan alasan yang tidak munasabah.

“Kita sekarang berada di Tol Gombak. Percayalah, Pantai Timur itu lebih realistik berbanding dengan kota nomofobia.”

“Heh, itu semua orang tahu, saudara.”