Manalah tahu yang dimaksudkan ialah seseorang di Baghdad sana ke. Di Uganda ke. Khabar angin!

“Takkan aku nak reka cerita pula, Ira oi...” Bersungguh Aida menyakinkan.

Telinganya belum pekak. 20dB ke bawah. Dia pernah memeriksanya di hospital. Sebuah keluhan dilepaskan Zahira. Perlahan, namun masih lagi boleh didengari oleh Aida.

“Kau dah kenapa?” Soal Aida berbasa-basi.

“Aku cuma terkejut.” Perlahan sahaja suara Zahira.

“Mungkin itu balasannya.” Laju sahaja Aida menutur kata.

“Tak baiklah cakap macam tu,” kata Zahira. Serius. Menjatuhkan hukum bukan kerja manusia. Menilai baik buruk manusia berdasarkan peristiwa yang menimpanya juga bukan kerja mereka. Itu ujian untuk mereka.

“Yelah, aku sekadar bercakap berdasarkan apa yang aku lihat,” bidas Aida.

Suasana di talian sepi seketika.

“Kau dah lupa ke apa yang dia buat pada kau?” Soal Aida. Suaranya memecah hening.

“Tapi kita tak boleh hukum dia macam tu!” Protes Zahira. Kalau diingatkan balik apa yang berlaku, memanglah hatinya sakit.

“Kau tu baik sangat. Macam tulah jadinya,” marah Aida.

“Dia kat mana sekarang?” Soal Zahira. Sengaja dia menukar topik. Tidak mahu dipanjangkan kisah itu.

“Dah balik rumah.”

“Kita pergi rumahnya lah,” cadang Zahira.

“Kau serius?” Soal Aida ragu-ragu.

“Seriuslah. Kita pergi ye,” pujuk Zahira.

*****

Sudah masuk waktu untuk makan tengah hari. Rakan sepejabat sudah berdedai-dedai keluar dari pejabat. Masing-masing pasti ada tujuan. Waktu itu, Zahira dan Aida hanya menghabiskan masa di pantri kerana masing-masing membawa bekal.

“Kau tak nak rasa ke?” Aida menolak bekas makanannya ke arah Zahira yang sedang khusyuk membaca novel sambil menyuap nasi ke dalam mulut.

“Wow...masak lemak tempoyak. Sedapnya,” ujar Zahira seraya mencedok beberapa sudu lauk itu ke dalam bekas makanannya. Sejurus itu, matanya kembali memberi tumpuan pada novel di tangannya.

“Kut iye pun, makanlah dulu,” omel Aida sambil menjeling Zahira. Zahira mendongak. Memandang Aida lantas tersenyum.

Aida sekadar menggeleng-geleng.

“Seorang penulis tu, kenalah rajin membaca.”

“Aku tahulah...Tapi makanlah dulu. Mak aku pesan tak baik tau makan sambil baca buku.”

Zahira sekadar menjongket bahu lalu disambung kembali aktiviti membacanya. Kata-kata Aida tadi sedikit pun tidak dihiraukannya. Degil sungguh!

“Tak habis-habis dengan novelnya.” Suara nyaring seseorang menyentakkan perhatian Zahira dan Aida. Masing-masing berpaling ke arah empunya suara. Figura wanita yang berumur dalam lingkungan 50-an sedang menyandar di muka pintu.

“Eh, Kak Hawa. Marilah makan,” pelawa Zahira lembut.

“Akak dah makan,” ujarnya bersahaja, kemudian mengambil tempat di hadapan Zahira dan Aida.

“Irah, daripada kau baca novel ni, baik kau mengaji. Akak tengok buang masa aje,” tutur Kak Hawa sambil tersenyum sinis.

Zahira dan Aida terkedu. Masing-masing bagai dipanah petir ketika itu. Kalau wanita itu sudah ada di depan mata, haruslah bersiap sedia mental dan fizikal. Kata-kata Kak Hawa, orang yang paling senior di pejabat, adakalanya boleh merobek hati.

“Bukan apa. Akak kesian kat kau. Kau menulis, kau baca novel, sibuk dengan blog, apa yang kau dapat?”

Zahira sekadar membisu. Cuba menghadamkan satu persatu kata-kata wanita itu. Malas mahu berbahas dengan wanita itu. Bukan dia mengerti pun.

“Kadang-kadang akak tengok, kejap-kejap kau menulis kat FB. Macam tak ada life,”sambung wanita itu lagi.

“Itu namanya hobi kak. Dah menjadi hobi saya suka menulis, nak buat macam mana kan?” Zahira cuba berseloroh. Memang sudah lama dia memendam rasa apabila minatnya dikutuk dan dikecam orang. Terutamanya Kak Hawa.

“Kak Hawa, kalau akak tak suka baca, akak jangan baca. Ira tak paksa pun akak baca. Tak mengganggu tugas-tugas akak, kot?” Aida yang sedari tadi membisu, kini mula bersuara. Zahira sempat mencuit Aida.

