Tidak pernah dia terfikir perkara itu akan terjadi. Sekuman pun tidak. Ini semua angkara cucunya 5 tahun lalu. Hendak dia marahkan cucunya yang bernama Khalil itu, tidaklah juga. Apabila difikirkan kembali, apalah salahnya pula?

Dalam hitung-hitung fikir itu, sebenarnya dia bangga juga pada Khalil.         

Satu-satunya cucu lelaki yang begitu rapat dengannya. Satu-satunya cucu lelaki yang gemar pulang ke kampung ketika musim cuti persekolahan.

            Cucu yang lain? Ada… bukan tidak ada. Balik ke kampung, pada musim cuti? Ada… bukan tidak ada. Tapi jarang-jarang sekali, paling tidak cuti sekolah hujung tahun. Itu pun tidak lama, sehari dua di kampung, sudah menggelisah bagai cacing kepanasan. Serba tidak kena. Serba tidak cukup di rumahnya.

            Tapi Khalil ini memang lain sedikit. Tidak kira cuti sekolah. Malah hujung minggu pun Khalil akan menjenguknya di kampung.

            Seperkara lagi perihal aneh yang membungkus tempurung mindanya. Si Khalil ini gemar berkebun. Tidak kira berpanas dan berhujan. Pada takat usianya sekarang, jarang benar ada anak muda seperti Khalil yang begitu intim dengan tanah.

Itu… tanah seluas 2 ekar di belakang rumahnya itulah menjadi bukti. Jadi saksi. Tanah itu, habis ditanam semuanya ubi. Daripada 2 ekar menjadi 5 ekar. 3 ekar lagi Khalil beli dengan hasil tabungannya sendiri. Mujur ada juga yang mahu menjual tanah yang bersempadan dengan tanahnya.  

Selepas ubi, dari tanahnya ditumbuhi rumput dan lalang, eloklah ditanam pula ubi keledak Jepun, kata Khalil.

            “Kenapa Khalil hendak menanam ubi? Kenapa tidak tanam pokok buah-buahan sahaja?” tanya dia, ketika mereka sedang berehat di pangkin di hadapan rumah.

            “Lambat Tok… ubi kayu dan keledek lebih cepat mengeluarkan hasil. Sekarang ini ada sejenis ubi kayu bernama ubi 3 bulan. Tok pernah dengar? 3 bulan sahaja ditanam… sudah mengeluarkan buah Tok. Ubi keledek ni pun sama. Isinya berwarna ungu dan rasanya lemak manis Tok. Ramai orang suka. Kalau betul cara menjaga dan diberi baja secukupnya, buahnya pasti lebih banyak.”

            Begitu penerangan Khalil. Dia? Buat-buat mengerti, tapi adalah juga butir yang sangat dia tidak fahami.

            “Betul ke kamu ni? Tok tidak setuju kalau tanah seluas itu ditanam ubi sahaja, baik tanam pokok-pokok lain juga.” Tanya dia dalam cadang.

            “Eh... betullah, Tok. Tok percayalah cakap, Khalil. Silap-silap kerana ubi dan keledek ni, Tok boleh jadi terkenal nanti.” Usik Khalil.

“Ah! Ada-ada saja, kamu Khalil.” Dia mendengus seakan tidak berpuas hati dengan keputusan dan kehendak Khalil.

“Boleh sahaja kalau tanam pokok buah-buahan yang lain Tok. Kita tanam di sekelilingnya. Sekali gus jadi sempadan tanah. Di tengah-tengahnya kita tanam ubi dan keledek.” Ujar Khalil penuh semangat.

            “Hish! Tak fahamlah Tok, cara fikir kamu, Khalil. Hendak dibuat apa ubi dan keledek banyak-banyak. Kalau suka makan ubi dan keledek pun, tidaklah mahu Tok makannya hari-hari.”

Dia mengomel. Tapi diturutkan juga kehendak Khalil. Entah apa yang difikirkan oleh Khalil sukar benar hendak dia mentasdik pemahaman.

Tapi... daripada tanah itu terbiar begitu sahaja, maka baiklah ada yang mengusahakannya.

Maka di mata dia, hanya Khalil sahaja yang berminat. Sejak Khalil balik mengaji di luar negeri 5 tahun lalu. Khalil pulang ke kampung dan sungguh-sungguh mahu mengusahakan tanahnya yang terbiar itu.

