“Sudahlah tu, Alang. Tak tahan aku miang jelatang ni.”

Aku memberi isyarat mengajak Alang pulang ke rumah. Pohon jelatang memang tumbuh subur di sini. Kata arwah emak, ini pohon jelatang rusa. Rimbun dan hijau sungguh daunnya. Jika diperhatikan dekat-dekat memang terdapat bulu-bulu halus yang meliputi permukaan tumbuhan ini. Bulu-bulunya sangat putih dan tajam pula di hujungnya. Bahagian inilah yang beracun dan menyebabkan kulit menjadi pedih dan gatal. Kami tergaru-garu dari tadi meskipun Alang masih bertahan.

“Sekejap. Sikit lagi.”

Bahagian belakang baju T Alang sudah lenjun dibasahi peluh. Secekak pucuk paku yang dikepitnya tampak segar-bugar di bawah panahan cahaya mentari yang menyusup masuk ke dusun ayah. Menggelisah aku menunggu Alang.

“Cukuplah tu. Siapa lagi nak memakannya? Kita berdua sahaja.”

Langkah kaki Alang terhenti tiba-tiba. Pantas kepalanya ditelengkan ke arahku.

“Ayah?”

Disekanya peluh yang berjejeran di kedua-dua belah pelipisnya. Wajah seiras arwah emak ini merona merah. Bintat-bintat kecil jelas berserak-serak di wajahnya.

Aku mengibas tubuh menggunakan topi mengkuang kepunyaan arwah emak.

“Manalah ayah nak makan lagi kerabu pucuk paku ni. Trauma lepas emak meninggal.”

Celupar sungguh mulut aku membuat rumusan. Spontan Alang meluku kepalaku.

“Kau tu yang tak reti masak. Entah apa-apa ramuan kautaruh. Ayah tak makan sebab trauma konon. Banyaklah kau punya trauma.”

Aku terkekeh-kekeh ketawa. Bab memasak memang bukan kepakaran aku. Namun, fakta ayah tidak lagi menyentuh kerabu pucuk paku memang betul. Aku sendiri menjadi saksi ketika balik ke rumah ayah dua minggu lepas. Beria-ia aku menyediakan kerabu pucuk paku untuk makan tengah hari kami, namun ayah hanya memandang sepi. Begitu juga dengan kerabu tauge sehari sebelumnya.

Dahulu ketika emak masih ada, kerabu adalah lauk kegemaran ayah. Sebut sahaja apa jenis kerabu, semuanya emak akan masakkan untuk ayah. Kerabu pucuk paku, kerabu tauge, kerabu jantung pisang, kerabu mangga, kerabu kerang, kerabu sotong. Semua menjadi kegemaran ayah. Tiada kerabu, tidak berselera ayah makan.

Kami sampai di rumah ketika matahari benar-benar di atas kepala. Ayah belum balik lagi dari surau. Ada usrah katanya pagi tadi. Aku keluarkan bahan-bahan membuat kerabu dari dalam plastik. Kesemuanya kami borong dari kedai abang Zainal di hujung kampung.

Aku pindahkan kerisik ke dalam mangkuk plastik kecil. Udang kering juga sudah aku rendam dan sedia untuk ditumbuk. Sambil menunggu belacan yang sedang dibakar, aku mendekati Alang yang sedang ralit menggetis pucuk paku.

“Betul ke ayah tak makan lagi kerabu? Macam tak percaya je aku cakap kau ni.”

Alang bersuara memecah hening. Batang pucuk paku yang sedikit tua siap-siap diasingkannya ke dalam plastik sampah. Kerusi di sebelahnya aku tarik lantas aku labuhkan punggung di atasnya.

“Betul, Lang. Kautengok nanti. Sesedap mana pun kaumasak kerabu ni nanti, ayah takkan terliurlah!”

Penuh yakin aku ungkapkan pendapat. Aku berusaha sebenarnya mengambil hati ayah dengan mengikut langkah-langkah penyediaan kerabu sama seperti arwah emak. Bahan-bahannya pun memang serupa seperti yang pernah emak ajarkan. Tidak berkurang tidak juga berlebihan. Namun trauma ayah terhadap kerabu memang tidak mampu aku tewaskan.

“Disebabkan makan kerabu pucuk paku inilah mak kau meninggal dulu!”

Itu kata ayah ketika aku hidangkan kepadanya kerabu air tanganku. Ayah tiba-tiba meninggalkan meja makan tanpa sempat menjamah sebarang makanan.

Aroma belacan bakar menyerbak tiba-tiba. Aku bingkas bangun semula. Belacan berbentuk segi empat tepat itu aku balik-balikkan di atas pemanggang.

