Begitulah zahirnya makhluk bernama manusia. Keegoaan yang membusut sengaja dibiarkan terus membukit dalam diri lantas menjadi gunung sombong dan angkuh yang puncaknya menunjang kaki langit.

Airina merenung mejanya yang dipenuhi fail-fail kes. Segalanya hitam dan putih seperti hitam dan putihnya warna kehidupan. Fikirannya kembali mengenang seorang anak guam yang bakal ditemuinya hari ini.

Airina sebenarnya sudah kehabisan akal untuk meyakinkan anak guamnya yang seorang ini. Anak guamnya ini bukan sekadar anak guam. Ada keistimewaan yang telah lama bertaut, tapi umpama kiambang. Cantik pada pandangan mata tapi akarnya tidak mencecah bumi.

Mereka bersahabat. Sekampung, teman persekolahan, dari sekolah rendah hingga menengah. Hanya peperiksaan SPM yang telah memisahkan mereka. Dia berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, sedang anak guamnnya ini terkandas di persimpangan. Begitulah mereka, tidak sehaluan walau sama pegangan.

Namun berbekal kecantikan fizikal yang dimiliki dan sentiasa menjadi pelajar rebutan sehingga mencetuskan pergaduhan dalam kalangan pelajar lelaki, Airina mendengar khabar sahabatnya itu berjaya juga menjadi seorang setiausaha sulit seorang Dato’ di salah sebuah syarikat hartanah ternama di kota metropolitan Kuala Lumpur.

Airina mengeluh perlahan dan dalam sehingga ke lubuk nubarinya. Menghitung-hitung pengalaman sepanjang karier, dia belum pernah berhadapan dengan seorang wanita yang mempunyai keupayaan berhujah setaraf dengan jawatan peguam yang disandangnya ini.

Sesekali terfikir juga dia, mengapa anak guamnya ini tidak mahu memilih peguam lain untuk mewakilinya? Kenapa mesti dia? Atau... melihat kepetahannya bercakap, kenapa anak guamnya ini tidak melantik diri sendiri untuk mewakili dirinya sendiri sahaja? Mengapa?

Meski Airina mempunyai ikatan yang agak istimewa dengan anak guamnya itu, dia tetap mengamalkan sikap profesional ketika bekerja. Lantas, dia tidak mengambil tindak untuk menyuarakan hasrat hatinya. Kalau mahu bersuara juga, mungkin pada kesempatan lain, bukan di sini tempatnya untuk berbahas dan berforum.

Airina berfikir lagi mencari celahan-celahan klausa enakmen dalam susunan terbaik dalam kata terbaik yang boleh membantu anak guamnya ini. Cabaran itu semakin lama semakin membusut dan menggunung di nubari sehingga meletuskan denyut-denyut di kolam fikirnya.

Fail anak guamnya itu diambil dari timbunan fail kes yang lain. Diselaknya satu persatu. Diamati. Diteliti dengan seluruh kuasa fikir yang tertinggi. Agak mustahil. Bukti belum cukup kukuh dan ampuh. Masih seperti kolek yang teroleng-oleng di tengah–tengah lautan bergelora, belum sampai ke tepian pantai.

Airina melepaskan keluhan untuk kesekian kalinya. Keluhan yang agak berat. Keluh yang bergulung dan berpintal yang bagaikan buih di lautan itu tiba-tiba sahaja mahu mengusung ingatannya kepada kenangan lalu. Namun belum sempat dia berada diusungan pengembalian ingatan, pintu kamar pejabatnya sudah terkuak. Wajah yang dinanti muncul juga.

Tidak ada yang berubah. Masih berperawakan seksi. Penampilannya hari ini hanya, memakai blouse tanpa lengan dan skirt yang singkat sehingga menampakkan pangkal pahanya. Rambutnya yang hitam dibiarkan mengurai menyerlahkan lagi kecantikannya. Itulah aset yang ada pada anak guamnya ini.

Airina tidak cemburu untuk mengakuinya. Namun dia tetap profesional dalam menjalankan kerjanya. Dia mempersilakan anak guamnya itu duduk di sofa empuk dalam kamar kecil yang serba putih dan hitam.

