Darlina masih melongo sendirian di atas pasir berwarna gading yang kian lembab. Dia menanggalkan kasut dan menimbus kakinya ke dalam timbunan pasir. Batang pohon kayu mati yang barangkali sudah begitu lama terbiar dijadikan tempat menyandar badan mencari keselesaan. Ombak kecil merapak sembah dan meminggir dengan lenggok yang sopan. Meninggalkan buih-buih besar yang kian mengecil disedut pasir pantai.

Dia mendongak ke atas. Langit nampak cerah dan biru dengan tompokan awan kecil di sana sini. Kumpulan camar masih berpesta dengan girang di angkasa. Melagukan simponi ceria dan duka silih berganti. Darlina tenggelam dalam ritma balada yang didendangkan.Gemersik irama kepiluan yang meruntun perasaan. Sesekali dia bagai terdengar sayup-sayup di kejauhan, lantun merdu tiupan seruling sakti dengan nada tinggi yang nyaring. Nada suara perindu yang menghiris tiap urat nadi yang melingkar di dirinya.

“Apakah senandung itu dilagukan untukku?” Darlina berbisik sendiri.

Dia membetulkan duduk. Gerakan kaki yang spontan telah meminggirkan pasir-pasir dari melitupi kakinya. Darlina menguis pasir yang masih bersisa di betis dan telapak kaki dengan kedua tangannya. Ombak masih setia datang dan pergi. Membawa khabar duka dan gembira yang sukar dimengerti. Tidak banyak yang mengubah pantai dalam deburan sopan ombak yang luhur. Angin timur yang bertiup deras dari belakang menyingkap tudung menutupi wajahnya.Darlina pantas membetulkan kerudungnya semula.

“Apabila terasa angin sejuk menampar pipimu, ketahuilah bahawa aku mengirimkan rinduku yang sarat kepadamu.”

Darlina senyum dalam sebak mengimbas kata-kata indah bernada tulus itu. Kata-kata yang kini menjadi mimpi ngeri yang merantai setiap langkah yang diaturkannya. Lelaki istimewa yang bertakhta di hatinya itu memang arif mengukir kata syahdu. Membuai mimpi-mimpi indah ketika jarak antara mereka menjadi jurang yang begitu cemburu.

Bisikan indah itu bagai benteng mutiara yang menjadi tabir mengaburi mata dan hatinya dari terpesong ke arah yang lain. Menghimpun rindu yang sarat terbeban dalam langkah yang payah. Namun Darlina tidak pernah merasa tergugat dek jarak yang memisahkan mereka. Kasih sayang mereka diikat dengan untaian kasih putih yang jitu dan padu.

Daun-daun kering bertebaran dihembus angin petang yang sepoi dan nyaman. Ada yang masih bertahan di darat, sebahagian rapuh dimamah ombak yang tidak pernah simpati.Sebelas hari yang lalu, Darlina menerima perkhabaran tentang impian hari bahagia yang musnah. Bahtera impian karam diterpa badai taufan monsun yang hadir tidak terjangka. Punah. Hancur. Luluh harapannya. Airmata sudah kering dari empangan yang pecah berderai. Dia tidak mampu menangis lagi.

“Ketentuan itu hak yang Maha Mengetahui. Pasti ada hikmah yang tersirat dalam setiap hakikat.”

Ungkapan berhemah yang keluar dari bibir Mak Long yang penuh santun dengan ilmu dunia akhirat yang digenggam teguh. Istiqamah Mak Long dalam setiap gerak tingkahnya benar-benar menambat hati Darlina.

“Hidup ini memang beribu liku.” Dia memerhati Mak Long muhasabah, membetul khilaf di dalam amal dan perbuatannya setiap hari.

“Jalan mana membawa redho Ilahi?” Darlina menyoal diri.

Mencari satu jalan yang benar dari tujuh puluh tiga jalan yang terbentang di depan, menuntut ilmu yang bukan sedikit. Namun jawapan pada setiap persoalan pedih perit yang terpaksa diharungi bukan haknya. Ada kuasa yang lebih tinggi untuk menjadi hakim. Darlina sedar kelemahan diri. Sering dia kalah berjuang dengan diri sendiri.

“Tuhan menguji setakat kemampuan kita untuk menghadapinya sahaja. Lina terpilih dan kuat. Mesti terus sabar dan tabah.”

Mak Long melanjutkan nasihat penyedap hati dengan penuh susila. Ungkapan yang sudah acapkali didengar diucapkan pada insan-insan yang ditimpa musibah.

“Cuba sarung dan menari pakai sepatu ini!!!!” Dia ingin menjerit pada dunia.

Laut terbentang di depannya kian bergelora. Selat pemisah Semenanjung dan Sumatera berlagak angkuh. Air laut mula pasang dengan deru penuh ghairah menggulung ombak menuju pantai. Gelombang yang berlapis-lapis, besar dan kecil, berkejaran berlumba mencumbu garisan pantai.

Darlina bingkas bangun. Dikejauhan kelihatan terbentuk sebuah lorong membelah air menjadi dua. Bak Nabi Musa memukul tongkat membahagi laut saat dihambat Firaun dan tenteranya. Di terowong itu, dia melihat rombongan pengantin lelaki yang ramai membawa hantaran yang pelbagai. Darlina mengusap matanya.

