“SEBENARNYA kamu nak jual apa, Ran?” Mahad ingin tahu.

“Kerepek daun kesum,” Izran bersahaja.

“Ni tentu kerepek buatan emak kamu, kan?”

Izran tersengih. “Setakat ni hanya emak aku saja yang buat kerepek ni! Orang lain belum lagi…”

“Bagus! Kalau kita buat sesuatu yang orang lain tak buat, bermakna tak adalah persaingan,” balas Mahad memberi sokongan.

“Sebab itulah aku pilih kerepek ni sebagai produk jualan aku di internet,”

“Tak kisahlah apapun yang kamu nak jual,” balas Mahad. “Yang penting kamu perlu buat strategi pemasaran.”

            “Aku dah buat, Mahad!” ujar Izran. “Aku juga dah merekabentuk iklan ringkas bagi tujuan pengedaran. Aku terangkan mengenai khidmat penghantaran percuma untuk tempahan di sekitar kawasan kita. Masa penghantaran bergantung kepada masa ditetapkan pelanggan. Perkhidmatan aku dalam bentuk SMS, whatsapp dan telefon,”

“Wau... strategi yang bagus! Aku yakin kamu akan berjaya, Ran! Lepas ni luaskan pula media iklan supaya pasaran kamu lebih besar,”

“Itu akan aku fikirkan kemudian,” balas Izran. “Buat permulaan ni hanya facebook, whatsapp dan instagram dulu.”

* * *

Berita Izran mahu menjual kerepek daun kesum secara online telah gah diperkatakan orang-orang kawasan taman perumahan sekitar yang mengenalinya. Ada yang memberi semangat dan tidak kurang juga mencebek. Yang tidak pernah rasa kerepek daun kesum pula seolah-olah tak sabar lagi ingin membuat tempahan.

 “Apa? Izran nak jual kerepek daun kesum secara online?” Zaidi bagaikan tidak percaya dengan berita yang cagun. “Kalau kawan-kawan sepejabat saya tahu, malulah saya mak... adik Pegawai Bank jual kerepek daun kesum online,”

“Kenapa nak rasa malu pula? Bukannya adik kamu tu mencuri?” balas Mak Saodah kurang senang.

“Tapi... boleh berjaya ke jual kerepek daun kesum secara online? Dah ada ke pasarannya?” Pelbagai pertanyaan ditujukan kepada Mak Saodah. Waktu itu Izran tiada di rumah.

            “Manalah emak tahu, Zaidi! Kamu tanyalah sendiri pada Izran! Dia yang beria-ria benar nak jual kerepek daun kesum online!” ujar Mak Saodah.

            “Kenapa pilih kerepek daun kesum? Siapa yang nak makan kerepek tu? Lainlah kalau dia jual tudung muslimah, produk kecantikan...”

            “Kamu tanyalah dia sendiri, Zaidi! Yang emak tahu, Izran nak usahakan perniagaan kerepek daun kesum secara online. Katanya, dia tahu apa yang dia nak buat!”

            “Saya rasa tak puas hati selagi tak dapat gambaran sebenar dari Izran, mak!”

            “Baguslah kalau begitu! Tapi, janganlah kamu bergaduh pula dek soal kerepek daun kesum tu!” Mak Saodah memberi ingatan.

            “Mana Izran, mak?” tanya Zaidi.

“Katanya nak ke perpustakaan kampung,” ujar Mak Saodah bersahaja.

            Zaidi segera keluar dari ruang dapur lalu turun ke tanah.

            “Nak ke mana pula tu, Zaidi?” laung Mak Saodah. Kala itu Zaidi sudah berada di hujung halaman.

            “Nak cari Izran, mak!”

            Mak Saodah sekadar menggeleng-gelengkan kepala. Dia hanya memerhatikan langkah Zaidi, gesit menuju perpustakaan desa, letaknya sekitar sepelaung saja dari rumah.  

“Mak, saya bercadang nak berniaga sendiri. Kalau saya terus menjadi kuli orang, hidup saya tak akan berubah, mak!” ujar Izran suatu ketika dulu kepada Mak Saodah.

            “Kamu nak berniaga apa, Izran?” tanya Mak Saodah ingin tahu.

            “Belum tahu lagi, mak! Sekarang saya sedang memikirkan barang yang saya nak jual tu. Saya bercadang nak berniaga secara online. Jadi saya kena pilih channel pemasaran... facebook, instagram, twitter, blog, email, minisite dan banyak lagi…”

            Mak Saodah terkebil-kebil mendengar istilah-istilah dunia maya yang diperdengarkan Izran.