Khalil benar-benar mengerah tulang empat kerat, berpeluh keringat dan berhabis duit ringgit untuk tanahnya itu.

Dan kerana sikap Khalil itulah juga yang menumbuhkan kembali semangat untuk dia berkebun. Biarlah hanya berkebun ubi dan keledek sahaja. Biarlah. Pagi dan Petang ada juga tempat dia bersenam sambil bermandi peluh.

“Tok…siapa kata kita hendak makan ubi dan keledek hari-hari. Lama-lama nanti… kita pun jadi ubi juga dibuatnya”

            “Habis tu… yang Khalil tanam pokok ubi dan keledek ni, bagai hendak makan tujuh keturunan kenapa? Hish! Peliklah Tok. Orang lain sibuk tanam kelapa sawit sebab hasilnya lumyan. Tapi kamu? Tanam ubi. Betul-betul Tok tak faham” dia mengeleng-gelengkan kepala.

            “Haa… itulah beza Khalil dan orang lain tok. Tanam kelapa sawit, lumayan? Belum tentu Tok… silap-silap kena ngam!” Khalil menghamburkan ketawa.

            “Tanam kelapa sawit memang lumayan tok. Tapi hendak menjaganya cerewet dan kos mengurusnya mahal. Kena beli racun, baja, kalau kena penyakit lain pula racunnya. Tuaiannya juga lambat. Kalau sudah mengeluarkan buah, Tok hendak menyandaknya? Khalil? Aduh… Tok. Bukan kerja mudah. Tak larat Khalil tok. Mahu patah tiga tulang belakang Khalil ni, ha.” Sambung Khalil.

            “Laa… sama juga macam Khalil tanam ubi ni ha… semuanya duit juga.” Kata dia enggan mengalah.

            “Haa… ubi dan keledek ni lain tok. Semula jadi sifatnya. Tahan penyakit dan tidak perlu dimanja sangat. Tabur baja sekali sekala sahaja. Kemudian kita beli baja pengemuk buah, supaya buahnya lebih besar dan sihat. Kalau hendak jimat, hah! Tahi ayam di reban Tok tu pun boleh dibuat baja. Sama juga dengan keledek. Batang ubi… batang keledek, tak perlu tanam berbaris macam pokok kelapa sawit. Campak sahaja pun tumbuh tok. Tidak perlu penjagaan yang rapi sangat. Mudah. Senang. Hasil pun lebih cepat daripada kelapa sawit. Macam yang Khalil katakan tadi, sekarang ini, ada sejenis ubi, 3 bulan sahaja sudah mengeluarkan buah. Nanti kita cari pokoknya di mana-mana atau kita beli.” Begitu penerangan Khalil. Penerang Khalil yang agak panjang, membuatkan mulutnya ternganga juga sehingga menampakkan baris giginya yang telah lompang sana sini.

            “Di mana Khalil belajar semua ini? Bercakap macam serba tahu sahaja, ilmunya dari mana?” tanya dia sangsi.

            “Haaa… itu yang kena Tok tahu. Zaman sekarang, zaman ICT Tok. Semuanya berada di hujung jari sahaja. Apa yang penting, ada komputer dan jaringan internet, paling tidak pun ada telefon bimbit yang membolehkan kita melayari internet. Kalau sudah ada kedua-duanya, ibarat macam dunia ini kita punyalah…” usik Khalil.

            “Itu adalah Tok dengar-dengar bunyi… net... net… tu. Tapi tidaklah Tok berapa hendak faham maksudnya. Maklumlah Tok ni bukan sekolah tinggi seperti kamu, Khalil. Setakat darjah 5 sahaja. Ni ha… telefon ni, Pak Long kamu yang belikan. Mudah katanya nak cari Tok di mana-mana. Nak guna pun Tok tahu tekan nombor dan jawab telefon sahaja. Membaca mesej, sikit-sikit tu bolehlah. Tapi Tok tidak tahu hendak membalasnya. Apa yang Tok tahu, bekebun sahajalah. Tok ni sudah tua, Khalil… tak perlulah belajar semua tu.”

            “Ish… tak boleh Tok. Selepas ini Tok kena belajar juga. Kalau kebun kita ini sudah mengeluarkan hasil. Khalil hendak buat blog bernama ‘KhalilTok.ubikeledek.blogspot’ khas untuk kita memasarkan hasilnya. Kemudian Khalil akan buat pelbagai promosi melalu laman sembang Facebook, We Chat, Whatsapp, dan banyak lagilah Tok.” Ujar Khalil begitu teruja,

            “Apa bendalah yang kamu sebutkan tu Khalil. Sepatah haram Tok tidak tahu.”