Ada jajaran payung kuning yang berumbai emas melambai-lambai di hembus angin. Peniup seruling dan gendang kecil berlagu meriah, memandu langkah. Rombongan itu berjalan dalam gerak yang teratur dan penuh protokol, tersusun indah.

Pengantin lelaki dijulang di atas tandu berwarna keemasan yang diukir awan larat yang cantik. Penjulang tandu, bak pendekar berempat, berbusana megah mengekori kumpulan peniup seruling dan pemain gendang. Pakaian pengantin lelaki bergemerlap, namun wajahnya terlindung dek payung kuning berpemegang panjang yang diusung pengiring yang begitu setia.

Kumpulan gadis-gadis cantik menadah dulang perak berisi barang hantaran mengiringi di belakang tandu. Semua hantaran di atas dulang perak dibalut dengan kain satin berwarna merah berkilat.

Seorang wanita separuh abad berkurung putih, memakai selendang panjang berwarna kuning samar menutupi rambut dan dadanya. Wanita itu menadah dulang emas berisi tepak sireh berwarna kuning bertekat benang emas. Gemerlapnya menusuk mata Darlina. Dia mengosok matanya lagi.

Rombongan itu semakin hampir. Darlina teringat persiapan majlis perkahwinan yang serba lengkap di rumahnya. Ibunya sudah membungkus dan menyimpan semua barang-barang itu di dalam kotak pagi semalam. Mungkin telah dimasukkan ke dalam stor barang lama di belakang rumah.

Ketika dia meninggalkan rumah tengah hari tadi, hanya sekeping kad undangan perkahwinan yang masih bersisa di atas almari solek di kamarnya. Dititip sebagai wadah mengenangi sejarah luka yang baru beredar.

Darlina terkenangkan tepak sireh keluli bersadur emas warisan turun temurun dari nenek sebelah ibunya. Deretan dulang tembaga yang sudah digosok kelihatan berkilat, buat menadah balasan hantaran pihak lelaki. Pelamin, cadar baldu merah bertekat benang emas dan seluruh kelengkapan persiapan yang disediakan ibu untuk hari bahagianya, mengundang luka yang parah.Serasa dirinya bagai ditusuk buluh runcing.

“Kita adakan majlis tiga hari tiga malam. Malam berinai kecil, berinai besar dan kenduri. Lina seorang sahaja anak ibu!.” Kata-kata ibunya membuatkan Darlina ketawa geli hati.

“Kita buka raja-raja bu, buat serba ringkas saja. Tidak perlu membazir. Duit yang ibu mahu buat majlis besar-besar itu, berikan sahaja pada Lina buat belanja pergi bulan madu di awan biru!” Dia memeluk lengan wanita itu.

Sanggah Darlina tidak melemahkan semangat ibunya. Dia mahu jadi anak yang patuh. Sebelas hari yang lalu, ketika berita itu dikhabarkan kepada keluarganya, ibunya jatuh pengsan. Darlina masih mampu bertahan.

“Kita akan bersama walau apapun yang terjadi”. Kata Aziman dengan senyum mekar di bibir.

Pemuda itu kelihatan begitu yakin dengan kata-kata yang diucapkannya. Bagai tidak ada apa yang akan dapat memisahkan mereka. Darlina turut menyakini kata-kata itu.

Sebelas hari yang lalu, kuasa yang Maha Agung meleraikan keyakinan unggul yang dipertahankan sekian waktu. Menyentap rakus impian bahagia. Ambil pergi apa yang dikehendakiNya, tinggalkan apa yang masih perlu ditinggalkan di dunia. Takdir itu melayakkan Darlina memenangi status baru di kalangan komuniti dunia. Dimiliki tanpa jiwa yang bermakna.

Rombongan pengantin kian hampir. Dia dapat mendengar dengan jelas tiupan seruling diiring gendang yang semakin nyaring mengalunkan nada riang yang mempersona dan mengasyikkan.

Darlina melangkah ke depan. Dia ingin melihat wajah pengantin lelaki yang terlindung di sebalik payung kuning yang berumbai. Tandu berwarna emas berukir, semakin mendekat. Pengantin itu memakai baju putih sepasang bersulam benang emas. Samping dan dastarnya berikat kemas. Dia memakai capal kulit yang berkilat. Duduknya kelihatan selesa dan bersahaja. Payung berumbai diubah sedikit, memayung pengantin dari sinar suria yang membakar kulit. Memberi peluang kepada Darlina untuk menatap wajah pengantin yang tersembunyi.

“Oh! Azimankah itu???”

Darlina senyum girang, seiring silau mentari yang menusuk bola matanya. Tiba-tiba semuanya jadi kelam. Serpihan bot berserakan di pantai. Payung terjun berwarna pelangi rabak tersadung di dahan kayu mati. Wanita kulit putih kaku dibelit tali berjuraian. Budak lelaki berkulit gelap, pemandu bot laju, terbaring di sisinya dengan mata terbeliak. Darlina terdampar tanpa nafas. Darah merah yang pekat membuak dari mulut dan kepalanya. Aziman dan Darlina memang diganding untuk bersama seperti yang selalu mereka yakini. Kekal dalam dakapan cinta ilahi.