            “Mak tak usahlah terkebil-kebil begitu,” ujar Izran sembari tersengih. “Zaman sekarang ni semua orang berniaga guna internet. Tak perlu ada kedai nak mulakan perniagaan...”

            “Habis, kamu tak nak bekerja dengan Puan Hazrah lagi?”

            “Buat sementara ni memang saya nak bekerja dengan dia. Saya nak kaut ilmu pengetahuan tentang perniagaan online dan juga pengalaman darinya. Selepas semuanya ada dalam dada saya, barulah saya nak usahakan sendiri. Saya nak berjaya macam dia. Saya yakin mak, kalau dia boleh berjaya kenapa tidak saya? Yang penting ada kemahuan, keyakinan, kerajinan, wawasan dan juga percaya kepada kebolehan sendiri!”

            “Modalnya, Ran?” tanya Mak Saodah seraya mengesip-ngesipkan matanya.

            “Ada tapi, tak banyak. Buat sementara ni, saya nak bekerja kumpul modal dulu. Kemudian buat perniagaan tu secara kecil-kecilan...” jelas Izran bersungguh-sungguh.

            Mak Saodah mengeluh panjang. “Suka hati kamulah, Ran! Emak ikut saja apa yang kamu fikirkan baik!”

            Sesungguhnya Mak Saodah tidak tahu, bagaimana rupanya perniagaan online yang hendak dilakukan Izran. Selepas perbualan singkat itu, dia tidak pernah bertanya lagi kepada Izran. Izranpun tidak pernah membuka mulut. Barangkali, dari Mahad-lah Izran beroleh sokongan semangat di samping dari Puan Hazrah, pengusaha jus delima dan makanan sejuk-beku yang berjaya itu.

Zaidi pula sudah banyak kali menghalang hasrat murni Izran mahu berniaga. Kononnya, dunia perniagaan memerlukan modal yang banyak, pasaran besar dan macam-macam lagi alasan yang mampu melemahkan semangat.

            “Kamu tak kasihankah tengok adik kamu tu, Zaidi?”

            “Apa yang saya kata ni satu kenyataan, mak! Mak ingat senang ke nak berniaga? Mana Izran ada duit buat modal? Mak ingat sikit ke nak pakai duit…”

            “Itu mak tak tahulah! Yang mak tahu, Izran benar-benar nak berniaga sendiri. Dia tak nak makan gaji lagi...”

            “Mak tak usahlah dengar cakap dia! Pelajarannya tak tinggi, manalah dia tahu selok-belok perniagaan, pemasaran, kunci kira-kira dan macam-macam lagi. Saya yakin, dia akan dikelentong dek orang. Akhirnya, abukpun tarak!”

            “Kamu hina adik kamu sendiri, Zaidi!”

            “Saya tak hina dia, mak! Tapi, ini kenyataan. Izran tak ada pelajaran tinggi…”

Namun segala ngeluyur benak Mak Saodah gesit berkecai kala Zaidi terjengul di muka pintu. Jelas muka anak sulungnya melencun peluh. Mak Saodah membiarkan Zaidi berehat sekejap sebelum mengajaknya ke dapur. Ketika itu dia sudahpun menghidangkan sukun goreng bersama seteko kopi di atas meja di ruang tersebut.

Lebih kurang jam lima petang, Zaidi meninggalkan pekarangan rumah dengan wajah sedikit pudar. Mak Saodah tidak tahu apa yang berkitar dalam fikiran Zaidi.

            “Tiga hari lagi saya nak mulakan perniagaan saya tu, mak! Esok saya bercadang nak ke bandar untuk beli bahan-bahan yang diperlukan untuk buat kerepek daun kesum seterusnya saya juga dah dapat pembekal daun kesum. Pembekal tu janji nak hantar daun kesum seminggu sekali,” jelas Izran malam itu.

            “Siapa nak bantu kamu goreng kerepek tu?” Mak Saodah ingin tahu.

