Nah, sekarang kami berada di sini, sebelah bilik kapten, lebih kurang 30 meter dari lantai kapal. Di sebelah sana Selat Tebrau. Sambil baring beralaskan kotak dan berbantalkan kain-kain kotor yang digunakan untuk mengelap lantai, saya beritahu Hasan, malam ini malam yang bertuah.

“Kenapa?” Tanya Hassan.

Sebab, sudah beberapa bulan kita bekerja membuat dan mengecat kapal kargo ini, baru malam inilah kita dapat tidur di tempat paling tinggi dan paling enak. Dihembus angin laut yang nyaman dan dibuai bunyi deruan ombak.”

“Hahaha…” Hasan ketawa. “Betul. Ni tempat bos-bos aje.”

Sambil baring, kami berbual-bual, hingga akhirnya mata mula terpejam. Hasan sudah terlelap. Fikiran sudah melayang, namun baru saja hendak terlena, tiba-tiba…

DDAAMMM!!

Seperti ada suatu benda besar jatuh di belakang kepala kami. Kuat bunyinya. Bingkas saya bangun dan melihat sekeliling. Memang kawasan limbungan ini dipasang lampu, tapi ada bahagian tertentu yang gelap dan terlindung. Saya ambil lampu picit dan suluh. Tidak pula saya nampak apa-apa yang pelik.

Saya baring semula dan pejamkan mata. Bunyi apa tadi? Saya pandang Hasan yang baring di sebelah. Dia sedang berdengkur. Hasan adalah adik ipar pak cik saya. Umur kami sebaya, awal 20-an. Saya dari Bagan Serai, Perak, manakala dia dari Melaka. Kami menyewa rumah di Taman Universiti, Skudai, Johor Baharu dan setiap hari berulang alik ke Singapura.

Pukul 4.30 pagi lagi sudah keluar dan pukul 7 pagi kena ada di check point Woodland. Dari situ kami ambil perjalanan selama sejam lagi sampai ke limbungan kapal di Tuas ini.

Di sinilah tempat kami bekerja, membuat kapal kargo DHA NUM 4, dipasang di atas lantai kayu besar, di tepi laut. Bermula dengan kepingan-kepingan besi, sekarang dalam proses mengecat. Sekeliling kapal ini penuh dengan perancah, tangga, mesin, besi, kayu dan sebagainya.

Waktu kerja sampai pukul 5 petang, tapi kami selalu overtime, biasanya sampai pukul 3 pagi. Nak balik ke Johor Baharu, tak berbaloi, lalu kami tidur di lantai kapal. Tapi di situ banyak nyamuk. Tidur tak lena, pukul 7 pagi sudah kena bangun untuk mulakan kerja semula. Sebab itulah malam ini kami tidur di tingkas atas. Angin kuat dan tiada nyamuk.

TERJUN

Berbalik kepada cerita tadi. Ketika mata sudah hampir terlelap, sekali lagi saya dikejutkan dengan bunyi dentuman macam bunyi pintu besi dihempas. Kuatnya sampai rasa bergegar. Kali ini di kanan saya.

PAAAMMM!

Saya pandang sekeliling. Ah, mana orang bekerja dinihari begini. Semua sudah balik. Hanya tinggal kami berdua saja. Pintu bilik di tingkat atas ini pun masih tertutup macam tadi juga.

Saya sudah rasa lain macam. Bulu roma sudah lama meremang. Saya terasa bagaikan ada sesuatu sedang memerhatikan kami. Sesuatu yang tidak dapat dilihat. Ia berkeliaran di sekeliling kami dan sengaja mahu menunjukkan kewujudannya dengan membuat bising.

Saya baring semula. Dada dah mula berdebar. Lantas saya pejamkan mata dan matikan diri. Beberapa minit kemudian saya dengar lagi bunyi pintu besi dihempas. Bukan itu saja, ada bunyi orang berlari di sebelah kami! Sekejap di kiri, sekejap di kanan.

DAMM! DAAMMM!

Bunyi itu berlaku serentak. Saya sudah terbayang makhluk-makhluk menakutkan. Kalau ia tiba-tiba tunjukkan muka, macam mana? Kalau tiba-tiba ia baring di sebelah saya, saya nak lari mana?

Dalam keadaan cemas menghadapi bunyi-bunyi aneh itu, tiba-tiba saya dengar Hasan bercakap seorang diri. Entah apa disebutnya tidak jelas. Mulanya saya biarkan saja, mengigau agaknya, hinggalah dia tiba-tiba bangun dan pergi ke birai (handrail scaffolding).

Eh, kenapa dengan Hasan? Kenapa dia bangun dan hendak memanjat birai?

“Hasan!” saya menjerit dan terus menepuk badan Hasan yang ketika itu sudah bersedia untuk melompat ke laut, kemudian menariknya ke belakang.