Zahira cuba membendung gelojak amarah yang mula menguasai diri. Entah apa khilafnya dengan Kak Hawa, dia tidak tahu. Seingatnya, dia tidak pernah menulis perihal Kak Hawa atau sesiapa saja pun. Apa yang dinukilnya di dinding muka buku mahupun di blog, semuanya perihal dirinya sendiri. Tidak ada melibatkan orang lain sama ada yang hidup atau pun yang telah mati.

‘Sakit barang kali,’ kutuk Zahira sendiri di dalam hati. Kemudian dipujuk kembali hatinya ‘Tak baik.’ Pesan mak, “Biar orang buat kita. Kita jangan sesekali buat orang.”

“Tengok macam akak. Mengaji...Baca buku-buku Islamik. Dengar ayat-ayat al-Quran. Mana ada buat perkara-perkara lagha macam ni.” Kak Hawa silang paha. Duduknya tegak. Bulat-bulat matanya, beralih-alih pandang antara Zahira dengan Aida.

‘Astaghfirullahalazim.’ Zahira beristighfar di dalam hati. Memujuk dirinya agar tidak melayan orang sebegitu. Semoga dia memperoleh hidayah. Menjaga lidahnya supaya tidak menyakitkan hati orang lain. Itu sahaja yang mampu Zahira titipkan di dalam hati.

*****

Sebaik sahaja salam berjawab, Zahira dan Aida dijemput masuk. Gadis berusia sekitar 20-an menyambut mereka. Manis dan seiras Kak Hawa.

“Awak, anak Kak Hawa ke?” Zahira berbasa-basi.

Gadis sunti itu mengangguk-angguk sebelum menyalami Aida pula. Dipersilakan kedua-dua mereka melangkah jauh ke dalam rumah

“Mana mak?” Soal Zahira. Matanya loliah-loliah.

Si gadis berkurung biru kain kapas itu menggamit Zahira. Kemudian menolak pintu sebuah bilik yang terletak di ruang dapur.

Mereka beriringan menyusun langkah menuju ke arah bilik itu. Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik, Zahira dan Aida pegun di muka pintu. Kelihatan susuk tubuh Kak Hawa terbaring lesu di atas katil sederhana besar.

Dengan berhemah, anak gadis kedua Kak Hawa itu mempelawa, “Masuklah kak. Sini ada kerusi, boleh duduk.”

Mereka terus melabuhkan duduknya di kerusi yang terletak bersebelahan katil.

“Assalamualaikum kak.” Zahira mendekatkan dirinya kepada Kak Hawa yang cuba berpaling ke arahnya. Salamnya dibalas, namun suara Kak Hawa seakan tersekat di kerongkong. Mulutnya yang herot membataskan dirinya untuk menutur kata.

“Macam mana mak boleh jadi macam ni?” Soal Zahira. Wajah naif gadis yang membahasakan dirinya adik itu ditatap. Adik masih berdiri bersandar di muka pintu.

“Malam sebelum mak jatuh tu, mak ada mengadu pening kepala. Kakak bawa ke klinik. Rupa-rupanya mak ada darah tinggi. Lepas dah buat pemeriksaan, doktor suruh balik berehat. Pagi tu, entah macam mana mak jatuh dari katilnya. Doktor sahkan mak kena strok.” Panjang lebar anak gadis itu bercerita dalam sendu.

Zahira dan Aida tekun mendengar cerita anak gadis itu. Kasihan. Kak Hawa seorang balu. Keluarga itu memang bergantung harap pada gaji Kak Hawa dan sedikit pencen arwah suaminya. Anak sulungnya pula masih lagi belajar di universiti, yang nombor dua pula baru sahaja habis diplomanya dan anak bongsunya pula masih bersekolah.

“Macam inilah, kakak akan cuba bantu mana yang mampu. Akak akan jual novel akak. Hasil jualan akan akak salurkan untuk awak sekeluarga. Mana yang akak termampu, akak akan bantu.” Zahira bersuara tenang. Kebetulan, sebulan yang lepas, novelnya baru sahaja dilancarkan. Jadi, bolehlah dia membuat jualan sambil beramal.

Seperti terpisah rahang Aida mendengarnya. Besar matanya menjengil ke arah Zahira. Zahira mencubit paha Aida apabila menyedari Kak Hawa merenung reaksi Aida itu.

“Sungguh kau nak bantu Kak Hawa?” Soal Aida sewaktu mereka dalam perjalanan pulang dari rumah Kak Hawa.

“Sungguh! Kenapa kau tanya?”

“Taklah. Saja nak kepastian,” ujar Aida berbasa-basi. Dahinya sedikit berkerut. Melihat wajahnya sebegitu, Zahira seakan-akan mengerti.

“Tak apalah. Apa salahnya kita bantu dia. Hari ini mungkin dia yang susah, akan datang susah kita siapa yang tahu kan?”

Aida mengangguk laju. Jauh di sudut hatinya, dia mengharapkan Kak Hawa menghargai pertolongan Zahira. Lebih-lebih lagi, diharapkan ujian ini dijadikan Kak Hawa sebagai titik tolak untuk memuhasabah dirinya sendiri.