“Emaklah yang akan membantu saya. Buat sementara ni saya akan belajar buat kerepek daun kesum dari emak. Bila saya dah pandai, saya sendiri yang akan buat kerepek tu tapi emak perlu pantau supaya rasanya dapat dikekalkan. Kerepek daun kesum ni resipi asli emak, buatan emak memang sedap dan saya yakin pelanggan yang makan kerepek buatan emak tak akan beralih kepada kerepek orang lain,”

Mak Saodah tersengih mendengar pujian Izran. “Siapa yang nak beli kerepek daun kesum kamu tu?” soalnya setagal kemudian.

“Setakat ni saya dah ada lima puluh orang pembeli, mak! Mereka dah buat tempahan melalui whatsapp,” jawab Izran.

“Jadi kita kena buat lima puluh bungkus... banyak tu...”

“Ya, mak!” cantas Izran cepat. “Ni baru hasil iklan dalam facebook. Insya-Allah, pelanggan kita akan bertambah bila iklan melalui blog yang sedang saya usahakan ni siap nanti,”

“Kalau permintaan terlalu banyak, emak tak mampu nak goreng kerepek tu,” ujar Mak Saodah.

“Itu mak jangan bimbang. Jika pelanggan kita terlalu ramai, saya akan ambil pembantu untuk tolong kita,”

            “Mak doakan semoga kamu akan berjaya, Izran!”

            Izran mengangguk senang, “Terima kasihlah, mak! Hanya doa dari emak yang saya harapkan!”

* * *

Lebih kurang sepuluh minggu saja, perkhidmatan online kerepek daun kesum Izran sudah tersebar seperti angin. Masuk bulan ketiga, tempahan sudah mulai meningkat dari 100 bungkus kepada 150 bungkus seminggu.

            “Kita kena upah orang bungkus, Izran!” ujar Mak Saodah malam itu sebaik dia dan Izran selesai menjamah makanan malam.

            “Saya rasa, saya juga perlu cari pembantu untuk menghantar kerepek tu. Saya tak mampu nak buat seorang,” balas Izran.

            “Kamu buatlah apa yang baik untuk perniagaan kamu, Izran! Mak sokong saja,” ujar Mak Saodah memberi perangsang kepada Izran.

            Lebih kurang enam bulan kemudian, perniagaan kerepek daun kesum online milik Izran sudah mula menampakkan pengembangannya. Seorang pembekal kerepek tiba-tiba meminta dibekalkan 20,000 bungkus kerepek daun kesum setiap bulan untuk diedarkan ke seluruh Malaysia. Peluang ini diterima Izran dengan perasaan yang sungguh resah kerana ketidakmampuannya. Setakat ini Izran hanya mempunyai dua orang pembantu saja, seorang dalam urusan pembungkusan dan seorang lagi dalam urusan penghantaran. Untuk menyediakan 20,000 bungkus kerepek memerlukan mesin penggoreng dan pembungkus moden. Harganya mencecah RM40,000.00, tidak mampu disediakan Izran.

Malam itu wajah Izran muram. Sebaik selesai solat Isya, dia termenung di ruang tamu sambil menyandarkan badannya ke dinding. Gelagatnya dapat dikesan oleh Mak Saodah.

            “Kenapa dengan kamu ni, Ran?” tanya Mak Saodah sembari melabuhkan punggungnya di hadapan Izran.

            “Soal perniagaan saya ni, mak!” ujar Izran polos.

            “Kenapa?” tanya Mak Saodah tercolek ingin tahu.

            “Saya dapat tawaran dari seorang pembekal kerepek di Kuala Lumpur. Dia minta kita bekalkan 20,000 bungkus sebulan. Inilah yang saya sedang fikirkan ni...”

Biji mata Mak Saodah gesit terbeliak. “Habis, apa cadangan kamu?”

Izran mengeluh. “Inilah agaknya hambatan untuk menjadi seorang usahawan berjaya!” ujarnya lirih.

            “Sabarlah, Ran! Emak yakin dan tak putus-putus berdoa semoga kamu akan berjaya!” ujar Mak Saodah dalam usaha mententeramkan hati Izran.

            Izran kembali mengukirkan sebuah senyuman untuk ibunya.

            “Eh, abang kamu janji nak balik petang Jumaat ni,” ujar Mak Saodah lagi cuba mengalih tajuk perbualan.

            Izran tersengih. “Baguslah, lagipun memang abang dah lama tak balik! Err, mana emak tahu?”

            “Dia ada telefon emak tadi!” jawab Mak Saodah.      

            Malam itu, Izran agak gelisah dengan berita kepulangan abangnya. Dia bimbang abangnya itu akan kembali mengungkit soal malu beradikkan seorang penjual kerepek daun kesum online.

