Seusai solat, Arafah mulai bersiap-siap ke dapur. Dia mahu menyediakan sample kuih raya yang telah disediakan sejak malam tadi. Pagi ini, Arafah mahu menyiapkan biskut samperit sebelum mulai membungkus dan mengambil gambar untuk diletakkan ke laman Facebooknya.Tinggal satu lagi jenis kuih yang belum dapat disediakan.Arafah ingat-ingat lupa resepi kuih tradisi itu.Jadi, dia telah meminta bantuan sahabatnya, Alif yang bertugas di luar negara.Dia kepingin benar untuk mempelajari resepi kuih goyang atau kuih ros dari sahabatnya itu.

klik dngan bijakMasih terasa-rasa kelazatan kuih tradisi itu sewaktu dia menikmatinya setiap kali bertandang ke rumah Alif.Ibu Alif cukup pandai menyediakan hidangan itu.Tetapi setelah masing-masing mulai bekerja jarang benar dapat berjumpa.Keluarga Alif pula sudah berhijrah ke Australia.Sehingga sekarang, Arafah langsung tidak pernah ‘khatam’ mempelajari resepi kuih tersebut. Tetapi tak mengapa, malam nanti Alif akan muncul di hadapannya siap siaga dengan perkakas dan bahan-bahan untuk membuat kuih. Malam nanti Arafah akan menonton rancangan masakan khas Alif dari Australia dengan bantuan Skype.

Arafah tersenyum sendiri.Lagi sebulan Ramadhan bakal menjelang. Inilah masanya untuk mengedarkan sample kuih raya tidak kiralah secara realiti atau maya. Yang penting biar satu Malaysia tahu Arafah yang buat sambal gesek dan katering kecil-kecilan itu kini akan mempunyai satu lagi jenama, Arafah’s Cookies. Arafah mulai merangka-rangka strategi pemasaran kuih rayanya.Tanpa sedar, Amin, anak kesayangannya sudah terjaga dari mimpi.Si kecil itu menggosok-gosok mata di luar pintu bilik tidur.Amin memanggil mamanya manja.Suara comel Amin menyedarkan ibunya dari angan-angan.Pagi itu, Arafah memulakan hari dengan semangat dan harapan yang baru.

Rumah teres setingkat itu adalah syurga buat Arafah dan Amin.Sepanjang dua tahun mereka berdua beranak menumpang berteduh dari panas dan hujan.Biarpun kecil dan bukan milik sendiri, Arafah cukup bersyukur kerana masih punya tempat tinggal.Namun hati siapa yang tidak pernah teringin untuk memiliki kediaman sendiri.Arafah juga begitu, apalagi setelah Amin dilahirkan.Demi mencapai impian yang satu itu, Arafah gigih mencari peluang rezeki. Seperti semua yang bergelar ibu, tiada apa yang menjadi keutamaan selain kesenangan hidup anak-anak.

Ketika Amin dalam kandungan, Arafah menyara hidup dengan makan gaji.Semenjak Amin hadir dalam hidupnya, Arafah membuat keputusan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Dia tidak mahuAmin membesar di tangan orang lain. Perasaanya cukup terusik setiap kali membaca berita penderaan dan kematian anak-anak kecil yang diletakkan di bawah asuhan pengasuh upahan. Justeru, biar tahu bakal berdepan dengan seribu kepayahan,Arafah  nekad berniaga dan bekerja sendiri.

“Dalam perniagaan, jika rajin berusaha dan bijak menggunakan  peluang yang ada pasti ketemu jalan untuk maju ke hadapan.” Kerap kali kata-kata itu terngiang-ngiang pada pendengarannya.Suami adalah insan yang telah memberi kesan yang cukup mendalam pada keseluruhan hidupnya.Itu adalah kata-kata suami yang kinimenjadi prinsip hidup Arafah. Arafah berasa beruntung kerana dia hidup dalam era perkembangan teknologi maklumat yang cukup pesat.Kalau diikutkan Arafah bermula dari kosong semata-mata.Dia menambah pengetahuan melalui pergaulannya bersama rakan-rakan seperjuangan dan juga internet.Arafah bersyukur acap kali melihat telefon pintar dan komputer riba miliknya.

