Pelbagai teka-teki timbul ketika ini tentang siapakah yang bakal dinobatkan. HSKU menobatkan karya, bukan melihat pengarangnya, menggunakan kriteria dan skop penilaian yang telah ditetapkan sekretariat. Panel penilai melaksanakan tugas dengan saksama berdasarkan garis panduan dalam mencari yang terbaik. Karya yang digarap berkemungkinan meraih hadiah dalam ruang persaingan yang menggalakkan.

Kategori Cerpen Remaja pada penilaian tahun 2014, nama Husna Nazri misalnya muncul melalui Biar Ramadan Bercerita. Demikian juga, Abang Median Abang Said melalui Bot Air 10, Sara D; Zainal Rashid Ahmad Ulang Tahun Bonda; Hafizah Iszahanid, Rakit Buluh di Tahun Baru, serta pendatang muda Mohd. Helmi Ahmad, dan banyak lagi. Karya mereka disenaraipendekkan, ada antaranya yang memenangi hadiah.

Setelah melalui perbincangan yang rapi, Panel Penilai 2015 pula telah memilih 14 buah cerpen dalam kategori sama. Antaranya, karya Husna Nazri, melalui Antologi Ramadan Tercinta, Nordin Saad dengan Dunia Kecil Ayah, Salina Ibrahim Jalinan Benang Emas, Fathul Khair Mohd Dahlan, Kelana Kalbu, Faridah Abdul Hamid, Menunggu Malam,’ Saza S, Pelangi Musim Dingin, Amaruszati Noor Rahim Sesar Unjur Kampung Belawai, dan beberapa lagi yang Panel Penilai dapati wajar dibincangkan di peringkat akhir.

Manakala, nama Hafizah Iszahanid disebut lagi dalam Kategori Cerpen Remaja HSKU 2014 melalui Ulang Tahun Bonda, Salina Ibrahim melalui Cerita Sebuah Bukit, Muhd Mansur Abdullah Dendam Sang Rajuna Tapa, Zainal Rashid Ahmad Hikayat Tanah Danu, Ratna Laila Syahidin Hingyaku, Azman Hussin Ibu Pertiwi, Malim Ghozali PK, Pesanku pada Hujan, dan banyak lagi.

Bakal menyerlah

Pada tahun penilaian 2015, HSKU membariskan nama pemenang Kategori Cerpen Umum, iaitu Rumah, Rebecca Ilham, Rumah Doktor Salgari, Wan Nor Azriq, Rumah Ini Dinding Kacanya Kalis Cahaya, Siti Jasmina Ibrahim, Cikgu Puisi, Malim Ghozali PK, Dah Naik ke Langit Tak Reti Balik ke Bumi, Zainal Rashid Ahmad, Ikan Puyu di Dalam Akuarium, Amelia Hashim, Matrioshka, Jasni Matlani, Misteri Kehilangan Mulut Ayah, Azman Ismail, dan Tinggal Jawa Demam, Saifullizan Yahaya.

Begitu HSKU 2014 dan 2015. Bagaimana pula HSKU 2016? Apakah karya yang menyerlah kali ini? Bahtera Putih di Sungai Sejarah Malim Ghozali PK, disebut-sebut karya yang bagus. Akan tetapi, apakah ia menepati Kriteria dan Skop Penilaian HSKU? Wan Nor Azriq juga tampil dengan Bibir T. Alias Taib. Cerpen-cerpen Zainal Rashid Ahmad telah beberapa kali dinobatkan pemenang. Kali ini, jika ditinjau semula beberapa cerpennya tersiar, seperti Broker Melayu Terakhir: Manderam Omi Relekun, Saka Harimau Tempang, dan Broker Terakhir Tanah Melayu, bolehkah Zainal mengekalkan kemenangannya sebagaimana edisi-edisi yang lalu?

Hilmi Rindu pula disebut-sebut pada HSKU 2014 dalam Kategori Puisi melalui Arik, begitu juga Mohamad Saleeh Rahamad melalui Bertengger di Pohon yang Sama, Tuah Sujana Di Padang Sarjana, Husna Nazri Gerai Persahabatan, Ramlan Abd. Wahab Klorofil, Rositah Ibrahim Krematorium, Shapiai Muhammad Ramly Memandang ke Seberang, Wadi Leta S.A, Mencari Cinta di Bawah Bulan, dan beberapa lagi. Sesungguhnya genre puisi menuntut penelitian yang jauh lebih rapi memandangkan banyak karya dalam media Kumpulan Utusan yang dikira bermutu.

Kategori puisi selalunya mendapat perhatian ramai. Pada HSKU 2015, daripada sejumlah 251 karya, panel memilih Catatan yang Ditemui Dalam Mulut Seorang Pengemis yang Mati Pagi Ini, Fahd Razy, Di Lengkungan Langit Biru, Zain Idris at-Tobairi, Setugu Peringatan Melbourne, Za’im Yusoff, Dari Tanah ke Daun, Fauzan Zain, Denting Waktu, Muzaf Ahmad, Lidah Amarah, Ramlan Abd. Wahab, Naratif Pangkor, Usman Gumanti Ibrahim, Perahu, Husna Nazri, dan Yang Tercipta Buat Kita, Ghazali Din, memangi hadiah.