Pemergian emak empat bulan lepas ibarat ayam disambar helang sahaja. Menurut doktor, terdapat keracunan dalam darah emak yang berpunca daripada sejenis bakteria. Makanan terakhir yang dijamah emak pula ialah kerabu pucuk paku yang dimakan ketika waktu siangnya. Mungkin dari situlah punca bakteria jahat itu. Sejak daripada peristiwa itu, aku perasan ayah seakan-akan melancarkan perang dingin terhadap apa jua jenis kerabu.

“Mana bawang dan cili api yang aku suruh kauhiris tadi?”

Lontaran suara Alang mengejutkan aku. Cepat-cepat aku alihkan belacan bakar ke dalam piring. Sedikit hangit sekelilingnya. Bekas berisi bawang dan cili hiris aku hulurkan kepada Alang. Lesung batu yang terletak berhampiran sinki aku turunkan ke lantai dapur ayah. Aku alaskan ibunya dengan kain buruk bersih lantas memulakan operasi menumbuk udang bersama belacan.

Pucuk paku yang telah dicelur dan ditoskan tampak begitu menyelerakan. Alang memasukkan kesemuanya ke dalam besen. Diletakkannya di atas meja makan bersebelahan bekas kerisik, santan dan bahan hirisan tadi.

“Ayah tu bercakap macam orang tidak beriman sahaja. Dah memang hayat emak setakat itu, dah memang janjinya dengan Tuhan sehingga ke tarikh itu. Kerabu pucuk paku hanya sebagai penyebab sahaja . Tak makan kerabu itu pun, emak tetap akan pergi.” Panjang lebar omelan Alang. Aku suakan pula kepadanya lesung batu berisi udang dan belacan yang telah sempurna hancurnya. Disambutnya huluranku sambil bibirnya menjebik.

Tangan Along cekatan menyediakan kerabu pucuk paku versi kami sendiri. Manalah tahu, mungkin ayah ingin merubah rasa. Memang kami tidak akan dapat mengatasi kelazatan air tangan emak namun ayah juga tidak patut mengenepikan usaha kami yang bersungguh-sungguh ini.

Alang masukkan kerisik, dua sudu santan, bahan tumbuk dan bahan hiris ke dalam besen yang berisi pucuk paku celur. Kemudian, dengan hanya menggunakan jari telunjuk dan ibu jari, Alang tambahkan pula secubit garam. Alang menggaul sebati kesemuanya dengan penuh hati-hati dan bersungguh-sungguh. Aku yang hanya jadi pemerhati, terliur jadinya.

Alang mencubit sedikit kerabu dan spontan menyuapkannya ke dalam mulut aku yang telah sedia menganga.

“Macam mana? Sedap?”

Alang bertanya sambil dia mencicip kerabu pucuk paku air tangannya sendiri.

“Ya Allah Alang, sedapnya! Serupa kerabu yang emak masak, Lang!”

Aku ikhlas memuji. Tidak sabar aku ingin menikmati kerabu air tangan Alang. Perut tiba-tiba berlagu lapar.

“Aku nak mandi dulu. Kemudian, kita makan. Nasi dah masak, kan?”

Aku mengangguk-angguk. Sambil mengemaskan meja makan, mata mengerling jam dinding di rumah ayah. Hampir satu tengah hari. Pasti sedikit masa lagi ayah akan balik dari surau. Bunyi hon motosikal yang melengking tiba-tiba di laman rumah menarik perhatianku. Aku bergegas menuju pintu.

Tanpa salam, seorang pemuda, barangkali baru belasan tahun menghulurkan sesuatu kepada aku. Plastik merah.

“Apa ni?” Spontan aku bertanya. Namun, tangan aku panjangkan juga menyambut bungkusan tersebut.

“Ini kerabu yang Pak Meon pesan tadi.” Jawabnya tanpa berbolak-balik. Motosikalnya tidak dimatikan enjin.

“Kerabu? Pesan? Pesan daripada mana?”

Aku cuba meneliti isi bungkusan. Terasa haba panas dari dalam.

“Pesan melalui kumpulan WhatsApp penghantaran makanan ke rumah. Saya anak Mak Cik Anisah. Pak Meon dah selalu sangat pesan kerabu ni.”

Jelas pemuda bermata sepet itu lagi. Aku terbayangkan wajah Mak Cik Anisah yang berasal dari Siam. Mak Cik yang sudah hampir sedekad menjadi janda.

“Ini kerabu apa?” Aku bertanya lagi. Aku masih belum mampu meneka kerabu yang ayah pesan. Plastik pembungkusnya juga masih panas.

“Kerabu maggie Thai.”