Meski waktu itu suami mempunyai perniagaan yang kukuh, Arafah tidak pernah mengambil kesempatan meminta yang bukan-bukan.Dia tidak mendekati suami kerana wang ringgit.Dia mengagumi lelaki itu kerana kebijaksanaan  dan kebaikan hatinya. Suami mencadangkan Arafah mendapatkan komputer riba dan telefon pintar kerana mahu Arafah tidak ketinggalan dalam  hal berkaitan teknologi. Arafah langsung tidak merasakan kepentingan alatan pintar tersebut.Al maklum sahaja, Arafah cukup sayang mengeluarkan wang kerana perlu menyara keluarga dan pengajian adik-adiknya.Arafah bergantung sepenuhnya kepada komputer di pejabat dan meminjam komputer adik-adiknya jika perlu.Waktu itu, dia tidak pernah meletakkan kepentingan diri sebagai keutamaan.Tetapi setelah mengenali suami, Arafah terharu dengan perhatian dan layanan baik suami terhadapnya.Mungkin kerana sikap suami yang senang membantu dan tempat mengadu setiap kali dilanda masalah, Arafah tetap memilih lelaki itu sebagai suami biarpun bermadu. Dan benarlah kata orang lama, bermadu manis untuk lelaki  bagi wanita pahitnya bak hempedu.

Arafah cukup sedar dia berkongsi kasih, dia juga cukup sedar kehadirannya sebagai orang kemudian. Dia akur dan bersedia mengalah untuk keamanan rumahtangga tetapi jika berbalik kepada soal hati, ibarat makan hati berulam jantung, Arafah kerap tewas. Akhirnya pada usia ketiga bulan kehamilan, sekali lagi kesabarannya teruji apabila suami ditimpa kemalangan jalanraya. Arafah terkapai-kapai sendirian setelah madu dan anak tirinya membawa suami tinggal bersama mereka.Sejak itu, pergerakan suami seperti disekat kerana masih dalam tempoh pemulihan.Arafah cukup memahami kemalangan itu telah dijadikan punca untuk menjarakkan hubungan mereka berdua.

Tinggallah Arafah menjalani hidup sendirian sehingga tempoh melahirkan tiba.Kelahiran Amin membawa seribu pengertian dalam hidupnya.Arafah bukan lagi sendiri.Dia ada Amin.Dia seorang ibu kini.Biarpun dia perlu bekerja keras demi Amin dia sanggup.Dia sudah berhenti mengharap dan menanti sesuatu yang tidak pasti.Cuma dia berterima kasih kerana suami telah banyak membuka matanya tentang banyak perkara yang dia sendiri tidak pernah peduli.

Arafah tersenyum sendiri melihat ketiga-tiga ‘harta’nya.Amin, komputer riba dan telefon pintar. Dia tidak mahu mengingati suami dan ‘mereka’ yang lain hanya dengan keburukan semata-mata. Dia hanya mahu mengingati kebaikan yang pernah diberikan kepadanya.Dia tidak mahu merosakkan hati dengan berdendam.Kala ini dia hanya mahu mengubah nasib diri. Dia juga mahu berjaya seperti orang lain. Biarpun tidak mempunyai kekuatan modal yang besar, Arafah gigih bermula kecil-kecilan melalui perniagaan online. Dia sanggup belajar untuk mengetahui cara memasarkan produk yang mahu diketengahkan. Produk pertamanya ialah nasi lemak bungkus daun pisang.

Arafah sanggup menebalkan muka demi mendapatkan ilmu.Sebaik selesai tempoh berpantang dahulu, dia mulai berniaga nasi lemak pada waktu pagi di tanah tapak rumah keluarga.Dia mahu mencuba dan melihat ke mana hala tujunya.Modalnya hanya sebanyak seratus ringgit, meja lama dan payung besar yang dahulunya dibuat tempat berteduh waktu minum petang di laman rumah.Tiga minggu selepas berniaga, pelanggan semakin bertambah.Tetapi sayang seribu kali sayang, perniagaan nasi lemak terpaksa ditutup kerana ketiadaan lesen perniagaan.Arafah juga perlu kembali ke rumah sewanya apabila terjadi perselisihan faham di antara adik-beradik. Dia terlalu susah dahulu. Tiada wang menjadikan dia hina pada pandangan orang sekeliling hatta saudara sedarah sedaging.“Aku akan buktikan aku juga boleh berjaya walaupun sendirian.”