* * *

Selesai bersarapan pagi, Izran mengatur langkah ke pejabat Puan Hazrah, untuk menceritakan masalah yang dihadapinya. Ketika itu Zaidi masih belum bangun lagi. Cuma Mazniah saja yang sudah bangun untuk membantu Mak Saodah di dapur.

            “Masalah ni boleh diselesaikan, Ran!” ujar Puan Hazrah sebaik mendengar masalah Izran. “Saya cadangkan kamu ke Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC). Selain menawarkan khidmat nasihat pembangunan industri, agensi ni juga menyediakan program latihan dan pembangunan untuk pengusaha IKS,”

            Dalam perjalanan pulang pelbagai rasa menghenyak ruang dadanya. Rasa kecewa begitu menggelodar. Di atas kerusi di ruang beranda dilabuhkan punggungnya dengan riak wajah pudar.

            “Hai, apa yang kamu menungkan tu?”

            Tiba-tiba satu suara mencerlus dari arah belakang. Gesit Izran menoleh. Tertancaplah Zaidi di muka pintu.

            “Apa yang dimenungkan, Ran?” tanya Zaidi lagi, perlahan-lahan menghampiri Izran.

            “Err, tak ada apa-apa, bang!” agak gugup Izran bersuara.

“Tak usahlah kamu nak sembunyikannya lagi dengan abang. Emak dah ceritakan segalanya,” jelas Zaidi setagal kemudian.

            Izran terkesip-kesip biji matanya. Sejurus kemudian dia bersuara, “Err, bagaimana pendapat abang kalau saya minta bantuan SMIDEC?”

            Zaidi tersenyum tenang, “Tak payahlah, Ran!”

“Tapi... macam mana dengan tawaran dari pembekal kerepek 20,000 bungkus sebulan tu?” Izran berasa amat rugi jika menolak tawaran tersebut. Sudah pasti tawaran serupa tidak akan datang lagi jika dia menolaknya sekarang.

            “Terima saja tawaran tu, Ran!” tegas Zaidi polos.

            “Kalau terima tawaran tu, bermakna saya terpaksa beli mesin penggoreng dan pembungkus moden, bang!” ujar Izran sungguh-sungguh.

            “Kita beli saja mesin penggoreng dan pembungkus yang kamu perlukan tu,” tenang Zaidi mencerluskan suaranya.

            “Tapi... harganya mahal, bang! Mana saya ada duit nak beli mesin-mesin tu,” Izran mencegatkan hakikat kemampuan dirinya.

            Zaidi mengangguk-angguk faham. “Abang sungguh bangga ada adik yang mahu berusaha begini. Abang tahu, Ran ada semangat juang tinggi, ada wawasan masa depan yang jelas, ada jati diri, kemahuan, kerajinan, iltizam dan sebagainya dan abang rasa bersalah jika tak bantu adik abang,”

            Senyuman Izran memurup lebar lebih-lebih lagi kala belakangnya ditepuk berkali-kali oleh Zaidi.

            “Lepas ni kamu jangan risau lagi soal mesin penggoreng dan pembungkus tu,” ujar Zaidi seterusnya. “Yang penting kamu teruskan perniagaan online ni sehingga berjaya. Abang nak lihat kamu jadi seorang usahawan online global. Kebetulan abang kenal dengan seorang pembekal daun kesum, abang dah hubungi dia sebaik emak bagitahu yang kamu nak bekal 20,000 bungkus kerepek daun tu sebulan. Dia dah bersetuju nak jadi pembekal daun kesum kepada kamu selagi kamu mahu. Err, abang juga dah berbincang dengan isteri abang. Kami akan hulurkan modal untuk beli mesin penggoreng dan pembungkus kerepek yang kamu perlukan tu. Besarkan lagi kawasan edaran,” tambahnya lagi panjang lebar.

            Izran seakan terkedu mendengar penjelasan Zaidi. Serasa bagaikan bermimpi namun tanpa disedari kedua-dua tangannya gesit memeluk abangnya sambil menitiskan airmata gembira. “Terima kasih, bang!” hanya itu yang mampu dicetuskan dari bibirnya.

            “Sudahlah, Ran! Mari kita ke dapur dulu sebelum beli mesin yang kamu perlukan tu!” ujar Zaidi lalu merangkul bahu Izran penuh kemesraan.