Tidak kira malam atau siang, ada sahaja orang luar yang datang buat onar. Tuk Ketua sudah tubuhkan Unit Keselamatan Kampung, tapi takkan kena berjaga 24 jam. Semua yang terlibat juga bekerja, cari makan untuk anak bini.

Kalau kerja siang bolehlah jaga belah malam. Kalau kerja malam bolehlah ambil shif kawal siang. Masalahnya bukan semua boleh digilir begitu mudah. Macam-macam alasan pula diberikan oleh ahli komuniti. Lebih-lebih lagi yang kerja sidang malam, siang mereka hendak rehat dan lelapkan mata walau sepenanak nasi.

Akhirnya, yang patut berkawal siang, tak dapat datang. Lama-kelamaan ahli berkawal malam juga ponteng kerana rasa tidak puas hati. Hai, macam-macam ragam kan manusia ini. Bila sudah geger kejadian kecurian, baru bingkas berkawal. Tidak lepas pula kata-mengata dan tuduh-menuduh kerana keculasan orang lain.

Itulah asbab uda marah dengan nenek. Nenek lupa kunci pintu utama ketika menyusul uda ke rumah Wak Ru yang buat tahlil malam ini. Uda memang selalu membantu siapa-siapa sahaja yang buat majlis. Bukan rumah Wak Ru sahaja. Adat orang kampung begitu. Mulanya nenek tidak mahu pergi, alih-alih mengikut pula dari belakang.

“Aku kelalen arek ngunci pintu,” akui nenek selepas uda desak beberapa kali. Uda memang sudah agak nenek akan lupa seperti selalunya. Sebab itu dia tanya ulang kali sama ada nenek hendak ikut atau tinggal di rumah. Uda bukan marah sangat kepada nenek, tapi rasa bimbang keselamatan rumah dan harta bendanya.

Baru minggu lepas dia kehilangan kasut Adidas yang baharu dibelinya. Kasut itu dia letak di rak depan tangga. Bukan waktu malam, siang. Dia tinggal pergi solat zohor sekejap sahaja. Balik-balik sudah lesap. Ditanya kepada Lilik, anaknya, kata tak tahu. Absahlah kasut itu sudah jadi habuan pencopet atau budak-budak dadah.

“Tadi nenek kata tak nak ikut, kan tak ada orang kat rumah,” bebel uda berterusan. Bersegera pula dia angkat telefon. Uda mendail seseorang tetapi bunyi denyutan tidak bersambut. Nenek rasa bersalah. Tapi takkan hendak suruh nenek balik semula ke rumah. Rumah Wak Ru jauh juga. Nenek datang pun bersusah-payah mengayuh basikal tuanya. Kesian pula dia.

“Ru, aku balik kejap ye. Nanti aku datang balik,” pamit uda kepada Wak Ru setelah panggilannya gagal. Benarlah Lilik juga tidak ada di rumah ketika itu. Sepantas kilat uda pulas tali minyak kapcai meninggalkan nenek yang masih bingung.

Memang nenek sudah tua, pertengahan 80-an, sudah selalu kelalen, kata orang Jawa. Banyak perkara yang dia sudah sudah tak ingat, kadang solat kadang tidak. Mandi pun jarang-jarang. Apabila ditegur, katanya ‘sudah mandi’. Uda dan anak-anaknya pun arif sangat dengan karenah ekologi hidupnya itu. Tetapi bila melibatkan keselamatan dan perkara-perkara yang penting, uda kena ambik kisah.

Macam bulan lepas, nenek terlupa hendak tutup api dapur selepas masak. Sudah berulang kali angah kata jangan bertanak, tetapi nenek hendak masak juga. Nenek nak makan sayur bening pucuk paku. Orang sekarang tak pandai masak, katanya. Apabila angah balik kerja, dia tenguk api masih menyala lagi di dapur. Nasib baik tidak jadi apa-apa. Mata nenek terkebil-kebil sahaja apabila angah mengomel.