“Hei Hasan, apa kau nak buat ni?” saya memanggilnya, “Kau mengigau ke?”

Hasan gosok matanya. Dia pandang saya terpinga-pinga. “Eh, kenapa aku kat sini? Apa aku buat ni?”

Rupa-rupanya Hasan tidak sedar apa yang berlaku. Dia seperti baru terjaga daripada tidur. Saya segera menyuruhnya duduk di lantai kayu dan bersandar di birai besi itu.

“Kau dah gila ke Hasan? Kenapa kau nak bunuh diri? Kau tak ingat anak bini kau di kampung? Kat bawah tu laut…” kata saya bertalu-talu.

Hasan pandang saya dengan pandangan yang kosong. “Kenapa dengan kau ni?” soal saya lagi.

Hasan raup mukanya dan mengucap berkali-kali. Kata Hasan, dia tidak sedar apa-apa. Tadi sewaktu tidur dia bermimpi ada orang menyuruhnya lari dari situ dan terjun ke laut. Itu sebabnya Hasan bangun dan bergegas ke birai besi.

“Nasib baik aku sedar, kalau tak…!”

Hasan beristighfar berulang kali. Kami kembali ke tempat tidur, tapi sampai subuh tidak dapat melelapkan mata. Saya berasa lega. Kalaulah tadi Hasan terjun ke dalam laut, memang teruklah saya disoal siasat oleh polis dan keluarganya.

TERKEJUT

Pukul 7.30 pagi kami bersarapan di kantin. Saya tengok Hasan tidak banyak bercakap. Mungkin dia masih terkejut dengan apa yang berlaku. Saya cakap dengan Hasan, kalau dia terkejut, saya lagi terkejut. Saya dengar bunyi benda jatuh, pintu besi dihempas dan orang berlari, bila disuluh tiada apa-apa. Saya laluinya seorang diri sebab Hasan tidur mati.

Hasan juga patut bersyukur, kalau tidak mungkin dia sudah mati. “Kenapa suara tu suruh aku lari dan kemudian terjun ke dalam laut? Dia nak aku bunuh diri ke?” Hasan bertanya. Tapi apa yang boleh saya jawab?

“Lepas ni kita tak boleh tidur situ lagilah,” sambung Hasan.

Sedang kami bersarapan, seorang pegawai yang menjaga hal ehwal keselamatan pekerja di limbungan itu, Abang Zack namanya, duduk di sebelah saya. Dia sudah tujuh tahun bekerja di situ. Saya pun apa lagi, tanya Abang Zack kalau ada kejadian-kejadian misteri terjadi di limbungan itu. Maklumlah, sebagai pegawai yang ditugaskan menjaga keselamatan pekerja, tentu Abang Zack tahu pelbagai kes dan cerita pelik yang berlaku di limbungan ini.

Abang Zack pelik bila saya tanya begitu. Kenapa, soalnya balik. Akhirnya saya ceritakan apa yang kami alami.

“Kau tidur situ malam tadi?” soal Abang Zack, terkejut.

Kami mengangguk.

Dia pandang kami. “Berani kau orang ni, ya…” kata Abang Zack tanpa menyudahkan kata-kata itu, dan terus pergi.

MATI

Pukul 8.25 pagi, selepas memberikan taklimat keselamatan kepada 700 orang pekerja di limbungan itu, Abang Zack menyuruh saya dan Hasan naik ke tingkat atas kapal tempat kami tidur malam tadi. Di sinilah Abang Zack ceritakan kepada kami…

“Kamu tau tak, enam bulan lepas ada tiga kematian terjadi di sini. Kes pertama, seorang pekerja jatuh dari sini dan mati lemas dalam laut. Di hujung kanan tu bilik enjin pendingin hawa. Kat situ ada orang terkunci dari luar dan mati lemas sebab tak ada ruang udara.

“Sebelum kejadian berlaku, malam tu ada syarikat yang buat screen x-ray badan kapal, tembak dengan laser. Kalau badan kita kena pancaran laser tu memang boleh mati. Jadi diorang kunci pintu bilik aircond. Mereka tak sedar waktu itu ada seorang pekerja sedang mengecat dalam bilik aircond tadi. Dialah yang terkunci kat dalam bilik tu.

“Kes ketiga, seorang pekerja jatuh tersepit di ruangan deck depan tu sewaktu kerja-kerja mengangkat plat besi. Kemudian, rantai yang ikat tiang putus, tiang jadi tak stabil. Kebetulan ada pekerja lalu di bawah, dia dihempap plat besi tu. Pekerja itu meninggal di situ juga.

Saya dan Hasan terdiam dengar cerita Abang Zack. Jadi, yang mengganggu kami malam tadi ialah….? (Rosli Y., Paka, Terengganu. Kejadian ini berlaku pada April 1996).