            “Tidak mengapa. Nanti Khalil ajar Tok. Tidak susah Tok, senang sahaja.”

            “Hmm… yalah.”

            “Tok… Zaman Tok dahulu lain. Kalau hendak berniaga perlu ada gerai. Kedai. Restoran. Paling tidak pun menjaja dari rumah ke rumah. Tapi sekarang, zaman dah berubah Tok. Semuanya kerana ICT dan pelbagai kemudahan yang ada. Tok pernah dengar perniagaan dalam talian?”

            “Adalah juga Tok mendengarnya, tapi tak berapa hendak faham juga, Tok.”

            “Ha… itulah yang hendak Khalil buat sekarang Tok. Kita buat perniagaan dalam talian. Kita jual produk mentah. Buat masa ini kita pasarkan dulu buah ubi dan keledek. Kalau ada kemajuan… kita tanam pula yang lain.”

            “Ada ke… yang hendak membeli ubi dan keledek Khalil…? Orang kampung kita ini, kalau setakat hendak makan sendiri, tu… di rumah masing-masing. Bukan sikit-sikit ubi. Tidak termakan.”

            “Haa… itulah silapnya Tok. Siapa kata kita hendak jual kepada penduduk kampung? Kalau kita buat blog atau pasarkan dalam Facebook. Seluruh dunia boleh tengok dan baca Tok. Silap-silap nanti sampai ke luar negara hasil ubi dan keledek kita. Kalau Tok hendak tahu, Sekarang ini, ubi dan keledek bukan untuk dibuat kerepek dan cucur sahaja Tok. Macam-macam. Malah ada syarikat tempatan kita menjalankan kajian, dengan menggunakan ubi kayu kita boleh menghasilkan pinggan dan sarung tangan pakai buang yang mesra alam. Hah! Hendak buat semua tu... bukan perlukan sepokok dua ubi. Banyak Tok…”

            “Ya…Ya… tok pernah tengok dalam TV dahulu. Apa nama tu.. program do..do..kumen..kari?”

            “Dokumentari Tok.”

            “Hah! Begitulah bunyinya. Kalau tidak silap tok, nama syarikat tu HNI, nama pemiliknya Ramaness Parasuraman berbangsa India. Katanya pinggan yang dibuat menggunakan ubi kayu, memang bagus. Boleh dilupus dalam masa 28 hari dan boleh dimakan pula tu. Kagum Tok. Pinggan yang dijualnya tu, bukan sahaja di negara kita, nun… sampai ke Amerika. Dia bukan sahaja buat pinggan, dia buat sudu, garpu dan banyak lagilah. Tak ingat Tok. Tapi, Tok tumpang banggalah... kalau ada anak Malaysia yang mampu berniaga sampai ke luar negara” bersemangat juga dia memperkatakan perihal kemajuan anak Malaysia.

            “Haa… sekarang baru Tok tahu. Kenapa Khalil hendak tanam ubi banyak-banyak. Dengan adanya ICT semuanya menjadi mudah. Tok fikir, encik Ramaness tu jual produk-produk dia di kedai-kedai sahaja? Atau jual dari rumah ke rumah atau di kampung-kampung sahaja? Tidak Tok. Ini semua kerana ICT. Siapa tau suatu hari nanti, ubi Khalil dan Tok begitu juga kan?”

            Dia berjeda. Namun jedanya tidak lama apabila suara Khalil menerpa gegendang telinganya. Khalil datang sambil menolak kereta sorong. Maka fahamlah dia.

            “Hah! Berapa kilo pula kali ini?” tanya dia sambil bercekak pinggang memandang Khalil yang sudah bermandi peluh.

            “Lumayan Tok. 200kg ubi untuk kedai kerepek kak Fahima di pekan. Tauke Leong mahu 200kg keledek juga. Paling bagus... ada syarikat makanan ringan di Kuching mahu kita tandatangan kontrak sebagai pembekal tetap ubi dan keledek kepada kilang mereka.” ujar Khalil bersemangat.

            Dia kembali berjeda. Jeda yang agak panjang menuju jalan kejayaan.