Uda sampai rumah, tongkat motor depan tangga. Hatinya berdegup apabila daun pintu ternganga. Sepantas kilat pula dia terjun dari kapcai dan melompat masuk. Dia lihat kelibat bayang di ruang tengah. Dengan cepat uda ikut arah bayang itu. Dia lihat ada seseorang sedang cuba mennyelongkar laci almari di biliknya.

Dengan sepenuh kudrat uda memekik sambil menghayun tangan ke tengkuk lelaki yang kelihatan panik. Pukulan ala ‘karate’ uda nyata melemahkannya. Memang tempat itu agak sensitif kerana ada saraf utama. Persis pendekar uda kilas tangan lelaki itu dan dorong dia ke bucu katil.

Lelaki itu cuba meronta dan mengerang meminta tolong. Tubuhnya yang pipih memudahkan lagi uda mengganyangnya melepaskan geram. Uda capai kain tudung bininya dan ikat tangannya ke belakang.

Pekikan uda tadi mengejutkan Usin dan Mamut, jirannya datang bergegas naik. Mereka terkejut apabila melihat uda sedang bergelut dengan seseorang. Spontan pula mereka membantu dan lebih mudah pencuri itu ditumpaskan.

“O.. kaulah yang selalu jadi pencuri kat kampung ni..” tukas Usin sambil mereka membawa lelaki tersebut ke luar rumah. Di luar beberapa rang jiran telah sedia menunggu untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Lelaki yang kelihatan letih itu bungkam tidak terkata apa-apa. Malah dia maklum apapun alasannya, tidak akan dilayan oleh orang kampung. Uda nampak seperti hero apabila dapat memberkas pencuri tersebut.

“Hei, ini kasut aku ni!” mata Uda memandang tepat kepada kasut yang dipakai lelaki tersebut. Segera pula dia memecat kasut Adidasnya yang masih kelihatan baru itu. Bibirnya digetap tanda geram dan puas.

Dari arah baruh, nenek datang terkial-kial mengayuh basikal buruk. Langkahnya kelihatan tergesa-gesa apabila usai menongkatkan basikal. Nenek tidak hirau apa yang berlaku di laman rumah. Dia terus meluru ke muka pintu.

“Nenek nak apa?” sapa Uda apabila dengan selamba nenek melintasinya. Nenek sekejap memandang. Kemudian tenguk orang banyak yang berkumpul di situ.

“Aku wes kelalen arek ngunci pintu..” nenek bersahaja. Uda menarik nafas panjang sambil membuat emoji lega. Orang-orang kampung yang hadir terpinga-pinga tak faham apa sebenarnya yang terjadi. Hanya uda sahaja yang tahu.

“Nek...ini pencuri yang selalu membuat kacau kat kampung kita. Dia masuk rumah kita kerana nenek tak kunci pintu..” angah cuba memahamkan kondisi nenek. Nenek angguk-angguk dengan tampak aura kesal menyelubungi wajahnya.

Dia tahu uda akan marah dia lagi seperti selalunya. Nenek serba salah lagi. “Nenek kelalen kok…” ulang nenek seakan menuntut maaf dan simpati. Nenek pandang bersilih ganti.

“Nek..pencuri dah kena tangkap sebab nenek..” uda datang memegang bahu nenek. Nenek semakin terpinga-pinga. Orang keliling pun angguk-angguk bila angah dan Lilik berbisak-bisisk kepada mereka. Nenek garu-garu kepala.

Orang ramai memberi laluan apabila sebuah kenderaan polis tiba. Pencuri yang dicari-cari selama ini segera dicempung ke land rover biru gelap.

“Nasib baik nenek kelalen, kalau tidak uda tak balik tadi,” kata uda lagi. Nenek angguk-angguk pula seolah-oleh mengerti. Tapi mukanya masih bernaung sejumlah kesal dan tandatanya.

“Nanti nenek kelalen lagi..” lirih suaranya sambil angah dan uda memimpin nenek masuk ke dalam.