Konsep dan teknik dibawa oleh Bertolt Brecht umpamanya, seorang penulis, dramatis dan penyair Jerman berfahaman Marxist, verfremdungseffekt (distancing effect atau kesan penjarakan – atau juga dipanggil alienation effect), merupakan satu strategi yang diaplikasi dan diwacana dalam sinema sehingga melancarkan populariti Bertolt Brecht dalam dunia sinema.

‘Penjarakan’ (distanciation) adalah teknik menjarak atau mengasingkan penonton daripada watak-watak dan lakonan mereka dalam pementasan teater. Dengan merintis epic theatre, Brecht cuba mengingatkan penonton yang mereka sebenarnya berada dalam panggung (teater), usaha yang mengutamakan pemikiran berbanding emosi.

Epic theatre bersifat episodik dengan setiap babak menampilkan naratif berbeza, tetapi apabila digabungkan menjadi sebuah cerita. Serta diselang-selikan dengan lagu-lagu dan komentar ironi oleh pelakon tentang aksi dan watak lakonan mereka.

Bagi Brecht, sesebuah naskah pementasan itu akan diselesaikan penonton (di dalam minda mereka) di luar panggung. Penjarakan berkongsi dengan konsep kesusasteraan Formalisme Rusia (yang turut mempengaruhi sinema formalis Soviet), defamiliarization, yang berkaitan dengan nilai karya seni bergantung kepada keupayaan memantapkan persepsi kita supaya, justeru menggesa kita mempersepsikan sesuatu yang biasa dan lazim sebagai ‘luar biasa’ lagi aneh.

Hal ini selari dengan hujahan penteori filem klasik, Rudolf Arnheim, yang filem mentransformasikan (atau defamiliarize) dunia seharian oleh komponen formal mediumnya (seperti sinematografi dan suntingan).

Pengaruh idea-idea Brecht ini cukup besar hingga menyelinap masuk ke dunia sinema. Berinteraksi dengan khalayak menerusi ‘memecahkan dinding keempat’ (breaking the fourth-wall)merupakan salah satu revolusi Brecht – hingga teknik ini sudah menjadi satu kebiasaan dan tidak lagi dikaitkan dengan idea-idea ‘penjarakan’.

Dalam ranah film studies, istilah ‘penjarakan’merujuk kepada strategi-strategi yang bertujuan menyekat penglibatan emosi (seperti rasa empati) di dalam filem supaya dapat menjana sesuatu yang kritis pada penonton, berbanding satu bentuk ‘sulaman masuk’ yang pasif. Konsep ini dapat menyanggah ilusi dan identifikasi yang sinonim dengan sinema Hollywood klasik dan bentuk lain sinema arus perdana.

Distanciation juga dapat dihasilkan menerusi pembacaan atau tafsiran against the grain (menongkah arus) terhadap teks-teks filem arus perdana. Pemikiran kritis terhadap distanciation dan sinema telah dibangunkan dalam beberapa lapangan film studies ketika era 1970-an. Beberapa penelitian dan analisis filem-filem dan pengarah Hollywood yang melibatkan distanciation (terutamanya filem arahan Douglas Sirk) mengambil tempat pada tahap subteks.

Antara penulisan terkenal adalah nukilan Paul Willemen dalam eseinya, Distanciation and Douglas Sirk (1971) yang disiarkan jurnal filem Britain, Screen. Douglas Sirk adalah pengarah Hollywood (berketurunan Jerman) yang sudah terbiasa dengan amalan dan teori teater dari Jerman kerana beliau pengarah teater yang disegani di Jerman era 1920-an dan 1930-an.

Malah, berhubung isu distanciation tercetusnya polemik besar dalam kalangan para sarjana dan pengkritik filem Anglo-Amerika kerana kesukaran dalam menentukan pendirian dan posisi filem-filem melodrama Sirk yang dianggap ramai sebagai memanipulasikan emosi secara sentimental, murahan lagi artifisial – hingga ada yang mendakwa ianya adalah satu bentuk ironic distanciation.

Selain itu, terdapat beberapa perbahasan menarik terhadap aplikasi objektif dan amalan epic theatre ke atas sinema radikal, masa lalu, kini dan hadapan. Antara yang masih berpengaruh hingga ke hari ini adalah esei Stephen Heath, Lessons from Brecht (1974), yang menteorikan perbezaan antara separation (pemisahan) dengan distanciation (penjarakan).

Struktur tradisional sinema menggalakkan penonton untuk mengambil posisi separation dari layar sinema, manakala sinema revolusi (yang diinspirasikan Brecht) yang menggalakkan distanciation. Dalam sinema popular umpamanya, penonton ‘dipisahkan’ dari layar kerana sinema adalah ilusi yang menjadikan penonton sebagai subjek yang koheren lagi menyatu (yang ‘disulam masuk’ sebagai subjek kepada ideologi sinema). Manakala dalam sinema radikal, revolusi (politikal) pula, penonton ‘dijarakkan’ dari layar bagi mengasahkan intelek dan pemikiran kritis mereka.

Teori, kritikan dan pelbagai amalan counter cinema berkaitan dan bereksperimentasi dengan pelbagai mekanisme formal distanciation. Ini termasuk komentar dalam sesebuah filem dalam bentuk kapsyen bertulis; pemecahan ilusi dengan interaksi langsung watak terhadap kamera (seperti dalam filem The Joy of Learning, 1968, arahan Jean-Luc Godard); dan, stail persembahan (lakonan) yang menyerlahkan jurang antara pelakon dan watak serta menyedarkan penonton tentang artifisialiti sesuatu persembahan itu, seperti dalam filem Jerman Barat, Not Reconciled, 1965, arahan Jean-Marie Straub dan Daniele Huillet.

Antara yang kontemporari adalah strategi penjara dalam filem-filem garapan Michael Haneke seperti Code Unknown (2000), yang menjana cerminan terhadap isu-isu etika dan politik kontemporari. Beberapa pengarah filem Asia turut terpengaruh dengan strategi distanciation yang dipelopori Brecht ini. Antaranya sutradara terkenal sinema Bengali-India, Ritwik Ghatak. Ghatak sendiri merupakan seorang pengarah teater (sebelum membikin filem) di mana dia pernah mengarah dan menterjemahkan beberapa naskah karya Bertolt Brecht.

Antara filem beliau dengan pengaruh Brecht adalah The Cloud-Capped Star (1960), terutamanya dalam konteks mise-en-scene dan kaedah beliau memposisikan watak-wataknya. Beberapa pengarah Asia kontemporari turut dipengaruhi atau memanfaatkan teknik dan strategi ‘penjarakan’ Brecht ini. Antaranya adalah Takashi Miike (Jepun), Tsai Ming-liang (Taiwan), Jia Jhangke (China), Apichatpong Weeraseethakul (Thailand), antara lainnya.