Tergoda

Anak guamnya mengangguk, duduk sambil menyilangkan kaki menyerlahkan lagi pangkal pahanya yang putih bak ubi yang baru sahaja dikupas.

Airina menelan air liurnya sendiri. Bukan tergoda tapi terlalu terkesima melihat perlakuan anak guamnya ini.

“Macam mana?”

“Agak sukar, Sarah.” Tegasnya berterus terang.

“Sally... not... Sarah. Kampungan tau tak.” Sarah meningkah

“Ok. Maaf, Sally. Agak sukar kes kau ni. Sebelum ini sudah aku terangkan punca, kesan dan akibat daripada tuntutan yang kau buat dan bakal diterima di mahkamah kelak.” Tegas dia lagi.

“Hei... beginikah seorang sahabat atau... seorang peguam yang aku kenal. Kau belum selesai lagi menyiasat kes ini tapi sudah hendak mengalah? Common on-lah Rina... kalau kau tidak hebat, mana mungkin orang ternama dan terkenal macam Dato’ J itu meminta aku datang ke mari? Tapi... aku datang bukan semata diperkenalkan oleh Dato’ J, aku datang sebagai seorang sahabat yang memohon dan meminta pertolongan seorang sahabat, Rina.”

“Aku faham Sar... errr Sally. Tapi aku harus profesional juga dalam kerjaya. Soal peribadi kita ketepikan dahulu.”

“Tolonglah aku, Rina. Ini menyangkut soal kehidupan sebelum aku mati, Rina.” Pinta Sarah separuh merayu.

“Aku faham, Sally. Tapi....”

“Ok. Ok. Begini... kalau kau perlukan bayaran lebih, kau cakap berapa sahaja. Soal kos, kau jangan risau. Sebut sahaja berapa kau mahu sebagai bahan bakar atau... bahan pelincir untuk melancarkan proses ini? Sebut sahaja, supaya kes ini berpihak kepadaku. Aku akan lakukan apa sahaja asalkan kita memenangi kes ini.”

“Gila! Kau ingat aku ini peguam yang mudah dijual beli dengan wang ringgit? Aku ada prinsip, Sarah! Walau itu akan menyenangkan hidupku, tapi aku tidak akan sesekali makan rasuah dalam kehidupan sementara ini, Sarah. Berdosa!”

Kemarahan Airina tiba-tiba membuak di sebalik puing-puing hatinya terhadap sikap Sarah. Malah nama panggilan ‘Sally’ sudah tidak dipedulikannya lagi. Kemarahan yang membuak telah menghidupkan ketakutan daripada kata-kata Sarah berkenaan peringatan Allah terhadap amalan rasuah. Malah dalam riwayat Al-Tirmidzi turut dinyatakan bahawa hukum memberi atau menerima rasuah adalah haram, rasuah merupakan dosa besar kerana pelakunya yan akan dilaknat oleh Allah dan Rasulnya.

Airina merenung anak guamnya. Tidak takutkah? Bisik hatinya. Mereka berbalas tenungan. Sebuah tenungan yang mendera perasaan masing-masing.

Airina sendiri tentunya amat terdera. Dia boleh sahaja menghalau Sarah dari ruang kamar pejabatnya itu dan meminta bayaran yang masih berbaki sekali gus menarik diri daripada kes yang diwakilinya.

Tapi itu bukan prinsip Airina. Dia masih mahu mencuba untuk membantu walaupun kemungkinan kemenangan hanya senipis kulit bawang.

Tapi kehadiran Sarah hari ini benar-benar mencabar kewibawaannya. Padahal pertemuan mereka hari ini bukanlah pertemuan yang sulung. Ini perjumpaan bongsu mereka sebelum ke mahkamah pada dua minggu ke hadapannya.

“Rina... tolonglah aku. Aku menuntut pengertian, kau Rina. Kita sama-sama mahu menjadi ibu. Tapi peluangku telah tiada Rina. Maka hanya dialah harapanku untuk menjadi penerus dan penyambung generasiku. Berlainan dengan kau. Kau masih tetap berpeluang untuk menjadi ibu kepada beberapa orang anak pun. Sedang aku? Tidak, Rina. Rahimku sudah tiada.” Ujar Sarah lirih. Ada mendung yang kelihatan berarak di sebalik wajah putih mulusnya.

