Malaysia, negara berdaulat ini sudah mencapai usia kemerdekaan lima puluh tujuh tahun. Tetapi capaian kemajuan bangsa-bangsa yang menghuni negara ini dalam berbahasa Melayu jauh lebih mundur dan mengecewakan.

Di manakah kekuatan para ilmuwan, cendekiawan, budayawan, penulis dan nasionalis dalam menangani permasalahan ini? Mereka seolah membisu seribu bahasa kerana berada di zon selesa dan boleh ditakrifkan ibarat ‘enau dalam belukar.

Jika demikian, maka slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ hanyalah layak di risalah dan kelihatan gagah terpamer di dinding pejabat. Bahasa Kebangsaan tidak sedemikian gah mahupun megah untuk dipamerkan di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Malah ada di antara rakyat Malaysia yang malu untuk menuturkan bahasa ibunda ini kerana fobia dianggap kampungan. Ketidakpercayaan kepada keupayaan bahasa Melayu adalah simptom penyakit kabur nasionalisme dan luntur patriotisme. Masalah persepsi ini wajar diperbetulkan segera seandainya kita mengaku menjadi warga yang setia dan patuh kepada perlembagaan negara.

Dalam pada itu, kesinambungan perjuangan para pejuang bahasa zaman dahulu, masih kekal dan terus dikenang dan diraikan. Salah satu bentuk yang cukup signifikan ialah Program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) yang diadakan pada bulan Oktober setiap tahun.

Pertama kali BBK diperkenalkan pada tahun 1960-an dan masih releven hingga kini. Tetapi, sejauh manakah capaian kemajuan program ini membantu menyemarakkan semangat dan menyuntik kesedaran mencintai bahasa Kebangsaan tidaklah diberitahu dan diketahui secara umum.

Namun, usaha DBP memasyarakatkan bahasa Kebangsaan di negara ini terbukti berterusan dan usaha ini wajar diberikan sokongan dan penghargaan.

Bulan Bahasa Kebangsaan wajar dimanfaatkan untuk terus menyuntik kesedaran bersama demi memartabatkan serta memperkasakan lagi bahasa Kebangsaan yang sudah mencapai kemajuannya sebagai ‘Bahasa Melayu Tinggi’.

Mengikut Charles A. Ferguson, yang pendapatnya dikutip oleh Hassan Ahmad (2011) mentakrifkan “bahasa maju” berdasarkan tiga ciri atau kriteria yang sememang sudah ada pada bahasa Melayu kini iaitu:

Pertama: Bahasa itu sudah mempunyai sistem tulisan atau graphization. Kedua: Bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam atau bentuk “bahasa tinggi atau a supradialectal form. Ketiga: Bahasa itu sudah mampu digunakan sebagai alat untuk mengungkapkan modern form of discourse.

Jelas, bahasa Melayu sudah mampu digunakan sebagai alat untuk mengungkapkan idea, ilmu, dan pemikiran moden. Justeru, Bulan Bahasa Kebangsaan harus dimanfaatkan untuk terus memberikan kesedaran bersama, bagi memartabatkan serta memperkasakan lagi bahasa kebangsaan kita.

Maka diajukan pertanyaan, “kalau bukan kita sebagai warga negara Merdeka, siapa lagi?”

Kebangkitan semangat perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan sudah menjadi suatu fenomena luar biasa sejak tercetusnya peristiwa Keranda 152 pada tahun 1967.

Perjuangan

Dekad tersebut ditandai oleh kebangkitan golongan penulis, penyair, intelektual bahasa dan sasterawan dari seluruh pelosok tanah air bersatu tenaga berusaha mempertahankan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah.

Sejak merdeka hingga kini, isu bahasa tidak pernah reda malah jauh sekali menemukan titik noktahnya.

Maruah bahasa Kebangsaan adalah maruah bangsa Melayu dan lain-lain bangsa di Malaysia yang perlu bersama dilestari dan dipelihara sampai bila-bila.

Perjuangan bukan sekedar berceramah, berdialog, bersimposium, dan lain-lain yang bersifat dalaman. Tetapi perlu dijabarkan keluar bangunan dan jabatan serta kementerian menjangkau kehidupan masyarakat pelbagai etnik dan strata kehidupan.

Menyentuh soal isu bahasa Kebangsaan jelas membabitkan maruah semua bangsa itu turut menarik perhatian para penyair untuk menyuarakan pandangan dan perasaan mereka melalui karya puisi.

