Puisi Melayu Malaysia

Puisi Melayu Malaysia semenjak awal perkembangan hingga kini telah diajarkan di sekolah-sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi sebagai bahagian daripada khazanah karya sastera Melayu yang dibahagikan dalam dua kelompok besar. Puisi lama dan puisi baharu. Puisi lama terdiri daripada jenis karya berbentuk tetap dan kekal iaitu pantun, syair, nazam, gurindam, seloka dan beberapa jenis puisi berukuran tetap dengan ciri-ciri khusus.

 

Dari mula berkembang hingga kini, bentuk-bentuk puisi lama tidak berubah. Bentuk pantun Melayu empat baris serangkap misalnya, mesti dua baris pertama pembayang dan dua baris kedua menjadi maksudnya, di samping mempunyai rima akhir aa/bb atau ab/ab, serta setiap baris pula terdiri daripada jumlah antara lapan hingga 12 suku kata. Sementara puisi baharu yang disebut juga puisi bebas hanya diwakili oleh sajak. Perkataan sajak ialah satu nama khas untuk puisi moden, puisi baharu atau puisi bebas. Sajak sebagai puisi Melayu moden atau puisi bebas telah menerima banyak perubahan dari segi bentuk yang berkembang daripada puisi lama tadi.

* Nama puisi berbeza

Semua jenis puisi Melayu tidak sama bentuknya. Masing-masing ada ciri khas dan nama juga berbeza.

Sajak adalah nama khas yang mempunyai bentuk tersendiri, bebas, tiada batasan kata atau baris yang ditetapkan dan bebeza daripada bentuk-bentuk puisi lama. Namun masih ada unsur kebersamaan sebagai kelompok puisi Melayu. Jika semua jenis puisi lama mempunyai bentuk yang khusus, tetap dan terikat, sajak juga mempunyai bentuknya yang khusus tetapi tersendiri dan bebas daripada unsur tetap serta terikat sebagaimana yang mencirikan bentuk puisi lama tadi.

Bentuk sajak tidak sama dengan ungkapan dan susunan dalam bait-bait syair atau pantun. Ertinya, apabila disebut sajak ia lebih menaakul bentuk yang bebas yang bukan lagi pantun, bukan lagi syair, bukan lagi gurindam, bukan lagi nazam dan bukan lagi seloka. Maka sangat tidak tepat menyebut sajak sebagai puisi kerana kata puisi itu hanya istilah umum. Ia tidak merujuk kepada mana-mana jenis puisi Melayu. Tegasnya, puisi moden adalah karangan puisi yang khusus bernama sajak dan hendaklah disebut sajak.

Dipercayai kalangan sasterawan Melayu yang cenderung menyebut puisi untuk sajak adalah kerana terpengaruh dengan dunia sastera di luar sastera Melayu Malaysia. Sedangkan di sana, yakni di luar sastera Melayu tiada karangan sastera bernama sajak, pantun, seloka dan seumpama itu. Semua disebut poetry. Maka Melayu pun sebut puisi. Hebat konon. Sajak itu kampungan. Agak pelik juga apabila orang yang sama ketika berhadapan dengan pantun, syair, gurindam mahupun seloka tidak pula menyebut puisi padahal semua itu jenis puisi Melayu. Ini juga satu kejanggalan berlaku dalam banyak peristiwa sastera di negara ini.

* Sajak berunsur bebas

Sajak tetap mengambil tempatnya yang tersendiri dengan kebebasan cukup luas hingga memisahkannya daripada puisi lama sama ada dari segi roh dan jiwanya. Bagaimanapun sajak tetap suatu kesinambungan puisi Melayu. Bentuk yang bebas inilah menjadikan puisi moden ini dinamakan sajak, sekalipun kurang lunak menyebutnya. Sajak masih tergolong sebagai jenis karangan berangkap dengan susunan bahagiannya, dikerat-kerat juga ada dalam satu perengganu.

Sajak lebih mementingkan idea dan unsur bahasa kiasan yang menjadi alat pengucapan fikiran tinggi di samping rangkap dan baris-barisnya tidak terlalu mementingkan irama dan unsur bunyi akhir semata-mata sebagaimana pantun, syair dan gurindam. Kesalnya, akhir-akhir ini ramai dalam kalangan mereka yang ahli dalam bidang sastera dan para aktivisnya sewenang-wenang menyebut puisi untuk sajak. Sangat tidak adil.

Tulisan ini bertujuan agar semua puisi Melayu berbentuk sajak mendapat hak dan pengiktirafan selayaknya dalam kalangan orang sastera. Bahkan masa-masa akan datang, sajak tidak lagi disebut puisi walaupun kata sajak itu terasa kekampungan, keras, janggal atau kurang cocok dengan lidah pengguna yang minat bahasa Inggeris.

Sebaik-baiknya penggiat sastera Melayu Malaysia tidak terikut-ikut dengan gaya dan pengucapan penggiat-penggiat sastera negara jiran, Indonesia yang menamakan karya berbentuk sajak ini hanya dengan puisi. Hal ini terjadi, mungkin di sana jenis-jenis puisi Melayu yang lain seperti pantun, syair, gurindam mahupun seloka kurang mendapat perhatian, kurang pasaran dan kurang popular walaupun memang wujud sebagai sebahagian daripada produk sastera Melayu Nusantara.

* Kesimpulan

Sepatutnya tidak berbangkit sebarang keraguan memartabatkan nama sajak untuk puisi moden ini kerana pengenalan sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu Malaysia termasuk perkembangan puisinya dalam kalangan ahli akademik khasnya pelajar dari seawal pengajian telah pun dimulakan semenjak tingkatan satu melalui Komsas. Kemudian berterusan ke peringkat universiti. Mafhum daripada sejarah tersebut puisi Melayu kekal ada dua bahagian besar, puisi lama dan puisi baharu. Puisi lama itu pantun, syair, gurindam, seloka, nazam dan beberapa lagi, puisi moden pula hanya diwakili dengan sajak. Maka sangat tidak wajar hanya sajak disebut dan diuar-uarkan sebagai puisi sedangkan puisi jenis lain tidak demikian.

Perkataan puisi hanya satu istilah bersifat umum yang merujuk sebagai unsur tertentu dalam retorik mahupun dalam penulisan sastera dan bukan sastera. Manakala sajak ialah nama khas untuk jenis puisi bebas atau puisi Melayu moden.