Semangatnya tidak pernah padam.Dia gigih memasarkan nasi lemaknya dari gerai ke gerai.Nama syarikatnya didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Setiap bungkus nasi lemaknya dicop nama syarikat dan alamat Facebook, Email, Instagram, dan jika ada laman sosial yang Arafah pernah mendaftar sebagai ahli pada waktu itu. Hajatnya cuma mahu menembusi pasaran.Yang penting produknya dikenali dahulu.Dari hanya sebuah gerai mamak yang mengambil nasi lemaknya, akhirnya Arafah tidak menang tangan menerima jalan rezeki yang tidak disangka-sangka.Peluang sebagai katerer untuk majlis-majlis kecil.Lamunannya terhenti apabila mendengar deringan telefon.

Tengah hari itu, Arafah sibuk menyiapkan sambal gesek.Ada tempahan yang perlu dipenuhi. Petang nanti pelanggan akan sampai ke rumahnya. Seusai mengisar ikan bilis dan cili padi, Arafah terus menuang minyak ke dalam kuali. Sambil dia menggoreng sambal gesek sambil dia mengacau sambal tumis yang sudah terjerang di  tungku dapur sebelah. Sempat dia menjeling ke arah jam di telefon yang berada di meja berdekatan. Risau juga kalau-kalau tidak cukup masa.

Kira-kira jam empat petang sampailah Kak Asiah, salah seorang pelanggan tetapnya. Kak Asiah ialah insan yang mula-mula membuka jalan kepadanya.Kak Asiah ialah mentor yang dikenalinya ketika berkursus di bawah anjuran Kementerian Wanita dan Masyarakat. Beliau orang lama dalam perniagaan makanan.Tetapi setelah makin berusia, kudratnya sudah tidak semacam dahulu.Kak Asiah tidak mahu bersifat tamak.Pada pandangannya, rezeki yang diagih-agihkan lebih barakah.Jika ada peluang perniagaan beliau pasti akan membukanya kepada kawan-kawan seperjuangan yang gigih berusaha. Antaranya ialah Arafah.Entah mengapa, sikap Arafah dan air tangan Arafah kena benar pada hatinya. Justeru, jika ada pesanan untuk khidmat katering,

Arafah adalah antara kawan yang akan dihubunginya. Hari ini ada dua tempahan yang perlu dipenuhi.Kak Asiah sebagai katerer utama telah membahagikan sebahagian hidangan yang tidak boleh dipenuhinya kepada Arafah. Esok pagi pula Arafah seperti biasa akan menghantar nasi lemak bungkus dan pelbagai jenis kuih talam ke gerai makan dan restoran milik Kak Asiah.

Ketika Arafah sibuk membungkus hidangan yang sudah siap di ruang tamu, dia sempat memandang ke arah Amin yang sedang asyik menonton animasi ‘Didi dan kawan-kawan’yang dimuat turun dari laman Youtube. Komputer riba yang diletakkan di atas meja kecil itu adalah seperti jendela dunia bagi mereka.Arafah menonton berita, membaca akhbar dan mencari rezeki dengan ‘kotak’ kecil itu.Begitu banyak jasa komputer riba hadiah papa Amin kepadanya. Adakalanya, Arafah akan menggunakan komputer itu untuk mencari resepi dan cara penyedian masakan tertentu sebagai rujukan dan perbandingan.

Kini Amin juga cukup sayang dengan komputer yang dipanggilnya ‘kotak ajaib’ Amin.Telefonnya mula berbunyi menandakan mesej SMS dan What’sapps yang berpusu-pusu masuk.Arafah kini membaca mesej di What’sapps.Matanya meneliti satu-persatu mesej yang dihantar. Antaranya ialah dari Kak Asiah yang akan sampai dalam masa setengah jam lagi. Sebuah mesej dari sahabat karibnya terus menangkap perhatian.Itulah khabar yang ditunggu-tunggu sejak tadi.