Sebanyak 283 puisi dinilai pada HSKU 2016 ini. Daripada jumlah tersebut, Panel Penilai telah menyenaraipendekkan sejumlah 19 karya. Antaranya, Bahasa Diam, Begitu Kata Pantai, Comici Subsidio, Di Laman Syaaban, Kembara, Lantai, Lelaki di Pelabuhan Realiti, Menakluk Percakapan, Mencari Makna-makna dalam Kata-kata, Menyaring Madu di Taman Kearifan, Merasuk Tubuh Sejarah, Mimpi Sang Kupu-kupu, Obor di Pintu Kota. Pemenang ditentukan melalui penelitian subjek, teknik penggarapan dan bahasa, dan tentunya menepati kriteria dan skop penilaian.

Kategori Rencana Sastera HSKU 2014 juga menyaksikan nama-nama seperti Hasan Baseri Budiman melalui Gaya Baharu Penulisan Fiksi disebut-sebut. Selain itu, Ami Masra melalui Gaya Bahasa Novel Melayu, Zainol Idris Memoir Pujangga Afrini Adham, dan rencana bertajuk Sosial dan Politik Pengaruhi Pengarang Kita, Zainol Idris, dan WAHBA Retrospektif Pejabat Karang Mengarang MPSI. Kebanyakan karya mengisikan idea yang segar dan persaingan amat sengit. Manakala, HSKU 2015 mengangkat Esei Bukan Rencana, Wan Nor Azriq, dan Kamishibai Genre Sastera Kanak-Kanak, Abd. Rahim Omar, sebagai pemenang.

Rencana pada HSKU 2016 juga sengit persaingan mencari karya pemenang. Rencana Karya Indie Umpama Grafiti, diberi tentangan yang hebat. Jika dilihat aspek kebaharuan, Kejayaan Menumpulkan Pena, pula boleh menggugat peluang. Namun, rencana Media Baharu dan Penyebaran Karya Sastera, Memperkasa Bahasa, Sastera dan Budaya, Puitika Melayu dan Islam dalam Gurindam, dan Sains dan Sastera Mesti Seimbang, dilihat menyinar juga. Apa pun, diskusi dan penghujahan Panel Penilailah yang menentukan.

Apakah nama-nama yang dinobatkan dahulu itu muncul semula pada pengumuman pemenang kategori Cerpen Umum pada tahun ini? Husna Nazri yang kerap memenangi hadiah mempertaruhkan cerpen Cikgu Mei Ling dan Cerita Mei, misalnya. Ratna Laila Shahidin, Dayangku Mastura, Abang Median Abang Said, Wan Marzuki Wan Ramli, Zainal Rashid Ahmad, sekadar menyebut beberapa nama tetap menawarkan idea yang bernas melalui karya masing-masing. Cerpen-cerpen seperti Runtun Qalbu, Deus Ex Machina, Janganlah Jauh, Lelaki Marmar Putih, berkemungkinan menyerlah.

Orang lama atau baharu?

Kategori Novel Remaja HSKU 2016 pula menyaksikan Aku Bukan Raja, Genetik Kamilah, Kepada Adinda yang Jauh di Mata, Khilaf, Manifestasi Ketam Biru, Metamorfosis, Penebus Kalbu, Rindu Syonan-to, Waris Penjaga Ketujuh merupakan judul-judul yang khabarnya ada pada senarai pendek untuk dibawa ke perbincangan akhir. Peluang terpilih sebagai pemenang tahun ini luas terbuka.

Walau bagaimanapun, dengan pertambahan bilangan pemenang, banyak pengarang berteka-teki kali ini. Novel HSKU selalunya menawarkan subjek cerita yang hebat. Kita nantikan apa pula pengisiannya kali ini! Juga pemenangnya, orang lamakah atau pengarang baru yang menyerlah?

Manakala, pada penilaian HSKU 2015, sejumlah empat novel diisytiharkan pemenang, iaitu novel remaja Empunya Kalbu, Nyanyian Musim Rusuh, Lili Putih Srebrenica dan Semanis Kyuho. Pada tahun 2014, sebanyak lima karya diketengahkan, iaitu Kudup Hijau Tropika, Khalil, Hujan Tanpa Langit, Suara Hati, dan Impian Sejuta. Novel yang diajukan kepada sekretariat umumnya karya baharu, yang belum pernah diajukan ke mana-mana penerbitan serta belum pernah diterbitkan. Sebaik-baik manuskrip hendaklah mendukung tema baharu, digarap dengan tenik dan bahasa yang cemerlang.

Cerpen Media baharu pula ikut melengkapkan senarai kategori HSKU 2016. Daripada 19 buah karya, dijangka beberapa mendapat perhatian. Antaranya, Dakwah FB (30 April), Demi Pengakhiran Itu (4 Mei), Emel Sang Psikosis (30 April), Jiwa Saudagar (13 April), Obes-ICT (Obesiti) (17 April), Sambal Bilis Goreng Mak (1 April), Siswazah Butik (14 April), Takdir Bukan Pilihan (17 April), dan Visualiser (4 Mei), semuanya terbit dalam Utusan Online 2017. Jika dilihat garapan-garapan pengarang kali ini susah untuk dijangkakan karya manakah yang Panel Penilai dapati kuat untuk diangkat jadi pemenang.

Sepanjang penelitian, setiap kali pemenang HSKU diumumkan, sebarisan nama pemenang tampil dengan karya membanggakan. Pemenangnya pelbagai tahap usia, lama ataupun yang baru sahaja berkarya. Pokok pangkalnya terletak kepada ketekunan pengarang berkreatif. HSKU memberatkan karya, bukan pengarang.

Dengan meletakkan ketinggian kualiti karya di lapisan atas, HSKU tentulah memberikan sumbangan yang besar serta bererti kepada kesusasteraan tanah air. Karya harus terus dicipta. Kesusasteraan perlu dibiarkan terus subur demi mengangkat tinggi persuratan Malaysia.