Kita sedia maklum, penyair adalah manusia istimewa kejadian-NYA yang dianugerahkan naluri perasa yang amat tajam dan sensitif; khususnya terhadap masyarakat serta segala isu dan peristiwa yang menyangkuti kehidupan masyarakat tersebut.

Bahasa adalah alat kepada para penyair menukangi karya kreatif. Di samping itu, mereka juga mempunyai daya kreatif yang tinggi dalam proses penciptaan. Puisi dianggap genre paling mudah menyalurkan segala perasaan dan buah fikiran secara tuntas, luas dan bernas.

Semangat perjuangan mereka yang tidak pernah luntur, bahkan terus bernyala dan obor perjuangan disambut dan disambung oleh generasi penulis-penulis seterusnya. Beberapa penulis veteran dan penulis muda berganding bahu menyimpul tekad memahat amanat menjulang maruah dan kehormatan bahasa Kebangsaan sejajar dengan martabatnya sebagai bahasa rasmi dalam perlembagaan Malaysia.

Penyair, aktivis sastera dan juga pengarah filem tidak asing lagi membuka tirai penyair iaitu Yassin Salleh dengan puisi ‘DBP Rumah Gadang Melayu’ (Ikan-Ikan Di Kaca-ITBM/PENA, 2015).

Sebagai sebuah institusi pembina serta pengembangan utama bahasa dan kesusasteraan negara, penubuhannya bertujuan untuk mengadakan berbagai-bagai penyelidikan dan penerbitan tentang bahasa dan kesusasteraan.

Tertubuhnya DBP pada tahun 1956, menandakan bermula era kegemilangan bahasa kebangsaan dan usaha-usaha mendaulat dan memperkasakannya kekal berterusan sehingga kini.

Wujudnya DBP telah mencetuskan inspirasi dan menyuntik semangat para penulis untuk menubuhkan persatuan yang dikenali sebagai ASAS’ 50 dan turut melahir dan memupuk ramai penulis berwibawa sepeti petikan berikut:

Tingkat Empat DBP asal / lantai keramat tempat berdarjat / di situ semangat ASAS’50 memanjat / membumbung / menunjang akar mekar dan segar/ Keris Mas, Awam Al Serkam, Usman Awang, Wijaya Mala, Abdullah Hussein / bersawah bendang bertapak semaian / yahaya Ismail, Noor Azam, Salleh Daud, Baha Zain, Kemala, Johan Jaaffar / melanjutkan gemilang / erti perjuangan…./ Rumah Gadang Melayu / di situ aku berpudung / setiap hujung minggu / membancuh kopi / meniupkan seruling batang padi / untuk para mahaguru / sasterawan Agung Melayu.

Sejarah hitam bahasa Kebangsaan turut menjadi ilham pencetus sebuah puisi berjudul, Keranda 152 karya Rosly Mohamad (Kita orang 3 Beradik-ITBM/PENA, 2015). Peristiwa kebahasan yang berlaku pada tahun 1967 bertitik-tolak akibat penentangan terhadap Akta Bahasa kebangsaan 1967 yang mahu mengubah bahasa pengantar Melayu ke bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Puisi berikut diilhamkan dari peristiwa tersebut:

Singkap lembaran sejarah / Telah tercatat tanggal 3 mac 1967 / Para pejuang bahasa / Telah bangkit dalam satu semangat / Dalam satu tekad / Dalam satu muafakat / Keranda 152 diusung / Diiringi ribuan berarak / Menuju Parlimen sebagai tanda protes / Kerana kepimpinan Melayu / Telah gagal memartabatkan bahasa Melayu / Di tempat yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

Puisi seterusnya berjudul, Bahasa Merdeka Bahasa Kita karya Abd. Rahim Omar (Bukan Riak di Lautan-ITBM/PENA, 2016). Penyair beranggapan, bahasa Melayu adalah bahasa utama yang dominan setelah negara mencapai kemerdekaan dan telah dipersetujui secara bersumpah berlandaskan slogan ‘bahasa jiwa bangsa’ seperti petikan berikut:

Ini bahasa kita / bahasa ketuanan tanah ibunda / cermin estetika di bumi merdeka / yang kita tutur dengan hati terluka / yang kita saksi dengan mata terdera / yang kita salami dengan minda terleka / yang kita hormati dengan adab tersula…./ Bahasa merdeka bahasa kita / tidak terjajah walau setitik air mata / kita ukir mulus niat menyangga takhta / galur eulogi merapah singgahsana / pancangan cerucuk warisan sumpah 152 / sembah watikah bahasa jiwa bangsa / injap ketamadunan akar nurani warga.