Dia tersenyum sendiri selepas membaca pesanan yang dititipkan sahabat dari perantauan.Salam sahabat kesayangan, malam nanti jangan lupa buka Skype.Ada rancangan kuih goyang khas untuk kau.Suara Amin menyanyi mengikut animasi Didi dan kawan-kawan menyedarkan Arafah.Tugas membungkus hidangan yang terhenti cepat-cepat disambung semula.Selesai membungkus makanan, Arafah kini sibuk melayani kerenah Amin yang mulai menagih perhatiannya.Sudah lama si kecil itu bermain sendirian.“Kasihan anak mama,” pujuk Arafah sambil memeluk Amin yang bersandar di kakinya. Berkali-kali Amin cuba naik ke ribanya. Tetapi kedudukan kerusi yang masih lagi kelihatan ‘tinggi’ bagi Amin, usahanya seakan sia-sia.Pantas Arafah mendukung anak kecil itu dan membawa ke dapur.Sudah tiba masa untuk Amin minum petang.

Tidak berapa lama kemudian, Kak Asiah tiba bersama pembantunya.Sebaik mendapat mesej What’sapps dari Kak Asiah, Arafah terkocoh-kocoh membuka pintu pagar.Sebuah lori kecil berwarna putih dengan tulisan ‘Asiah Katering’ sedia menanti di hadapan pagar rumah. Kak Asiah yang mengekori dari belakang lori itu keluar dari Myvi merah. Amin yang masih memegang biskut ditinggalkan sebentar di ruang tamu.Spontan anak kecil itu menekan butang Enter.Maka bergemalah sekali lagi lagu-lagu dari animasi ‘Didi dan kawan-kawan’. Sepanjang tempoh itu, Arafah dan Kak Asiah berborak tentang butiran majlis pelanggan mereka sementara memerhatikan pembantu-pembantu Kak Asiah memindahkan bungkusan makanan ke dalam lori kecil.Seusai proses pemindahan bungkusan makanan, Kak Asiah dan pembantunya mulai bergegas ke tempat berlangsungnya majlis.

Arafah memerhatikan Amin yang sedang tidur.Matanya kini melihat pula ke arah komputer.Dia sedang memasukkan gambar kuih raya ke dalam laman Facebook.Gigih benar dia menyusun dan mengatur gambar mengikut huraian yang disediakan sejak seminggu lalu.Dia mahu laman itu cukup menarik untuk menambat hati golongan netizen yang singgah melawat.Sambil-sambil itu dia sedang menanti undangan dari sahabat karibnya.Seketika kemudian, dia mendapat undangan yang dinantikan. Sebaik membuka Skype, Arafah makin teruja kerana ibu Alif yang akan menurunkan ilmu dan rahsia kuih goyang kepadanya. Alif pula sibuk mengendalikan kamera.Sesekali memang gamat dengan kerenah dan ragam kedua-dua ‘guru’nya itu. Masing-masing tidak mahu kalah menyampaikan tips penting untuk memastikan kuih goyang ranggup, cukup rasa lagi tahan lama.

Sepuluh tahun terputus hubungan, sesekali bertemu mata meski di alam maya sudah cukup mengeratkan kembali hubungan silatulrahim.Akhirnya tiba masa mengucapkan selamat tinggal. Alif dan ibunya sempat mengingatkan Arafah dan Amin untuk bertemu kembali pada Ramadhan tahun ini, mereka akanberada di Malaysia selama sebulan lebih. Pertemuan di Skype berakhir dengan cukup manis dan penuh harapan. Mereka mendoakan Arafah berjaya dalam perniagaan.Tanpa disedari Arafah menitiskan air mata gembira.Dia terharu kerana masih ada yang menyokong cita-citanya.Kegembiraan itu menyuntik semangat baharu dalam diri Arafah. Bergegas dia ke dapur menyiapkan sample kuih goyang. Selesai menggoreng, Arafah mengambil gambar sebelum membungkus kuih tersebut.

Malam itu juga Arafah memuat turun gambar-gambar tersebut ke laman sosial dan mengemaskini laman Facebook.Sebelum tidur Arafah bersolat Isyak dan bersolat Hajat.Esok, jiwa saudagar Arafah siap siaga untuk berjuang!