Ruang kamar Airina kembali sunyi, hanya disulami dengungan perlahan penyaman udara dengan kuasa BTU 3000. Perlahan-lahan hatinya dipagut sayu dan pilu mendengar luahan Sarah. Dia bersandar lantas meraup wajah dengan kedua telapak tangannya.

“Aku rasa kau meletakkan persamaan antara kita tanpa kau membuat pertimbangan wajar dan setara, Sarah.”

Airina lantas memeluk tubuhnya serta memasang rasa defensif kepada dirinya terhadap kenyataan Sarah.

“Mengapa? Apakah kenyataanku salah?” tanya Sarah sambil mengangkat kening, meminta penjelasan.

“Itu urusan peribadiku, Sarah. Tidak perlu dicampuradukkan dengan urusan profesionalku.”

Akhirnya ada noktah di penghujung bicara Sarah. Dari tafsir bahasa badan yang Sarah fahami, Sarah enggan melanjutkan kerana kelihatannya Airina sedikit berkeras. Dia enggan terus menegang ikatan dan membawa kepada putusnya.

Dan sepi seketika kembali menyelubungi mereka.

Airina memasang jeda.

Tiga tahun perkahwinannya bersama Nadim masih juga belum dikurniakan anak. Keinginan yang mendesak untuk memiliki cahaya mata pengikat dan pengukuh lagi kasih sayang antara dia dan Nadim.

Maka keinginan itu membawa dia dan Nadim untuk bertemu pakar. Di situlah segalanya bermula. Dari satu pemeriksaan kepada satu pemeriksaan yang dia dan Nadim jalani. Akhirnya, dia disahkan tidak dapat mengandungkan zuriat sendiri.

Saat doktor mengesahkan, dia memang tidak dapat menerima kenyataan. Dunia seakan-akan sudah berada di penghujung. Mujur Nadim memahami. Harapan kembali berbunga apabila Nadim merintis jalan dengan memberi persetujuan untuk mengambil anak angkat di rumah anak-anak yatim. Dia berbahagia meski menumpang kasih daripada anak orang.

Memenangi kes

“Rina... dengan apa lagi cara yang harus aku lakukan untuk memenangi kes ini? Kau nyatakan sahaja dan aku sangat yakin jika kau mampu membantuku.” Sarah memecahkan buih-buih kesunyian antara mereka.

“Kenapa dahulu kau tinggalkan dia tanpa arah dan tujuan, Sarah? Kau tidak tahukah ibu dan bapa kau dikampung dihimpit kesusahan, kemudian kau bebani lagi mereka dengan meninggalkan si kecil itu kepada mereka. Di manakah rasa perikemanusiaan kau ketika itu?”

Airina tidak terus menjawab. Soalan berbalas soalan. Nyalinya tiba-tiba melonjak untuk mengetahui sebab musabab, Sarah berbuat demikian. Fikirnya agak terbeban atas permintaan dan keyakinan Sarah terhadapnya.

“Dahulu aku terlalu terlalu asyik dan hanyut dalam gelombang duniawi Rina. Hidupku terumbang-ambing, Rina. Ketika keinsafan mula menapak, aku temui kedua ibu bapaku. Hampa yang kuperoleh. Anakku telah dihantar ke rumah anak yatim. Aku berjaya mengesannya. Aku pernah menemui anakku di situ. Di situ aku melihat dia diasuh dengan baik. Maka aku mengambil keputusan agar dia terus berdiam di situ daripada dia hidup bersamaku yang penuh dosa dan noda.”

“Lalu apakah bezanya sekarang, Sarah. Pada pandanganku, tiada perubahan, bukan?” Airina melanjutkan tanya dan sekali gus menghangatkan suasana yang mulai dirasakannya menerjah musim dingin.

“Aku bersyukur Rina, kerana Allah masih menyayangi dengan memberikanku dugaan.” jelas Sarah yang kian dirundung rasa pilu.

“Maksud kau?”