Saifullizan Yahaya pula hadir menghidangkan sebuah puisi yang cukup lembut laras bahasanya berjudul, Ini Bahasa Kita, Anak (Biar Puisi Menjadi Peluru-ITBM/PENA, 2012). Penyair dengan sedemikian dedikasi dan penuh beramanat mengingatkan anaknya bahawa bahasa itu menunjukkan bangsa.

Maruah

Adab sopan dalam tutur kata melambangkan wibawa dan darjat seseorang di kalangan masyarakat. Berbanggalah dengan mengamalkan bahasa ibunda yang indah susun katanya dan itulah petanda orang berbangsa seperti petikan berikut:

Ini bahasa kita, anak / sopan tuturnya / mengawal tingkah / bidi bicaranya / menyimpul adab / susun lakunya / mengatur adat / inilah kita anak, Melayu…./ hafalkan langkah perinya yang cermat / ikut tari simpulnya yang bermakna / ingat-ingat petitihnya yang bijaksana…./ pusaka kita yang bermutiara / tidak terjual beli / di dasar khazanah bangsa / tanpa tiada kita / tiadanya tidak dikenali kita / inilah kita anak, Melayu.

Teguran tajam penyair Ismail Mohamad melalui puisinya berjudul, Bahasaku Menjadi Badut (Warung Kopi-ITBM/PENA, 2015) mempunyai nilai-nilai positif dan lebih kearah mengingatkan bahawa bahasa Melayu mempunyai maruah dan pertahankanlah di atas nama semangat kebangsaan yang jitu dan padu mengikut petikan berikut:

Bahasaku dihimpit / di mana-mana / diserkup kembang merecup / kelopak zaman / bahasaku bagaikan serba tak kena / di tengah status dunia / korporat dan globalisasi / bahasaku menjadi badut / disolek tuannya sendiri.

Akhir sekali, puisi berjudul, Memilih Bahasa Ibunda (Madu di Tangan-ITBM/PENA, 2015) nukilan penyair Mohd Helmi Ahmad menjadi harapan masa depan.

Harapan yang dipautkan kepada anak-anak bangsa generasi akan datang yang akan menempuh segala pancaroba kehidupan moden dan juga mewarisi segala pusaka di tanah air sendiri.

Penyair berharap janganlah melupakan bahasa ibunda dan tetaplah berpegang teguh mendaulatkan bahasa Melayu melalui petikan berikut:

Biarpun kau lahir nanti / dikepung menara tertinggi di dunia / mencakar bumbung langit / tetaplah memilih bahasa ibunda / Biarpun kaulahir nanti / di kelilingi jiran berwarganegara asing / berambut perang berkulit putih / tetaplah memilih bahasa ibunda / Biarpun kaulahir nanti disekolahkan di negara bermusim cuaca / pengantarnya bahasa pernah menjajah negara / tetaplah memilih bahasa ibunda / Biarpun kaulahir nanti / di tengah kota raya / berjiran dengan warga asing / yang menghantarmu ke sekolah / kenderaan berjenama pelbagai nama / usah ragu dan bimbang / tetaplah memilih bahasa Melayu / bahasa ibunda menjulang martabat bangsa.

Sebagai kesimpulan, dipetik pandangan Allahyarham Datuk Dr.Hassan Ahmad, ‘bahasa maju hanya apabila ia digunakan sebagai alat kemajuan bangsa. Kita tidak nampak bagaimana satu-satu bangsa itu boleh maju tanpa menggunakan bahasa sendiri sebagai alat kemajuannya.

Kesalahan tanggapan kita ialah, kita cuba memisahkan kemajuan bangsa daripada kemajuan bahasa, pada hal kedua-duanya saling bergantungan’ (Imbasan, Edisi Kedua-DBP, 2002).

Justeru, masalah yang masih mendasari jiwa bangsa ialah persepsi dan sikap bangsa kita terhadap bahasanya. Persepsi perlu diubah dan sikap wajar diterjemahkan secara praktikal.

Namun, kurang bijak jika kita terus menerima dan merelakan bahasa asing membiak dan mengakar-umbi seolah-olah kita bangsa yang masih ‘berjiwa hamba’ dan rela dijajah dan diperalat sepanjang hayat.

Mendaulatkan bahasa Kebangsaan terletak di bahu setiap anak watan yang menikmati ranum buah-buah kemerdekaan, ayuh kita perkasakan. Percayalah, bangsa yang tiada berwawasan akan ditewaskan.