“Aku disahkan tidak boleh mengandung lagi selepas melakukan penguguran kali ketiga, Rina. Kedua-dua rahimku rosak teruk dan terpaksa dibuang.”

Gugur juga mutiara air mata Sarah walau cuba dia mengagahkan diri agar menjadi seorang wanita yang yakin dan berani. Maka terserlah identiti kewanitaannya yang masih berbaki. Ternyata dia masih ada sifat keibuan yang masih ingin dipertahankannya.

Sepi. Airina terkesima. Perasaannya juga turut diselubungi rasa ngilu. Ternyata dia dan Sarah senasib. Tapi nasibnya sudah ditentukan oleh Allah, sedangkan Sarah menentukan nasibnya sendiri dengan melakukan pengguguran demi pengguguran.

“Tolonglah aku, Rina. Walaupun aku tidak ingat siapakah bapanya tapi dari sudut yang jelas, dia tetap anakku. Satu-satunya anak yang aku ada di dunia ini.” Tambah Sarah lagi.

“Rumit kes kau ini, Sarah. Kita harus cari tahu siapakah ibu bapa angkatnya? Di mana dia tinggal dan segala maklumat yang berkaitan dengan kes ini. Malah, kita perlu ada bukti kukuh menyatakan bahawa itu anak kandung kau Sarah. Tapi tidak semudah yang kita jangka. Maklumat itu terlalu sulit untuk diperoleh.” jelas Rina.

“Kalau semua itu yang kau perlukan, telah pun aku usahakan bagaimana, Rina? Masihkah kau mahu membantuku?”

“Bagaimana? Apa maksud kau?” membuntang mata Airina mendengarnya.

“Rina... Rina... zaman sekarang, duit memainkan peranan. Kalau ada duit, sesulit mana pun semuanya dapat diperoleh dengan mudah, Rina.” Ada perasaan bangga yang tersugit di sebalik sekeping hati Sarah. Bangga kerana berjaya menggunakan kuasa wang.

“Itu sudah melanggar hak. Rumah anak yatim itu boleh disamankan.” Rasa tidak puas hati mula berkubu di ruang dadanya.

“Sudah aku katakan... duit memainkan peranan.”

“Mana dokumennya?” pinta Airina agak kasar. Antara mahu dan enggan bersatu.

Sarah menghulurkan dokumen yang sudah siap dibawa bersama. Airina mengambil dokumen dengan perasaan sedikit tegang dan jengkel. Dokumen diselak sehelai demi sehelai. Bebola matanya berlari dari satu baris ke satu baris ayat yang tertera.

Semakin lama dia semakin rakus menatap segala maklumat yang tertera. Tangannya tiba-tiba bergetar. Nama ibu bapa angkat itu amat dikenalinya. Nama bapa: Mohd Nadim Bin Dato. Mahmud. Nama ibu: Nur Airina Binti Sazali.

Dia mendongak memandang Sarah. Sarah sedang merenung tepat ke arahnya. Bisu. Airina meneruskan bacaan.

“Konspirasi apakah ini, Sarah?” Airina mengakhiri bacaan dengan pertanyaan dalam nada bergetar.

“Bukan konspirasi, Rina. Barangkali ini sudah ketentuan.”

“Mustahil!”

Airina tidak dapat mengawal emosinya. Fail yang ada di tangan, dihempasnya ke meja. Fikirannya tiba-tiba berserabut.

Keserabutan dan kekalutan fikirannya bertambah apabila Sarah menghulurkan sekeping gambar. Seorang anak kecil sedang tersenyum manis di sisi Sarah. Senyuman itulah yang telah menjadi penawar kelukaanya dahulu. Senyuman itulah yang telah mengembalikan cahaya kehidupannya. Adam Haikal... bisik hati kecilnya.

“Aku yakin kau dapat membantuku, Rina. Kembalikanlah dia ke pangkuanku.” Pinta Sarah.

Kata-kata Sarah membuatkan Airina berasa terlalu panas. Alat penyaman udara dirasakan sudah tidak berfungsi. Sekitar kamarnya tiba-tiba menjadi berpinar dan disudahi dengan cahaya gelap.

Airina terlayah jauh bersama zarah-zarah udara.